Kumpulan artikel dari website akhbar atau dari web individu mengenai bencana alam,kemalangan,masalah rumahtangga serta tragedi dalam kehidupan masyarakat Malaysia dan dunia.
Tuesday, August 31, 2010
Bahana mercun, bunga api
Oleh Jami'ah Shukri
jamia@bharian.com
2010/08/31
sebelum - selepas
Sikap tidak acuh ibu bapa bawa padahM
MERCUN, meriam dan bunga api, sinonim pada musim perayaan. Masuk saja Ramadan, bagaikan satu tradisi, gema dentuman bunyi mercun atau meriam memecah kesunyian angkasa raya dan tambah meriah dengan percikan warna-warni bunga api.
Tidak mustahil, mengapa ia menjadi antara bahan larangan yang laris di pasaran meskipun sudah jelas dalam peruntukan undang-undang tindakan tegas dikenakan terhadap penjual, pengedar dan pengimport seperti termaktub mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.
Mengikut seksyen itu, mereka yang sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi 20 kali ganda nilai barangan atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.
Namun, berdasarkan kes dilaporkan, memperlihatkan pihak tertentu tidak menghiraukan larangan itu dan sanggup menyeludup barangan berkenaan untuk dijual secara haram.
Pada masa yang sama, masih ramai ibu bapa melayan kerenah anak, tidak saja sedia membakar duit, malah berhabisan untuk membelikan mercun dan bunga api, sedangkan banyak keperluan lain yang perlu dibeli menjelang perayaan. Tambah memburukkan keadaan, ibu bapa turut bermain bersama untuk memuaskan hati anak.
Tidakkah mereka mendapat pengajaran daripada pelbagai kes yang dilaporkan? Saban tahun setiap kali menjelang Ramadan, laporan demi laporan dipaparkan, kanak-kanak atau remaja cedera akibat main mercun hingga putus tangan, jari, buta mata dan sebagainya.
Lebih hebat lagi, ada pula kes kanak-kanak dan remaja yang kreatif mencampurkan bahan itu untuk mendapat bunyi dentuman lebih kuat tanpa memikirkan ia akan memudaratkan serta membahayakan diri jika tersilap langkah.
Justeru, apabila berlaku perkara ini, pelbagai pihak tuding-menuding jari, malah menyalahkan penguatkuasaan undang-undang mengenai larangan menjual, mengedar dan bermain mercun, yang disigfatkan tidak berkesan.
Kejadian terbaru, seorang kanak-kanak mati tersangkut di atas pokok setinggi 15 meter selepas terpelanting apabila stor simpanan mercun meletup, di Kuala Terengganu, baru-baru ini, begitu menyayat hati.
Tragedi sebegini tidak sewajarnya berlaku terutama bapa kanak-kanak terbabit turut disyaki menjadikan stor rumahnya tempat menyimpan mercun. Tindakan itu bukan saja menyalahi undang-undang, malah dianggap dalang dalam menggalakkan lebih ramai lagi kanak-kanak di negara ini mendapatkan bahan terlarang berkenaan.
Banyak lagi kes berkaitan dilaporkan sepanjang Ramadan. Seorang murid Tahun Dua cedera parah di tapak tangan kanan dengan dua jarinya hampir putus apabila mercun bola yang dikutip selepas dicampakkan rakannya tiba-tiba meletup di Alor Setar.
Seorang lagi kanak-kanak, juga murid Tahun Dua, melecur di muka, akibat terkena serpihan mercun bola yang meletup ketika mengopek mercun berkenaan selepas menemui di kawasan perumahan, di Kota Bharu.
Semua kejadian ini, bukan badi Ramadan tetapi ia penyakit yang dicari. Bergantung harap pada undang-undang sepenuhnya bukan tindakan bijak. Ibu bapa khususnya perlu lebih bertindak tegas, memastikan anak-anak tidak mendedahkan diri pada bahaya ini.
Bagi Pensyarah Jabatan Pendidikan dan Psikologi Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Haslee Sharil Abdullah, kemeriahan main bunga api dan mercun sempena Aidilfitri bukan budaya orang Melayu dan ibu bapa perlu lebih bertanggungjawab mendidik anak supaya tidak menjadikan ia kemestian setiap kali musim perayaan muncul.
Naluri kanak-kanak memang suka mencuba sesuatu dan gemar mengikut rakan atau orang lain buat seperti main mercun tanpa terlintas di fikirannya risiko yang menanti mereka.
Sebagai ibu bapa, mereka tidak seharusnya lepas tangan membiarkan anak berbuat apa saja tanpa pengawasan, termasuk main mercun atau bunga api kerana ia bahan berbahaya.
“Apa yang penting ialah beri panduan, nasihat dan didik mengenai sesuatu perkara itu akibat buruk yang akan berlaku jika main mercun. Anak perlukan bimbingan dan tidak boleh dibiarkan bebas melakukan apa saja,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, gaya didikan ibu bapa yang bersifat diktator atau kuku besi melarang jangan berbuat sesuatu perkara, perlu dielakkan kerana akan menakutkan.
Tindakan itu bukan saja tidak begitu berkesan, malah mungkin lebih mendorong anak melakukan sesuatu secara menyorok atau mencuri-curi bagi mengelak diketahui ibu bapa.
“Kaedah terbaik, asuh secara psikologi seperti kenakan denda yang tidak keterlaluan sambil menjelaskan supaya faham apa tujuannya dan sebagai pengajaran supaya tidak melakukannya lagi pada masa depan.
“Apa yang kita lihat, jarang ada ibu bapa yang beri ganjaran, sebaliknya terlalu cepat ingin menghukum apabila buat sebarang kesalahan,” katanya.
Cara terbaik mendidik anak, tegasnya, adalah secara demokrasi iaitu ibu bapa mengawal perkembangan serta pergerakan kanak-kanak dan pada masa sama memberi kebebasan kepada mereka kerana ia secara langsung dapat meningkatkan keupayaan anak dari segi kawalan kendiri, membentuk jati diri yang akhirnya mampu membuat keputusan sendiri tanpa meninggalkan kesan buruk.
“Kita sentiasa mengharap Aidilfitri disambut dengan penuh kemeriahan dan kesyukuran tanpa sebarang tragedi menyayat hati,” katanya mengakhiri bicara.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment