Kumpulan artikel dari website akhbar atau dari web individu mengenai bencana alam,kemalangan,masalah rumahtangga serta tragedi dalam kehidupan masyarakat Malaysia dan dunia.
Saturday, February 12, 2011
Lepas Hilang Terus Mati
Malang jemput isteri
Oleh Arifin Salleh
am@hmetro.com.my
REMUK...keadaan kereta yang terbabit nahas, semalam.
TAMPIN: Kegembiraan seorang suami yang baru pulang selepas menjemput isterinya yang hilang baru-baru ini, tidak berpanjangan selepas kenderaan dipandu hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam gaung di kiri jalan, semalam.
Kejadian kira-kira jam 5.20 pagi itu berlaku ketika Nurshahrul Affendi Hashim, 25, bersama isteri, Nurhidayah, 20, serta ibu mentua berusia 44 tahun dan adik iparnya berusia 10 tahun dalam perjalanan dari Tampin ke Gemas sebelum ke Temerloh, Pahang.
Sebaik tiba di satu selekoh tajam di Kilometer 16, Jalan Tampin-Gemas, Perodua Myvi dipandu Nurshahrul Affendi hilang kawalan ke kiri dan kanan jalan lalu terbabas dan melanggar sebuah gerai kecil sebelum terhumban ke gaung.
Nurshahrul Affendi berkata, dia tiba di Plaza Tol Simpang Ampat, Alor Gajah menuju ke Tampin sebelum berhenti rehat dan meneruskan perjalanan ke Gemas.
Katanya, ketika dalam perjalanan isteri, ibu mentua dan adik iparnya tidur.
“Ketika tiba di Tampin, hati saya tak sedap lalu mencari tempat berehat di sebuah kedai makan untuk mengalas perut dan membasuh muka sebelum meneruskan perjalanan ke Gemas.
“Sebaik tiba di selekoh tajam di kawasan yang tidak diketahui, tiba-tiba kereta dipandu hilang kawalan sebelum terhumban.
“Ketika itu saya terpinga-pinga kerana kereta terus meluncur ke gaung sedalam 10 meter mula disangkakan semak.
“Akibat kejadian itu, kereta saya rosak teruk dan dalam kesakitan akibat cedera di dagu dan tangan, terpaksa merangkak keluar tetapi tidak berdaya,” katanya.
Menurutnya, tidak lama kemudian, seorang penoreh yang melalui jalan itu berhenti selepas menyedari kemalangan dan membantunya selain menghubungi polis.
Akhbar ini, kelmarin melaporkan, seorang isteri berusia 20 tahun hilang ketika membeli kredit tambah nilai di sebuah kedai di Taman Seri Jaya, Kluang, Johor, selepas 21 hari bergelar isteri. Katanya, sebelum itu, dia bersama ibu mentua dan adik iparnya baru pulang daripada menjemput isterinya yang hilang sejak 28 Januari lalu yang ditemui di Kampung Sahri, Simpang Renggam, Johor, kira-kira jam 9 malam kelmarin.
Menurutnya, dia menerima panggilan kira-kira jam 9 malam kelmarin, mendakwa seorang wanita seakan-akan isterinya dilihat berada di sebuah rumah sewa di kampung berkenaan sejak beberapa hari lalu.
“Selepas menerima maklumat itu, saya mengajak ibu mentua dan adik ipar serta beberapa rakan menuju ke tempat dimaksudkan sebelum menemui isteri di rumah kakak angkatnya selepas menghilangkan diri.
“Selepas mengambil isteri, saya ke Plaza Tol Simpang Renggam kira-kira jam 1 pagi dan tiba di Simpang Ampat, Alor Gajah, kira-kira jam 4 pagi. Kami mengikut jalan Tampin ke Gemas sebelum ke Bahau,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment