Wanita buta rentung dalam bilik
PASIR MAS: Seorang wanita yang mengalami kecacatan kaki dan buta sejak lahir ditemui rentung apabila rumahnya hangus dijilat api dalam kejadian di Kampung Banggol Ubi Keling, Nibong, di sini, petang kelmarin.
Lebih menyayatkan hati, apabila mangsa Fatimah Said, 54, cuba diselamatkan seorang ahli keluarganya, namun usaha itu gagal apabila bumbung rumah yang terbakar menghempapnya menyebabkan usaha menyelamatkannya tidak dapat dilakukan.
Sebelum kejadian, ibunya, Saodah Ali, 70, yang tinggal bersama mangsa di rumah berkenaan meninggalkannya bersendirian seketika kerana ingin ke rumah cucu terletak berhampiran.
Saodah berkata, kejadian itu amat sukar diterima apabila dia tidak mampu untuk menyelamatkan anaknya.
“Jika diikutkan hati, mak cik mahu meredah api menyelamatkannya, namun api begitu marak.
“Mak cik sedih mengenangkan dia yang pergi dalam keadaan begini,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, Saodah berkata dia sebelum itu dimaklumkan penduduk kampung rumahnya terbakar sebelum bergegas pulang.
Katanya, dia yang tergamam melihat keadaan itu mengucap panjang dan berdoa mengenangkan nasib anaknya yang berada di dalam rumah terbabit.
“Sebaik api dipadamkan, saya diberitahu mayatnya dijumpai dalam keadaan rentung di bilik tidurnya.
“Sebelum itu, cucu saya, Saupi Ismal, 21, cuba menyelamatkannya, tetapi bumbung runtuh menghempap Fatimah,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Pasir Mas, di sini, semalam.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Abdul Kadir Che Ya, berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 4.50 petang sebelum bergegas bersama lapan anggota dan sebuah jentera.
Katanya, sebaik tiba di tempat kebakaran pihaknya mendapati hampir 80 peratus rumah sudah terbakar dan mengambil masa selama hampir sejam memadam dan mengawal api.
“Mangsa dijumpai rentung di dalam bilik tidurnya kerana dipercayai gagal menyelamatkan diri akibat kecacatan kaki.
“Punca kejadian disiasat dan kami menganggarkan kerugian kira-kira RM40,000,” katanya
No comments:
Post a Comment