Sunday, July 8, 2012

dapat teksi sendiri

ARKIB : 28/06/2012
Share on facebook Share on twitter Share on email Share on print More Sharing Services 1
Bangga dengan teksi sendiri
Oleh HAMIZUL ABDUL HAMID

BANGGA dengan apa yang dimiliki, itulah yang dapat digambarkan tentang pesara tentera ini dengan teksi yang dimilikinya. Sewaktu sesi temuramah lewat dianugerahkan sebagai salah seorang Usahawan Asnaf Cemerlang di Shah Alam baru-baru ini, beliau kelihatan teruja berkongsi kisah suka-duka dalam mencipta kejayaan dalam hidupnya.

Kali ini bersama kita menyoroti kisah Mohd. Azhar Manan, 51, yang bukan sekadar mampu tersenyum kerana memiliki teksi sendiri tetapi juga berbangga dan bersyukur dengan kejayaan anak-anaknya yang kini terus mendaki anak-anak tangga di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

"Saya ini berasal dari Sungai Siput, Perak. Selepas menamatkan alam tentera pada 1998, saya rasa tidak betah untuk terus tinggal di kampung. Kemudian, berbekalkan keazaman untuk mencipta masa hadapan yang lebih baik, saya mengambil langkah berani berhijrah ke Selangor.

"Rumah di Perak saya jual dan dengan sedikit keuntungan, saya jadikan wang muka membeli rumah di Batang Kali. Kala itu, saya menjalankan perniagaan pembinaan dengan berbekalkan lesen kontraktor Kelas F," cerita Azhar membuka bicara.

Dia berkahwin dengan Mariah Kudus, 48, dan dianugerah lima orang anak, iaitu Mohd. Mahzan, 28, lulusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang Reka Bentuk Automotif; Mohd. Azrul Riza, 25, yang masih menuntut di Institut Kemahiran Mara dalam Kejuruteraan Elektrik dan Kuasa; Mohd. Qushairi, 21, kini sedang menuntasi pengajian di Kolej Antarabangsa IKIP dalam bidang Kejuruteraan Awam; Mohd. Nurquraisham, 20, pula sedang menuntut di UiTM Pekan, dalam Kejuruteraan Automotif dan anak perempuan bongsu, Siti Nurfarahainfazlin, 15, masih bersekolah di Batang Kali, Selangor.

"Pada tahap awal, perniagaan pembinaan saya berjalan agak baik. Namun menjelang 2005, saya mulai mengalami masalah. Biasalah, adat orang berniaga memang tidak selalunya untung. Apa yang menjadi masalah, kerana anak-anak saya semuanya masih bersekolah. Bukan seorang, tetapi lima dan saya jadi amat lelah.

"Apabila perniagaan pembinaan saya tidak maju, saya terfikir harus mencari peluang baru. Lalu saya mencuba membawa teksi. bermula 2005 itulah saya membawa teksi yang disewa dari sebuah syarikat dengan kos RM50 sehari. Itu baru kos sewa, kerana saya juga perlu menanggung kos minyak, kerosakan dan sebagainya.

"Saya juga mesti membawa teksi itu setiap hari, tujuh hari seminggu dan 30 hari sebulan. Tanpa rehat atau saya akan kehilangan pendapatan, sedangkan sewa kepada syarikat tidak pun mengenal erti rehat. Begitulah kehidupan saya, penat jangan cerita, namun pendapatannya tidaklah sebanyak mana," sambung Azhar tentang kehidupan silamnya.

Benar, jika difikir-fikirkan, nilai sewaan RM50 sehari itu jika sebulan sudah RM1,500. jumlah itu pastinya tetap, biarpun pendapatan seorang pemandu teksi bukanlah tetap.

Mereka harus bekerja lebih masa andai mahu membayar sewa. Kala orang lain sudah beristirehat di rumah bersama keluarga, mereka masih sabar mencari penumpang di jalan raya.

"Kala itu, kesempitan mulai mencengkam. Ansuran bank bagi pinjaman rumah sudah tertunggak. Yuran sekolah anak-anak yang tidak seberapa itu pun sudah tertangguh. Apabila musim persekolahan tiba, pening jangan cerita. Bahkan, kala menjelang hari raya, kami pernah meraikannya dengan baju-baju yang diberikan orang.

"Waktu itu, saya meletakkan keperluan anak-anak nombor satu. Jika sebut fasal makan minum, saya rela tidak makan asalkan anak-anak tidak kelaparan. Biarlah mereka ke sekolah dengan belanja poket, saya tidak makan pun tidak mengapa.

"Namun, ujian paling getir menimpa saya ialah pada tahun 2008. Saya disahkan mengidap sakit barah usus dan demi menyelamatkan keadaan, pihak hospital mengarahkan saya segera menjalani pembedahan.

"Sebut mudah, namun tidak sedemikian bagi saya untuk melaluinya. Terbayangkan rumah yang masih tertunggak ansuran, anak-anak yang perlukan belanja harian. paling saya khuatir, dari jalan mana wang saya boleh peroleh demi membayar sewa teksi," kongsi Azhar.

Akhirnya, ternyata telahan dan kebimbangan Azhar amat tepat. Dua bulan selepas pembedahan, beliau terdampar tidak mampu bekerja. akhirnya, dek kerana gagal melunaskan sewa, teksi yang menjadi mata pencariannya pun ditarik balik oleh syarikat terbabit.

"Sebenarnya, saya cuba juga menggagahkan diri membawa teksi seminggu selepas dibedah. Akibatnya, luka pembedahan pecah kembali dan baju putih saya basah dengan darah. Kawan-kawan menegur dan akhirnya saya dimarahi doktor," kata Azhar.

Rentetan kisah-kisah malang itu, sanak-saudara yang tahu tampil cuba membantu. Namun, setakat manakah sangat bantuan yang dapat dihulurkan kerana masing-masing orang punya tanggungan.

Pun begitu, lazimnya setiap kisah pasti berhikmah. Orang yang gagah tidak akan menyerah kalah. Pada 2009, berbekalkan tekad, azam dan pengalaman, Azhar cuba memohon permit teksi daripada pihak yang berwajib. Rezekinya murah dan dia memperoleh permit berkenaan. Masalahnya, Azhar masih tidak punya teksi.

"Saya mencuba nasib memohon pinjaman daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara). Alhamdulillah, pinjaman diluluskan. Namun hanya 70 peratus. Di manakah lagi harus saya mencari baki 30 peratus? Mujurlah saya teringatkan Lembaga Zakat Selangor (LZS), lalu saya mencuba nasib memohon daripada LZS.

"Rupa-rupanya, setelah dibanci, saya dan keluarga termasuk dalam kategori asnaf. Dengan segera, LZS beri kami bantuan raya, pendidikan dan wang saku anak-anak di IPT. Bahkan, dengan itu jugalah saya layak untuk dibantu dengan biaya modal perniagaan.

"Tanpa tangguh, saya menyatakan hasrat memohon dana tambahan bagi mengeluarkan teksi. Waktu itu, teksi sudah pun menunggu dan dengan kelulusan LZS bagi menjelaskan baki 30 peratus, maka bereslah semua halangan menunggu," ujar Azhar akan perkenalan awalnya dengan pihak LZS.

Di kesempatan itu, Azhar turut mengucapkan ribuan terima kasihnya kepada semua yang membantu. Harapannya, semoga Allah SWT membalasnya.

Kini, bermodalkan wang zakat RM7,500 sebagai modal perniagaan, Azhar mampu kembali mengukir senyum. Senyuman bangga dengan teksi miliknya. Pendapatannya juga makin stabil, maklumlah keyakinan diri pun kian meningkat mengenangkan teksi yang dibayar akan menjadi milik sendiri akhirnya.

Apatah lagi ditambah dengan kejayaan anak-anak di IPT, Azhar yakin masa hadapan dirinya sekeluarga akan bertambah cerah, insya-Allah.

No comments:

Post a Comment