Kumpulan artikel dari website akhbar atau dari web individu mengenai bencana alam,kemalangan,masalah rumahtangga serta tragedi dalam kehidupan masyarakat Malaysia dan dunia.
Sunday, November 21, 2010
Samseng Betul
Parah dibelasah samseng
Laporan dan foto NOR HUSAINI NOR MAJID
am@hmetro.com.my
BANTU... anggota paramedik Hospital Kulim merawat mangsa di tempat kejadian sebelum membawanya ke hospital.
KULIM: “Ketika mangsa membuka kedai, tiba-tiba sekumpulan samseng datang dan membelasahnya tanpa belas kasihan.
“Mangsa lari menyelamatkan diri menuju ke panggung wayang tetapi samseng terbabit sempat mengejar sebelum membelasah serta melibasnya dengan parang,” kata saksi kejadian seorang lelaki yang juga pekerja kedai di sebuah pasar raya di sini menjadi mangsa tetak sekumpulan samseng, kelmarin.
Saksi yang tidak mahu dikenali berkata, kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu berlaku terlalu pantas, malah ketika itu suasana bising dengan jeritan mangsa dan kumpulan lelaki berkenaan.
“Orang ramai terkejut dengan kejadian itu, malah mencari tempat berlindung untuk menyelamatkan diri kerana kumpulan terbabit sangat ganas.
“Risau dengan keselamatan diri, saya hanya melihat kejadian dari jauh serta menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian serta memohon bantuan ambulans dari Hospital Kulim,” katanya.
Katanya, selepas membelasah mangsa, kumpulan samseng itu sempat mengugut orang ramai supaya tidak campur tangan atau menerima nasib sama seperti mangsa sebelum mereka melarikan diri dengan dua kereta.
Kejadian itu menyebabkan mangsa yang berusia 20 tahun cedera parah di kepala serta badan akibat dipukul selain ditikam dengan senjata tajam.
Mangsa dirawat di tempat kejadian oleh petugas paramedik Hospital Kulim sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Chin Su Song mengesahkan kejadian itu dan berkata pihaknya masih menjalankan siasatan.
Menurutnya, siasatan awal serta maklumat orang ramai mendapati sekumpulan lelaki bersenjata menyerang mangsa kira-kira jam 11.30 pagi ketika mangsa membuka kedai majikannya.
“Siasatan awal mendapati mangsa diserang kira-kira tujuh lelaki menaiki dua kereta.
“Mangsa dipercayai dipukul di depan kedai itu sebelum melarikan diri ke arah panggung wayang kira-kira 10 meter dari kedai terbabit,” katanya.
Menurutnya, cubaan menyelamatkan diri gagal apabila kumpulan lelaki terbabit sempat menahan mangsa berdekatan panggung wayang.
Katanya, mangsa sekali lagi dipukul serta ditikam di kepala, badan, tangan serta belakang, menyebabkannya rebah.
“Polis masih menyiasat motif serangan dan sehingga kini kita belum memperoleh maklumat daripada mangsa kerana masih dirawat di hospital.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata,” katanya.
Sehubungan itu Chin turut memohon orang ramai menyalurkan maklumat di Balai Polis Kulim atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment