Friday, October 29, 2010

Mayat Dalam Beg



Mayat berlipat dalam beg



KEJAM...mayat gadis belasan tahun ditemui dalam beg pakaian di tepi parit, Jalan Ukay Perdana, semalam.
AMPANG: Mayat seorang remaja perempuan dipercayai dibunuh ditemui dalam beg pakaian berwarna hitam dengan tubuh dan kakinya dilipat bersama-sama sejumlah pakaian, semalam.

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Ahmad Tajol Ansar Ibrahim am@hmetro.com.my Beg berisi mayat itu ditemui pekerja bengkel berhampiran kawasan semak di tepi parit tidak jauh dari tanah rizab Jabatan Bomba dan Penyelamat di Jalan Ukay Perdana, Hulu Klang, kira-kira jam 3.30 petang.


Kejadian menyayat hati itu hampir mengulangi insiden sama pada 17 September 2007 lalu apabila mayat Nurin Jazlin Jazimin, 8, turut ditemui mati dibunuh dalam beg pakaian sebelum dibuang di Petaling Jaya.


Ketua Polis Ampang, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan yang ditemui di lokasi kejadian turut tidak menolak kemungkinan mangsa diculik sebelum dibunuh kejam.


Walaupun tiada sebarang laporan polis berhubung kehilangan remaja perempuan di daerah Ampang, beliau percaya kemungkinan mangsa dibawa dari luar daerah ini sebelum mayatnya dibuang di kawasan berkenaan.


“Oleh itu orang ramai yang kehilangan ahli keluarga diminta segera membuat laporan polis,” katanya.


Difahamkan, pekerja bengkel terbabit menemui beg berisi mayat itu ketika dia melalui kawasan berkenaan yang terletak tidak jauh dari Rumah Bakti Hulu Klang.


Pekerja terbabit dikatakan menunggang motosikal melintasi jambatan berhampiran sebelum melihat satu beg hitam mencurigakan dibuang di kawasan itu.


Sifat ingin tahu menyebabkan lelaki terbabit cuba mengangkat beg berkenaan, namun mendapati ia terlalu berat dan menyangka beg berkenaan mengandungi wang tunai.


Bagaimanapun, apabila dibuka, dia ternampak kaki manusia terjulur dalam beg berkenaan, menyebabkan dia bertempiaran lari dan membuat laporan polis.


Abdul Jalil berkata, bertindak atas laporan diterima sepasukan anggota unit ronda (MPV) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang segera dihantar ke lokasi kejadian.


“Pemerhatian awal mendapati mangsa remaja perempuan berusia lingkungan 12 hingga 13 tahun. Ketika ditemui mangsa memakai gaun biru dan ditutupi baju lusuh yang turut disumbatkan ke dalam beg itu.


“Pemeriksaan turut mendapati terdapat kesan darah pada pakaian dipakai mangsa,” katanya. Menurutnya, mangsa yang berkulit sawo matang dan berambut lurus paras bahu dipercayai baru dibunuh dan dibuang ke kawasan itu.


“Besar kemungkinan remaja perempuan itu rakyat tempatan, namun siasatan lebih terperinci masih dilakukan. Polis percaya mangsa dibunuh dalam tempoh kurang 24 jam berikutan tubuhnya masih dalam keadaan baik,” katanya.


Menurut Abdul Jalil, siasatan awal unit forensik polis mendapati terdapat kesan lebam pada leher mangsa, namun belum dipastikan sama ada ia kesan cekik atau jerutan.


“Selain itu polis turut menemui satu beg tangan mengandungi nama lelaki, mungkin warga Indonesia berserta nombor telefon. Polis akan menjejak lelaki itu untuk mengetahui kaitannya dengan mangsa,” katanya.


Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).


Ditanya sama ada mangsa turut diperkosa sebelum dibunuh, Abdul Jalil berkata, pihaknya belum dapat memastikannya sehinggalah bedah siasat dijalankan.


“Tiada sebarang dokumen atau pengenalan diri ditemui pada tubuh mangsa. keadaan ini sedikit sebanyak menyukarkan polis untuk menyiasat identiti mangsa berkenaan,” katanya.

Monday, October 25, 2010

Maut Kena Batu Yang Dicampak Dari Tingkat Atas

Warga emas maut terkena batu

PULAU PINANG 24 Okt. – Seorang warga emas mati selepas ditimpa batu yang dipercayai dicampak dari tingkat atas Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR), Jalan Sungai, Sungai Pinang di sini, petang semalam.

Kejadian pukul 5.30 petang itu berlaku ketika mangsa yang belum dikenal pasti identitinya itu sedang menunggu pelanggan di kawasan berhampiran jalan utama di bahagian bawah bangunan tersebut

Mangsa dipercayai telah mengusahakan perkhidmatan ‘teksi sapu’ sejak lima hingga enam tahun lalu di sekitar kawasan perumahan berkenaan.

Seorang saksi, Mohd. Zulkarnain Mohd. Abu Salleh, 21, berkata, ketika kejadian dia sedang berbual bersama kakak dan ibunya berhampiran kawasan mangsa berdiri.

‘‘Tiba-tiba saya melihat seketul batu jatuh dari tingkat atas dan mengenai kepala mangsa. Sebaik sahaja terkena batu itu mangsa terus rebah dan darah keluar membuak-buak dari kepalanya.

‘‘Saya dan ibu serta beberapa orang yang melihat kejadian itu cuba membantu dengan menekup darah di kepalanya menggunakan kain. Namun, kira-kira lima minit selepas itu, saya cuba memberikan bantuan kecemasan, tetapi nadinya telah tiada,” katanya ketika ditemui di kawasan kejadian.

Menurut Mohd. Zulkarnain, apa yang dikesalkan ialah beg dan telefon bimbit milik mangsa telah dicuri mereka yang tidak bertanggungjawab ketika dia dan ibunya mencari kain untuk digunakan menekup kepala mangsa.

Katanya, dalam keadaan mangsa yang ‘nyawa-nyawa ikan’ itu masih ada pihak yang sanggup melakukan perbuatan berkenaan.

Hati-Hati Semasa Tukar Tayar Di Jalanray

Maut ketika tukar tayar pancit

KUALA LUMPUR 24 Okt. - Seorang isteri tidak menyangka tindakan suaminya menukar tayar kereta mereka yang pancit mengundang padah apabila dia maut akibat dilanggar oleh sebuah kereta di Kilometer 17.8, Lebuh Raya Pantai Baru (NPE) menghala ke Bandar Sunway di sini awal pagi ini.

Mangsa, Tan Tong Jin, 44, maut ketika sedang menukar tayar hadapan sebelah kiri kereta Proton Iswara miliknya yang pancit sebaik sahaja melepasi tol di PJS 2, kira-kira pukul 5.45 pagi.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan memberhentikan kenderaannya di tengah-tengah laluan plaza tol tersebut kerana lokasi itu lebih terang.

Difahamkan, isteri mangsa berada di dalam kenderaan mereka manakala Tong Jin menukar tayar keretanya seorang diri.

Pegawai Penyiasat Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Inspektor Mohd. Firdaus Razak berkata, sebuah kereta Perodua MyVi warna perak yang melalui tol itu tiba-tiba merempuh mangsa dari belakang.

"Berikutan rempuhan kuat itu, mangsa tercampak sejauh 20 meter. Bagaimanapun, selepas melanggar mangsa, pemandu kereta MyVi itu terus memecut keretanya dan meninggalkan mangsa yang terbaring di atas jalan raya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Mohd. Firdaus, mangsa mati di tempat kejadian akibat cedera parah selain pendarahan teruk di kepala dan badan.

"Setakat ini, pemandu kereta MyVi terbabit masih belum membuat laporan polis berhubung kejadian itu," katanya.

Mayat Tong Jin dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat.

Sehubungan itu, beliau meminta saksi kejadian menghubungi Balai Polis Trafik Petaling Jaya di talian 03-79662222/2268 bagi membantu siasatan.

Sunday, October 24, 2010

Kalau Sudah Ajal

Kalau sudah ajal
Oleh RASHIDI KARIM

KANGAR: “Kematian suami adalah ketentuan Ilahi dan saya tidak menaruh perasaan curiga kepada rakan arwah yang dikatakan tertekan picu pump gun hingga menyebabkan kematiannya,” kata Azizul Man, 52, isteri Zakaria Mat, 57, yang disahkan meninggal dunia jam 11.30 malam kelmarin selepas terkena peluru penabur dilepaskan rakannya secara tidak sengaja, Khamis lalu.

Menurutnya, isteri rakan berkenaan menemuinya sejurus selepas kejadian untuk memohon maaf di atas perbuatan tidak sengaja suaminya ketika menjalankan tugas sebagai pengawal keselamatan.


“Dia (isteri rakan) dua kali memohon maaf kepada saya dan saya terima maafnya. Lagi pun, saya tiada menaruh rasa curiga terhadapnya.


“Biar polis menyiasat kejadian itu,” katanya ketika ditemui bersama enam anaknya yang menuntut jenazah suaminya di Bilik Mayat, Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini, semalam.


Zakaria, 57, yang juga pengawal keselamatan, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 11.30 malam kelmarin, hampir 24 jam selepas terkena peluru penabur ketika bertugas.


Kelmarin akhbar melaporkan, dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, rakan mangsa yang menguji pump gun dikatakan tertekan picu hingga mengenai perut mangsa yang berada di sebelah pemandu dalam van milik syarikat.


Ketika kejadian, tiga pengawal keselamatan, termasuk mangsa dan rakannya berusia 50 tahun yang duduk di belakang, dalam perjalanan menghantar wang ke sebuah bank di Kangar.


Pemandu van keselamatan yang sepatutnya menuju ke bank, terpaksa mengubah haluan bergegas ke HTF apabila mendapati rakannya mengerang kesakitan terkena tembakan rakan sendiri.


Azizul berkata, dia tidak menyangka tindakan arwah menikmati hidangan nasi lemak selama tiga hari berturut-turut petanda suaminya akan meninggalkan keluarga untuk selama-lamanya.


“Suami berhenti makan nasi lemak sejak sekian lama bagi menjaga tahap kolesterol dalam badan tetapi sejak tiga hari sebelum kematian, makanan terbabit menjadi menu utamanya,” katanya.


Jenazah Zakaria yang juga bekas tentera dan berkhidmat selama lapan tahun sebagai pengawal keselamatan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Petal, Mata Ayer, selepas solat Asar semalam.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, pihaknya menahan rakan mangsa selepas dia membuat laporan di Balai Polis Kangar sejurus selepas kejadian.


Selain itu, katanya, polis turut merampas senjata api jenis pump gun milik pengawal berkenaan serta menahan van keselamatan dinaiki mereka untuk siasatan lanjut.


Abdul Rahman berkata, kes yang sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960, ditukar kepada Seksyen 304 Kanun Keseksaan berikutan kematian pengawal keselamatan.


“Kita masih menahan rakan mangsa yang didakwa melepaskan tembakan secara tidak sengaja untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kawal Kemarahan

Pantau anak marah


KUALA LUMPUR: Ibu bapa harus memainkan peranan penting untuk menyekat pendedahan terhadap keganasan sama ada menerusi televisyen, video dan Internet yang boleh mempengaruhi perilaku anak mereka.

Pakar psikologi Universiti Teknologi Mara, Prof Dr Amelia Abd Aziz berkata, remaja sememangnya mudah terpengaruh dengan apa yang mereka lihat dan dengar serta akan mengaplikasikan perilaku itu apabila berdepan perkara yang membuat mereka marah.


“Baik remaja mahupun orang dewasa, apabila diselubungi perasaan marah, mereka akan bertindak di luar pemikiran waras sehingga melakukan sesuatu yang buruk tanpa sedar.


“Mereka sedikit sebanyak akan mengikuti perlakuan yang pernah dilihat sebelum ini,” katanya.


Beliau mengulas muka depan akhbar ini semalam yang melaporkan kejadian remaja berusia 14 tahun mati akibat terkena serpihan kaca yang diacukan oleh kakaknya selepas pertengkaran berebutkan alat kawalan jauh televisyen.


Menurutnya, mungkin suspek tidak berniat membunuh mangsa namun apabila berada dalam keadaan marah dan tertekan, dia terdorong untuk bertindak sedemikian.


Katanya, pertengkaran yang berlaku sehingga terjadinya cabar mencabar juga mungkin menyentap kesabaran suspek sehingga bertindak mengacukan serpihan kaca kepada mangsa.


“Keupayaan untuk mengawal kemarahan adalah penting supaya mereka dapat mengendalikan emosi dengan baik.


“Justeru, ibu bapa perlu memahami perilaku anak mereka dan perubahan yang berlaku terhadap tingkah laku mereka perlu dipantau,” katanya.

Saturday, October 23, 2010

Inani Zalikha

Terkilan anak tak sempat bergelar doktor


KUALA LUMPUR: “Hasrat kami untuk melihat Inani menjadi doktor dan berkhidmat kepada masyarakat tidak kesampaian selepas dia dijemput Ilahi,” kata bapa Inani Zalikha, 23, yang ditemui mati di rumah sewanya di Bandung, Indonesia, pagi kelmarin.

Zainal Abidin Ismail, 50, yang masih bersedih dengan pemergian anaknya itu mendakwa terkilan kerana tidak dapat meraikan kejayaan anaknya yang sepatutnya menamatkan pengajian dalam dua bulan lagi.


Inani seorang pelajar jurusan asas kedoktoran di Universiti Padjadjaran (Unpad) di Bandung ditemui terbaring atas lantai dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh rakan serumahnya kira-kira jam 5 pagi (waktu Malaysia) selepas solat Subuh.


“Saya ada bercakap dengannya itu Sabtu lalu untuk bertanya khabar. Dalam perbualan itu, dia memaklumkan kepada saya mengalami demam dan batuk-batuk.


“Namun, dia mendakwa hanya demam biasa dan tidak sakit teruk. Saya tidak menyangka perbualan kami itu yang terakhir,” katanya ketika ditemui sebelum pengebumian anaknya itu di Masjid Al-Ridhuan, Kampung Pasir, di sini, semalam.


Difahamkan, Inani Zalikha atau mesra dengan panggilan Ika pernah mengadu mengalami sakit belakang setiap hari dalam laman sosial facebooknya hingga tidak mampu menahannya sejak seminggu lalu.


Zainal berkata, jenazah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 8.30 pagi, dan dibawa ke masjid untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan berdekatan masjid berkenaan selepas solat Jumaat.


Menurut Zainal, isterinya, Maznah Abdullah, menerima panggilan telefon rakan serumah anaknya itu kira-kira jam 7 pagi kelmarin mengatakan Ika meninggal dunia kerana sesak nafas. Katanya, isterinya turut dihubungi pihak penaja iaitu Majlis Amanah Rakyat (Mara) mengenai kematian sebelum bertolak ke Bandung bersama dua saudara lain kira-kira jam 1.30 tengah hari untuk menuntut jenazahnya.

TV Punya Pasal



Maut berebut siaran TV
Oleh Mohd Fauzi Abdullah dan Khairulmizan Yahya


PILU...Noranita dipapah ahli keluarganya di Tanah Perkuburan Islam Balok.

SIRAM...Zakaria menyiram air di pusara anaknya, Muhammad Naili.
KUANTAN: Seorang remaja lelaki terbunuh akibat tertusuk serpihan kaca tingkap dipercayai diacu kakaknya selepas berlaku pertengkaran disebabkan mangsa berebut alat kawalan jauh televisyen dengan adik bongsu di rumah mereka di Balok Baru, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, Muhammad Naili Nafis Zakaria, 14, bekas pelajar sebuah sekolah tahfiz di bandar ini, meninggal dunia kerana parah di pangkal paha kanan akibat terkena serpihan kaca tingkap yang dipercayai diacu kakaknya berusia 16 tahun.

Mangsa dilaporkan meninggal dunia jam 5.40 petang di Klinik Kesihatan Balok, di sini, selepas lebih sejam bertarung nyawa akibat kehilangan banyak darah disebabkan kecederaan teruk.



Ketika kejadian, hanya tiga beradik itu tinggal di rumah berikutan ibu mereka, Noranita Abdul Rauf, 37, menunaikan solat Asar di surau berhampiran rumah mereka manakala bapa mereka di tempat kerja.



Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) negeri, Superintendan Mohd Haris Daud, berkata sebelum kejadian, mangsa, anak kedua daripada tiga beradik bertengkar dengan adik perempuannya berusia lima tahun kerana berebut siaran televisyen.

Menurutnya, kakak sulung mangsa pada mulanya mahu meleraikan pergaduhan itu, tetapi memarahi dan menampar pipi kanan mangsa menyebabkan dia berang.

“Dua beradik itu berlari ke luar rumah sehingga berlaku cabar-mencabar sebelum kakak mangsa mengambil serpihan kaca tingkap dan mengacukannya ke arah mangsa bagi menakutkannya.

“Namun, tiba-tiba kaca berkenaan terlepas daripada genggaman gadis itu lalu terkena pangkal paha kanan mangsa,” katanya ketika ditemui, semalam.

Beliau berkata, mangsa yang mengalami pendarahan teruk meraung meminta pertolongan dan kejadian itu disedari jiran mereka yang bergegas menghantarnya ke klinik berhampiran.

Bagaimanapun, katanya, mangsa gagal diselamatkan apabila disahkan meninggal dunia di klinik berkenaan kira-kira jam 5.40 petang sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, di sini, untuk bedah siasat.

“Laporan doktor mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat parah pada arteri femoral di lipatan pangkal paha kanannya,” katanya.

Menurutnya, polis sudah mengambil keterangan kakak mangsa berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut masih dilakukan bagi mengenal pasti punca kejadian.