Gigih urus ladang arwah suami
5 Jun 2012
Bagi isteri peneroka, Safiah Dalip, 57, walaupun kini bergelar ibu tunggal, namun tidak jadi penghalang buat dirinya untuk mengusahakan ladang getah peninggalan arwah suami seluas kira-kira 4.047 hektar setiap hari.
Menurutnya, dengan menaiki motosikal sejauh 13 kilometer dari rumahnya di Felda Palong 9 ke kebun setiap hari selepas Subuh, dia kini sedar akan kepayahan arwah suaminya, Adam Saleh yang menguruskan ladang berkenaan selama ini.
Katanya, walaupun sukar namun sebagai isteri, sudah menjadi tanggungjawabnya untuk meneruskan usaha arwah suaminya itu supaya ladang berkenaan tidak terbiar lantas menyulitkan pengurusan Felda untuk membaik pulih tanaman.
“Pada peringkat awal agak sukar bagi saya untuk menguruskan ladang seluas ini dalam satu-satu masa. Namun, apabila difikirkan, lebih baik menguruskan sendiri ditambah dengan
bantuan dan nasihat daripada pihak Felda, saya yakin boleh lakukan dengan baik.
“Sekiranya anak-anak pokok getah diurus dengan baik, tidak mustahil ia akan membawa hasil yang memuaskan pada masa akan datang,” katanya yang turut memberitahu, anak-anaknya juga turun padang untuk membantunya.
Sementara itu, Safiah berkata, keuntungan menguruskan ladang sendiri lebih berbaloi berbanding menggunakan buruh kontrak kerana upah kos pembangunan ladang yang diberi Felda sebanyak
RM400 sebulan diperoleh secara terus.
Menurutnya, peruntukkan itu termasuklah kos pembajaan, merumput dan beberapa kerja berkaitan.
“Sementara kudrat masih ada inilah saya uruskan semua ini. Jika tiada pantauan mungkin projek tanam semula di Ladang Felda Palong Sembilan ini akan gagal.
“Sekiranya hal itu berlaku, ini mendatangkan kos yang lebih besar bagi Felda dan peneroka sendiri mengalami kerugian,” katanya yang juga merupakan seorang guru Kelas Agama Petang (Kafa) di Sekolah Agama Rakyat.
Dalam pada itu, Safiah turut menerima lawatan Pengurus Felda Palong 9, Salih Nuhidin; Ketua Peneroka Negeri, Othman Parman ke ladangnya bersama Pengerusi Tanam Semula Felda Palong 9, Saffee Satam.
No comments:
Post a Comment