Monday, November 8, 2010

Bertembung



4 terbunuh kereta bertembung treler

Oleh M. SHAHRINNAHAR ABD. LATIB
nahar.latib@utusan.com.my

Keadaan kereta Proton Persona yang dinaiki empat sekeluarga terpelosok di bawah treler sebelum terbakar dan menyebabkan kesemuanya rentung di Kilometer 119 Jalan Kuantan-Segamat di Rompin, Pahang, semalam. - UTUSAN/RUSHDI SALLEH

ROMPIN 7 Nov. - Bekas wartawan akhbar Berita Harian merupakan antara empat yang rentung apabila kereta yang mereka naiki terbakar selepas merempuh sebuah treler membawa muatan kelapa di Kilometer 119, Jalan Kuantan-Segamat di Keratong dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam, empat saudara terbabit termasuk sepasang suami isteri dalam perjalanan pulang ke Duyong, Melaka selepas menghadiri majlis pertunangan seorang saudara mereka di Marang, Terengganu.

Mereka ialah pesara Jabatan Kerja Raya (JKR), Md. Sharif Nani, 61, dan isterinya, Marinah Kambas, 60, anak saudaranya yang juga pemandu kereta, Rosli Mat Isa, 28, dan bekas wartawan, Patimah Ramli, 46, yang juga adik ipar kepada Md. Sharif.

Pemandu treler, Rosli Che Hassan, 50, dan kelindan yang juga anaknya, Rozlan, 18, hanya mengalami cedera ringan.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Johari Jahaya berkata, siasatan awal mendapati, ketika kejadian jalan agak licin kerana hujan lebat.

"Kereta Proton Persona yang dinaiki semua mangsa dipercayai memotong sebuah lori yang berada di hadapan. Sebaik sahaja berjaya memotong, kereta berkenaan dipercayai hilang kawalan ketika menuruni bukit sebelum memasuki laluan bertentangan.

"Kereta berkenaan kemudian bertembung dengan sebuah treler yang dalam perjalanan menghala ke Kuantan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Johari memberitahu, berikutan pelanggaran itu, kereta terbabit terperosok di bawah treler sebelum diseret sejauh 40 meter dan terbakar menyebabkan empat mangsa itu rentung.

Menurut beliau, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Rompin bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima maklumat.

Sebaik sahaja api berjaya dipadamkan, katanya, kesemua mangsa dikeluarkan dan dihantar ke Rumah Mayat Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga kira-kira pukul 2 petang ini.

Sementara itu, Rosli ketika ditemui memberitahu, dia bersama anaknya dalam perjalanan menghantar kelapa dari Batu Pahat, Johor ke Rantau Panjang, Kelantan.

Menurutnya, kejadian berlaku dengan pantas dan dia berusaha menyelamatkan diri sebaik melihat kepulan asap keluar di tengah treler dipandunya sebelum disusuli bunyi letupan.

"Anak saya sempat menarik tangan saya dan berlari ke arah semak kerana bimbang treler itu akan terbakar.

"Kami juga tidak sempat membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kereta kerana api sudah marak," katanya.

No comments:

Post a Comment