Wang, barang kemas lesap
Azharyati menunjukkan laporan polis dan juga salinan kad gores dan menang yang melenyapkan duitnya sebanyak RM9,000.
KUANTAN – Seorang wanita di sini bukan sahaja kerugian sebanyak RM9,000 malah barang kemasnya juga turut tergadai gara-gara terpedaya dengan tipu muslihat peraduan gores dan menang.

Azharyati Adnan, 28, berkata, dia terpedaya dengan kata-kata manis jurujual tersebut yang menjanjikan hadiah berupa kereta mewah jika bertuah menggores peraduan tersebut.

Menurutnya, pada awalnya dia tidak berminat untuk menyertai peraduan tersebut, tetapi akhirnya terpengaruh melihat hadiah lumayan yang bakal dimenanginya.

“Saya memang terpikat dengan cara percakapan jurujual tersebut yang membuatkan saya percaya akan kata-katanya.

Dia meminta saya menggores sekeping kad dan sejurus selepas itu, dia mengatakan saya adalah pelanggan bertuah.

“Ketika itu, dia turut menyenaraikan beberapa hadiah mewah yang boleh saya menangi seperti kereta mewah dan dari situ saya mula terpengaruh.

“Seterusnya, dia juga meminta saya membayar wang pendahuluan untuk membawa kereta mewah itu pulang sebanyak RM9,000 tetapi saya tidak mempunyai wang yang
cukup untuk membayarnya,” katanya yang terpedaya ketika membeli belah di sebuah pasar raya, di sini.

Azharyati berkata, jurujual tersebut menyarankan agar dia membuat pinjaman segera dari sebuah bank dan meminta dia menggadaikan barang kemas yang ada untuk membayar pendahuluan bagi kereta tersebut.

“Ketika itu, saya sendiri seolah-olah mengikut apa sahaja arahan jurujual sekali gus memenuhi permintaannya. Namun sejurus selepas sampai di pejabatnya dekat Jalan Haji
Ahmad, mereka mengatakan saya hanya berjaya memenangi sebuah Tilam Jade.

“Selepas itu saya pulang ke rumah dan mula melayari Internet bagi mendapatkan maklumat mengenai syarikat tersebut dan alangkah terkejutnya saya kerana tilam yang dikatakan bernilai RM28 ribu tersebut sebenarnya hanya RM500 sahaja.

“Menyedari bahawa diri saya tertipu, saya ke pejabat itu semula dan berkeras untuk mendapatkan duit saya kembali tetapi syarikat tersebut masih berdolak dalih menyebabkan
saya membuat laporan polis dan tribunal pengguna,” katanya.
Sehubungan itu, Azharyati berharap agar pengalaman pahit ini dijadikan pengajaran dan mahu syarikat yang menipunya itu mendapat hukuman setimpal mengikut undang-undang.

“Saya memang menyesal dengan insiden ini, saya tidak akan berputus asa untuk mendapatkan kembali duit saya dan barang kemas yang tergadai. Semoga orang lain tidak menerima nasib seperti saya ini,” katanya.