Sunday, July 8, 2012

mati tersepit

Suami tersepit depan mata
Wartawan Sinar Harian
8 Julai 2012
Suami tersepit depan mata
Lori membawa mesin peralatan kitar semula yang hancur selepas merempuh lori dipandu Mohd Hamzah.
MARANG – “Saya meraung dan rasa macam hendak pitam apabila melihat suami saya tersepit dalam lori,” kata Normah Abdul Razak, 49, isteri Mohd Hamzah Ismail, 51, yang cedera parah selepas lori dipandunya dirempuh dari belakang oleh satu lagi lori lain di Kilometer 31, Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan, semalam.

Normah berkata, lidahnya kelu dan badannya tiba-tiba longlai melihat kejadian itu. Dalam kejadian berkenaan, Mohd Hamzah mengalami kecederaan parah di bahagian kaki dan cedera di muka serta dada apabila lorinya gagal dikawal lalu merempuh sebatang pokok sebaik sahaja dirempuh dengan kuat dari belakang.

Difahamkan, sebelum kejadian, Mohd Hamzah dikatakan ingin membelok ke kiri jalan untuk menghantar bekalan tembikai ke gerai yang dijaga isterinya manakala lori yang merempuhnya dalam perjalanan ke kilang plastik di Bukit Kor.


Lihat tembikai ‘terbang’

NORMAH berkata, dia bersama seorang anak dan seorang cucunya sedang membuat persiapan di atas sebuah wakaf sebelum memulakan perniagaan menjual buah tembikai di tepi jalan utama itu sambil menunggu suaminya tiba.

“Saya duduk di atas wakaf dekat dengan gerai buah kami ini bersama seorang anak dan seorang cucu.

“Tiba-tiba saya terdengar bunyi dentuman kuat sebelum melihat tembikai melambung ke udara selepas lori dipandu suami merempuh sebatang pokok,” katanya.

Normah berkata, kejadian berkenaan betul-betul berlaku di depan matanya membuatkan dia tergamam.

“Sebelum itu, saya melihat lampu isyarat lori yang dipandu suami bernyala. Dunia saya seperti jadi gelap dan rasa ingin pitam apabila melihat suami saya tersepit di dalam lori yang remuk teruk itu,” katanya.


Mangsa masih di ICU

AKIBAT kemalangan itu, mangsa tersepit dan mengalami kecederaan parah namun berjaya dikeluarkan dari kenderaan itu oleh sepasukan anggota bomba diketuai pegawai operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Marang, Mohd Kuty Mohamad.

Mangsa terbabit kemudiannya dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu dan menurut anak mangsa yang hanya mahu dikenal sebagai Nor, sehingga jam 4 petang semalam, ayahnya masih berada di bilik bedah unit rawatan rapi (ICU).

Sementara itu, pemandu lori yang membawa muatan mesin peralatan kitar semula ke sebuah kilang plastik di kawasan perindustrian Bukit Kor di sini, gagal dikesan selepas terbabit dengan kemalangan berkenaan.


Ambil masa tiga minit keluar mangsa

MOHD KUTY yang ditemui di tempat kejadian berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.53 pagi lalu bergegas ke tempat kejadian dan mengambil masa tiga minit untuk mengeluarkan mangsa tersepit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi, mengesahkan mengenai kejadian itu.

serah gaji pada isteri

Patutkah suami serah semua gaji pada isteri?
Kucing Hitam

BARU-BARU ini, kawan Bro menceritakan bagaimana ada kawannya yang datang ke pejabat macam budak-budak pergi sekolah. Bukan kerana cara penampilan mereka tetapi ia berkaitan dengan duit poket yang dibawa.

Jika budak-budak hendak pergi sekolah ibu bapa mereka akan beri antara RM2 hingga RM10 sehari, si suami yang pergi bekerja pula si isteri akan bekalkan antara RM20 hingga RM50. Maknanya, semua duit si suami berada di bawah kawalan si isteri yang mahu menjadi ‘menteri kewangan’ tidak bertauliah.

Setiap bulan dapat sahaja gaji, si suami harus menyerahkan semuanya kepada si isteri dan si suami tidak boleh menyentuh duit si isteri, dalam kata mudah ‘duit aku, duit aku, duit kau, duit aku’, begitulah perangai si isteri.

Bro sebenarnya tidak faham kenapala dalam sebuah rumah tangga boleh wujud kawalan kewangan seperti itu, sepatutnya si isteri tidak boleh melayan si suami seperti anak-anak pergi sekolah. Bro tidak boleh bayangkan apa perasaan si suami yang dilayan sedemikian rupa tetapi Bro yakin mesti di dalam hati mereka ada wujud perasaan tidak puas hati.

Tetapi masalahnya, si suami yang mengalami nasib berkenaan baik-baik belaka dan mereka malas nak bising-bising, maklumlah perempuan ni kalau nak mengamuk satu kampung boleh terbakar. Cuma Bro tertanya-tanya wajarkah sebahagian isteri bersikap demikian kepada suami mereka.

Bro tidak kisah si isteri berbuat demikian kalau si suami lupa tanggungjawab termasuk tidak beri duit belanja untuk anak-anak dan urusan rumah yang lain tetapi kalau si suami itu baik buat apa si isteri hendak mengambil kesempatan.

Apa yang penting dalam sebuah rumah tangga apabila si suami menjalankan tanggungjawabnya memastikan makan minum isteri dan anak-anak mencukupi maka terserahlah kepada si suami hendak buat apa pun dengan lebihan gajinya, asalkan dia tidak melakukan perbuatan yang melanggar perintah Allah SWT sudahlah.

Namun apa yang Bro lihat dan diberitahu, ramai suami yang menerima nasib sedemikian kerana mereka terlalu baik, mereka tidak mahu gaduh-gaduh dengan si isteri atau ada antaranya terlalu sayang si isteri tetapi Bro nak suami-suami macam ini berfikir wajarkah mereka dilihat tunduk kepada isteri.

Bro tak mahu cakap hukum dari segi agama, cuma Bro nak beritahu kepada si isteri bahawa apa yang mereka lakukan dengan mengawal duit suami dengan niat untuk tunjuk kuasa tidak akan memberi jaminan kepada sebuah rumah tangga bahagia.

Maruah

Ia kerana Bro percaya sedikit sebanyak si suami mesti mempunyai perasaan tidak puas hati dan rasa diri terkongkong, paling buruk mungkin si suami berasa maruahnya dicabar. Bro kasihan kepada suami yang ke pejabat dengan duit cukup-cukup sahaja.

Si suami mungkin teringin nak beli barang atau hendak makan sesuatu mengikut seleranya tetapi oleh kerana duit yang dibekalkan oleh si isteri maka tidak tercapailah hajatnya. Mungkin si isteri berbangga kerana ramai orang akan puji kerana dia pandai mengawal kewangan suami tetapi perempuan kena ingat perbuatan itu tidak ada faedah pun.

Bro sebenarnya menyampah dengan sikap perempuan seumpama ini, kalau Bro jumpa perempuan seperti itu biarlah cantik macam puteri dari kayangan sekali pun, Bro tak akan layan. Ini kerana duit gaji suami adalah seratus-peratus hak dia, si isteri tidak berhak sama sekali untuk memaksa si suami menyerahkan semua duit berkenaan.

Seperti mana Bro kata yang penting si suami jalankan tanggungjawabnya kepada keluarga, selagi itu dilakukan apa hal si isteri nak pandai-pandai nak kawal semua duit suami!

Bro memang akui ada perempuan atau isteri yang pandai menguruskan kewangan tetapi ada sesetengah perempuan yang kawal duit suami ini pemboros, belanja ikut suka hati sahaja.

Oleh itu tidak payahlah perempuan hendak mendakwa semua pandai jaga duit sehinggakan gaji suami pun mereka nak kawal.

Berilah kebebasan kepada suami kerana suami yang diam dan tidak berkata-kata tidak bermakna dia merelakan apa yang berlaku.

Mungkin si suami tidak mahu kecoh-kecoh tetapi Bro yakin di hati kecil mereka pasti ada perasaan marah yang membuak-buak cuma ia tidak dizahirkan bagi menjaga keharmonian rumah tangga.

Justeru kepada perempuan-perempuan yang masih mahu menjadi ‘menteri kewangan’ tidak bertauliah ni, bawa-bawalah bertaubat. Berbincanglah dengan suami baik-baik bagaimana hendak menguruskan kewangan.

Tidak perlulah layan suami macam anak-anak sekolah kerana apa pun berlaku martabat dan maruah seorang suami harus dijaga.

Bro bukannya hendak mencetuskan perbalahan dalam rumah tangga, Bro hanya beri nasihat kerana Bro meluat tengok perempuan yang bukannya nak menjadi ratu tetapi batu kerikil dalam hati si suami.

- JUMPA LAGI.

dapat teksi sendiri

ARKIB : 28/06/2012
Share on facebook Share on twitter Share on email Share on print More Sharing Services 1
Bangga dengan teksi sendiri
Oleh HAMIZUL ABDUL HAMID

BANGGA dengan apa yang dimiliki, itulah yang dapat digambarkan tentang pesara tentera ini dengan teksi yang dimilikinya. Sewaktu sesi temuramah lewat dianugerahkan sebagai salah seorang Usahawan Asnaf Cemerlang di Shah Alam baru-baru ini, beliau kelihatan teruja berkongsi kisah suka-duka dalam mencipta kejayaan dalam hidupnya.

Kali ini bersama kita menyoroti kisah Mohd. Azhar Manan, 51, yang bukan sekadar mampu tersenyum kerana memiliki teksi sendiri tetapi juga berbangga dan bersyukur dengan kejayaan anak-anaknya yang kini terus mendaki anak-anak tangga di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

"Saya ini berasal dari Sungai Siput, Perak. Selepas menamatkan alam tentera pada 1998, saya rasa tidak betah untuk terus tinggal di kampung. Kemudian, berbekalkan keazaman untuk mencipta masa hadapan yang lebih baik, saya mengambil langkah berani berhijrah ke Selangor.

"Rumah di Perak saya jual dan dengan sedikit keuntungan, saya jadikan wang muka membeli rumah di Batang Kali. Kala itu, saya menjalankan perniagaan pembinaan dengan berbekalkan lesen kontraktor Kelas F," cerita Azhar membuka bicara.

Dia berkahwin dengan Mariah Kudus, 48, dan dianugerah lima orang anak, iaitu Mohd. Mahzan, 28, lulusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang Reka Bentuk Automotif; Mohd. Azrul Riza, 25, yang masih menuntut di Institut Kemahiran Mara dalam Kejuruteraan Elektrik dan Kuasa; Mohd. Qushairi, 21, kini sedang menuntasi pengajian di Kolej Antarabangsa IKIP dalam bidang Kejuruteraan Awam; Mohd. Nurquraisham, 20, pula sedang menuntut di UiTM Pekan, dalam Kejuruteraan Automotif dan anak perempuan bongsu, Siti Nurfarahainfazlin, 15, masih bersekolah di Batang Kali, Selangor.

"Pada tahap awal, perniagaan pembinaan saya berjalan agak baik. Namun menjelang 2005, saya mulai mengalami masalah. Biasalah, adat orang berniaga memang tidak selalunya untung. Apa yang menjadi masalah, kerana anak-anak saya semuanya masih bersekolah. Bukan seorang, tetapi lima dan saya jadi amat lelah.

"Apabila perniagaan pembinaan saya tidak maju, saya terfikir harus mencari peluang baru. Lalu saya mencuba membawa teksi. bermula 2005 itulah saya membawa teksi yang disewa dari sebuah syarikat dengan kos RM50 sehari. Itu baru kos sewa, kerana saya juga perlu menanggung kos minyak, kerosakan dan sebagainya.

"Saya juga mesti membawa teksi itu setiap hari, tujuh hari seminggu dan 30 hari sebulan. Tanpa rehat atau saya akan kehilangan pendapatan, sedangkan sewa kepada syarikat tidak pun mengenal erti rehat. Begitulah kehidupan saya, penat jangan cerita, namun pendapatannya tidaklah sebanyak mana," sambung Azhar tentang kehidupan silamnya.

Benar, jika difikir-fikirkan, nilai sewaan RM50 sehari itu jika sebulan sudah RM1,500. jumlah itu pastinya tetap, biarpun pendapatan seorang pemandu teksi bukanlah tetap.

Mereka harus bekerja lebih masa andai mahu membayar sewa. Kala orang lain sudah beristirehat di rumah bersama keluarga, mereka masih sabar mencari penumpang di jalan raya.

"Kala itu, kesempitan mulai mencengkam. Ansuran bank bagi pinjaman rumah sudah tertunggak. Yuran sekolah anak-anak yang tidak seberapa itu pun sudah tertangguh. Apabila musim persekolahan tiba, pening jangan cerita. Bahkan, kala menjelang hari raya, kami pernah meraikannya dengan baju-baju yang diberikan orang.

"Waktu itu, saya meletakkan keperluan anak-anak nombor satu. Jika sebut fasal makan minum, saya rela tidak makan asalkan anak-anak tidak kelaparan. Biarlah mereka ke sekolah dengan belanja poket, saya tidak makan pun tidak mengapa.

"Namun, ujian paling getir menimpa saya ialah pada tahun 2008. Saya disahkan mengidap sakit barah usus dan demi menyelamatkan keadaan, pihak hospital mengarahkan saya segera menjalani pembedahan.

"Sebut mudah, namun tidak sedemikian bagi saya untuk melaluinya. Terbayangkan rumah yang masih tertunggak ansuran, anak-anak yang perlukan belanja harian. paling saya khuatir, dari jalan mana wang saya boleh peroleh demi membayar sewa teksi," kongsi Azhar.

Akhirnya, ternyata telahan dan kebimbangan Azhar amat tepat. Dua bulan selepas pembedahan, beliau terdampar tidak mampu bekerja. akhirnya, dek kerana gagal melunaskan sewa, teksi yang menjadi mata pencariannya pun ditarik balik oleh syarikat terbabit.

"Sebenarnya, saya cuba juga menggagahkan diri membawa teksi seminggu selepas dibedah. Akibatnya, luka pembedahan pecah kembali dan baju putih saya basah dengan darah. Kawan-kawan menegur dan akhirnya saya dimarahi doktor," kata Azhar.

Rentetan kisah-kisah malang itu, sanak-saudara yang tahu tampil cuba membantu. Namun, setakat manakah sangat bantuan yang dapat dihulurkan kerana masing-masing orang punya tanggungan.

Pun begitu, lazimnya setiap kisah pasti berhikmah. Orang yang gagah tidak akan menyerah kalah. Pada 2009, berbekalkan tekad, azam dan pengalaman, Azhar cuba memohon permit teksi daripada pihak yang berwajib. Rezekinya murah dan dia memperoleh permit berkenaan. Masalahnya, Azhar masih tidak punya teksi.

"Saya mencuba nasib memohon pinjaman daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara). Alhamdulillah, pinjaman diluluskan. Namun hanya 70 peratus. Di manakah lagi harus saya mencari baki 30 peratus? Mujurlah saya teringatkan Lembaga Zakat Selangor (LZS), lalu saya mencuba nasib memohon daripada LZS.

"Rupa-rupanya, setelah dibanci, saya dan keluarga termasuk dalam kategori asnaf. Dengan segera, LZS beri kami bantuan raya, pendidikan dan wang saku anak-anak di IPT. Bahkan, dengan itu jugalah saya layak untuk dibantu dengan biaya modal perniagaan.

"Tanpa tangguh, saya menyatakan hasrat memohon dana tambahan bagi mengeluarkan teksi. Waktu itu, teksi sudah pun menunggu dan dengan kelulusan LZS bagi menjelaskan baki 30 peratus, maka bereslah semua halangan menunggu," ujar Azhar akan perkenalan awalnya dengan pihak LZS.

Di kesempatan itu, Azhar turut mengucapkan ribuan terima kasihnya kepada semua yang membantu. Harapannya, semoga Allah SWT membalasnya.

Kini, bermodalkan wang zakat RM7,500 sebagai modal perniagaan, Azhar mampu kembali mengukir senyum. Senyuman bangga dengan teksi miliknya. Pendapatannya juga makin stabil, maklumlah keyakinan diri pun kian meningkat mengenangkan teksi yang dibayar akan menjadi milik sendiri akhirnya.

Apatah lagi ditambah dengan kejayaan anak-anak di IPT, Azhar yakin masa hadapan dirinya sekeluarga akan bertambah cerah, insya-Allah.

Thursday, July 5, 2012

pendinding sihir

Helah wanita cantik gagal
KAMARUL HALIM M KAMAL
5 Julai 2012
Helah wanita cantik gagal
Mohd Ali melakonkan semula ketika mahu mengeluarkan cek dari poket bajunya sebelum disapa seorang wanita cantik.
BATU PAHAT – Dengan menggunakan wajah cantik dan berbudi bahasa, seorang wanita berusia lewat 20-an berpakat bersama pasangannya dan dipercayai menjalankan kegiatan menipu wang mangsanya dengan cara pukau.
Pengalaman itu dialami seorang bekas guru agama, Mohd Ali Siman, 62, yang didatangi seorang wanita mempunyai loghat dari negara jiran pada Jumaat lalu, ketika dia hendak menunaikan cek di sebuah bank di bandar ini.
Katanya, ketika dia keluar dari kereta dan hendak mengeluarkan cek dari poket bajunya, dia ditegur seorang wanita yang meminta pertolongan.

“Wanita itu cukup bersopan dan cantik. Dia memberitahu memenangi loteri dengan jumlah agak banyak, namun transaksi terbabit tidak boleh dilakukan kerana bukan warganegara dan memerlukan seorang penjamin warganegara Malaysia.
“Wanita terbabit juga memberitahu dia memerlukan wang sejumlah RM20,000 sebagai urusan untuk mengeluarkan wang yang dimenanginya,” katanya kepada Sinar Harian.
Namun begitu katanya, dia berasa berbelah bahagi untuk membantu wanita itu kerana melibatkan perjudian dan wang haram, namun kata-kata untuk menolaknya seolah-olah sukar untuk diluahkan.
Mohd Ali berkata, ketika asyik mendengar penjelasan daripada wanita itu, tiba-tiba seorang lelaki datang menyapa mereka berdua dan bertanyakan mengenai perbincangan berkenaan, seterusnya wanita itu terus bercerita masalah dihadapinya.
“Setelah mendengarnya, lelaki itu mempelawa kami masuk ke keretanya. Saya mula berasa pelik kerana kereta lelaki itu diletakkan seolah-olah bersedia untuk membawa kami.
“Saya, tanpa berkata apa-apa terus mengikut wanita dan lelaki itu. Ketika dalam kereta, saya ditunjukkan tiket loteri dan juga sehelai keratan akhbar tempatan yang menunjukkan nombor sama dimenangi wanita tersebut.
“Saya bertambah pelik apabila disoal oleh kedua-duanya mengenai jumlah wang yang saya miliki di bank. Saya termangu seketika, kemudiannya berdoa agar saya diselamatkan daripada apa juga cubaan penipuan ketika itu," katanya.
Sejurus itu, dia mampu bersuara dan menyatakan kesemua akaunnya tidak mempunyai kemudahan mesin pengeluaran automatik (ATM) dan pengeluaran hanya boleh melalui buku bank yang ditinggalkan di rumah.
Tidak berpuas hati dengan jawapan diberikan, wanita dan lelaki berkenaan mengajaknya untuk mengambil buku akaunnya di rumah, setelah berpusing-pusing di bandar ini beberapa kali.
“Sekali lagi saya cuba memberi helah dengan memberitahu kupon meletak kenderaan saya hampir habis tempoh dan mahu menggantikannya dengan yang baru.
Kemudiannya, saya terus dibawa ke kereta saya.
“Setelah turun, saya masuk ke kereta saya dan perhatikan kereta mereka terus meluru meninggalkan saya. Saya bersyukur kerana terselamat daripada ditipu mereka.

“Setelah difikirkan balik, saya menurut sahaja kehendak mereka seperti dipukau, namun mungkin ALLAH mahu selamatkan saya daripada penipuan ini, usaha mereka tidak berjaya,” katanya
Katanya, setelah bercerita dengan beberapa kenalan rapat, ada yang bertanya kepadanya tentang ilmu yang digunakan sehingga mampu melepaskan diri dari kejadian berkenaan.

“Saya menyatakan supaya sentiasa ingatkan ALLAH, sentiasa berada dalam keadaan berwuduk dan mengaji al- Quran setiap hari.
“Apabila kita sentiasa ingatkan ALLAH, maka ALLAH akan sentiasa ingat kita dan membantu kita apabila kesusahan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asistan Komisioner Din Ahmad berkata, sepanjang tahun ini, pihaknya masih belum menerima laporan berkaitan kes pukau.

“Jika orang awam menjadi mangsa pukau ini, mereka perlu membuat laporan polis dengan segera supaya tindakan susulan untuk mengenal suspek dapat dilakukan oleh pihak polis.

“Kami nasihat orang ramai supaya lebih berhati-hati dan jika ditipu atau dipukau, mereka perlu mengambil nombor pendaftaran kenderaan suspek, kenal pasti bahasa digunakan, jumlah suspek, wajah dan juga pakaian yang mereka pakai,” katanya.

Monday, July 2, 2012

gores menang lagi

Wang, barang kemas lesap
Wartawan Sinar Harian
1 Julai 2012
Wang, barang kemas lesap
Azharyati menunjukkan laporan polis dan juga salinan kad gores dan menang yang melenyapkan duitnya sebanyak RM9,000.
KUANTAN – Seorang wanita di sini bukan sahaja kerugian sebanyak RM9,000 malah barang kemasnya juga turut tergadai gara-gara terpedaya dengan tipu muslihat peraduan gores dan menang.

Azharyati Adnan, 28, berkata, dia terpedaya dengan kata-kata manis jurujual tersebut yang menjanjikan hadiah berupa kereta mewah jika bertuah menggores peraduan tersebut.

Menurutnya, pada awalnya dia tidak berminat untuk menyertai peraduan tersebut, tetapi akhirnya terpengaruh melihat hadiah lumayan yang bakal dimenanginya.

“Saya memang terpikat dengan cara percakapan jurujual tersebut yang membuatkan saya percaya akan kata-katanya.

Dia meminta saya menggores sekeping kad dan sejurus selepas itu, dia mengatakan saya adalah pelanggan bertuah.

“Ketika itu, dia turut menyenaraikan beberapa hadiah mewah yang boleh saya menangi seperti kereta mewah dan dari situ saya mula terpengaruh.

“Seterusnya, dia juga meminta saya membayar wang pendahuluan untuk membawa kereta mewah itu pulang sebanyak RM9,000 tetapi saya tidak mempunyai wang yang
cukup untuk membayarnya,” katanya yang terpedaya ketika membeli belah di sebuah pasar raya, di sini.

Azharyati berkata, jurujual tersebut menyarankan agar dia membuat pinjaman segera dari sebuah bank dan meminta dia menggadaikan barang kemas yang ada untuk membayar pendahuluan bagi kereta tersebut.

“Ketika itu, saya sendiri seolah-olah mengikut apa sahaja arahan jurujual sekali gus memenuhi permintaannya. Namun sejurus selepas sampai di pejabatnya dekat Jalan Haji
Ahmad, mereka mengatakan saya hanya berjaya memenangi sebuah Tilam Jade.

“Selepas itu saya pulang ke rumah dan mula melayari Internet bagi mendapatkan maklumat mengenai syarikat tersebut dan alangkah terkejutnya saya kerana tilam yang dikatakan bernilai RM28 ribu tersebut sebenarnya hanya RM500 sahaja.

“Menyedari bahawa diri saya tertipu, saya ke pejabat itu semula dan berkeras untuk mendapatkan duit saya kembali tetapi syarikat tersebut masih berdolak dalih menyebabkan
saya membuat laporan polis dan tribunal pengguna,” katanya.
Sehubungan itu, Azharyati berharap agar pengalaman pahit ini dijadikan pengajaran dan mahu syarikat yang menipunya itu mendapat hukuman setimpal mengikut undang-undang.

“Saya memang menyesal dengan insiden ini, saya tidak akan berputus asa untuk mendapatkan kembali duit saya dan barang kemas yang tergadai. Semoga orang lain tidak menerima nasib seperti saya ini,” katanya.

tergadai akibat berjudi

Tergadai harta akibat judi
WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Julai 2012
Tergadai harta akibat judi
Sakari kehilangan dua lori dan kontrak dengan syarikat gara-gara kegilaannya terhadap judi atas talian.
Seorang pengusaha sebuah syarikat pengangkutan kecil terpaksa menggadaikan dua lori yang selama ini menjadi sumber rezekinya untuk melunaskan hutang akibat ketagihan judi internet.

Dia bukan sahaja kehilangan lori malah peluangnya untuk mendapatkan kembali kontrak kerja dengan beberapa kilang di sini sudah tertutup disebabkan kegagalannya mematuhi
syarat kontrak yang ditandatangani sebelum ini.

Kerana tabiat judinya itu, Sakari, 40-an (bukan nama sebenar) terpaksa melupakan pulangan hasil pekerjaannya yang mencecah RM15,000 sebulan sebelum ini sebaliknya terpaksa terima gaji baru hanya RM900 sebagai pemandu lori sebuah syarikat lain.

Namun dia tidak pernah mengambil pengajaran atas segala yang berlaku, dengan gaji RM900 itu, Sakari masih terjebak dengan aktiviti tersebut dan sebahagian wang gajinya dihabiskan untuk bertaruh.

Akibatnya, dia sering kesempitan wang dan terpaksa berhutang dengan kawan-kawan untuk menyediakan keperluan keluarga.

Pengalaman Sakari itu diceritakan abangnya, Sanadi, 53 (bukan nama sebenar) ketika menghubungi Sinar Harian untuk membuat aduan berhubung kegiatan judi internet di satu
kawasan di sini, baru-baru ini.

Dalam perbualan itu, Sanadi kecewa dengan sikap adiknya yang suka berjudi sehingga tergadai segala harta hasil usaha gigihnya selama ini.

“Saya sendiri tidak pasti sejak bila dia terjebak dengan judi ini bagaimanapun menurut kawan-kawannya, tabiat itu serius sejak tiga tahun kebelakangan ini.

“Dia tidak pernah menceritakan masalah itu kepada saya sehinggalah isterinya datang mengadu tentang kehidupan keluarga mereka sekarang,” katanya.

Menurutnya, isteri adiknya ada memberitahu bahawa suaminya pernah menghabiskan RM2,000 sehari untuk bermain judi internet ini.

“Dia ada menang sekali sekala dalam jumlah yang agak besar namun semua hasil judi itu turut lebur ‘ditelan’ komputer,” katanya.

Dia berkata, pengalaman yang dilalui adiknya itu patut dijadikan iktibar kepada orang lain supaya tidak sesekali terlibat dalam kegiatan ini.

“Sama ada alasan sekadar suka-suka atau kecil-kecil, aktiviti ini akan menjerat mereka yang mencuba dan kesannya akan berlaku ketagihan sama seperti dadah.

“Kalau sudah terbelenggu dengan tabiat ini, ada kemungkinan mereka akan hilang segalanya termasuk harta, kerjaya, keluarga dan maruah,” katanya.

Justeru beliu meminta pihak berkuasa memerangi kegiatan ini habis-habisan dan jangan biarkan pengusaha premis internet yang menyediakan permainan berunsurkan perjudian mengulangi kesalahan sama.

“Pihak berkuasa yang terlibat perlu membuat pemantauan berterusan ke atas premis judi yang diserbu kerana mereka seolah-olah tidak serik sebaliknya teruskan operasi walaupun dikenakan tindakan,” katanya.

anak serik

Kisah 3 beradik: 'Makan dua senduk nasi sehari'
NORAIZURA AHMAD
1 Julai 2012
'Makan dua senduk nasi sehari'
Nordi mengucup pipi anaknya selepas mereka berjaya dibawa pulang ke Malaysia. -FOTO: SAFWAN MANSOR
KUALA LUMPUR - “Terima kasih kerana bawa kami pulang. Kami tak mahu ke sana semula. Kami mahu tinggal bersama ayah. Saya mahu ke sekolah dan tak mahu jumpa ibu lagi.”

Demikian luah Nurul Safiza Fitri Nordi, 11, sejurus sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, tengah hari semalam. Nurul bersama dua adiknya, Muhammad Nurhan, 9, dan Nurmasyita Amiera, 8, terpisah dengan ayahnya, Nordi Adi, 57, kira-kira lima tahun lalu selepas ibu tirinya membawa mereka tinggal di Lampong, Jakarta.

Nurul berkata, mereka tiga beradik terpaksa bekerja sebagai buruh untuk menampung kehidupan dan masuk ke dalam hutan untuk mencari hasil hutan.

Menurutnya, mereka hanya diberi makan dua senduk nasi sekiranya hasil diperoleh sedikit, manakala upah diterima sebahagiannya perlu dibahagikan kepada ibu tirinya yang tidak bekerja.

“Kami bertiga akan masuk ke hutan dari pagi sehingga petang. Ibu juga akan memarahi kami sekiranya melakukan kesalahan walaupun kesalahan kecil,” katanya.

Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, kakak sulungnya, Siti Norzana, 12, tidak tinggal bersama mereka sejak setahun lalu kerana dihantar ibu tiri mereka ke Temusuci, Indonesia untuk bekerja di sana.

Isteri enggan balik ke Malaysia

Sementara bapa mereka, Nordi bersyukur dengan kepulangan tiga daripada empat anaknya yang terpisah sejak tahun 2010.

“Saya akan menjaga mereka dan memberi pendidikan yang sempurna walaupun hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan.

“Saya gembira dapat bantuan daripada Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO dan kerajaan kerana membantu saya membawa pulang mereka,” katanya.

Nordi juga meletakkan harapan tinggi untuk membawa pulang anak sulungnya dan yakin ia dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.

Menurutnya, empat kanak-kanak itu hasil perkahwinannya dengan isterinya, Muhainah Asmah, 34, dan berpisah pada 2006.

Katanya, setahun selepas itu, dia berkahwin dengan wanita warga Indonesia berusia 18 tahun pada 2007 dan membina hidup baru di kampung halaman wanita tersebut di Lampong, Jakarta bersama anak-anaknya.

“Selepas beberapa bulan, saya balik ke negara ini dan bekerja sebagai pengawal keselamatan di Johor Bahru. I

steri saya enggan balik bersama dan mahu menjaga anak-anak saya di sana,” katanya.

Nordi berkata, dipercayai isterinya menggunakan empat orang anaknya itu sebagai alasan untuk mendapatkan wang.

Menurutnya, kali terakhir berjumpa anaknya pada 2010 dan isterinya enggan pulang serta menegaskan mahu menjaga anaknya di sana.

“Saya terpaksa mengeluarkan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM27,000 dan hasil perniagaan baja RM60,000 untuk diberikan kepada isteri bagi kegunaan anak-anak,” katanya.

Hanya tiga berjaya dibawa pulang

Sementara itu, Pengerusi Biro Aduan Pemuda UMNO, Datuk Muhd Khairun Aseh berkata, dua pegawainya bersama Nordi ke sana untuk melaksanakan misi membawa pulang empat adik beradik tersebut.

Menurutnya, mereka terpaksa menempuh 16 jam perjalanan sebelum sampai ke sana dan berjaya membawa pulang hanya tiga daripada mereka.

“Kita mengalami pelbagai kesulitan termasuk berunding dengan ahli keluarga di sana dan masalah dokumen perjalanan kerana sebelum ini mereka masuk ke negara itu dengan cara yang tidak sah.

“Kakak mereka tidak ditemui kerana tinggal berasingan, tetapi kita akan terus berusaha untuk membawanya pulang,” katanya