Tergadai harta akibat judi
Sakari kehilangan dua lori dan kontrak dengan syarikat gara-gara kegilaannya terhadap judi atas talian.
Seorang pengusaha sebuah syarikat pengangkutan kecil terpaksa menggadaikan dua lori yang selama ini menjadi sumber rezekinya untuk melunaskan hutang akibat ketagihan judi internet.

Dia bukan sahaja kehilangan lori malah peluangnya untuk mendapatkan kembali kontrak kerja dengan beberapa kilang di sini sudah tertutup disebabkan kegagalannya mematuhi
syarat kontrak yang ditandatangani sebelum ini.

Kerana tabiat judinya itu, Sakari, 40-an (bukan nama sebenar) terpaksa melupakan pulangan hasil pekerjaannya yang mencecah RM15,000 sebulan sebelum ini sebaliknya terpaksa terima gaji baru hanya RM900 sebagai pemandu lori sebuah syarikat lain.

Namun dia tidak pernah mengambil pengajaran atas segala yang berlaku, dengan gaji RM900 itu, Sakari masih terjebak dengan aktiviti tersebut dan sebahagian wang gajinya dihabiskan untuk bertaruh.

Akibatnya, dia sering kesempitan wang dan terpaksa berhutang dengan kawan-kawan untuk menyediakan keperluan keluarga.

Pengalaman Sakari itu diceritakan abangnya, Sanadi, 53 (bukan nama sebenar) ketika menghubungi Sinar Harian untuk membuat aduan berhubung kegiatan judi internet di satu
kawasan di sini, baru-baru ini.

Dalam perbualan itu, Sanadi kecewa dengan sikap adiknya yang suka berjudi sehingga tergadai segala harta hasil usaha gigihnya selama ini.

“Saya sendiri tidak pasti sejak bila dia terjebak dengan judi ini bagaimanapun menurut kawan-kawannya, tabiat itu serius sejak tiga tahun kebelakangan ini.

“Dia tidak pernah menceritakan masalah itu kepada saya sehinggalah isterinya datang mengadu tentang kehidupan keluarga mereka sekarang,” katanya.

Menurutnya, isteri adiknya ada memberitahu bahawa suaminya pernah menghabiskan RM2,000 sehari untuk bermain judi internet ini.

“Dia ada menang sekali sekala dalam jumlah yang agak besar namun semua hasil judi itu turut lebur ‘ditelan’ komputer,” katanya.

Dia berkata, pengalaman yang dilalui adiknya itu patut dijadikan iktibar kepada orang lain supaya tidak sesekali terlibat dalam kegiatan ini.

“Sama ada alasan sekadar suka-suka atau kecil-kecil, aktiviti ini akan menjerat mereka yang mencuba dan kesannya akan berlaku ketagihan sama seperti dadah.

“Kalau sudah terbelenggu dengan tabiat ini, ada kemungkinan mereka akan hilang segalanya termasuk harta, kerjaya, keluarga dan maruah,” katanya.

Justeru beliu meminta pihak berkuasa memerangi kegiatan ini habis-habisan dan jangan biarkan pengusaha premis internet yang menyediakan permainan berunsurkan perjudian mengulangi kesalahan sama.

“Pihak berkuasa yang terlibat perlu membuat pemantauan berterusan ke atas premis judi yang diserbu kerana mereka seolah-olah tidak serik sebaliknya teruskan operasi walaupun dikenakan tindakan,” katanya.