Monday, November 8, 2010

Ibu Tunggal Rentung


Ibu tunggal, anak rentung berpelukan


SERI Rusidah Daud dan suaminya, Asaari Mohd. Muji mencari sesuatu di tapak rumah yang terbakar di Kampung Seri Paya, Batu Pahat, semalam.

BATU PAHAT 7 Nov. - Seorang ibu tunggal dan anak perempuannya yang berusia tiga tahun ditemui rentung dalam keadaan berpelukan setelah rumah mereka di Kampung Seri Paya Darat, Ayer Hitam di sini, musnah dalam kebakaran awal pagi ini.

Lenny Mariayana Daud, 29, ditemui dalam keadaan sujud sambil memeluk anaknya, Nor Sabihah Qasreena Mohd. Nizam dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi.

Sungguh menyayat hati, mangsa yang merancang untuk berkahwin hujung tahun ini dan anaknya ditemui hanya tinggal rangka di sebelah katil dalam bilik tidur mereka.

Utusan Malaysia difahamkan hanya sedikit cebisan pakaian dan daging ditemui melekat di katil. Jenazah dua beranak itu kemudian dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Kampung Seri Paya selepas solat zohor.

Bagaimanapun, dalam kebakaran yang memusnahkan rumah separuh batu dan papan itu, sembilan ahli keluarga termasuk tiga kanak-kanak lain berjaya menyelamatkan diri.

Adik bongsu mangsa, Seri Rusidah Daud, 25, yang baru berkahwin pada Mei lalu turut berada di dalam rumah itu bersama suaminya, Asaari Mohd. Muji, 26.

"Keluarga kami baru sahaja bergembira dengan perkahwinan saya, namun tak sangka pula kini kami terpaksa menghadapi kisah sedih pemergian tragik kakak dan anaknya.

"Arwah ada cerita yang dia merancang untuk berkahwin hujung tahun ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, semasa kejadian, dia dan suami yang tidur di bilik terjaga apabila mendengar sayup-sayup suara ibunya, Saringatin Jalal, 65, dan Lenny Mariayana meminta tolong.

"Saya lihat api sudah marak dan tidak berdaya untuk masuk ke bilik kakak kerana api sudah marak dan asap tebal.

"Saya juga tak sempat menyelamatkan apa-apa kecuali kad pengenalan dan kunci. Mujur emak juga berjaya menyelamatkan diri," katanya.

Seri Rusidah memberitahu, hatinya luluh apabila melihat mayat kedua-dua mangsa rentung dan hanya tinggal rangka selepas api berjaya dipadamkan pasukan bomba dan penyelamat yang tiba memadamkan kebakaran berkenaan.

Menurutnya, semasa makan tengah hari semalam, Lenny Mariayana yang bekerja di sebuah kilang elektronik di Parit Raja di sini sempat bergurau dengan emaknya menyatakan apa yang akan terjadi jika dia pergi dahulu menghadap Illahi sebelum warga emas itu.

"Emak hanya menjawab juga secara bergurau, dia kena minta maaf dengan emak sebelum 'pergi'," katanya.

Sementara itu, kakak mangsa, Ratna Dewi, 35, berkata, pada mulanya dia menyangka mangsa mengigau apabila mendengar hentakan kaki pada lantai bilik mangsa.

"Saya belum tidur lagi pada masa itu dan dengar bunyi hentakan kaki di lantai bilik Nini (Lenny). Ingatkan dia mengigau jadi saya tak buat apa-apa.

"Namun tidak berapa lama kemudian, saya dengar dia menjerit minta tolong, api terus marak dari bilik dengan pantas. Saya panik dan tidak sempat buat apa-apa melainkan melarikan diri," katanya.

Ratna berkata, pada malam kejadian, Lenny Mariayana membawa ibunya pergi berurut di kampung sebelah dan mereka hanya pulang ke rumah pada tengah malam dan kemudiannya mangsa masuk ke bilik untuk membasuh sebelum masuk tidur bersama anak tunggalnya itu.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Timah Sari, Bakri Lihat berkata, pihaknya tiba di tempat kejadian pukul 2.10 pagi dan berjaya membawa mayat mangsa keluar pukul 3 pagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dr. Robia Kosai turut melawat lokasi dan menyampaikan bantuan bagi meringankan beban keluarga mangsa.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment