Tuesday, November 30, 2010

Ibu




Ibu rentung
Oleh Mohd Fauzi Abdullah
fauzie@hmetro.com.my


REMUK...kereta yang terbabit kemalangan, semalam.

TUTUP...mayat mangsa dibawa ke HTAA.
KUANTAN: Kegembiraan seorang ibu untuk menyambut menantu berakhir tragedi menyayat hati apabila dia rentung selepas terbabit kemalangan ketika dalam perjalanan pulang selepas mengedar kad kahwin anak perempuannya yang dijadualkan berlangsung pada 11 Disember ini.

Dalam kejadian jam 1.45 tengah hari di Kilometer 35, Jalan Kuantan-Kemaman, di sini, semalam, mangsa, Senik Osman, 69, rentung selepas kereta Proton Iswara dinaiki bersama suaminya, Abdul Ghani Ahmad, 72, dirempuh sebuah Toyota Vios dipandu seorang lelaki, Patrick Chai Yew Fai, 22.


Mangsa yang berasal dari Bukit Kuin, di sini, tidak sempat diselamatkan apabila kenderaan mereka terbakar selepas dirempuh kereta dipandu Patrick yang berasal dari Kubang Buaya, di sini.

Suami mangsa yang juga seorang mekanik dan Patrick dilaporkan parah dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.


Difahamkan, pasangan warga emas berkenaan dalam perjalanan pulang dari Kemaman selepas mengedarkan kad undangan perkahwinan anak keempat mereka, Fauziah Abd Ghani, 30, yang dijadualkan berlangsung bulan depan di rumah mereka kepada saudara-mara di Kemaman.


Adik mangsa, Mohamad Abdul Rahman, berkata kakaknya keluar dari rumah kira-kira jam 8 pagi semalam dan tidak menunjukkan sebarang tanda pelik.


Katanya, kakaknya gembira kerana Fauziah akan melangsungkan perkahwinan dan segala persiapan untuk menyambut ‘orang baru’ dalam keluarga berjalan lancar.


“Saya sedih apabila mengenangkan peristiwa ini. Kali terakhir saya berbual dengannya kira-kira jam 12 tengah hari tadi (semalam) dan dimaklumkan mereka berdua dalam perjalanan balik ke rumah.

“Dia hanya memaklumkan sudah mengedarkan kad undangan itu di sana (Kemaman),” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Zulkifli Taha, berkata siasatan awal mendapati kereta Vios dipandu Patrick dalam perjalanan dari Kuantan ke Kemaman cuba memotong sebuah kenderaan di depannya sebelum memasuki laluan bertentangan lalu bertembung kereta dipandu Abdul Ghani.


Katanya, akibat pertembungan itu, pemandu kereta Proton Iswara yang parah sempat keluar dari kenderaan, namun seorang lagi penumpang di tempat duduk depan dipercayai tersepit gagal keluar sebelum kenderaan itu terbakar.


“Mangsa yang tersepit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.


Menurutnya, sepasukan anggota daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Gebeng, dekat sini, tiba di tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran sebelum mayat Senik dikeluarkan dan dihantar ke bilik mayat HTAA.


Zulkifli berkata, kedua-dua mangsa yang parah dihantar ke HTAA untuk rawatan dan siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tunggul Reput



Sujud dakap jenazah suami
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Muhammad Apendy Issahak
am@hmetro.com.my


PILU...Hayati mengiringi jenazah suaminya ke HKL untuk dibedah siasat. Gambar kecil, Helmi.

ALIH...kakitangan DBKL mengalihkan tunggul pokok yang tumbang.
KUALA LUMPUR: Hanya deraian air mata pilu dapat menggambarkan kesedihan seorang isteri ketika mencium mayat suaminya yang berlumuran darah akibat dihempap tunggul pokok tumbang secara tiba-tiba berhampiran Hutan Simpan Bukit Nanas, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, Hayati Husin, 30-an hanya mampu bersujud sambil mendakap kepala suaminya yang ditimpa batang pokok sebesar dua pemeluk.


Sumber polis trafik berkata, kemalangan ngeri itu berlaku apabila Mohd Helmi Hussin, 37, sedang menunggang motosikal bersendirian arah Jalan Raja Chulan, di sini.

Menurutnya, sebatang tunggul pokok setinggi kira-kira 10 meter tiba-tiba tumbang lalu menimpa mangsa yang dipercayai tidak sempat mengelak.


“Difahamkan, mangsa baru saja menghantar isterinya Hayati yang bekerja di sebuah bank tidak jauh dari lokasi kejadian sebelum menaiki motosikal untuk ke tempat kerjanya di sebuah bank berhampiran Jalan Raja Chulan, di sini.


“Namun, selepas beberapa minit menghantar isterinya, mangsa dihempap tunggul pokok yang rebah menyilang di jalan berkenaan. Kejadian itu menyebabkan kepala dan tubuh mangsa cedera parah dan dia mati di lokasi kejadian,” katanya.


Isteri mangsa yang dimaklumkan berhubung kejadian itu oleh rakan sekerja bergegas ke lokasi kejadian.


Suasana di tempat kejadian menjadi pilu apabila Hayati dipapah rakan tidak dapat menahan sebak dan kemudian bersujud sambil mencium kepala suaminya sebagai tanda kasih.

Episod sedih itu turut meruntun hati beberapa anggota polis trafik dan orang ramai yang mengerumuni lokasi kejadian.


Anggota polis trafik bersama anggota bomba dan penyelamat serta kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berusaha memindahkan mayat mangsa selain mengalihkan batang pokok terbabit yang menghalang laluan.


Hayati kemudian turut menaiki kenderaan polis menghantar jenazah suaminya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat.


Bapa saudara Hayati yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Ngah berkata, dia menerima panggilan telefon daripada anak buahnya memberitahu mengenai kemalangan kira-kira jam 9 pagi.


Dia yang dalam perjalanan ke Port Dickson, Negeri Sembilan, bergegas pulang ke ibu kota dan terus ke HKL.


Menurutnya, melalui gambar dirakam kawan arwah di tempat kejadian, dia mendapati pokok itu sudah reput. Katanya, kejadian malang itu mungkin dapat dielak jika pihak bertanggungjawab melakukan pemantauan dan menebang pokok yang boleh membahayakan nyawa.


“Namun, kami reda dengan apa yang berlaku dan berharap perkara seumpama itu tidak berulang,” katanya.


Jenazah mangsa disembahyangkan di Masjid HKL sebelum dibawa ke kampung halaman mangsa di Ipoh, Perak untuk dikebumikan.

Monday, November 29, 2010

Rentung

Wanita buta rentung dalam bilik


PASIR MAS: Seorang wanita yang mengalami kecacatan kaki dan buta sejak lahir ditemui rentung apabila rumahnya hangus dijilat api dalam kejadian di Kampung Banggol Ubi Keling, Nibong, di sini, petang kelmarin.

Lebih menyayatkan hati, apabila mangsa Fatimah Said, 54, cuba diselamatkan seorang ahli keluarganya, namun usaha itu gagal apabila bumbung rumah yang terbakar menghempapnya menyebabkan usaha menyelamatkannya tidak dapat dilakukan.


Sebelum kejadian, ibunya, Saodah Ali, 70, yang tinggal bersama mangsa di rumah berkenaan meninggalkannya bersendirian seketika kerana ingin ke rumah cucu terletak berhampiran.

Saodah berkata, kejadian itu amat sukar diterima apabila dia tidak mampu untuk menyelamatkan anaknya.


“Jika diikutkan hati, mak cik mahu meredah api menyelamatkannya, namun api begitu marak.


“Mak cik sedih mengenangkan dia yang pergi dalam keadaan begini,” katanya.


Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, Saodah berkata dia sebelum itu dimaklumkan penduduk kampung rumahnya terbakar sebelum bergegas pulang.


Katanya, dia yang tergamam melihat keadaan itu mengucap panjang dan berdoa mengenangkan nasib anaknya yang berada di dalam rumah terbabit.

“Sebaik api dipadamkan, saya diberitahu mayatnya dijumpai dalam keadaan rentung di bilik tidurnya.


“Sebelum itu, cucu saya, Saupi Ismal, 21, cuba menyelamatkannya, tetapi bumbung runtuh menghempap Fatimah,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Pasir Mas, di sini, semalam.


Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Abdul Kadir Che Ya, berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 4.50 petang sebelum bergegas bersama lapan anggota dan sebuah jentera.


Katanya, sebaik tiba di tempat kebakaran pihaknya mendapati hampir 80 peratus rumah sudah terbakar dan mengambil masa selama hampir sejam memadam dan mengawal api.


“Mangsa dijumpai rentung di dalam bilik tidurnya kerana dipercayai gagal menyelamatkan diri akibat kecacatan kaki.


“Punca kejadian disiasat dan kami menganggarkan kerugian kira-kira RM40,000,” katanya

Friday, November 26, 2010

Awas Bila Memilih U

Pelajar kolej diperdaya


LUAHAN hati pelajar semester akhir peringkat ijazah di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) tempatan menjadi pilihan paparan Talian Hayat minggu ini.

Mereka mengadu mengenai pembiayaan pengajian yang sungguh mengelirukan apabila mereka mendakwa diperdaya pengurusan kolej.


Pelajar yang membuat aduan kepada Talian Hayat adalah sebahagian dari 300 pelajar kemasukan September 2009 di IPTS itu yang bakal menduduki peperiksaan akhir Disember ini. Namun tumpuan terhadap pengajian terjejas akibat terlalu runsing memikirkan pembiayaan yuran pengajian serta wang sara diri yang belum selesai.

Penerbit dan pengacara Talian Hayat, Wan Kamaruddin Wan Ibrahim atau Wan K, berkata semua pelajar itu sudah melengkapkan pengajian di peringkat diploma di kolej yang sama. "Bagi menarik minat pelajar terbabit melanjutkan pengajian mereka pada peringkat ijazah untuk tempoh satu setengah tahun saja, pihak kolej didakwa menaburkan janji manis bahawa pihak Majlis Amanah Rakyat (Mara) dikatakan akan membiayai yuran pengajian pelajar.


"Malangnya sekitar Julai 2010, semua pelajar amat berduka cita apabila dimaklumkan pembiayaan pengajian dari pihak Mara tidak dapat dipertimbangkan. Kesan dari itu pihak kolej berusaha pula mendapatkan pembiayaan pengajian dari PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional).


"Apa yang menjadi keresahan pelajar terbabit adalah perjanjian dari pihak PTPTN pula didakwa mengelirukan dengan jumlah dan tempoh pembiayaan yang tidak relevan.


"Untuk rekod setiap pelajar memerlukan pembiayaan sekitar RM45,000 termasuk wang sara diri bagi program ijazah selama setahun setengah. Sebaliknya perjanjian yang perlu ditandatangani pelajar memperincikan jumlah pembiayaan berjumlah RM70,000 bagi tempoh pembelajaran tiga tahun," atanya.


Jelas Wan K, menambah derita pelajar terbabit, biarpun semua pelajar dijangka menamatkan pengajian Disember ini, namun wang sara diri yang dimasukkan ke dalam akaun pelajar hanya RM100 bagi satu semester. Ini memberi lebih tekanan kepada pelajar apabila mereka terpaksa bergantung kepada keluarga untuk pelbagai perbelanjaan di semester akhir yang tinggi.

"Kebanyakan pelajar berasal dari luar bandar dan mempunyai latar belakang keluarga yang kurang berada. "Lebih menyakitkan hati apabila pihak kolej terbabit didakwa cuba mengelak dari memberi penjelasan yang mereka perlukan. Tiada tarikh jelas bila wang sara diri mereka akan dimasukkan pihak kolej ke dalam akaun masing-masing," katanya.


Talian Hayat cuba merungkai kekusutan dengan membawa aduan pelajar terbabit kepada perhatian pihak PTPTN dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sendiri. Kepada bakal pelajar di IPTS, jangan lupa saksikan episod seterusnya Talian Hayat, di ntv7, jam 7.30 malam ini sebagai pengajaran dan panduan bagaimana cara memilih IPTS dengan bijak.

Kongsi artikel ini menerusi media sosial

Ribut Melanda



Rumah terbang dipukul ribut



MUSNAH...Abu Bakar menunjukkan rumahnya yang ranap dipukul ribut.
KANGAR: Seorang petani, Abu Bakar Ahmad, 40, hanya mampu melihat keseluruhan rumahnya diterbangkan angin dalam kejadian ribut yang merosakkan kira-kira 16 rumah di sekitar Tambun Tulang, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, Abu Bakar dan keluarganya yang menetap di Kampung Kepala 20, bernasib baik kerana berada di rumah kakaknya di Kampung Kepala 10 kira-kira satu kilometer dari rumahnya.
“Saya bergegas pulang dari rumah kakak ketika angin ribut dan terkejut apabila mendapati rumah sudah tiada...yang tinggal hanya pelapik tiang konkrit.

“Sebahagian bumbung diterbangkan angin kira-kira 50 meter jatuh ke dalam petak sawah manakala dinding rumah bertaburan di tanah.



“Ini musibah kedua melanda diri saya selepas kawasan rumah ditenggelami air dalam kejadian banjir baru-baru ini,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.


Menteri Besar, Datuk Seri Md Isa Sabu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tambun Tulang, Datuk Seri Shahidan Kassim, hadir melawat mangsa ribut itu.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis, Abdullah Ali.

Abu Bakar berkata, dia bersama isteri serta dua anak berusia dua dan lima tahun menetap di rumah kayu yang dibeli daripada seorang rakan dengan harga RM5,000 sejak dua tahun lalu.

“Keseluruhan rumah kayu ini rosak teruk, termasuk tiang dan alangnya patah. Ia sukar untuk diperbaiki dan memerlukan kos tinggi untuk membinanya semula. Saya kini terpaksa menumpang di rumah kakak,” katanya.

Ribut terbabit menyebabkan 16 rumah di beberapa kampung sekitar Tambun Tulang rosak dan semua mangsa berkenaan baru menghadapi banjir besar.

Berdasarkan maklumat, daripada 16 rumah yang terjejas, tujuh dilaporkan membabitkan kediaman sekitar kawasan Long Boh, termasuk Kampung Kepala 20, selain lima di Kampung Baru, tiga di Tambun Tulang dan satu di Sungai Bakung.

Seorang mangsa, Rosnah Hamid, 47, ketika ditemui mengaku kehidupannya terjejas akibat kejadian ribut petang kelmarin apatah lagi kesan kerugian dan kerosakan akibat banjir besar baru-baru ini, masih belum pulih.

“Baru-baru ini, banyak barang terutama peralatan dalam rumah rosak selepas kediaman kami dinaiki air sehingga paras pinggang. Kini, belum selesai masalah itu, datang pula ribut memusnahkan bumbung dan dinding rumah kami,” katanya.

Sementara itu, Shahidan berkata, pihaknya menerusi Yayasan Pok dan Kassim (YPK) akan menyalurkan bantuan segera membina semula rumah untuk Abu Bakar yang musnah dalam kejadian ribut terbabit.

Sunday, November 21, 2010

Samseng Betul


Parah dibelasah samseng
Laporan dan foto NOR HUSAINI NOR MAJID
am@hmetro.com.my


BANTU... anggota paramedik Hospital Kulim merawat mangsa di tempat kejadian sebelum membawanya ke hospital.
KULIM: “Ketika mangsa membuka kedai, tiba-tiba sekumpulan samseng datang dan membelasahnya tanpa belas kasihan.

“Mangsa lari menyelamatkan diri menuju ke panggung wayang tetapi samseng terbabit sempat mengejar sebelum membelasah serta melibasnya dengan parang,” kata saksi kejadian seorang lelaki yang juga pekerja kedai di sebuah pasar raya di sini menjadi mangsa tetak sekumpulan samseng, kelmarin.


Saksi yang tidak mahu dikenali berkata, kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu berlaku terlalu pantas, malah ketika itu suasana bising dengan jeritan mangsa dan kumpulan lelaki berkenaan.

“Orang ramai terkejut dengan kejadian itu, malah mencari tempat berlindung untuk menyelamatkan diri kerana kumpulan terbabit sangat ganas.


“Risau dengan keselamatan diri, saya hanya melihat kejadian dari jauh serta menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian serta memohon bantuan ambulans dari Hospital Kulim,” katanya.


Katanya, selepas membelasah mangsa, kumpulan samseng itu sempat mengugut orang ramai supaya tidak campur tangan atau menerima nasib sama seperti mangsa sebelum mereka melarikan diri dengan dua kereta.


Kejadian itu menyebabkan mangsa yang berusia 20 tahun cedera parah di kepala serta badan akibat dipukul selain ditikam dengan senjata tajam.


Mangsa dirawat di tempat kejadian oleh petugas paramedik Hospital Kulim sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Chin Su Song mengesahkan kejadian itu dan berkata pihaknya masih menjalankan siasatan.


Menurutnya, siasatan awal serta maklumat orang ramai mendapati sekumpulan lelaki bersenjata menyerang mangsa kira-kira jam 11.30 pagi ketika mangsa membuka kedai majikannya.


“Siasatan awal mendapati mangsa diserang kira-kira tujuh lelaki menaiki dua kereta.


“Mangsa dipercayai dipukul di depan kedai itu sebelum melarikan diri ke arah panggung wayang kira-kira 10 meter dari kedai terbabit,” katanya.


Menurutnya, cubaan menyelamatkan diri gagal apabila kumpulan lelaki terbabit sempat menahan mangsa berdekatan panggung wayang.


Katanya, mangsa sekali lagi dipukul serta ditikam di kepala, badan, tangan serta belakang, menyebabkannya rebah.


“Polis masih menyiasat motif serangan dan sehingga kini kita belum memperoleh maklumat daripada mangsa kerana masih dirawat di hospital.


“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata,” katanya.


Sehubungan itu Chin turut memohon orang ramai menyalurkan maklumat di Balai Polis Kulim atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Tahi Judi



Tahi judi menangis
Oleh SHAMSUL MUNIR SAFINI
metahad@hmetro.com.my


LAKSANA TUGAS... Razali (kiri) menyoal salah seorang kaki judi yang ditahan.
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki tahi judi yang ditahan ketika leka bermain mesin judi menangis teresak-esak sejurus polis menelefon keluarganya.

Lelaki berusia lingkungan 30-an yang juga pemandu bas dan mempunyai empat anak itu dikatakan sanggup menghabiskan ribuan ringgit pendapatannya semata-mata kerana ketagihan berjudi sejak beberapa bulan lalu.


Dia antara 33 kaki judi ditahan dalam ‘Ops Dadu’ yang dilakukan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Maksiat, Kongsi Gelap dan Perjudian (D7) Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) di sekitar dua lokasi di Danau Kota dan Taman Intan Baiduri, Kepong, malam kelmarin.

Pegawai Turus D7 Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Razali Abu Samah, berkata dalam serbuan itu pihaknya merampas 183 komputer dan wang tunai RM3,013.


“Enam pekerja dan 28 pelanggan, termasuk seorang wanita warga asing, ditahan bagi siasatan lanjut.


“Premis terbabit mampu memperoleh pendapatan ribuan ringgit bagi tempoh sehari dan jumlah itu bertambah pada hujung minggu,” katanya.


Sementara itu, seorang wanita warga asing terjatuh ke dalam lopak air berlumpur ketika cuba melarikan diri daripada polis dalam ‘Ops Noda’, awal pagi semalam.


Wanita berkenaan sebahagian daripada kumpulan wanita warga asing dari China yang tidak kisah dibasahi hujan bagi menawarkan khidmat seks kepada pelanggan yang datang ke Jalan Geylang, di sini.

Aktiviti mereka bukan hanya pada hari tertentu, malah setiap hari bermula jam 2 sehingga 6 pagi.


Jam 3 pagi semalam, 12 daripada mereka berjaya dicekup pihak berkuasa apabila kawasan itu digempur polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Maksiat, Kongsi Gelap dan Perjudian (D7) Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL).


Dalam operasi yang turut dibantu D7 dari Ibu Pejabat Polis Daerah sekitar Kuala Lumpur itu, polis terpaksa mengejar mereka sebelum beberapa wanita terjatuh akibat licin sebelum dicekup.


Menurut Razali, kawasan berkenaan sering digempur dan dalam tempoh empat bulan ini saja empat serbuan dilakukan.


Katanya, wanita asing itu sering mengubah waktu operasi setiap kali lokasi mereka diserbu.


Menurutnya, kawasan terbabit sentiasa dipenuhi pelanggan kerana lokasinya terletak di sebuah medan selera dan dikelilingi beberapa unit flat murah.


“Mereka menggunakan hotel atau rumah tumpangan berhampiran bagi melampiaskan nafsu pelanggan dengan harga RM150 dan jika pelanggan ingin membawa mereka pulang, caj tambahan RM50 dikenakan.


“Walaupun terpaksa menanggung risiko ditangkap pihak berkuasa mereka tidak pernah serik, malah ada yang beberapa kali keluar masuk Malaysia berdasarkan cop pasport mereka,” katanya.


Menurutnya, enam daripada 12 wanita berkenaan mempunyai pasport, empat menggunakan pas pelajar manakala dua lagi tidak mempunyai dokumen masuk yang sah ke negara ini.


Beliau berkata, polis memerlukan kerjasama orang ramai dan pihak berkuasa lain bagi membantu membanteras aktiviti maksiat membabitkan warga asing di sekitar kawasan berkenaan.

Jadikan Iktibar



Umi mungkin dijel 12 tahun
Oleh ADNAN MOHAMAD
metahad@hmetro.com.my


TERSENTUH... Lazim membaca akhbar kisah Umi Azlim.
PASIR PUTEH: “Jika benar hukuman penjara seumur hidup yang dikenakan terhadap anak saya dikurangkan kepada hanya 12 tahun, saya sekeluarga sangat bersyukur.

“Selama ini saya ingat anak sulung saya akan mati di dalam penjara, namun mimpi ngeri itu nampaknya akan bertukar,” kata Mohamad Lazim, 54, ayah kepada Umi Azlim, 26, gadis Malaysia yang dipenjara di Guangzhou, China kerana kesalahan mengedar hampir tiga kilogram heroin.


Mohamad Lazim berkata, berita gembira itu diperolehnya daripada seorang saudara yang berhubung dengan kakitangan kedutaan Malaysia di China dan berharap ia adalah benar.

“Setakat ini saya berharap apa dikhabarkan kepada saya benar belaka. Saya bersyukur kerana rayuan dibuat sebelum ini mungkin mendapat maklum balas daripada mahkamah di China,” katanya.


Menurutnya, sebelum ini keluarganya tertekan kerana Umi Azlim dijatuhi hukuman mati sebelum ditukar kepada penjara seumur hidup.


“Saya menganggap jika benar hukuman ke atas Umi Azlim dikurangkan kepada penjara 12 tahun, tiada yang lebih menggembirakan adik- beradiknya, terutama adik kembarnya Umi Azmira dan Umi Azuraiha, 18.


“Meskipun kami sekeluarga belum mendapat pengesahan mengenai perkara itu, sedikit sebanyak berita ini menceriakan kami, malah memberi harapan rayuan kami mungkin diterima,” katanya yang bekerja sebagai mekanik di Taman Desa Anda, di sini, semalam.


Mohamad Lazim berkata, dia menyerahkan surat rayuan itu kepada pihak mahkamah ketika melawat Umi Azlim bersama arwah isterinya, Umi Slaia Ibrahim dan penyelaras Tabung Umi Azlim, Hu Pang Chaw, tiga tahun lalu.

“Pada awalnya kami menjangkakan hukuman penjara seumur hidup itu yang terakhir dikenakan terhadap Umi Azlin dan menganggap mungkin hayatnya akan berakhir di sana.


“Namun kini dengan berita yang kami peroleh, mungkin harapan untuk dia dibebaskan akan terlaksana,” katanya.


Menurutnya, daripada maklumat yang diberitahu kepadanya, bukan anaknya saja yang kini dipenjara di China atas kesalahan dadah, malah ramai lagi rakyat Malaysia ditahan atas kesalahan sama.


“Sebagai bapa, saya menasihatkan ibu bapa supaya mengawasi pekerjaan anak mereka, terutama jika membabitkan perjalanan ke luar negara.


“Saya tidak mahu apa yang menimpa anak saya turut berlaku ke atas anak orang lain dan anggaplah ia sebagai pengajaran,” katanya yang memaklumkan dia mendapat tahu mengenai berita itu melalui adiknya pada sambutan Aidilfitri lalu.


Sebelum ini, Umi Azlim didakwa menyeludup dadah jenis heroin seberat 2,983 gram ke negara itu pada 19 Januari 2007 dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Undang-undang Jenayah Guangzhou pada Mei 2007, tetapi ditukar kepada penjara seumur hidup selepas rayuannya diterima.

Saturday, November 20, 2010

Lubang Ada Api



Jatuh dalam lubang berapi
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Muhammad Apendy Issahak


PARAH...Nurzilawati melecur 26 peratus dari bahagian pinggang ke bawah.
KUALA LUMPUR: Tiga pelajar kolej kejururawatan cedera, dua melecur teruk selepas enjin bas dinaiki tiba-tiba meletup menyebabkan mereka terjatuh ke dalam ‘lubang berapi’ di bahagian enjin yang terbakar.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam kelmarin di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields, di sini, ketiga-tiga mangsa jatuh ke dalam lubang itu sejurus lantai bas berkenaan runtuh akibat letupan yang berlaku.
Ketika kejadian bas itu berhenti di persimpangan lampu isyarat dan ketiga-tiga mangsa yang dalam perjalanan pulang ke asrama di Subang Bestari, dekat sini, selepas membeli-belah di ibu kota sempena cuti Aidiladha, duduk di kerusi paling belakang.

Seorang mangsa, Nurzilawati Hussin, 20, berkata sedang rancak berbual, enjin bas di bawah lantai tempat mereka duduk tiba-tiba meletup, menyebabkan dia terus terperosok masuk ke bahagian enjin.



“Kejadian berlaku sekelip mata dan api menyambar kaki serta baju kurung dipakai saya hingga paras punggung. Dalam keadaan cemas itu saya sempat ditarik keluar rakan ke tempat selamat.


“Dalam keadaan terbaring kesakitan di tepi jalan, seorang lelaki yang simpati mencurahkan air ke kaki saya yang panas akibat terbakar,” katanya.

Nurzilawati dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), namun dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) berikutan kecederaan melecur dialaminya serius dan memerlukan pembedahan segera.

“Doktor memberitahu hampir 26 peratus tubuh saya melecur. Malah saya terpaksa menjalani pembedahan lebih tiga jam pagi tadi (semalam) memulihkan kulit melecur teruk,” katanya.

Menurutnya, dia belum lagi memaklumkan kejadian menimpanya kepada ibu bapanya di Batu Rakit, Terengganu kerana bimbang mereka sukar menerimanya.

“Saya sedih kerana kecederaan yang saya alami menyebabkan saya tidak dapat menduduki peperiksaan kolej bakal bermula 13 Disember depan.

“Saya mungkin terpaksa mengulangi semula semester ini dan membayar yuran kira-kira RM10,000. Itu satu lagi beban kerana bapa saya hanya bekerja sebagai penjual sate,” kata Nurzilawati.

Menurutnya, kesan kebakaran itu menyebabkan kulit bahagian punggung hingga tapak kakinya sakit seperti dihiris benda tajam selain menyebabkan dia tidak boleh bergerak.

Dia yang cedera paling teruk berbanding dua rakan lain mendakwa memerlukan tempoh sekurang-kurangnya dua bulan untuk sembuh dan dibenarkan keluar hospital.

Seorang lagi mangsa, Nur Nadia Husna Arshad, 20, turut melecur 11 peratus dari paha ke bawah.

Menurutnya, sebelum enjin bas itu meletup dia bersama Nurzilawati dan seorang lagi kawan, Nur Aisyah Abd Samad, 20, duduk di kerusi belakang bas dengan penutup enjin terletak berdekatan kaki mereka.

“Sebaik bas berhenti di satu persimpangan lampu isyarat, enjin bas tiba-tiba meletup dan mengeluarkan percikan api sebelum asap memenuhi bas.

“Kami bertiga kelam-kabut selamatkan diri dan saya tidak boleh melihat dengan jelas. Ketika hendak lari ke pintu bas, saya terjerumus ke dalam lubang di lantai bas.

“Saya terperosok di bahagian enjin hingga paras pinggang mengakibatkan kedua-dua kaki sangat pedih akibat terkena wap panas dan percikan api,” katanya yang ditemui di PPUM, semalam.

Nur Nadia berkata, selepas jatuh dia menguatkan diri keluar dari lubang itu dan merangkak ke pintu bas sebelum Nur Aisyah memapahnya keluar.

“Doktor beritahu saya perlu masa tiga hingga empat minggu untuk pulih, itupun jika menggunakan ubat khas yang agak mahal kosnya dan perlu dibayar tunai.

“Wakil syarikat bas datang melawat dan berjanji menanggung segala kos. Kalau benar saya harap mereka dapat bayar segera kerana saya ingin menduduki peperiksaan Disember ini,” katanya.

Sementara itu, Nur Aisyah yang dibenarkan keluar berikutan hanya melecur di tapak kaki kanan pula berkata, dia bersyukur ketiga-tiga mereka selamat walaupun berdepan insiden paling bahaya pernah mereka alami.

Thursday, November 18, 2010

Nahas Aidil Adha




'Nak abah, nak mama'
Oleh Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


TERLANTAR...Fatiha yang melecur dirawat di Wad Kebakaran HRPB.

MAUT...kembar, Fitri (kiri) dan Fikri.
IPOH: “Nak abah, nak mama,” itu perkataan diucapkan berulang kali oleh Fatiha Shaiful Fadzilah, 4, yang terselamat dalam nahas ngeri mengorbankan ibu dan bapa serta dua abang kembarnya ketika mereka dalam perjalanan pulang ke kampung bagi menyambut Aidiladha di sini, tengah malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam di Kilometer (KM) 377.6 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah utara, berdekatan Slim River itu, empat beranak terbabit maut di tempat kejadian selepas kereta Proton Iswara yang mereka naiki dirempuh sebuah treler dari belakang.


Mereka yang terbunuh ialah Shaiful Fadzilah Shahar, 36, isterinya, Siti Suzana Mohd Noor, 33, dan anak kembar mereka, Fitri dan Fikri berusia enam tahun manakala dua lagi anak mereka iaitu Firdaus, 8, dan Fatiha, cedera.

Ibu saudara Fatiha yang juga adik bongsu Shaiful Fadzilah, Nor Azizah Shahar, 23, ketika ditemui di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, semalam berkata, Fatiha ditempatkan di Wad Kebakaran hospital itu pada awal pagi semalam bagi rawatan susulan akibat kecederaan serta melecur di tangan kiri.


Nor Azizah berkata, abangnya tidak merancang pulang ke kampung sebelum ini, namun mengubah keputusan itu dan memaklumkan kepada keluarga di Kampung Gua Badak, Lenggong dari rumah mereka di Taman Ekamatahari, Labu, Seremban, kira-kira jam 8 pagi kelmarin.


“Sebelum ini, arwah pernah memaklumkan dia sekeluarga tak jadi balik berikutan kekangan kerja, namun mengubah keputusan itu pada saat akhir.


“Dia memaklumkan kepada kami sebelum bertolak pulang ke kampung. Bagaimanapun, selepas menunggu sehingga jam 2 pagi, tapi mereka belum tiba membuatkan kami sekeluarga curiga,” katanya.


Nor Azizah menghubungi Shaiful Fadzilah kira-kira jam 4 pagi untuk mengetahui keadaan mereka sekeluarga, namun tiada jawapan sebelum dihubungi polis lima minit kemudian memaklumkan arwah sekeluarga terbabit kemalangan ngeri menyebabkan dia bergegas ke Hospital Slim River.

Menurutnya, arwah abangnya ada merancang mengkhatankan anak kembarnya itu di kampung memandangkan ketika ini musim cuti sekolah selain menyambut Aidiladha.


“Kali terakhir saya menemui mereka sekeluarga pada Aidilfitri lalu,” katanya sebak.


Sementara itu, tinjauan di HRPB mendapati Fatiha masih menerima rawatan di hospital berkenaan dan dia kerap kali meracau serta menangis sambil memanggil ibu dan bapanya.


Kanak-kanak malang itu belum dimaklumkan kematian ibu dan bapa serta abang kembarnya.


Abang sulung Fatiha, Firdaus pula masih dirawat di Hospital Slim River kerana cedera di kaki manakala keempat-empat ahli keluarganya yang meninggal dunia dalam nahas itu dibawa ke hospital sama untuk bedah siasat sebelum jenazah mereka dituntut ahli keluarga, petang semalam.


Semua jenazah empat beranak itu dikebumikan di kampung kelahiran Shaiful Fadzilah di Kampung Gua Badak, Lenggong, petang semalam.

Wednesday, November 10, 2010

Pendapat

e-mel anda: Jangan tuduh melulu


SAYA seorang penyelidik kemalangan persendirian dan mahu berkongsi pendapat mengenai perkara ini.

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan laporan kemalangan bas yang mengorbankan 13 nyawa di Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLus), berhampiran Simpang Empat, Alor Gajah, Melaka dan terbaru di Genting Highlands.
Dalam isu ini, siapa yang harus dipersalahkan sama ada pemandu, penumpang atau pihak berkuasa?

Mengikut kajian saya, penumpang harus dipersalahkan, kerana mereka tidak memberi kerjasama atau saling tegur menegur antara satu sama lain.



Contoh yang saya beri di sini , dalam kejadian di Simpang Empat, Alor Gajah, Melaka itu, pemandu bas berkenaan mempunyai pengalaman selama empat tahun dan tidak mempunyai sebarang rekod saman.



Selama berkhidmat dengan syarikat bas berkenaan, beliau memandu dengan cermat dan selamat, tetapi tidak pernah pun beliau mendapat kepujian atau sijil penghargaan.

Tetapi apabila terbabit dalam kemalangan maut, termasuk nyawa beliau sendiri terkorban, kenapa tohmahan dan hinaan yang beliau terima?

Di sini juga saya memberi contoh kesalahan penumpang iaitu apabila bas terbabit dalam kemalangan, wartawan mendapatkan komen penumpang mengenai bagaimana kejadian itu berlaku.

Penumpang menjawab, bas dipandu laju atau pemandu mengantuk. Setiap kali saya baca surat khabar mengenai kemalangan bas, mesti wartawan tanya soalan itu kepada penumpang. Lalu wartawan bertanya lagi, berapa lajukah bas itu dipandu? Penumpang menjawab, saya tidak tahu dan saya sedang tidur ketika itu, saya sedar bas terhuyung-hayang dan mendengar dentuman yang kuat.

Bagi saya, sekiranya tidak tahu berapa kelajuan bas itu dipandu sewaktu kemalangan, janganlah menuduh melulu, kita kena siasat dulu keadaan pemandu itu sama ada dalam keadaan sihat atau mengalami serangan jantung atau sesak nafas.

Kita juga kena melihat keadaan bas seperti keadaan tayar, brek, serta keadaan jalan dan cuaca.

Sebab apa saya kata penumpang harus dipersalahkan? Saya beri contoh, sekiranya penumpang itu sudah tahu bas itu dipandu dengan laju, salah seorang penumpang datang ke depan dan berborak dengan pemandu.

Ataupun menggunakan budi bahasa yang baik menegur pemandu supaya memperlahankan bas berkenaan.

Sekiranya pemandu itu marah atau tidak pedulikan teguran itu, penumpang boleh menghubungi atau gunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), bukannya SMS kepada ahli keluarga di rumah.

Sekiranya penumpang mendapati pemandu itu tidak boleh memandu lagi akibat mengantuk sangat, kejutkan pemandu kedua supaya perjalanan itu selamat.



MOHD ZAKI
Kuala Lumpur

Tuesday, November 9, 2010

Tegur Kena Tetak


Sapa pemuda, buruh parah ditetak


Mohammad Salleh dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kota Bharu, semalam.

KOTA BHARU 8 Nov. - Seorang buruh pastinya tidak menyangka tindakannya menyapa pemuda di kampungnya yang sedang memancing berakhir dengan tragedi apabila dia ditetak lelaki itu.

Kejadian berlaku pukul 10.30 malam kelmarin, ketika mangsa melihat suspek di sebuah longkang besar berhampiran Simpang Empat Tok Meknyah, Tumpat.

Semasa insiden itu, mangsa, Mohammad Salleh, 51, dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas menonton siaran ulangan perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia di salah sebuah kedai kopi berdekatan.

Menurut anak Mohammad, Siti Hajariah, 21, ketika melalui longkang itu, bapanya melihat seorang lelaki berusia 20-an dalam keadaan mencurigakan lalu memberhentikan kereta Proton Wira miliknya.

"Ayah kemudian menghampiri pemuda itu untuk mengenal pasti identitinya lalu menyapa lelaki tersebut.

"Namun tanpa diduga berlaku pertengkaran antara mereka sehingga menyebabkan pemuda tersebut tidak berpuas hati lalu pulang dan mengambil parang.

"Dia (suspek) lalu menetak ayah di kepala selain ditikam pada bahagian rusuk kanan," katanya ketika ditemui di bilik pembedahan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini hari ini.

Menurut Siti Hajariah, bapanya pulang ke rumah dengan memandu sendiri kereta dalam keadaan berlumuran darah, sejauh kira-kira 600 meter dari tempat kejadian.

"Selepas kejadian (ditetak) ayah masih pandu sendiri kereta pulang ke rumah, dia stabil pada masa itu dan boleh cerita tentang kejadian. Kami kemudian menghantarnya ke hospital.

"Ayah saya mendakwa, tiada orang lain menyaksikan kejadian tersebut kecuali isteri suspek yang turut membantu suaminya memukul ayah," katanya.

Katanya, berikutan kejadian itu bapanya telah dihantar ke Hospital Tumpat sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) pada malam yang sama.

"Hari ini ayah dihantar ke sini (HUSM) untuk pembedahan," jelasnya.

Siti Hajariah memberitahu, sehingga kini bapanya berada dalam keadaan stabil tetapi kelihatan agak pucat ekoran pendarahan yang banyak daripada insiden tersebut.

Katanya, keluarganya telah membuat laporan berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Supritendan Khalid Munap ketika dihubungi hari ini mengesahkan menerima laporan tersebut dan memberitahu kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Monday, November 8, 2010

Terapung 16 Jam




Ibu hamil 4 bulan hampir putus asa
Oleh Hadzlan Hassan


BANTUAN...Noraini menerima rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Daerah Kemaman sebaik tiba di Pengkalan Marin Kemaman.

SELAMAT...Mohd Zulkifli bersama anak, Mohd Danial bersyukur terselamat dalam kejadian bot karam.
KEMAMAN: “Fikiran saya ketika itu kosong. Ada ketikanya saya sudah putus asa dan hanya ingatkan mati namun atas semangat serta dorongan rakan lain, kami bertahan dan akhirnya selamat.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada semua rakan yang membantu saya sekeluarga,” kata Noraini Sosilawati Saregar Soffian, 30, seorang daripada 16 mangsa sebuah bot yang karam ketika dalam perjalanan ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan (LKIM), Dungun dari Pulau Tanggol, dekat sini.
Kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 petang kelmarin ketika semua mangsa dalam perjalanan pulang ke tanah besar sebelum bot dinaiki mereka dihempas ombak hingga tenggelam selepas mengalami masalah enjin.

Noraini yang mengandung empat bulan terapung kira-kira 16 jam bersama anaknya, Mohd Danial Aiman Zulkifli, 4, dan suaminya, Mohd Zulkifli Mat Daud, 33.


Selain keluarga itu, 13 lagi mangsa yang turut mengalami pengalaman serupa. Mereka ialah Badrulhisham Shariman, 40; Sany Salman Mohd Kasim, 42; Muhamad Aman Muhami, 36; Azhar Ahmad, 45; Mazli Malik, 33; Loo Kit Choong, 54; Mohd Azharini Mohd Amin, 38; Ayud Haida Sulaiman, 34.

Turut terbabit dua doktor, Dr Anis Shafina Mahfuz, 34, dan Dr Noraminah Abdullah, 29; dua wanita yang hanya dikenali sebagai Maria dan Aida, 22 selain jurumudi bot, Zul Fadly Yahya, 29.

Kecuali Noraini dan anaknya, semua mangsa yang datang dari Kuala Lumpur itu mempunyai kemahiran menyelam menyebabkan mereka tidak panik.

Selepas terapung-apung di laut selama kira-kira 16 jam, mereka ditemui dalam keadaan lemah oleh bot peronda PA52 Pasukan Gerakan Marin (PGM) kira-kira jam 10 pagi semalam.

Turut serta dalam gerakan mencari dan menyelamat ialah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta beberapa bot milik resort berhampiran sebaik maklumat kehilangan mangsa diterima kira-kira jam 8 malam kelmarin.

Noraini yang ditemui di Hospital Kemaman, semalam berkata selain memikirkan keselamatan diri dan kandungannya, dia juga cukup risau mengenai keadaan Mohd Danial terutama apabila kanak-kanak itu mula merengek dan meminta makanan.

Lagi Kisah Ibu Tunggal Rentung



Rentung bersujud
Oleh Ibrahim Isa


MUSNAH...Rusidah dan Asaari melihat katil mangsa yang rentung dalam kebakaran, semalam.

Lenny dan Nur Sabihah.
BATU PAHAT: “Tolong mak, tolong Nini mak,” itulah jeritan akhir ibu tunggal, Lenny Mariyana Daud, 29, sebelum ditemui rentung dalam kedudukan bersujud sambil memeluk anak tunggalnya, Nur Sabihah Qasreena Mohd Nizam, 3, yang turut maut dalam kebakaran di Kampung Seri Paya Darat, Ayer Hitam di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, Lenny dipercayai hanya sempat menjerit meminta bantuan buat beberapa saat disertai tangisan kuat Sabihah ketika cuba menyelamatkan diri dari biliknya.
Lenny yang bakal mendirikan rumah tangga buat kali kedua hujung tahun ini dipercayai gagal melarikan diri dengan anaknya melalui pintu dan tingkap bilik akibat asap tebal selain api marak.

Melihat api marak selain kesukaran menyelamatkan diri, Lenny dipercayai hanya mampu membongkok seperti bersujud sambil memeluk anaknya sebelum dua beranak itu ditemui rentung di sudut tepi katil oleh anggota Bomba dan Penyelamat, kira-kira jam 4 pagi.



Kakaknya, Ratna Dewi, 35, berkata Lenny pulang ke rumah selepas membawa ibu mereka, Saringatin Jalal, 65, berurut di kampung bersebelahan pada kira-kira jam 12 tengah malam.



“Selepas itu, Lenny membasuh baju dan bersolat sebelum tidur di biliknya pada jam 1 pagi. Kira-kira setengah jam kemudian, ketika berehat di ruang tamu, saya terdengar bunyi hentakan kaki ke lantai.

“Pada mulanya, saya ingatkan dia mengigau dan tidak mengendahkan bunyi berkenaan, namun ia semakin kuat diikuti jeritan Nini meminta tolong serta tangisan anaknya.

“Saya dan ibu bergegas ke bilik dan membuka pintu, namun api marak menyebabkan kami gagal membawa mereka keluar,” katanya di lokasi kejadian, semalam.

Ratna berkata, tidak lama kemudian jeritan meminta tolong dan tangisan anak saudaranya itu tidak lagi kedengaran dan dia terus menjerit meminta enam lagi ahli keluarga yang lain menyelamatkan diri apabila melihat api semakin merebak.

Ratna berkata, abangnya cuba memadamkan api dengan menyimbah air di tingkap bagi membolehkan Lenny terjun menyelamatkan diri, namun api terlalu marak.

Sementara itu, adik bongsu mangsa, Seri Rusidah, 25, berkata, dia hanya sedar berkaitan kejadian apabila terdengar jeritan ibunya mengatakan rumah terbakar.

“Ketika itu saya dan suami, Asaari Mohd Muji, 26, nyenyak tidur sebelum pintu bilik di ketuk ahli keluarga yang meminta kami melarikan diri kerana rumah dijilat api.

“Saya bersama suami terus keluar untuk mendapatkan bantuan, malangnya apabila kembali, rumah sudah hangus manakala kakak serta anaknya gagal diselamatkan.

“Sayu hati kami melihat dua beranak berkenaan rentung dengan arwah kakak dalam keadaan bersujud memeluk arwah Sabihah,” katanya.

Bertembung



4 terbunuh kereta bertembung treler

Oleh M. SHAHRINNAHAR ABD. LATIB
nahar.latib@utusan.com.my

Keadaan kereta Proton Persona yang dinaiki empat sekeluarga terpelosok di bawah treler sebelum terbakar dan menyebabkan kesemuanya rentung di Kilometer 119 Jalan Kuantan-Segamat di Rompin, Pahang, semalam. - UTUSAN/RUSHDI SALLEH

ROMPIN 7 Nov. - Bekas wartawan akhbar Berita Harian merupakan antara empat yang rentung apabila kereta yang mereka naiki terbakar selepas merempuh sebuah treler membawa muatan kelapa di Kilometer 119, Jalan Kuantan-Segamat di Keratong dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam, empat saudara terbabit termasuk sepasang suami isteri dalam perjalanan pulang ke Duyong, Melaka selepas menghadiri majlis pertunangan seorang saudara mereka di Marang, Terengganu.

Mereka ialah pesara Jabatan Kerja Raya (JKR), Md. Sharif Nani, 61, dan isterinya, Marinah Kambas, 60, anak saudaranya yang juga pemandu kereta, Rosli Mat Isa, 28, dan bekas wartawan, Patimah Ramli, 46, yang juga adik ipar kepada Md. Sharif.

Pemandu treler, Rosli Che Hassan, 50, dan kelindan yang juga anaknya, Rozlan, 18, hanya mengalami cedera ringan.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Johari Jahaya berkata, siasatan awal mendapati, ketika kejadian jalan agak licin kerana hujan lebat.

"Kereta Proton Persona yang dinaiki semua mangsa dipercayai memotong sebuah lori yang berada di hadapan. Sebaik sahaja berjaya memotong, kereta berkenaan dipercayai hilang kawalan ketika menuruni bukit sebelum memasuki laluan bertentangan.

"Kereta berkenaan kemudian bertembung dengan sebuah treler yang dalam perjalanan menghala ke Kuantan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Johari memberitahu, berikutan pelanggaran itu, kereta terbabit terperosok di bawah treler sebelum diseret sejauh 40 meter dan terbakar menyebabkan empat mangsa itu rentung.

Menurut beliau, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Rompin bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima maklumat.

Sebaik sahaja api berjaya dipadamkan, katanya, kesemua mangsa dikeluarkan dan dihantar ke Rumah Mayat Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga kira-kira pukul 2 petang ini.

Sementara itu, Rosli ketika ditemui memberitahu, dia bersama anaknya dalam perjalanan menghantar kelapa dari Batu Pahat, Johor ke Rantau Panjang, Kelantan.

Menurutnya, kejadian berlaku dengan pantas dan dia berusaha menyelamatkan diri sebaik melihat kepulan asap keluar di tengah treler dipandunya sebelum disusuli bunyi letupan.

"Anak saya sempat menarik tangan saya dan berlari ke arah semak kerana bimbang treler itu akan terbakar.

"Kami juga tidak sempat membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kereta kerana api sudah marak," katanya.

Ibu Tunggal Rentung


Ibu tunggal, anak rentung berpelukan


SERI Rusidah Daud dan suaminya, Asaari Mohd. Muji mencari sesuatu di tapak rumah yang terbakar di Kampung Seri Paya, Batu Pahat, semalam.

BATU PAHAT 7 Nov. - Seorang ibu tunggal dan anak perempuannya yang berusia tiga tahun ditemui rentung dalam keadaan berpelukan setelah rumah mereka di Kampung Seri Paya Darat, Ayer Hitam di sini, musnah dalam kebakaran awal pagi ini.

Lenny Mariayana Daud, 29, ditemui dalam keadaan sujud sambil memeluk anaknya, Nor Sabihah Qasreena Mohd. Nizam dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi.

Sungguh menyayat hati, mangsa yang merancang untuk berkahwin hujung tahun ini dan anaknya ditemui hanya tinggal rangka di sebelah katil dalam bilik tidur mereka.

Utusan Malaysia difahamkan hanya sedikit cebisan pakaian dan daging ditemui melekat di katil. Jenazah dua beranak itu kemudian dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Kampung Seri Paya selepas solat zohor.

Bagaimanapun, dalam kebakaran yang memusnahkan rumah separuh batu dan papan itu, sembilan ahli keluarga termasuk tiga kanak-kanak lain berjaya menyelamatkan diri.

Adik bongsu mangsa, Seri Rusidah Daud, 25, yang baru berkahwin pada Mei lalu turut berada di dalam rumah itu bersama suaminya, Asaari Mohd. Muji, 26.

"Keluarga kami baru sahaja bergembira dengan perkahwinan saya, namun tak sangka pula kini kami terpaksa menghadapi kisah sedih pemergian tragik kakak dan anaknya.

"Arwah ada cerita yang dia merancang untuk berkahwin hujung tahun ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, semasa kejadian, dia dan suami yang tidur di bilik terjaga apabila mendengar sayup-sayup suara ibunya, Saringatin Jalal, 65, dan Lenny Mariayana meminta tolong.

"Saya lihat api sudah marak dan tidak berdaya untuk masuk ke bilik kakak kerana api sudah marak dan asap tebal.

"Saya juga tak sempat menyelamatkan apa-apa kecuali kad pengenalan dan kunci. Mujur emak juga berjaya menyelamatkan diri," katanya.

Seri Rusidah memberitahu, hatinya luluh apabila melihat mayat kedua-dua mangsa rentung dan hanya tinggal rangka selepas api berjaya dipadamkan pasukan bomba dan penyelamat yang tiba memadamkan kebakaran berkenaan.

Menurutnya, semasa makan tengah hari semalam, Lenny Mariayana yang bekerja di sebuah kilang elektronik di Parit Raja di sini sempat bergurau dengan emaknya menyatakan apa yang akan terjadi jika dia pergi dahulu menghadap Illahi sebelum warga emas itu.

"Emak hanya menjawab juga secara bergurau, dia kena minta maaf dengan emak sebelum 'pergi'," katanya.

Sementara itu, kakak mangsa, Ratna Dewi, 35, berkata, pada mulanya dia menyangka mangsa mengigau apabila mendengar hentakan kaki pada lantai bilik mangsa.

"Saya belum tidur lagi pada masa itu dan dengar bunyi hentakan kaki di lantai bilik Nini (Lenny). Ingatkan dia mengigau jadi saya tak buat apa-apa.

"Namun tidak berapa lama kemudian, saya dengar dia menjerit minta tolong, api terus marak dari bilik dengan pantas. Saya panik dan tidak sempat buat apa-apa melainkan melarikan diri," katanya.

Ratna berkata, pada malam kejadian, Lenny Mariayana membawa ibunya pergi berurut di kampung sebelah dan mereka hanya pulang ke rumah pada tengah malam dan kemudiannya mangsa masuk ke bilik untuk membasuh sebelum masuk tidur bersama anak tunggalnya itu.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Timah Sari, Bakri Lihat berkata, pihaknya tiba di tempat kejadian pukul 2.10 pagi dan berjaya membawa mayat mangsa keluar pukul 3 pagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dr. Robia Kosai turut melawat lokasi dan menyampaikan bantuan bagi meringankan beban keluarga mangsa.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Sunday, November 7, 2010

Pengantin Baru Dah Janda


Bakti terakhir seorang suami
Laporan dan foto KHAIRULMIZAN YAHYA

KUANTAN: “Kami sangat sedih dengan pemergian arwah, apatah lagi dia baru sebulan mendirikan rumah tangga,” kata Mohd Helmi Abdul Jalil, 25, adik kepada Mohd Hazrul, 26, yang lemas di kawasan perkelahan Pasir Kubur, Sungai Lembing, di sini, tengah hari semalam.

Hazrul yang juga kakitangan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dikatakan tergelincir bersama isterinya, Nor Faridah Mamat Amin, 26, sebelum mereka dihanyutkan arus deras ketika mandi di sungai berkenaan, kira-kira jam 12 tengah hari.


Mohd Helmi berkata, mangsa bertugas di Padang Rengas, Perak namun pulang bercuti di kampung mereka di Kampung Pulau Tamu, Pekan sebelum dijadualkan pergi menghadiri kursus di Terengganu pada minggu depan.

“Malam tadi (malam semalam), arwah tetap beria-ia mengajak kami pergi berkelah di kawasan perkelahan itu walaupun sebelum ini ibu (Zaidah Abdul Aziz, 55,) menegah kerana sekarang ini musim hujan.


“Ketika kejadian, saya dan ibu mandi di kawasan air cetek manakala arwah dan isterinya mandi di kawasan lebih dalam tidak berapa jauh dari kami,” katanya ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.


Katanya, dia sempat melihat mangsa bersama isterinya tenggelam dan dihanyutkan arus deras sebelum mereka dinaikkan ke tebing dengan bantuan seorang pengunjung yang menghulurkan tali pancing kepada mereka.


“Lebih menyayat hati apabila arwah dikatakan cuba menyelamatkan isterinya daripada lemas dengan mengangkatnya ke permukaan air ketika mereka berdua tenggelam dan dihanyutkan arus.


“Selepas mereka dinaikkan, kami sempat memberi bantuan pernafasan (CPR) selama kira-kira 30 minit kepada arwah, namun dia disahkan meninggal dunia ketika bantuan tiba,” katanya.


Mohd Helmi berkata, jenazah akan dibawa pulang ke Pekan untuk dikebumikan berdekatan kampung halamannya selepas bapa mereka, Abdul Jalil Hassan, 54, pulang dari Sarawak.


Sementara itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan mengklafikasikan kes berkenaan sebagai mati lemas.

Saturday, November 6, 2010

Merapi



Letusan Merapi terkuat semalam


2010/11/06

« sebelum selepas »

MAYAT seorang mangsa letusan terbaru Merapi terbaring ketika seorang anggota penyelamat tiba di Argomulyo, Yogyakarta, Indonesia, semalam.



Semburan gas panas setinggi 8,000 meter, 78 mangsa maut termasuk kanak-kanak

SLEMAN: Merapi mencatatkan letusan paling kuat awal pagi semalam, dengan semburan gas panas setinggi 8,000 meter ke udara, selain menghasilkan hujan abu volkanik, hujan pasir serta kerikil sehingga ke Yogyakarta, yang terletak kira-kira 40 kilometer dari gunung berapi itu.

Gas panas yang disembur lebih jauh dari yang dijangkakan itu menyebabkan rumah di pinggir zon bahaya terbakar, lalu mencetuskan pemindahan lebih ramai penduduk dan menyaksikan jumlah kematian meningkat melebihi 100 orang sejak gunung berapi itu mula meletus 26 Oktober lalu.
Kejadian itu semalam mengakibatkan sekurang-kurangnya 78 maut, menjadikan jumlah kematian 122 orang.

Agensi Pengurusan Bencana Nasional berkata dalam laman webnya, mangsa kematian terbaru itu dilaporkan di kawasan perkampungan Bronggang, 15 kilometer dari gunung berapi itu.

Laporan awal menyatakan sekurang-kurangnya 58 orang, termasuk tujuh kanak-kanak kecil, kebanyakannya dari kawasan Cangkringan di daerah Sleman, mati semalam akibat melecur di seluruh badan terkena abu volkanik, manakala 66 lagi cedera dengan lebih 40 peratus kesan lecuran.

Berpuluh ribu penduduk dipindahkan selepas pihak berkuasa meningkatkan radius zon bahaya kepada 20 kilometer di luar puncak Merapi, termasuk penduduk Sleman yang sering terdedah kepada ancaman gas panas.
Lapangan Terbang Adisucipto di Yogyakarta pula ditutup semalam berikutan ditimpa abu volkanik, sementara penerbangan ke destinasi itu serta ke Solo dibatalkan.

Sementara itu, lebih 500 pelajar Malaysia di Yogyakarta, Magelang dan Solo kini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga untuk dibawa pulang.

Selepas 10 hari meletus, Merapi sudah memaksa perpindahan lebih 75,000 penduduk yang tinggal di sekitar gunung berkenaan.

Rizal, seorang doktor forensik dari unit pengecaman polis Yogyakarta dilaporkan memberitahu Metro TV mayat yang terbakar teruk dibawa ke Hospital Sardjito semalam.

“Kemungkinan angka kematian akan meningkat ketika kami masih meneruskan pencarian mangsa,” kata Rizal.

Sutopo Purwo Nugroho, pengarah pengurangan risiko bencana di Agensi Mitigasi Bencana Kebangsaan berkata, sekurang-kurangnya 66 orang cedera berikutan letupan terbaru itu menjadikan jumlah keseluruhan yang cedera daripada bencana alam itu meningkat kepada 185 orang.

Kepulan debu kelihatan sekurang-kurangnya 4 kilometer dari atas kawah Gunung Merapi ketika pihak berkuasa memindahkan perkampungan dalam sekitar lingkungan 20 km dari gunung berapi terbabit, kata pakar gunung berapi tempatan, Surono. – Reuters/BERNAMA

Thursday, November 4, 2010

DiHempap Gol




Tiang gol ragut nyawa
Oleh Zulfa Mohamad


TRAGEDI...tiang gol yang menimpa Mohd Khairi Iskandar sehingga meragut nyawanya dalam kejadian Isnin lalu.
KEPALA BATAS: “Beberapa hari lalu, dia beritahu dapat nombor dua dalam peperiksaan tahunan dan di sekolah dia aktif,” kata bapa saudara Mohd Khairi Iskandar Onzek, 8, yang meninggal dunia pagi semalam kerana kecederaan dialami akibat ditimpa tiang gol di sekolahnya, Isnin lalu.

Shahizan Mohd Said, 29, yang ditemui di Taman Sri Desa berkata, selepas kejadian jam 12 tengah hari itu, Mohd Khairi dihantar ke Hospital Kepala Batas sebelum dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.
“Saya dimaklumkan Mohd Khairi kehilangan banyak darah dan doktor memberitahu dia bukan saja cedera, malah saraf otaknya rosak dan itu antara sebab dia meninggal dunia,” katanya.

Dalam kejadian itu, mangsa terjatuh sebelum dihempap tiang gol menyebabkannya mengalami pendarahan di hidung dan telinga, selain kecederaan dalaman.



Guru sekolah yang dimaklumkan kejadian itu menghantar mangsa ke Hospital Kepala Batas untuk rawatan.



Bagaimanapun, keadaan mangsa bertambah teruk menyebabkan dia dihantar ke HPP untuk rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia jam 8 pagi semalam.

Tinjauan Harian Metro di sekolah berkenaan mendapati dua tiang gol diikat tali penghadang selain dilekatkan notis ‘Awas’.

Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pajak Song, jam 5 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Zulkifli Alias, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, pihaknya menerima laporan kematian mangsa pagi semalam.

Katanya, berdasarkan siasatan, tiada unsur jenayah menyebabkan kematian mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.