Saturday, July 21, 2012

kena tipu

Tipu RM400,000
Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa
kalidevi@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Berbekalkan skim pemberian wang kepada warga emas, dua lelaki termasuk seorang bergelar Datuk dipercayai sudah menipu lebih lima warga emas dan melarikan wang tunai lebih RM400,000 sejak awal bulan lalu.

Difahamkan, skim terbabit merangkumi wang tunai, wang untuk kos pengebumian, wang sara hidup dan kad perubatan yang memerlukan mangsa membayar antara RM10,000 hingga ratusan ribu ringgit untuk menikmati skim itu.


Seorang warga emas yang menjadi mangsa dan mahu dikenali sebagai Cheah, 82, berkata, dia didatangi dua lelaki terbabit ketika baru keluar dari sebuah bank di Taman Midah, Cheras, yang memperkenalkan diri rakan kepada anak lelakinya.

Menurutnya, ketika itu lelaki terbabit menyatakan pihaknya memperkenalkan sebuah skim pemberian wang kepada warga emas dan dia perlu membayar RM10,000 untuk tujuan berkenaan.


“Lelaki itu berjanji jika saya membayar RM10,000, saya akan diberi wang RM5,000, kos pengebumian RM3,000, kos sara hidup RM600 sebulan hingga saya meninggal dunia dan kad perubatan yang akan menanggung kos perubatan berjumlah RM60,000 setahun,” katanya, semalam.


Beliau berkata, dia tanpa syak wasangka mengeluarkan RM10,000 dan menyerahkan kepada mereka dan dia dibawa ke sebuah bank lain untuk urusan pembukaan akaun.

Katanya, wang tawaran itu akan dimasukkan dalam akaun baru dan mereka berdua meninggalkannya bersama pemandu lelaki bergelar Datuk itu dan menguruskan pembukaan akaun baru tanpa tandatangannya.


“Ketika itu, saya sangka mereka mempunyai kenalan dalam bank dan pemandu berkenaan bertanya sama ada saya mempunyai wang simpanan lagi dan apabila saya mengaku, dia menyatakan sekiranya saya membayar RM150,000 saya akan menerima lebih banyak faedah.

“Ketika saya hendak mengeluarkan wang RM150,000, pegawai bank sangsi dengan tujuan pengeluaran itu dan ketika itu, lelaki bergelar Datuk itu mendakwa dia cucu saya dan wang berkenaan digunakan untuk membeli rumah,” katanya.


Menurutnya, selepas itu, dia dibawa ke bank lain untuk memasukkan wang berkenaan ke dalam akaun baru dan ketika mereka berdua berada di dalam bank, dia diarahkan untuk keluar dari kereta dan menunggu di luar meskipun hujan lebat ketika itu.


Cheah berkata, kira-kira 15 minit kemudian, pemandu berkenaan meminta dia masuk dalam bank semula untuk menandatangani buku simpanan sebelum lelaki itu meninggalkan bank berkenaan. Ketika masuk ke bank, dia terkejut apabila mendapati kedua-dua lelaki itu sudah hilang.


Katanya, selepas bertanya pegawai bank, dia baru sedar dirinya tertipu sebelum membuat laporan di Balai Polis Cheras untuk tindakan lanjut.


Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Asisten Komisioner Izhany Abdul Ghani ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

No comments:

Post a Comment