Friday, February 4, 2011

Mati Disengat tebuan

Murid maut disengat tebuan

Oleh Ain Safre
utusanperak@utusan.com.my
TELUK INTAN 3 Feb. - Seorang ibu tidak menyangka pelukan erat anak tunggalnya pagi Isnin lalu merupakan petanda dia akan meninggal dunia selepas disengat tebuan di rumahnya di Kampung Parit Che Maja, Sungai Tiang Tengah di Bagan Datoh dekat sini pada hari tersebut.

Asyhraff Nabil Abdullah, 7, meninggal dunia di Wad Kecemasan Hospital Teluk Intan (HTI) semalam, lima jam selepas dikejarkan ke hospital berkenaan oleh keluarga mangsa.

Bapa kanak-kanak itu, Abdullah Yusoff berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 10.30 malam Isnin lalu ketika anaknya berada di dalam bilik air.

"Selepas membuang air kecil, dia mengambil tuala untuk mengelap muka dan selepas itu terus menjerit kesakitan apabila disengat tebuan di bahagian hidung.

"Mendengar jeritan Asyhraff, isteri saya terus ke bilik air, mengalihkan tuala dan menghalau tebuan yang masih melekat di tuala tersebut," katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Abdullah menambah, keesokan harinya, dia membawa Asyhraff ke sebuah klinik di Sungai Batang bagi mendapat rawatan, sebelum kembali berehat di rumah.

Bagaimanapun, katanya, dia mengesyaki sesuatu tidak kena berlaku apabila mendapati lebam pada muka dan mata anaknya semakin membesar dan demam panas semakin teruk.

"Berikutan itu, kami segera bawa dia ke Hospital Teluk Intan semalam dan selepas lima jam menerima rawatan, kami dimaklumkan dia sudah meninggal dunia," katanya yang masih bersedih dengan kejadian itu.

Ibu mangsa, Noraini Sanijo berkata, anak tunggalnya itu yang belajar di Sekolah Kebangsaan Sungai Tiang dikenali sebagai periang, manja dan gemar menolong bapanya di rumah.

"Sebelum kejadian, arwah tiba-tiba datang memeluk saya dan ayahnya sekuat-kuat hati tetapi kami tidak mengesyaki apa-apa.

"Walaupun bersedih, kami reda pemergiannya kerana Allah lebih menyayangi dia," katanya.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment