Sunday, February 27, 2011

Erni Mimpi


Rita mimpi ibu
Oleh NORAINON OTHMAN, IBRAHIM ISA dan FIRDAUS SAHAT
metahad@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Enam bulan selepas pemergian ibu tercinta, anak sulung jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 26, bermimpi Allahyarham datang ke pejabat, seolah-olah menggambarkan impian arwah supaya anaknya melebarkan empayar perniagaannya.

Berkongsi rasa hati meniti hari mendatang tanpa insan tersayang di sisi, Erni atau lebih mesra dipanggil Rita berkata, dia tidak menganggap musibah menimpa keluarganya sebagai bebanan, malah menjadikan dirinya lebih kuat. Kematian sadis ibunya bersama tiga individu lain di Banting memang mengejutkan, tetapi dia reda dengan takdir Allah.


“Selepas ketiadaannya, Rita dan adik-beradik pernah bermimpi emak. Dalam mimpi itu, emak datang ke pejabat, melihat Rita bekerja. Emak tidak pernah bercakap tetapi sering mengajak Rita berjalan-jalan dengan memberi isyarat tangan. Sebagai hamba-Nya, kita tidak tahu ketentuan Allah.

“Walaupun emak tiada, Rita berasa seolah-olah dia masih hidup kerana sentiasa teringatkannya. Emak memang sentiasa hidup dalam hati Rita. Mungkin Rita bermimpi sebab rindukan emak. Biasanya apabila bangun daripada tidur, Rita menceritakan mimpi berkenaan kepada adik lain, begitu juga mereka. Bermimpi ibu satu kepuasan bagi Rita.


“Rita juga sering teringat sikap emak yang suka memasak makanan kegemaran kami. Sayangnya, kini kami tidak dapat rasa air tangan emak lagi. Kalau rindu emak, Rita pergi ke tempat yang emak suka pergi.


“Terlalu banyak kenangan bersama emak yang sering bermain di ingatan. Bilik (pejabat) yang Rita duduk ini pun bilik emak. Rita tidak pernah ubah apa-apa susun atur di bilik emak kerana ini akan mengingatkan Rita pada emak,” katanya ketika ditemui Metro Ahad, di sini.


Kerana rasa bertanggungjawab untuk meneruskan legasi Allahyarham, Rita yang bertindak sebagai Pengarah Urusan Nouvelle Beauty Centre Sdn Bhd membuat keputusan membahagikan tugas perjalanan syarikat itu di kalangan adik-beradiknya, Erwan Suwari Rizuwan, 25, Md Erwan Nasri, 24, Erni Erinawati Sofia, 22, dan Erni Rineelawati, 21.


“Kami bahagikan tugas sama rata dan tahu kerja masing-masing. Rita mengaku tidak mampu buat kerja seorang kerana Rita pun manusia biasa. Bantuan adik diperlukan. Rizuwan menggalas tugas sebagai eksekutif pemasaran, Erwan (eksekutif operasi), Rina (eksekutif pentadbiran) dan Rinee (duta Nouvelle Visages). Tugas ini berkuat kuasa sejak kes yang menimpa emak kerana sebelum itu Rita dan emak menguruskan perniagaan,” katanya.


Matang dalam membuat keputusan, gadis itu tidak menghalang adiknya, Rina dan Rinee menyambung pengajian jurusan perniagaan menerusi Program Jarak Jauh (PJJ) Universiti Teknologi Mara (UiTM).


“Mereka ada cita-cita yang ingin dicapai. Rita tidak mahu disebabkan kes itu (pembunuhan ibunya bersama tiga individu lain), cita-cita mereka terkandas di tengah jalan.


“Bagaimanapun, pada hari biasa, mereka bekerja dan mengikuti pengajian PJJ hanya pada Ahad,” katanya yang mengakui masih tidak dapat mengikis rasa kesal tidak sempat memohon maaf kepada ibu buat kali terakhir.


Dia yang kini bertanggungjawab menjaga kebajikan lima adiknya serta perniagaan berkenaan berkata, kenangan suka duka bersama arwah membakar semangatnya untuk berjaya.


“Perasaan Rita, sebagai anak, kadangkala kita tidak sedar ada sikap atau perlakuan kita mengguris hati emak. Rita terkilan kerana tidak sempat meminta maaf dengan mencium tangan dan dahi emak buat kali terakhir,” katanya.


Menurutnya, dia kini memberi lebih tumpuan terhadap promosi jenama kerana masih ramai tidak tahu mengenai Nouvelle Visages.


“Ketika turun padang di satu pameran di Mid Valley baru-baru ini, Rita dapati ramai belum mengenali Nouvelle Visages. Rita akui bukan semua orang membaca akhbar, jadi usaha lebih giat perlu dilakukan untuk memperkenalkan jenama ini,” katanya.


Mencontohi sikap dermawan ibu, Rita meneruskan amalan pengasas Nouvelle Visages menyalurkan sumbangan kepada badan kebajikan dan tiga sekolah anak angkat di Johor.


“Rita akan teruskan apa yang emak lakukan sebelum ini. Malah, keperluan orang kampung emak, Kampung Seri Menanti, Batu Pahat, tidak kami abaikan sebab di situ tempat emak dibesarkan.


“Baru-baru ini kami memberi sumbangan wang ringgit dan makanan kepada mangsa banjir di kampung itu dan berpesan kepada ketua kampung, jika inginkan bantuan, jangan segan beritahu kerana ibu lahir di situ,” katanya.


Diusik mengenai soal hati, Rita enggan mengulas lanjut tetapi mengakui dia kini dalam tempoh berkawan dan mengenali hati budi seseorang. Ditanya perancangan hidup berkeluarga, Rita berkata, dia tidak menetapkan sasaran bila akan berkahwin kerana baginya, jodoh pertemuan di tangan Tuhan.


Mengenai kes tuntutan wang dan modal pelaburan saham amanah bernilai RM1.38 juta yang diberikan jutawan kosmetik itu kepada bekas suaminya, Nash, Rita berkata, dia tidak berani membuat keputusan sendiri kerana membabitkan ramai pihak.


“Kami adik-beradik akan mengadakan perjumpaan dengan peguam emak, Datuk Zaidi Zain dalam masa terdekat ini untuk membuat keputusan sama ada meneruskan kes berkenaan atau sebaliknya,” katanya.


Disebabkan kesibukan menguruskan perniagaan selepas ketiadaan ibu, Rita mengakui tidak sempat bertemu rakannya seperti dulu, tetapi masih berhubung melalui facebook dan twitter.


“Rita berharap kawan faham, Rita bukan berniat memutuskan silaturahim yang terjalin tetapi cuma mahu memberi lebih fokus terhadap tugas dan amanah sekarang. Apapun, Rita ingat setiap kawan Rita daripada sekolah rendah hingga zaman universiti,” katanya.


Dalam menghadapi situasi sedih dan mencabar, bapanya, Bukhari Mohamad, selalu ada di sisi.


“Sejak dulu, emak tidak pernah menghalang kami berjumpa ayah. Sampai sekarang, apabila berlaku kes seperti ini, yang paling dekat ialah ayah kami yang berperanan sebagai penasihat dalam semua hal ehwal, berkaitan rumah dan pejabat,” katanya yang masih menetap bersama adik-beradiknya di rumah agam Allahyarham Sosilawati di Gombak.


Rita yang akan mengerjakan umrah bersama tiga adiknya Mac ini berhasrat memanjatkan doa untuk ibunya di depan Kaabah.


“Kalau betul mak Rita sudah tiada, kami berdoa semoga dia ditempatkan di kalangan ahli syurga,” katanya.

Wednesday, February 23, 2011

Erni Hiba

Erni hiba lihat kerepek dibeli ibu

Oleh MD. AZRIN ROSLY
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 22 Feb. – Anak sulung Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya memberitahu, beliau berasa sedih dan tersentuh hati melihat kerepek yang dibeli oleh ibunya masih ada di dalam kereta BMW X5 yang diserahkan semula kepadanya semalam.

Menurut Erni Dekritawati Yuliana Bukhairi, 26, beliau terkejut dan hiba sebaik terpandang bungkusan kerepek berkenaan di dalam kereta BMW X5 yang dilaporkan hilang pada hari ibunya dibunuh, Ogos lalu.

“Saya sedih melihat kereta (yang dipulangkan kepadanya) dan di dalamnya pula masih ada kerepek yang dibeli oleh ibu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kerepek berkenaan dibeli oleh Allahyarham Sosilawati di sebuah kedai di Kampung Sungai Lang, Banting, Selangor pada akhir Ogos lalu untuk diberikan kepada kakitangannya sempena sambutan Aidilfitri.

Sebelum ini, seorang pekerja di kedai Kerepek House Fazz Enterprise kira-kira dua kilometer dari pekan Banting pernah memberitahu bahawa Sosilawati dan seorang lelaki datang ke kedai itu membeli beberapa jenis kerepek termasuk kerepek pisang, bawang, jejari bilis serta kuih dam, sanggul mak dara dan almond London.

Sementara itu, kata Erni, keluarganya berasa lega dengan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menambah hukuman penjara ke atas dua pekerja ladang yang disabitkan bersalah melupuskan bahan bukti pembunuhan jutawan kosmetik itu.

Menurut Erni, pindaan hukuman itu juga membolehkan tertuduh menerima hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.

“Sebelum ini, hukuman yang dikenakan iaitu penjara tujuh tahun dilihat tidak setimpal dengan perbuatan mereka.

“Hukuman penjara 20 tahun dilihat lebih ‘berbaloi’ walaupun ia tidak akan sama dengan perbuatan yang telah mereka lakukan.

“Keputusan semalam menunjukkan keadilan berlaku dan penjenayah tidak akan terlepas dengan hukuman berat,” katanya.

Selain menolak rayuan K. Sarawanan yang didapati bersalah sebelum ini oleh Mahkamah Majistret Banting kerana melupuskan bahan bukti pembunuhan Sosilawati, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohtarudin Baki semalam turut menambah hukuman ke atas perayu dan seorang lagi, U. Suresh dari tujuh kepada 20 tahun.

Sementara itu adik kepada Erni, Erinawati Sofia, 22, mengucapkan terima kasih kepada badan kehakiman dengan membuat keputusan yang tepat apabila menolak rayuan yang dibuat oleh Sarawanan.

“Saya berasa gembira apabila mahkamah bukan sahaja menolak rayuan salah seorang tertuduh malah meminda hukuman penjara ke atas mereka kepada 20 tahun.

“Saya tetap berasa sedih kerana perbuatan yang dilakukan oleh mereka itu tidak akan sama sekali setimpal dengan hukuman yang mereka dapat,” ujarnya.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Monday, February 21, 2011

Remaja Terbakar

>Arwah tidak makan


MASJID TANAH: “Sejak pagi semalam (kelmarin), dia tidak makan kerana katanya tidak berapa sihat selain hanya duduk di rumah sehingga rakan-rakannya menghubungi untuk mengajaknya keluar,” kata Dzalina Dzul, 22, kakak Dzarif Iskandar Dzul, 17.

Dzarif Iskandar maut dalam kemalangan di Jalan Masjid Tanah-Sungai Udang, dekat sini, kira-kira jam 1.20 pagi, semalam selepas kereta dipandunya terbakar akibat bertembung sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Menurut Dzalina, sebelum kejadian adiknya mengadu demam dan berkurung di dalam bilik tanpa menjamah makanan, namun meminta wang RM5 daripada ibunya sebagai duit belanja ketika keluar bersama rakannya.







'Kereta terbakar, keluar cepat!'
Oleh Arifin Salleh
am@hmetro.com.my


MARAK...kereta mangsa yang terbakar di tempat kejadian, semalam. Gambar kecli, Dzarif Iskandar yang maut.
MASJID TANAH: “Kereta terbakar, keluar cepat!” jerit seorang penumpang Proton Saga BLM yang terbakar akibat kemalangan di Jalan Masjid Tanah-Sungai Udang, dekat sini, awal pagi semalam, yang berakhir dengan seorang daripada mereka terbunuh manakala tiga lagi parah.

Saksi kejadian, Sariza Othman, 24, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 1.20 pagi apabila kereta yang dinaiki empat remaja terbabit bertembung sebuah pikap, Nissan Frontier.



PARAH...mangsa berjaya dikeluarkan dari kereta dengan bantuan orang ramai.



Menurutnya, sebelum kejadian dia memandu kereta bersama seorang teman sebelum melihat sebuah Perodua Viva memotong keretanya sebelum diikuti rapat kenderaan pacuan empat roda terbabit.

“Ketika di persimpangan lampu isyarat Sungai Udang-Bertam Ulu, pacuan empat roda itu cuba memotong Perodua Viva, tetapi gagal dan bertembung Proton Saga BLM dari arah bertentangan.



“Saya memberhentikan kereta dan melihat Proton Saga itu terbakar. Seorang daripada penumpang kereta itu keluar dan saya serta dia menjerit menyuruh rakannya keluar kerana takut kereta meletup.



“Ketika itu suasana pilu kerana saya dengar sayup-sayup jeritan meminta pertolongan daripada tiga lagi remaja yang terperangkap di dalam Proton Saga yang terbakar,” katanya.

Sariza berkata, dia bertambah sebak apabila melihat tiga remaja yang tersepit di tempat duduk masing-masing meronta sambil melambaikan tangan meminta tolong supaya dikeluarkan daripada kereta yang terbakar.

“Selepas itu, berlaku letupan kuat daripada kereta dan api semakin marak menyebabkan usaha beberapa pengguna jalan raya untuk mengeluarkan tiga mangsa terbabit agak sukar.

“Mujur, satu daripada pintu berjaya dibuka biarpun ketika api marak. Beberapa pengguna jalan raya mengeluarkan tiga mangsa terbabit dan sebaik saja mangsa terakhir dikeluarkan, berlaku satu lagi letupan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shahruddin, berkata mangsa yang terbunuh dalam kejadian itu dikenali sebagai Dzarif Iskandar Dzul dan siasatan awal menunjukkan remaja berusia 17 tahun itu dipercaya memandu Proton Saga BLM terbabit.

“Mangsa yang menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Alauddin parah dan meninggal dunia kira-kira jam 3.30 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Kem Terendak,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, polis masih menyiasat identiti tiga rakan mangsa yang menaiki kereta berkenaan dan siasatan awal mendapati mereka dikenali sebagai Mohd Firdaus, 17, Abdul Wafi, 17, dan Azani, 20.

Beliau berkata, ketiga-tiga remaja itu serta pemandu Nissan Frontier, Mohd Sahid Suhaimi, 18, yang parah dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

“Hasil siasatan mendapati ketiga-tiga remaja menaiki Proton Saga BLM itu tinggal di Taman Seri Aman dalam perjalanan ke Sungai Udang sebelum bertembung sebuah pacuan empat roda yang memotong sebuah kereta di depannya,” katanya.

Seorang lagi saksi, Abdul Kahar Omar, 23, berkata dia bersama empat rakannya dalam perjalanan menuju Pasir Panjang, Port Dickson, berada di hadapan pacuan empat roda terbabit, sebelum dipintas kenderaan itu.

Katanya, kemalangan berlaku terlalu pantas kerana mereka melihat jelas ketika dua kenderaan itu bertembung dan melantun ke belakang sebelum terdengar letupan kecil.

Kongsi artikel ini menerusi media sosial

Tuesday, February 15, 2011

Jatuh Van


Murid maut jatuh van
Oleh Omar Osman
am@hmetro.com.my

SUNGAI PETANI: Seorang murid tahun satu terbunuh selepas tercampak keluar daripada van sekolah dinaikinya apabila satu daripada pintu kenderaan berkenaan terbuka ketika melalui satu selekoh.

Siasatan awal polis mendapati van terbabit beroperasi secara haram manakala pemandunya, remaja berusia 16 tahun, tidak memiliki lesen memandu.
Kejadian berlaku kira-kira jam 7 pagi semalam di selekoh berhampiran lampu isyarat Kampung Raja, di sini, ketika mangsa, M Arvin, 7, dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Songkian, Jalan Kuala Ketil, dekat sini, ke Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Mahajohti di Taman Sutera, tidak jauh dari rumahnya.

Jurucakap Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda berkata, ketika kejadian, dua murid duduk di bahagian hadapan bersama pemandu manakala mangsa bersama dua murid lain di bangku belakang.



“Sebelum kejadian, mangsa bersama dua rakannya yang duduk di bahagian belakang dipercayai bermain dan seorang daripada mereka mungkin terbuka kunci pintu van.



“Sebaik tiba di selekoh berhampiran lampu isyarat Kampung Raja, pintu van terbabit terbuka dan mangsa yang berada di tepi pintu tercampak ke jalan raya,” katanya.

Menurutnya, mangsa parah di kepala serta badan dan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayatnya dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat.

Jurucakap itu berkata, pemeriksaan awal polis terhadap van terbabit mendapati kenderaan itu beroperasi secara haram dan tidak mempunyai permit membawa murid sekolah.

“Malah, pemandunya remaja berusia 16 tahun yang tidak memiliki lesen memandu,” katanya.

Menurutnya, polis mengambil tindakan dengan mengeluarkan saman terhadap pemandu terbabit serta pemiliknya dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, nenek mangsa, G Letchumi, 58, berkata kematian cucunya itu mengulangi episod duka keluarga mereka kerana pada April tahun lalu, abang mangsa maut selepas terkena mercun.

“Tahun lalu, abangnya meninggal dunia kerana terkena mercun. Belumpun hilang kesedihan kami, pagi tadi (semalam), adiknya pula meninggalkan kami,” katanya.

Letchumi berkata, Arvin keluar dari rumah kira-kira jam 6.30 pagi untuk ke sekolah dan dia tidak menyangka panggilan diterimanya sejam kemudian memaklumkan cucunya itu meninggal dunia selepas terbabit kemalangan.

Kongsi artikel ini menerusi media sosial

Dera Isteri



Gigi dicabut, tangan dicucuh
Oleh Suraya Roslan
surayaroslan@hmetro.com.my


PAKIAM...meninggal dunia dalam keadaan menyedihkan di rumah mentuanya.
KUALA LUMPUR: Luluh dan hancur hati seorang bapa selepas anak perempuan yang dikahwinkan lima bulan lalu atas pilihan keluarga meninggal dunia dalam keadaan menyedihkan kerana terdapat kesan luka akibat dicucuh dengan rokok pada tangan selain kuku tangan dan giginya dicabut.

Lebih pilu, wanita berkenaan, S Pakiam, 23, dipercayai menamatkan riwayat dan penderiaan dialami dengan minum racun di rumah mentuanya di Padang Serai, Kulim, Kedah tiga hari lalu.
Mayatnya dihantar untuk bedah siasat di Hospital Kulim tetapi laporan dari hospital tidak menyatakan apa-apa mengenai punca kematian itu.

Bapa mangsa, M Subramaniam, 51, terpaksa menangguhkan upacara pengebumian anaknya itu selepas tidak berpuas hati dengan laporan perubatan hospital berkenaan.



“Saya hanya mendapat berita anak kedua saya itu meninggal dunia pada malam Sabtu lalu kira-kira jam 11.30 malam, selepas dihubungi seorang anggota polis dari Balai Polis Padang Serai.



“Anggota itu memaklumkan anak saya mati akibat minum racun,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Puchong, di sini semalam.

Menurutnya, sekiranya anak perempuannya mati disebabkan bunuh diri kenapa laporan perubatan tidak tercatat sedemikian.

Katanya, lebih mengejutkan, pada mayat anaknya penuh dengan kesan dera seperti kuku dan gigi dicabut serta luka pada badan dicucuh rokok.

“Itulah penderitaan yang anak saya perlu lalui sebelum menghembuskan nafas terakhir dipercayai selepas didera,” katanya.

Subramaniam berkata, anaknya berkahwin dengan menantunya lima bulan lalu selepas keluarga masing-masing bersetuju menjodohkan mereka.

“Anak saya berkahwin dengan menantu selepas keluarganya (menantu) menyukai anak kedua saya itu dan kami terus bersetuju menyatukan mereka kerana beranggapan keluarga pihak menantu akan menjaganya dengan baik,” katanya.

Katanya, mereka sekeluarga kerap kali menghubungi anaknya itu, tetapi tidak dapat bercakap kerana keluarga mentua anaknya sering memberikan alasan dia tiada di rumah.

“Setiap kali menghubungi telefon Pakiam, orang lain akan menjawabnya dan mengatakan dia tiada di rumah atau sedang sibuk,” katanya.

Menurutnya, sebaik mengetahui berita sedih itu, dia sekeluarga pergi ke Padang Serai untuk menuntut mayat anaknya itu.

“Saya yang melihat keadaan mayat anak saya kemudian cuba membuat laporan polis berhubung kejadian itu selain tidak berpuas hati dengan laporan bedah siasat yang tidak menyatakan apa-apa tetapi polis enggan menerima laporan itu.

“Disebabkan itu kami terpaksa membawa pulang mayat Pakiam ke sini (Puchong) dan membuat laporan polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kulim, Superintendan Ghuzlan Salleh berkata, pihaknya ada menerima laporan daripada keluarga mentua mangsa memaklumkan mangsa mati akibat minum racun.

Katanya, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Kongsi artikel ini menerusi media sosial

Monday, February 14, 2011

Pandu Tergopohgapah


Padah pandu tergesa-gesa

GUA MUSANG - Perubahan sikap seorang pelatih Jururawat Kolej Islam dan Sains Teknologi (KIST) Bachok, yang tergesa-gesa ketika pulang berjumpa bapanya di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh Tiga, rupanya petanda dia akan menemui ajal.

Rosnita Yusoff, 22, sempat menemui bapanya, Yusoff Awang Kechik, 60, sejam di rumahnya di RKT Kesedar itu, sebelum bergegas pulang semula ke kolejnya kerana mendakwa ada kelas pagi semalam.

Mangsa maut apabila kereta Produa Kancil yang dipandunya untuk perjalanan pulang ke Bachok terbabas dan berpusing sebelum terhumban dalam longkang di Kilometer 68, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, kira-kira 8 malam.

Mayat mangsa dalam keadaan cedera ditemui orang ramai yang bergegas ke tempat kejadian berada dalam semak berhampiran kemalangan itu selepas dipercayai tercampak keluar kereta yang remuk itu.

Yusoff berkata, arwah memang beria-ia benar menemuinya hingga tidak sabar menyuruhnya datang separuh jalan ketika Rosnita berada di Kampung Sungai Sam menghala ke RKT Kesedar Paloh Tiga itu.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak boleh datang berikutan berada di bandar Gua Musang, tetapi meminta tunggu di rumah sehingga dia pulang kira-kira jam 6.15 petang.

“Sebaik saya sampai di rumah melihat Rosnita sedia menunggu dan sempat bersalam sambil melihat rumah yang saya baiki atas arahannya kerana ada orang akan datang merisiknya akhir bulan ini.

“Memang saya ikut kehendak arwah supaya membaiki rumah tersebut dan dia juga kelihatan tergesa-gesa pulang ke kolejnya di Bachok dengan memandu kereta seorang diri,” katanya semasa ditemui di Hospital Gua Musang (HGM), malam kelmarin.

Yusoff berkata, tidak sampai sejam selepas arwah bertolak dari rumah kira-kira jam 7.30 petang ada orang datang ke rumah memberitahu kejadian menimpa anak kesayangannya itu.

Dia yang bergegas ke tempat kejadian sebaik mengetahui kejadian itu berasa sedih melihat suasana tempat kejadian hingga arwah tercampak keluar dari kereta berkenaan.

“Saya memang terkejut kerana baru sejam bersalam dengan arwah yang tergesa-gesa pulang ke rumah sebelum bergegas semula ke kolejnya,” katanya.

Bagaimanapun, dia pasrah dengan kejadian menimpa anaknya itu kerana ia telah ditentukan Tuhan, tetapi masih teringat sikapnya yang menunjukkan keganjilan sebelum kejadian.

Saturday, February 12, 2011

Lepas Hilang Terus Mati


Malang jemput isteri
Oleh Arifin Salleh
am@hmetro.com.my


REMUK...keadaan kereta yang terbabit nahas, semalam.
TAMPIN: Kegembiraan seorang suami yang baru pulang selepas menjemput isterinya yang hilang baru-baru ini, tidak berpanjangan selepas kenderaan dipandu hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam gaung di kiri jalan, semalam.

Kejadian kira-kira jam 5.20 pagi itu berlaku ketika Nurshahrul Affendi Hashim, 25, bersama isteri, Nurhidayah, 20, serta ibu mentua berusia 44 tahun dan adik iparnya berusia 10 tahun dalam perjalanan dari Tampin ke Gemas sebelum ke Temerloh, Pahang.


Sebaik tiba di satu selekoh tajam di Kilometer 16, Jalan Tampin-Gemas, Perodua Myvi dipandu Nurshahrul Affendi hilang kawalan ke kiri dan kanan jalan lalu terbabas dan melanggar sebuah gerai kecil sebelum terhumban ke gaung.

Nurshahrul Affendi berkata, dia tiba di Plaza Tol Simpang Ampat, Alor Gajah menuju ke Tampin sebelum berhenti rehat dan meneruskan perjalanan ke Gemas.


Katanya, ketika dalam perjalanan isteri, ibu mentua dan adik iparnya tidur.


“Ketika tiba di Tampin, hati saya tak sedap lalu mencari tempat berehat di sebuah kedai makan untuk mengalas perut dan membasuh muka sebelum meneruskan perjalanan ke Gemas.


“Sebaik tiba di selekoh tajam di kawasan yang tidak diketahui, tiba-tiba kereta dipandu hilang kawalan sebelum terhumban.


“Ketika itu saya terpinga-pinga kerana kereta terus meluncur ke gaung sedalam 10 meter mula disangkakan semak.


“Akibat kejadian itu, kereta saya rosak teruk dan dalam kesakitan akibat cedera di dagu dan tangan, terpaksa merangkak keluar tetapi tidak berdaya,” katanya.


Menurutnya, tidak lama kemudian, seorang penoreh yang melalui jalan itu berhenti selepas menyedari kemalangan dan membantunya selain menghubungi polis.


Akhbar ini, kelmarin melaporkan, seorang isteri berusia 20 tahun hilang ketika membeli kredit tambah nilai di sebuah kedai di Taman Seri Jaya, Kluang, Johor, selepas 21 hari bergelar isteri. Katanya, sebelum itu, dia bersama ibu mentua dan adik iparnya baru pulang daripada menjemput isterinya yang hilang sejak 28 Januari lalu yang ditemui di Kampung Sahri, Simpang Renggam, Johor, kira-kira jam 9 malam kelmarin.


Menurutnya, dia menerima panggilan kira-kira jam 9 malam kelmarin, mendakwa seorang wanita seakan-akan isterinya dilihat berada di sebuah rumah sewa di kampung berkenaan sejak beberapa hari lalu.


“Selepas menerima maklumat itu, saya mengajak ibu mentua dan adik ipar serta beberapa rakan menuju ke tempat dimaksudkan sebelum menemui isteri di rumah kakak angkatnya selepas menghilangkan diri.


“Selepas mengambil isteri, saya ke Plaza Tol Simpang Renggam kira-kira jam 1 pagi dan tiba di Simpang Ampat, Alor Gajah, kira-kira jam 4 pagi. Kami mengikut jalan Tampin ke Gemas sebelum ke Bahau,” katanya.

Wednesday, February 9, 2011

Merajuk Terjun bangunan




Ibu merajuk campak anak
Oleh Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my


ANGKAT...anggota polis mengangkat mayat mangsa, semalam.

KENANGAN...Teoh bersama mendiang Tan dan anak mereka.
SERDANG: Merajuk dengan suaminya, seorang wanita tergamak mencampak anak tunggal perempuan mereka berusia lima tahun dari tingkat enam sebuah pangsapuri sebelum dia sendiri nekad terjun dari tingkat 10 blok berasingan di pangsapuri Seri Alam, di sini, semalam.

Akibat kejadian kira-kira jam 11.40 pagi itu, dua beranak terbabit mati dalam keadaan mengerikan selepas cedera teruk di kepala dan badan.

Sebelum kejadian, wanita berkenaan yang dikenali sebagai Tan Meng Leng, 35, marah dan merajuk apabila suaminya yang mahu keluar membaiki kereta di sebuah bengkel berhampiran enggan membawa bersama anak perempuan mereka.

Suaminya, Teoh Hock Hwa, 45, berkata kira-kira 10 minit selepas keluar dari rumahnya, dia mendapat panggilan daripada jiran memaklumkan isteri dan anaknya maut terjatuh dari bangunan.



Katanya, sebelum kejadian kira-kira jam 11 pagi, dia mengambil anaknya itu dari tadika dan menghantarnya ke rumah bersama makanan segera yang dibelinya.


“Ketika itu, isteri saya berada di rumah dan sebaik saya tiba, kami makan bersama dan dia langsung tidak menunjukkan sebarang tanda pelik.

“Sebaik saya ingin keluar untuk ke bengkel bagi membaiki kereta, anak perempuan saya mahu mengikut, namun saya enggan membawanya kerana saya akan terus ke tempat kerja selepas membaiki kereta,” katanya.

Menurutnya, isterinya turut mendesak dia membawa anak mereka, namun tidak dihiraukannya.

“Ketika menyambut Tahun Baru Cina minggu lalu, isteri saya ada bertanya bagaimana mayatnya akan diuruskan selepas dia mati, sama ada dibakar atau ditanam.

“Saya tidak menjawab pertanyaannya itu dan kini baru saya tahu apa dikatakannya itu ada kaitan dengan kejadian hari ini (semalam). Sepanjang cuti hujung minggu lalu juga, isteri saya kelihatan agak sugul,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abd Razak Elias berkata, kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, kedua-dua mangsa tinggal di tingkat dua bangunan pangsapuri berkenaan dan polis masih menjalankan siasatan mengenai punca kejadian.

“Siasatan awal mendapati, selepas anaknya jatuh dari tingkat enam, ibunya terus naik ke tingkat 10 blok berasingan dan berdiri di atas sebuah kerusi sebelum terjun.

“Anak mangsa maut dengan kepalanya hampir berkecai manakala ibunya parah di seluruh badan dan kepala,” kata ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tuesday, February 8, 2011

Lemas Hari Jadi



Dijemput ajal pada hari jadi
Oleh Hai Rozzaman Jalal
am@hmetro.com.my


REDA...Kamaronzaman mententeramkan Norezan selepas kehilangan anak tersayang.

TONG MAUT...Azry lemas di dalam tong berisi air ini.
LEDANG: “Sepatutnya semalam (kelmarin) kami menyambut ulang tahun kelahirannya yang genap setahun, namun Tuhan lebih menyayanginya dan dia pergi dulu meninggalkan kami buat selama-lamanya,” kata Kamaronzaman Samah, 41, bapa kepada Mohamad Azry Shah, yang ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam tong berisi air di rumah mereka di Kampung Parit Kassan, Bukit Gambir di sini, semalam.

Mengimbas kejadian kira-kira jam 4.30 petang kelmarin, Kamaronzaman yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, isterinya, Norezan Wok, 37, berada di ruang tamu manakala anak bongsunya itu dikatakan merangkak mengikut abangnya, Mohamad Faizul Shah, 9.
“Faizul keluar melalui pintu dapur yang terbuka untuk bermain dan tanpa disangka, Azry merangkak mengekorinya.

“Apabila mendapati Azry tiada di dalam rumah, isteri bergegas mencarinya sebelum ditemui lemas dalam tong berisi air berkenaan,” katanya.



Menurutnya, Norezan cuba menyelamatkannya namun anak bongsu daripada lima beradik itu gagal diselamatkan dan isterinya kemudian menghubunginya memaklumkan kejadian.


Dia yang berada di tempat kerja di Seri Melaka, Sengkang, dekat sini, bergegas pulang tetapi hanya mampu menatap jasad anak kesayangannya itu.

“Azry dikejarkan ke klinik berhampiran oleh adik saya tetapi dia gagal diselamatkan.

“Kami kini kehilangan penyeri keluarga, apa yang buat kami lebih terharu ialah Azry belum sempat memakai baju baru dibelikan Norezan sebagai hadiah ulang tahun kelahirannya,” katanya yang reda dengan kejadian itu.

Bapa saudara Azry, Mohd Safie Samah, 37, berkata tong besar itu berisi air yang disimpan untuk kegunaan harian berikutan bekalan air paip terputus sejak beberapa hari lalu akibat banjir.

“Azry mungkin memanjat baldi yang terletak berhampiran tong itu lalu terjatuh ke dalamnya, dia mungkin hendak bermain dengan air dalam tong itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Tiada unsur jenayah dalam kejadian dan jenazah mangsa dibawa ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.

“Mangsa kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kundur, pagi tadi (semalam),” katanya.

Kongsi artikel ini menerusi media sosial

Friday, February 4, 2011

Mati Disengat tebuan

Murid maut disengat tebuan

Oleh Ain Safre
utusanperak@utusan.com.my
TELUK INTAN 3 Feb. - Seorang ibu tidak menyangka pelukan erat anak tunggalnya pagi Isnin lalu merupakan petanda dia akan meninggal dunia selepas disengat tebuan di rumahnya di Kampung Parit Che Maja, Sungai Tiang Tengah di Bagan Datoh dekat sini pada hari tersebut.

Asyhraff Nabil Abdullah, 7, meninggal dunia di Wad Kecemasan Hospital Teluk Intan (HTI) semalam, lima jam selepas dikejarkan ke hospital berkenaan oleh keluarga mangsa.

Bapa kanak-kanak itu, Abdullah Yusoff berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 10.30 malam Isnin lalu ketika anaknya berada di dalam bilik air.

"Selepas membuang air kecil, dia mengambil tuala untuk mengelap muka dan selepas itu terus menjerit kesakitan apabila disengat tebuan di bahagian hidung.

"Mendengar jeritan Asyhraff, isteri saya terus ke bilik air, mengalihkan tuala dan menghalau tebuan yang masih melekat di tuala tersebut," katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Abdullah menambah, keesokan harinya, dia membawa Asyhraff ke sebuah klinik di Sungai Batang bagi mendapat rawatan, sebelum kembali berehat di rumah.

Bagaimanapun, katanya, dia mengesyaki sesuatu tidak kena berlaku apabila mendapati lebam pada muka dan mata anaknya semakin membesar dan demam panas semakin teruk.

"Berikutan itu, kami segera bawa dia ke Hospital Teluk Intan semalam dan selepas lima jam menerima rawatan, kami dimaklumkan dia sudah meninggal dunia," katanya yang masih bersedih dengan kejadian itu.

Ibu mangsa, Noraini Sanijo berkata, anak tunggalnya itu yang belajar di Sekolah Kebangsaan Sungai Tiang dikenali sebagai periang, manja dan gemar menolong bapanya di rumah.

"Sebelum kejadian, arwah tiba-tiba datang memeluk saya dan ayahnya sekuat-kuat hati tetapi kami tidak mengesyaki apa-apa.

"Walaupun bersedih, kami reda pemergiannya kerana Allah lebih menyayangi dia," katanya.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Wednesday, February 2, 2011

Rumah Terbakar Dalam Banjir



Hangus dalam bah
Oleh Ahmad Ismail
am@hmetro.com.my


MUSNAH...rumah mangsa hangus dalam kebakaran di Kampung Paya Dalam, semalam. Gambar kecil Jofri yang sedih selepas kejadian itu
SEGAMAT: Tidak cukup ditimpa musibah dengan rumah ditenggelami banjir sedalam 0.4 meter, kediaman seorang lelaki musnah dalam kebakaran Kampung Paya Dalam di sini, kira-kira jam 4.30 pagi semalam.

Kejadian malang itu menimpa Jofri Md Dol, 40, apabila rumahnya terbakar dipercayai berpunca daripada api lilin selepas bekalan elektrik ke kediamannya itu diputuskan atas faktor keselamatan.
Lebih tragik, jentera pasukan Bomba dan Penyelamat yang tiba tidak jauh dari rumah mangsa tidak dapat memberikan bantuan kerana tersekat air banjir menyebabkan rumah Jofri musnah.

“Walaupun cuba memadamkan api menggunakan air banjir namun kediaman yang berusia 60 tahun ini tidak dapat diselamatkan,” katanya.



Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, Jofri tidur seorang diri bagi mengawal keselamatan rumah yang dinaiki air manakala bapa, Md Dol Abu Bakar, 84, dan ibu, Kuntum Limat, 66, berada di pusat penempatan sementara mangsa banjir di Balai Raya Kampung Paya Dalam.


Ibu bapanya dipindahkan ke sana berikutan banjir menenggelamkan kediaman mereka sejak tiga hari lalu.

“Saya terjaga selepas terdengar bunyi objek terbakar dan terkejut mendapati api marak di ruang tamu, saya cuba memadamkannya menggunakan air banjir tetapi api semakin menjulang.

“Saya bergegas ke pusat penempatan sementara yang terletak kira-kira 300 meter dari rumah dan memaklumkan kepada ibu bapa serta jiran,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Jofri, apabila mereka kembali, api hampir memusnahkan rumah walaupun ketika hujan renyai manakala pasukan bomba yang tiba kira-kira 10 minit kemudian gagal memberi bantuan kerana jentera gagal memasuki lokasi disebabkan jalan ditenggelami air.

Jofri berkata, kebakaran bukan berpunca daripada litar pintas tetapi berkemungkinan akibat lilin yang dipasang di ruang tamu.

“Saya memasang lilin berikutan bekalan tenaga elektrik dipotong Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang bimbang ada penduduk terkena renjatan elektrik akibat banjir.

“Lilin dipasang kerana saya bimbang dengan ancaman haiwan berbisa ular dan kala jengking,” katanya yang menganggarkan kerugian kira-kira RM60,000 akibat kebakaran itu,” katanya.

Menurut Jofri, jika banjir surut sekalipun, mereka sekeluarga terpaksa menumpang di rumah saudara sementara menunggu rumah baru siap dibina.

Tuesday, February 1, 2011

Kereta Dihanyut


Tiada lagi suara emak



SUKAR...anggota bomba cuba menarik kenderaan mangsa yang dihanyutkan arus banjir, malam kelmarin.
KULAIJAYA: “Dalam perbualan itu, Aw menyatakan kenderaan dipandunya terhumban ke dalam sungai dan dia gagal keluar dari kenderaan itu.

“Dia sempat memaklumkan lokasi kejadian dan tidak lama kemudian, perbualan dua beranak itu terputus,” kata seorang ahli keluarga mendiang Aw Yoke Lin, 53, dari Taman Pelangi, yang maut apabila pacuan empat roda yang dipandunya ditolak arus banjir ke dalam Sungai Rahmat di Kampung Sri Rahmat, di sini, malam kelmarin.
Menurut ahli keluarga yang enggan dikenali itu, wanita terbabit menghubungi ahli keluarga ketika bertarung dengan maut dan bercakap dalam nada cemas ketika memberitahu seorang anaknya bahawa dia terperangkap di dalam Toyota Hilux yang dipandu ketika menyusur banjir.

Beliau berkata, sebaik menerima panggilan itu, anak Aw bergegas ke lokasi kejadian, tetapi pengusaha cendawan itu hilang dibawa arus bersama kenderaan terbabit.



Katanya, ahli keluarga lain turut dihubungi anak Aw memberitahu kejadian itu.


“Kami ke sana, tetapi gagal berbuat apa-apa memandangkan arus terlalu deras dan menunggu bantuan pihak berkuasa,” katanya.

Saksi, Muslim Jaafar, 53, berkata ketika kejadian, dia membantu memindahkan mangsa banjir yang tinggal berhampiran lokasi berkenaan.

“Wanita terbabit memandu kenderaannya meredah banjir dan pada masa sama, arus semakin deras manakala hujan lebat menghalang pandangan pengguna jalan raya.

“Dia mungkin gagal mengawal kenderaan ketika melalui satu selekoh kerana tidak perasan jalan yang dilalui itu terlalu kecil sebelum terbabas dan dihanyutkan ke dalam lubang di situ sebelum ditolak arus ke sungai,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya, berkata polis menerima maklumat mengenai Toyota Hilux dipandu seorang wanita dihanyutkan air deras ke dalam sungai pada jam 8.56 malam.

Kongsi artikel ini menerusi media sosial

Disondol






Waktu Solat
Laporan Cuaca

Berita Utama
Dalam Negeri
Wilayah
» Kota
» Selatan
» Utara
» Timur
» Pahang
» Johor
» Sabah-Sarawak
Laporan Khas
Parlimen
Politik
Luar Negara
Sukan
Bisnes
Mahkamah
Jenayah




Agama
Keluarga
Hiburan
Rancangan TV
Feminin
Pendidikan
Sains & Teknologi
Agrobiz
Kesihatan
Rekreasi
Polis & Tentera
Sastera

Rencana
Cuit
Selak
Awang Selamat
Kolumnis
Forum

Classifieds
Utusan Airtime
Portal Pendidikan
Kosmo! Online
Mangga Online
Saji Online
MyBooks
Kareer
Utusan Karya
Laman Xtive

Liga M 2010
PRK 2010
UMNO 2010
Sharlinie
Salam Perantauan
SELATAN

Wanita maut tercampak dari kereta


Beginilah keadaan kereta yang dinaiki Siti Mastura Kadir, yang maut selepas mengalami kecederaan serius dalam satu kemalangan di Kilometer 272.9 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan, semalam.

SEREMBAN 31 Jan. - Seorang wanita terbunuh dalam keadaan mengerikan selepas tercampak keluar dari kenderaan yang dinaikinya dalam kemalangan di Kilometer 272.9 Lebuh Raya Utara-Selatan arah Selatan di sini awal pagi tadi.

Dalam kemalangan pukul 5.15 pagi itu, mangsa, Siti Mastura Kadir, 28, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan serius di bahagian kepalanya.

Jurucakap polis berkata, kejadian berlaku ketika mangsa bersama suami dan anak perempuannya berusia 10 bulan dipercayai dalam perjalanan dari Alor Setar, Kedah menuju ke Senawang di sini.

Jelasnya, sebaik sahaja mereka tiba di tempat kejadian kereta Perodua Viva yang dinaiki mangsa tiba-tiba dilanggar sebuah kereta Honda Accord dari arah belakang.

"Ekoran pelanggaran itu menyebabkan kereta mangsa berpusing sebelum terbalik beberapa kali.

"Mangsa yang duduk di bahagian belakang tercampak keluar dari kenderaan terbabit dan meninggal dunia ditempat kejadian akibat cedera parah di kepala," katanya di sini hari ini.

Kata beliau, anak mangsa yang berusia 10 bulan dan suaminya berusia 35 tahun hanya mengalami kecederaan ringan manakala pemandu Honda Accord itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kita telah menahan pemandu Honda Accord berusia 27 tahun itu untuk disoal-siasat sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

"Pemandu Honda Accord itu mendakwa kenderaannya terbabas selepas dilanggar sebuah lagi kereta yang masih belum dikenal pasti sebelum melanggar kereta mangsa," ujarnya.

Dalam pada itu, Pegawai Turus Trafik Negeri, Asisten Supritendan Abd. Halil Hamzah yang mengesahkan kejadian tersebut berkata, punca sebenar kemalangan masih lagi dalam siasatan.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga untuk urusan pengebumian.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN: