Kumpulan artikel dari website akhbar atau dari web individu mengenai bencana alam,kemalangan,masalah rumahtangga serta tragedi dalam kehidupan masyarakat Malaysia dan dunia.
Monday, February 14, 2011
Pandu Tergopohgapah
Padah pandu tergesa-gesa
GUA MUSANG - Perubahan sikap seorang pelatih Jururawat Kolej Islam dan Sains Teknologi (KIST) Bachok, yang tergesa-gesa ketika pulang berjumpa bapanya di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh Tiga, rupanya petanda dia akan menemui ajal.
Rosnita Yusoff, 22, sempat menemui bapanya, Yusoff Awang Kechik, 60, sejam di rumahnya di RKT Kesedar itu, sebelum bergegas pulang semula ke kolejnya kerana mendakwa ada kelas pagi semalam.
Mangsa maut apabila kereta Produa Kancil yang dipandunya untuk perjalanan pulang ke Bachok terbabas dan berpusing sebelum terhumban dalam longkang di Kilometer 68, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, kira-kira 8 malam.
Mayat mangsa dalam keadaan cedera ditemui orang ramai yang bergegas ke tempat kejadian berada dalam semak berhampiran kemalangan itu selepas dipercayai tercampak keluar kereta yang remuk itu.
Yusoff berkata, arwah memang beria-ia benar menemuinya hingga tidak sabar menyuruhnya datang separuh jalan ketika Rosnita berada di Kampung Sungai Sam menghala ke RKT Kesedar Paloh Tiga itu.
Bagaimanapun, katanya, dia tidak boleh datang berikutan berada di bandar Gua Musang, tetapi meminta tunggu di rumah sehingga dia pulang kira-kira jam 6.15 petang.
“Sebaik saya sampai di rumah melihat Rosnita sedia menunggu dan sempat bersalam sambil melihat rumah yang saya baiki atas arahannya kerana ada orang akan datang merisiknya akhir bulan ini.
“Memang saya ikut kehendak arwah supaya membaiki rumah tersebut dan dia juga kelihatan tergesa-gesa pulang ke kolejnya di Bachok dengan memandu kereta seorang diri,” katanya semasa ditemui di Hospital Gua Musang (HGM), malam kelmarin.
Yusoff berkata, tidak sampai sejam selepas arwah bertolak dari rumah kira-kira jam 7.30 petang ada orang datang ke rumah memberitahu kejadian menimpa anak kesayangannya itu.
Dia yang bergegas ke tempat kejadian sebaik mengetahui kejadian itu berasa sedih melihat suasana tempat kejadian hingga arwah tercampak keluar dari kereta berkenaan.
“Saya memang terkejut kerana baru sejam bersalam dengan arwah yang tergesa-gesa pulang ke rumah sebelum bergegas semula ke kolejnya,” katanya.
Bagaimanapun, dia pasrah dengan kejadian menimpa anaknya itu kerana ia telah ditentukan Tuhan, tetapi masih teringat sikapnya yang menunjukkan keganjilan sebelum kejadian.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment