Tuesday, February 15, 2011

Jatuh Van


Murid maut jatuh van
Oleh Omar Osman
am@hmetro.com.my

SUNGAI PETANI: Seorang murid tahun satu terbunuh selepas tercampak keluar daripada van sekolah dinaikinya apabila satu daripada pintu kenderaan berkenaan terbuka ketika melalui satu selekoh.

Siasatan awal polis mendapati van terbabit beroperasi secara haram manakala pemandunya, remaja berusia 16 tahun, tidak memiliki lesen memandu.
Kejadian berlaku kira-kira jam 7 pagi semalam di selekoh berhampiran lampu isyarat Kampung Raja, di sini, ketika mangsa, M Arvin, 7, dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Songkian, Jalan Kuala Ketil, dekat sini, ke Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Mahajohti di Taman Sutera, tidak jauh dari rumahnya.

Jurucakap Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda berkata, ketika kejadian, dua murid duduk di bahagian hadapan bersama pemandu manakala mangsa bersama dua murid lain di bangku belakang.



“Sebelum kejadian, mangsa bersama dua rakannya yang duduk di bahagian belakang dipercayai bermain dan seorang daripada mereka mungkin terbuka kunci pintu van.



“Sebaik tiba di selekoh berhampiran lampu isyarat Kampung Raja, pintu van terbabit terbuka dan mangsa yang berada di tepi pintu tercampak ke jalan raya,” katanya.

Menurutnya, mangsa parah di kepala serta badan dan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayatnya dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat.

Jurucakap itu berkata, pemeriksaan awal polis terhadap van terbabit mendapati kenderaan itu beroperasi secara haram dan tidak mempunyai permit membawa murid sekolah.

“Malah, pemandunya remaja berusia 16 tahun yang tidak memiliki lesen memandu,” katanya.

Menurutnya, polis mengambil tindakan dengan mengeluarkan saman terhadap pemandu terbabit serta pemiliknya dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, nenek mangsa, G Letchumi, 58, berkata kematian cucunya itu mengulangi episod duka keluarga mereka kerana pada April tahun lalu, abang mangsa maut selepas terkena mercun.

“Tahun lalu, abangnya meninggal dunia kerana terkena mercun. Belumpun hilang kesedihan kami, pagi tadi (semalam), adiknya pula meninggalkan kami,” katanya.

Letchumi berkata, Arvin keluar dari rumah kira-kira jam 6.30 pagi untuk ke sekolah dan dia tidak menyangka panggilan diterimanya sejam kemudian memaklumkan cucunya itu meninggal dunia selepas terbabit kemalangan.

Kongsi artikel ini menerusi media sosial

No comments:

Post a Comment