Masih menanti komputer riba
5 Jun 2012
Siti Norain dan adiknya Rosfatehah Ahmad, 15, berkata, mereka pernah bertanyakan hal itu kepada guru, namun diberitahu hanya pelajar terpilih sahaja mendapat bantuan berkenaan.
Bagaimanapun, apa yang menghairankan mereka, rakan-rakan yang masih mempunyai ibu bapa dan bekerja layak menerima sedangkan ibu mereka hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan untuk menyara keluarga.
Menurut Siti Norain, dia terkilan apabila rakan lain yang kehidupannya lebih selesa dapat bantuan berkenaan sedangkan dirinya tidak mendapat bantuan tersebut.
“Saya rasa terkilan kerana emak kami ibu tunggal malah menanggung adik beradik yang ramai, tetapi masih tidak dapat komputer riba.
“Sekurang-kurangnya kalau dapat kemudahan itu kami dapat memanfaatkannya pada cuti persekolahan ini dengan mencari maklumat mengenai Penilaian Menengah Rendah
(PMR) yang kian hampir tidak lama lagi,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Bagi Rosfatehah pula, dia sudah lama mengidam untuk memiliki komputer riba namun memahami pendapatan ibunya tidak seberapa ditambah pula bebanan sewa rumah dan menanggung anak-anak yang masih bersekolah membuatkannya melupakan hasrat berkenaan.
“Rasa sedih dan kecewa juga kerana orang lain dapat, tetapi kami seolah-olah dipinggirkan. Adakah disebabkan ibu kami yang bekerja sebagai pengawal keselamatan menyebabkan kami tidak layak,” katanya yang kematian ayah sejak sembilan tahun lalu akibat kemalangan jalan raya.
Sementara itu, ibu dua beradik berkenaan, Jamaliah Mohd Fazil, 39, berkata, hatinya sayu apabila mendengar luahan anak-anaknya namun pendapatannya yang tidak seberapa
membuatkannya terpaksa mengutamakan perbelanjaan yang lebih penting.
Menurutnya, biarpun mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan bantuan makanan daripada Majlis Agama Islam Melaka (Maim) setiap bulan, namun dengan tanggungan enam anak yang masih bersekolah, ada kalanya mereka terpaksa ikat perut.
“Bagaimanapun, saya juga berharap ada pihak yang sudi membantu mendapatkan rumah kos rendah agar kami sekeluarga tidak terus hidup menyewa,” katanya.
No comments:
Post a Comment