Friday, August 20, 2010

Terbakar


Oleh Mohd Nur Asnawi Daud
asnawi@hmetro.com.my
2010/08/20

SEREMBAN: Sepasukan anggota bomba dan penyelamat yang menjalankan operasi memadam kebakaran sebuah kereta di tepi gaung, dikejutkan dengan suara meminta tolong dari dalam gaung di Jalan Seremban-Kuala Pilah di Bukit Putus, dekat sini, semalam.


ANGKAT...anggota bomba membawa naik pemandu kereta dari dalam gaung.
Dalam petang semalam, lelaki terbabit iaitu pemandu kenderaan yang hangus itu dipercayai sempat keluar menyelamatkan diri sejurus kebakaran tetapi terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 40 meter.

Ketika ditemui terbaring di pangkal pokok di dalam gaung itu, mangsa mengerang kesakitan kerana hampir 80 peratus badannya melecur dan anggota bomba membawanya naik menggunakan pengusung dan dikejarkan ke hospital dengan ambulans untuk rawatan.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Senawang, Ariffin Esa, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 1.05 tengah hari.

Menurutnya, sepasukan pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian bagi memadamkan kebakaran kenderaan berkenaan.

“Ketika memadam kebakaran, anggota kami terdengar suara orang meminta tolong dari bawah bukit lalu turun untuk melakukan pemeriksaan lanjut.

“Selepas pemeriksaan, anggota bomba menemui seorang lelaki berusia lingkungan 30-an mengerang kesakitan dengan kesan kebakaran pada badannya,” katanya ditemui di lokasi kejadian, di sini.

Beliau berkata, pihaknya mengambil masa selama kira-kira 10 minit untuk membawa naik mangsa dari dalam gaung itu sebelum dikejarkan ke hospital.

Menurutnya, punca kebakaran kenderaan berkenaan masih dalam siasatan Unit Siasatan Kebakaran bomba.

Difahamkan, mangsa yang masih sedarkan diri ketika kejadian, sempat memberitahu pasukan penyelamat tiada lagi mangsa lain kecuali dirinya.

Setakat ini, belum dapat dipastikan bagaimana mangsa boleh terbabit dalam kejadian hampir meragut nyawanya.

Sementara itu, seorang saksi, Mohd Zaidi Aziz, 26, berkata dia yang kebetulan lalu di tempat kejadian ternampak kereta itu terbakar di tepi gaung lalu memeriksa.

“Apabila melihat Proton Wira terbakar, saya menghubungi bomba. Ketika terbakar, kereta itu meletup beberapa kali,” katanya.

No comments:

Post a Comment