RAUB: Seorang wanita yang dalam perjalanan ke bazar Ramadan untuk membeli juadah berbuka puasa terbunuh selepas motosikal ditunggangnya bergesel dengan treler sebelum dia terjatuh dan digilis kenderaan berat itu dalam kemalangan di hadapan Rumah Rehat Raub, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.10 petang, mangsa, Nor Amizan Abd Halim, 34, dari Kampung Gali Tengah, dekat sini, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera di kepala dan patah kaki akibat digilis treler berkenaan.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Wan Samsuddin Wan Osman berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang, di sini, dipercayai bergesel dengan treler berkenaan.
Menurutnya, siasatan turut mendapati mangsa terjatuh sebelum kakinya digilis tayar belakang kenderaan berat itu.
Katanya, orang ramai kebetulan berada di tempat kejadian cuba menyelamatkan mangsa dengan menghantarnya ke Hospital Raub, namun mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.
Wan Samsuddin berkata, polis menahan pemandu treler terbabit berusia 38 tahun bagi membantu siasatan, selain menjalankan ujian saringan bagi mengesan sama ada memandu di bawah pengaruh alkohol atau sebaliknya.
“Polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya di sini, semalam.
No comments:
Post a Comment