Wednesday, November 10, 2010

Pendapat

e-mel anda: Jangan tuduh melulu


SAYA seorang penyelidik kemalangan persendirian dan mahu berkongsi pendapat mengenai perkara ini.

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan laporan kemalangan bas yang mengorbankan 13 nyawa di Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLus), berhampiran Simpang Empat, Alor Gajah, Melaka dan terbaru di Genting Highlands.
Dalam isu ini, siapa yang harus dipersalahkan sama ada pemandu, penumpang atau pihak berkuasa?

Mengikut kajian saya, penumpang harus dipersalahkan, kerana mereka tidak memberi kerjasama atau saling tegur menegur antara satu sama lain.



Contoh yang saya beri di sini , dalam kejadian di Simpang Empat, Alor Gajah, Melaka itu, pemandu bas berkenaan mempunyai pengalaman selama empat tahun dan tidak mempunyai sebarang rekod saman.



Selama berkhidmat dengan syarikat bas berkenaan, beliau memandu dengan cermat dan selamat, tetapi tidak pernah pun beliau mendapat kepujian atau sijil penghargaan.

Tetapi apabila terbabit dalam kemalangan maut, termasuk nyawa beliau sendiri terkorban, kenapa tohmahan dan hinaan yang beliau terima?

Di sini juga saya memberi contoh kesalahan penumpang iaitu apabila bas terbabit dalam kemalangan, wartawan mendapatkan komen penumpang mengenai bagaimana kejadian itu berlaku.

Penumpang menjawab, bas dipandu laju atau pemandu mengantuk. Setiap kali saya baca surat khabar mengenai kemalangan bas, mesti wartawan tanya soalan itu kepada penumpang. Lalu wartawan bertanya lagi, berapa lajukah bas itu dipandu? Penumpang menjawab, saya tidak tahu dan saya sedang tidur ketika itu, saya sedar bas terhuyung-hayang dan mendengar dentuman yang kuat.

Bagi saya, sekiranya tidak tahu berapa kelajuan bas itu dipandu sewaktu kemalangan, janganlah menuduh melulu, kita kena siasat dulu keadaan pemandu itu sama ada dalam keadaan sihat atau mengalami serangan jantung atau sesak nafas.

Kita juga kena melihat keadaan bas seperti keadaan tayar, brek, serta keadaan jalan dan cuaca.

Sebab apa saya kata penumpang harus dipersalahkan? Saya beri contoh, sekiranya penumpang itu sudah tahu bas itu dipandu dengan laju, salah seorang penumpang datang ke depan dan berborak dengan pemandu.

Ataupun menggunakan budi bahasa yang baik menegur pemandu supaya memperlahankan bas berkenaan.

Sekiranya pemandu itu marah atau tidak pedulikan teguran itu, penumpang boleh menghubungi atau gunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), bukannya SMS kepada ahli keluarga di rumah.

Sekiranya penumpang mendapati pemandu itu tidak boleh memandu lagi akibat mengantuk sangat, kejutkan pemandu kedua supaya perjalanan itu selamat.



MOHD ZAKI
Kuala Lumpur

No comments:

Post a Comment