Sedar jerat cinta siber
SETIAP kali membaca ruangan ini, ia menyedarkan saya betapa hebat dugaan dan ujian Allah kepada hamba-Nya. Saya antara gadis yang terkandas dalam jerat cinta siber.
Saya berusia 19 tahun dan menuntut di universiti dalam negara. Dengan keputusan SPM yang sangat cemerlang, saya yakin dapat melanjutkan pelajaran di luar negara, tapi Allah menentukan segala-galanya.
Di antara rakan beroleh keputusan cemerlang, hanya saya tidak mendapat tawaran ke luar negara. Saya menangis semahu-mahunya kerana itu impian saya sejak sekolah rendah lagi.
Namun saya bersyukur kerana dikurniakan ibu dan ayah yang memahami saya. Di kala kesedihan, ibu menasihati saya, mungkin ada hikmahnya di sebalik dugaan ini. Saya sangat bersyukur kerana ibu dan ayah sentiasa memberi dorongan dan sokongan untuk saya mencapai kejayaan di menara gading.
Selepas tamat peperiksaan SPM saya selalu melayari Internet. Saya mengikuti ruangan motivasi di Internet dan juga berbual dengan rakan di laman itu. Satu hari saya mengenali seorang lelaki di laman siber.
Biar saya memperkenalkannya sebagai M. M berusia 40-an, mempunyai isteri dan empat anak. Anak perempuannya sebaya dengan saya. M lelaki korporat yang berasal dari luar negara. Kami banyak berkongsi pendapat dan mempunyai hobi sama.
Selalunya saya minta dia bercerita daripada perspektif seorang bapa. M sangat bertanggungjawab dan penyayang. Setelah setahun berkawan dengannya, terbit rasa sayang antara kami berdua.
Dia menceritakan dia cuba sedaya upaya untuk membahagiakan isteri dan anaknya namun isterinya tidak pernah berterima kasih, malah sering bercakap dalam nada kurang sopan kepadanya.
Keserasian kami berdua menyebabkan dia merasakan ‘kekosongan’ jiwanya terisi dengan perhatian dan tumpuan yang saya beri kepadanya. Pada mulanya saya menolak, tapi lama kelamaan saya juga mengakui sayangkannya.
Setiap kali isterinya mengeluarkan kata-kata kesat, M keluar rumah kerana tidak sanggup bertengkar dengan isterinya. Dia berbuat begitu juga kerana tidak mahu memukul atau menyakiti fizikal isterinya.
Saya yakin M jujur berkawan dengan saya kerana sehingga sekarang dia tidak pernah meminta saya melakukan perkara tidak senonoh ketika kami membuat panggilan video. Dan M tidak pernah memulakan atau bercakap mengenai seks.
Untuk pengetahuan Dang Setia, M beragama Kristian. Sebelum kami berkenalan, dia merokok dan meminum arak. Dia juga mempunyai penyakit darah tinggi.
Saya menasihatinya untuk menghentikan amalan berkenaan. Saya juga menasihatinya supaya elak makan daging merah kerana ia dapat membantu menyembuhkan penyakitnya.
Saya terkejut dengan perubahan dialami M kerana ternyata dia mengikuti nasihat saya dan sekarang tekanan darahnya di tahap normal. Hampir dua tahun dia meninggalkan tabiat merokok dan dia tidak lagi minum arak.
Dia berterus terang kepada saya isterinya yang bertugas sebagai jururawat tidak pernah mengambil berat mengenai kesihatannya, dan dia bertekad untuk kembali sihat kerana dia sayangkan saya dan hubungan kami.
Namun kini saya terjaga daripada lena selepas prestasi akademik merosot. Saya gagal dalam beberapa subjek. Saya tidak dapat fokus dalam pelajaran kerana selalu teringatkan M. Saya tidak pernah memberitahu sesiapa pun mengenai hubungan saya dengan M.
Apabila ibu dan ayah mengetahui keputusan saya, mereka tidak marah, sebaliknya mengajak saya berbincang dengan baik. Pada masa itu mereka mengingatkan kembali impian saya yang tidak tercapai sewaktu SPM.
Mereka juga menyuarakan hasrat dan impian untuk melihat saya berjaya bukan saja dalam akademik tetapi juga daripada segi akhlak dan budi pekerti.
Ibu dan ayah memberi saya ruang untuk memperbaiki kelemahan diri walaupun ada ketikanya saya lupa betapa besarnya pengorbanan mereka untuk saya adik-beradik.
Setelah itu saya bertaubat dan berazam untuk berubah. Saya berazam meninggalkan M dan meneruskan perjuangan sebagai pelajar.
Saya berterus terang kepada M untuk berpisah dengannya dengan cara baik. Saya menyatakan saya sangat menghormatinya dan saya sendiri tidak sanggup jika ayah saya menjalin hubungan dengan perempuan lain yang seusia dengan saya.
Saya berterus terang mengenai keputusan untuk meninggalkannya bukan untuk kepentingan diri saya saja, bahkan untuk kepentingan keluarganya.
Saya tidak mahu anaknya hilang perasaan hormat kepadanya. Saya sedar hubungan kami satu kesilapan dan saya meninggalkannya kerana tidak mahu menipu ibu bapa saya lagi. Setelah berbincang melalui telefon, akhirnya M bersetuju menamatkan hubungan kami.
Namun dia mengatakan jangan terkejut jika dia kembali merokok dan meminum arak. Kami tidak lagi berhubung selepas perbualan itu.
Sehingga hari ini setiap saat saya dihantui perasaan bersalah kepada M. Saya tidak mahu merosakkan hidup M setelah kami berpisah.
Saya sering bermimpi M menjadi kaki botol dan mengabaikan tanggungjawab kepada anaknya. Adakah saya berdosa jika M menjadi sebegitu disebabkan saya meninggalkannya kerana Allah dan ibu bapa?
MELATI
Kuala Lumpur
Syukur saudari cepat sedar betapa bahayanya jerat siber pada zaman teknologi maklumat ini. Bagi Dang Setia, apa dilakukan saudari adalah langkah terbaik untuk kebaikan semua pihak iaitu saudari, M, keluarga saudari dan keluarga M.
Pada peringkat awal, saudari akan berasa kehilangan M kerana dia pernah bertapak di hati, itu perkara lumrah dalam percintaan.
Namun percayalah, kelak saudari akan bersyukur kerana melakukan keputusan tepat dan nekad ketika berada di persimpangan.
Kemerosotan dalam pelajaran adalah bukti awal hubungan itu memberi kesan negatif dalam hidup saudari. Mungkin benar M berhati mulia, tapi semulia mana pun hatinya M tidak akan mampu membahagiakan saudari.
Terlalu banyak pancaroba dan halangan yang bakal mendatang jika saudari meneruskan hubungan dengan M. Dia berkeluarga, berusia, berlainan agama dan bukan warga negara.
Saudari bertuah kerana memiliki ibu bapa yang memahami dan tidak mengongkong. Namun apa jua sikap mereka, ibu bapa mana yang tidak mahu melihat anaknya berjaya dalam pelajaran dan hidup, apatah lagi dulu saudari pelajar cemerlang.
Ingat, untuk kekal cemerlang bukan perkara mudah, sebaliknya ia memerlukan pengorbanan.
Pengorbanan itu tidak hanya pada wang ringgit, malah mencakupi semua aspek termasuk cinta.
Cinta dan manusia tidak dapat dipisahkan, apatah lagi membabitkan remaja seperti saudari. Ia adalah norma kehidupan yang boleh dikatakan dialami setiap individu pada zaman muda.
Bagi Dang Setia, cinta berkualiti adalah cinta yang membawa kesan positif dalam hidup seseorang.
Cinta agung adalah cinta yang menjadikan seseorang itu bersemangat, ceria dan berjaya dalam kehidupan.
Cinta seharusnya menjadi madu dan bukan racun bagi seseorang, sama ada lelaki atau perempuan.
Kadangkala apabila melakukan pengorbanan dalam hidup, kita dibelenggu perasaan bersalah seperti mana dialami saudari terhadap M.
Perasaan itu wujud kerana saudari berpisah dengan M ketika perasaan sayang masih wujud. Ia mungkin menyeksakan pada peringkat awal tapi boleh diatasi.
Kadangkala untuk mengejar impian kita perlu berlaku kejam, tamak atau pentingkan diri sendiri daripada sudut perasaan terhadap individu lain.
Itu yang saudari lakukan terhadap M — satu langkah terbaik untuk diri saudari tapi mungkin melukainya.
Percayalah luka M tidak dalam, hanya di permukaan. Dia tiada sebab untuk menyalahkan saudari kerana hidupnya boleh dikatakan lengkap dengan karier dan keluarga.
Penyelesaian kedua, saudari boleh terus berkawan tapi bukan bercinta, dengan niat mendekatkan M kepada Islam.
Ini kerana saudari mampu membawa kesan positif dalam hidup M seperti mempengaruhinya berhenti merokok dan minum arak.
Namun ini langkah berisiko. Saudari perlu bertanya diri sendiri sebelum terperangkap dalam situasi itu.
Adakah saudari mampu sekadar berkawan dengannya sedangkan sebelum ini kalian bercinta.
Kalau tidak mampu, nasihat Dang Setia jauhi daripada M demi masa depan saudari.
No comments:
Post a Comment