Tidur di kaki lima hospital
5 Jun 2012
Menurutnya, keadaan itu sudah berlarutan sejak 12 tahun lalu selepas dia terlibat dengan kemalangan di tempat kerja dan disahkan mengalami kecederaan agak parah serta mempunyai kesan yang berlarutan sehingga kini.
Menurutnya, rawatan untuk penyakit sepertinya perlu dirujuk di HKL berikutan hospital berhampiran sama ada Port Dickson ataupun Seremban tidak mempunyai atau menyediakan kepakaran khusus berkenaan.
"Setiap kali ada temu janji, saya akan ke HKL dengan menunggang motosikal dan bagi mengelakkan saya lewat, saya kebiasaannya akan keluar dari rumah sehari awal iaitu pada waktu petang sebelum tiba di HKL kira-kira tiga jam kemudian.
"Bagi menjimatkan perbelanjaan, saya akan berehat dan tidur di kaki lima hospital sementara menunggu keesokan hari (hari temu janji),” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya, baru-baru ini.
P Muhomed Ibrahim berkata, dia akan berulang alik ke HKL sekurang kurangnya tiga hingga empat bulan sekali.
“Namun ia juga bergantung dengan tahap kesihatan saya, jika saya berhadapan dengan masalah sama ada tidak boleh kencing walaupun tiub dipasang ataupun kencing tanpa kawalan, saya akan segera ke HKL,” katanya.
Tak mampu bekerja
P Muhomed Ibrahim berkata, selepas kemalangan itu, dia tidak boleh bekerja kerana kehilangan upaya.
“Selepas kemalangan, saya ada menerima pampasan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), namun terpaksa digunakan untuk kelengkapan isteri yang ketika itu baru melahirkan anak.
"Akibat kejadian itu, kini saya tidak mampu berdiri terlalu lama atau melakukan kerja-kerja berat. Kadangkala ada juga melakukan kerja sampingan untuk mendapatkan wang tambahan,
namun sangat terhad," katanya.
Menurutnya, dia adalah anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan jika ada majlis di sekitar rumah yang memerlukan tugasan Rela dia akan gagahkan diri untuk bekerja, namun perlu bergantung kepada tahap kesihatannya.
“Selain itu, tahun lepas saya pernah mencuba untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan, namun tidak berjaya,” katanya yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sejak 2010 dan Baitulmal serta pampasan bulanan Perkeso berjumlah keseluruhannya RM495.
Sementara itu, isterinya, Elimarni Nurman, 45, berkata, dia redha dengan keadaan suaminya dan menganggapia sebagai satu ujian ALLAH SWT kepadanya keluarganya.
Elimarni yang menghidap penyakit asma turut terbatas pergerakannya kerana penyakitnya berada pada tahap serius.
“Kami sekeluarga hanya bergantung kepada wang bantuan selain belas ehsan daripada jiran tetangga. Kebiasaannya wang bantuan yang diperoleh akan didahulukan untuk pembayaran bil elektrik dan air selain kos perubatan suami.
"Soal makan dan minum pula kami akan makan apa yang ada. Saya juga ada bercucuk tanam di kawasan belakang rumah dan tanah jiran, jika ada hasil itulah yang kami akan makan,” katanya.
Bina rumah atas tanah rizab
Penderitan keluarga ini tidak berakhir di situ sahaja kerana rumah yang didiami mereka bersama seorang anak, Nur Shazwani Dayana, 11, didirikan di atas rezab sungai dan jalan.
Elimarni berkata, rumahnya itu dibina beberapa tahun lalu dengan bantuan kewangan hampir RM2,500 daripada Baitulmal selepas rumah pusaka ibu yang dihuni mereka sebelum ini uzur.
“Bantuan kewangan RM2,500 itu memang tidak cukup, namun atas ikhtiar sendiri dan pertolongan rakan suami yang membinanya, rumah ini siap juga.
"Memang jika orang luar lihat rumah kami, ia nampak cantik dan sempurna tetapi sebenarnya hampir keseluruhan rumah ini dibina dengan barangan kitar semula yang saya kutip sendiri dari tapak pengumpulan sampah di kawasan berhampiran," katanya.
Katanya, sebelum ini, ada pihak memaklumkan namanya tersenarai sebagai peserta E- Kasih, namun sehingga kini tidak tahu apa perkembangannya.
Usaha bantuan rumah PPRT Kesusahan hidup keluarga berkenaan akan berakhir apabila mendapat perhatian daripada Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk M Saravanan yang turun padang pada program Kesejahteraan Bandar Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, baru baru ini.
Pada lawatan itu, M Saravanan ada memaklumkan pihaknya akan mengusahakan bantuan rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) kepada mereka.
Elimarni berkata, dia sangat berharap agar bantuan PPRT itu dapat diluluskan dengan segera.
“Jika ada rumah kehidupan kami sekeluarga akan lebih terjamin, terutamanya masa depan anak saya,” katanya yang turut memohon bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin untuk anaknya.
Dalam pada itu, Elimarni berkata, sebelum ini, dia ada menyertai kelas kemahiran anjuran Risda membuat barang kraftangan daripada kertas surat khabar, namun dari semasa ke semasa tempahan yang diterima berkurangan dan sekarang tiada langsung.
JKKK cari tanah kosong
Sementara itu, Ketua Kampung, Kampung Paya, Abd Majid Wardia berkata, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) sentiasa berusaha untuk memastikan penduduknya memperoleh bantuan sepatutnya.
“Mengenai masalah yang dihadapi Elimarni sekeluarga, JKKK sentiasa membantu dan memberi sokongan untuk dia menerima bantuan JKM dan Baitulmal. Sementara bantuan PPRT, ada beberapa masalah memandangkan Elimarni tiada tanah sendiri.
“Walau bagaimanapun, JKKK masih berusaha untuk mencari tanah kosong yang sesuai bagi membolehkan mereka menerima bantuan berkenaan,” katanya.
No comments:
Post a Comment