Tuesday, December 7, 2010

Erti Bahagia

Apa maksud perkahwinan bahagia?


SAYA seorang remaja perempuan yang menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Keluarga saya kecil dan hanya mempunyai seorang adik lelaki. Adik lelaki saya juga menuntut di IPTA.

Saya ingin bertanya Dr mengenai apa yang dimaksudkan dengan sebuah perkahwinan bahagia.
Saya keliru kerana apa yang didedahkan kepada saya mengenai istilah perkahwinan bahagia tidak sama dengan apa yang dilihat dalam perkahwinan ibu bapa saya.

Sebagai remaja perempuan, tentu sekali satu hari nanti saya ingin berkahwin dan mempunyai perkahwinan kekal hingga akhir hayat dan pasti tidak inginkan perceraian.



Saya ada membaca cerita perceraian terutama di kalangan artis.


Dalam banyak ceramah kekeluargaan, antara resipi kebahagiaan perkahwinan dan rumah tangga ialah kemahiran berkomunikasi, saling memahami dan pengorbanan. Tetapi, ia tidak ada dalam perkahwinan ibu bapa saya.

Walaupun, ibu bapa saya kekal sebagai suami isteri, rumah kami penuh dengan kesunyian. Ibu bapa membuat haluan masing-masing. Mereka tidak bergaduh, tetapi tidak bergurau senda.

Ibu saya selalu tidak mengendahkan bapa dan sering membiarkan bapa membuat halnya sendiri. Contohnya, apabila ibu ingin keluar berjalan dengan saya, dia tidak peduli sama ada sudah beritahu ayah atau tidak.

Ayah pula terlalu memberi muka kepada ibu. Apa saja yang dikehendaki ibu diturutinya. Ayah tidak pernah membantah permintaan ibu.

Saya pernah terdengar perbualan mereka iaitu ayah mahu ibu melahirkan anak lagi, tetapi ibu enggan sedangkan dia tidak bekerja. Memang pelik sikap ibu, tetapi ayah tetap sayang.

Dari sudut pendidikan, ibu saya tidak berpelajaran tinggi manakala bapa berkelulusan universiti. Mereka berkahwin lebih 23 tahun.

Sejak kecil, saya lihat mereka tidak suka keluar bersama-sama, tiada gelak ketawa, malah bapa jarang berbincang mengenai tugasnya dengan ibu.

Bapa sering seorang diri dan jarang mengikut ibu keluar. Ibu pula sering ke rumah ibunya yang hanya beberapa kilometer dari rumah saya.

Adakah disebabkan status pendidikan yang jauh berbeza, mereka tidak dapat berkomunikasi dengan baik? Adakah ini bermakna saya kena memilih jodoh yang mempunyai taraf pendidikan lebih kurang sama dengan saya supaya perkahwinan itu tidak menjemukan?

Saya keliru dan tertanya-tanya sama ada ibu dan bapa saya gembira dengan perkahwinan mereka?

Apabila saya berkahwin nanti, adakah perkahwinan itu akan jadi seperti mereka, sebuah perkahwinan yang sunyi sepi?

Adakah saya perlu bercinta dulu sebelum berkahwin atau kahwin dulu baru bercinta?

ANAK SEDIH
Kuala Terengganu



PERKAHWINAN adalah sebuah hubungan yang ada kalanya unik. Pasangan yang tidak bahagia tidak semestinya akan bercerai.

Ramai pasangan suami isteri mengambil kira banyak faktor untuk mengekalkan sebuah rumah tangga terutama sekali apabila memikirkan kesejahteraan mental dan emosi anak-anak.

Kebahagiaan juga adalah relatif sifatnya, ada suami isteri yang mendefinisikan kebahagiaan perkahwinan sebagai melihat pasangannya gembira walaupun dirinya tidak gembira.

Seperti ibu bapa adik, setiap pasangan suami isteri mempunyai cara tersendiri untuk menilai perkahwinan dari sudut kebahagiaan.

Resipi kebahagiaan mengikut mereka adalah ukuran sendiri. Mungkin tingkah laku dan sikap ayah dilihat sebagai terlalu mengikut kata-kata ibu namun ayah adik mempunyai sebab tersendiri mengapa beliau tidak membantah kehendak ibu.

Ayah boleh bersifat lebih asertif dengan meminta ibu memberi perhatian kepada dirinya, melahirkan anak lagi dan tidak selalu ke rumah ibunya.

Namun, ayah tidak melakukannya. Sikap ayah ini membuatkan ibu merasakan apa yang dilakukannya adalah betul. Apabila ayah tidak bersifat asertif, dia perlu bertanggungjawab atas apa yang dilakukan ibu.

Ayah perlu berhadapan dengan kesan daripada sifat dirinya yang tidak asertif dan tingkah lakunya.

Dr tidak tahu sama ada ayah dan ibu gembira atau tidak dengan perkahwinan mereka. Yang pasti, mereka mahukan perkahwinan itu berterusan.

Cara mereka berdaya tindak untuk mengatasi konflik rumah tangga adalah berdasarkan keinginan dan keunikan cara tersendiri.

Ada kalanya apa yang diinginkan sebuah pasangan tidak sama dengan jangkaan orang luar.

Apa yang sering adik baca mengenai resipi kebahagiaan sesebuah rumah tangga dari pakar perkahwinan atau pakar motivasi adalah sebagai satu panduan.

Berdasarkan kajian, resipi ini bersifat benar bagi banyak perkahwinan. Namun ia tidak semestinya benar bagi semua perkahwinan.

Ada pasangan yang melihat kebahagiaan rumah tangga dari sudut keinginan mereka tersendiri.

Mengenai perkahwinan adik nanti, apa yang didefinisikan sebagai kebahagiaan banyak bergantung kepada apa yang diinginkan oleh adik dan bakal suami.

Adik boleh menjadikan panduan kebahagiaan perkahwinan sebagai panduan menjalani kehidupan berumahtangga.

Mengenai pertanyaan adik sama ada disebabkan status pendidikan ibu bapa yang jauh berbeza, mereka tidak dapat berkomunikasi dengan baik, jawapan kepada perkara ini perlu diteliti lagi. Membuat andaian hanya akan memberi jawapan tidak tepat.

Komunikasi yang baik bergantung kepada banyak faktor. Perbezaan taraf pendidikan boleh menjadi faktor kepada jurang komunikasi tetapi tidak semestinya benar berlaku kepada perkahwinan ibu bapa adik.

Ini juga secara tidak langsung menjawab kepada persoalan adik iaitu adakah perlu memilih jodoh yang mempunyai taraf pendidikan lebih kurang sama dengan adik supaya perkahwinan menjadi bahagia.

No comments:

Post a Comment