Pelajar lemas di Sungai Jengka dapat 8A PMR
RAUB 24 Dis. - Allahyarham Mohd. Azhar Zulkhairi Hamzah, 15, yang mati lemas di Sungai Jengka pada 17 Disember lalu mencatat keputusan cemerlang 8A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2010 yang diumumkan semalam.
Pengetua Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah (Semesta) di sini, Kamaruddin Kasim berkata, Allahyarham merupakan pelajar yang rajin, berdisiplin dan tergolong calon sasaran mencapai keputusan cemerlang tahun ini.
Menurutnya, Allahyarham sebelum ini memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun 2007.
Tambahnya, warga sekolah ini mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan merasakan kehilangan seorang pelajar yang disenangi oleh rakan dan guru.
"Sebagai tanda simpati warga sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru dan Alumni Semesta mengadakan kutipan derma untuk disumbangkan kepada keluarga Allahyarham yang tinggal di Felda Jengka 16, Maran," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam kejadian 17 Disember lalu, mangsa lemas ketika sedang mandi bersama tiga rakan lain di Sungai Jengka yang terletak dalam ladang tanah rancangan tersebut.
Sementara itu, ayah Allahyarham, Hamzah Hashim, 62, mengakui terharu dan berbangga dengan kejayaan cemerlang anak bongsunya dalam peperiksaan itu.
Katanya, keputusan 8A yang dicatat itu merealisasikan hasrat arwah untuk menghadiahkan keputusan cemerlang kepada keluarga tersebut.
No comments:
Post a Comment