Wednesday, December 8, 2010

Maut Pijak Dek Gajah


Lelaki maut dipijak sekumpulan gajah liar ketika mencari buah keranji

GUA MUSANG 7 Dis. - Tindakan lima lelaki memasuki Hutan Bring berhampiran Pos Pasik untuk mencari buah keranji petang semalam, bertukar menjadi mimpi ngeri apabila dikejar sekumpulan gajah liar menyebabkan seorang daripada mereka maut dipijak haiwan tersebut.

Mangsa, Muhamad Adnan Iberahim, 26, dari Kampung Bertam Lama dekat sini, dan empat rakannya, dikatakan memasuki hutan tersebut pukul 8 pagi sebelum terserempak dengan kumpulan gajah terbabit pada pukul 4.50 petang.

Ketua Polis daerah, Supritendan Saiful Bahri Abdullah berkata, mangsa yang dipijak di bahagian dada oleh haiwan berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Kesemua mangsa berusaha menyelamatkan diri kerana terlalu takut tanpa menyedari salah seorang daripada mereka gagal berbuat demikian.

"Ketika berada di kawasan selamat, barulah mereka menyedari Muhamad Adnan tiada lalu masuk semula ke dalam hutan untuk mencarinya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Saiful Bahri berkata, mayat Muhamad Adnan ditemui rakannya dalam keadaan menyayat hati akibat kecederaan parah di bahagian dadanya.

Jelasnya, berdasarkan maklumat daripada salah seorang rakan mangsa, kelima-lima lelaki terbabit memasuki hutan tersebut dengan menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda bagi mencari buah keranji.

"Mereka mengusung mayat mangsa menaiki kenderaan itu pulang ke rumahnya sebelum membuat laporan di Balai Polis Bertam pukul 6.30 petang.

"Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat dan telah dituntut keluarganya awal pagi ini untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lata Rek," jelas Saiful Bahri.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri, Pazil Abdul Patah ketika dihubungi hari ini berkata, sekumpulan anggotanya telah dihantar ke kawasan kejadian untuk membuat pemantauan.

"Kita tidak dapat pastikan bilangan gajah yang berkeliaran di situ memandangkan ia adalah kawasan hutan. Kita hanya boleh maklumkan bahawa anggota Perhilitan sudah berada di lokasi untuk melakukan siasatan," katanya.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment