Monday, August 1, 2011

diganggu mertua

Mertua suka ganggu hidup kami

KATA orang, apabila berlakunya perkahwinan itu, dua keluarga pengantin itu akan menjadi satu. Ertinya pengantin bukan sahaja 'berkahwin' dengan lelaki atau wanita pilihan tetapi juga keluarga pasangan mereka.

Ada setengah hubungan keluarga yang terjalin melalui perkahwinan ini membawa bahagia tetapi tidak kurang juga yang membawa masalah.

Puncanya mudah sahaja, campur tangan mertua dan ipar-duai dalam rumah tangga yang baru dibina. Tidak kira sama ada di pihak lelaki atau wanita, pastinya campur tangan akan membawa kepada perceraian jika tidak ditangani dengan baik.

Inilah kisah yang ingin dikongsi dengan pembaca minggu ini. Luahan hati seorang isteri yang mahu dikenali sebagai Aini (bukan nama sebenar).

Dalam e-melnya, Aini bercerita bagaimana rumah tangganya diatur oleh mertua sejak mereka berkahwin hingga mempunyai dua anak. Kita ikuti kisah Aini untuk iktibar bersama.

"Saya berusia 30 tahun, telah berkahwin dengan suami seorang pegawai tentera sejak lapan tahun lalu. Kami dikurniakan sepasang anak, berusia 5 dan 7 tahun.

"Saya bekerja sebagai guru di sebuah sekolah menengah. Anak-anak dihantar ke nurseri kerana keluarga mertua tidak mahu menjaganya. Ibu saya tinggal jauh di kampung saya nun di selatan tanah air.

"Saya mengharapkan ibu mertua menjaga anak-anak kami kerana rumah kami berdekatan. Lagipun saya hanya bekerja separuh hari. Malangnya dia menolak dengan alasan saya ada gaji, boleh hantar nurseri.

"Saya tidak ambil hati tentang perkara itu kerana sejak awal perkahwinan saya sudah nampak perangai pelik mertua dan ipar-duai saya. Suami saya anak sulung daripada tiga beradik, dia mempunyai dua adik perempuan yang tidak bekerja walaupun ada kelulusan. Bayangkan jika mereka buat perangai, ditambah dengan sikap mertua saya. Bapa mertua saya sudah meninggal dunia.

"Di awal perkahwinan saya tidak berapa ambil tahu tentang urusan kewangan suami sebab saya percaya dia tahu tanggungjawabnya terhadap saya dan rumah tangga kami.

"Ketika mengandung anak sulung, mertua saya meminta suami membawa saya keluar dari rumahnya dengan alasan, rumah sempit dan hanya ada dua bilik.

"Saya terima permintaannya dengan senang hati, memang itu yang saya mahu. Kami menyewa di sebuah taman berhampiran rumahnya yang hanya mengambil masa 10 minit untuk sampai.

"Ingatkan akan reda, sayangnya lain yang terjadi. Mertua meminta saya dan suami datang ke rumahnya setiap hari selepas balik kerja. Selepas makan baru kami boleh balik.

"Suami mengikut perintah ibunya tanpa membantah. Sehari dua saya boleh tahan, kalau hari-hari, bukankah kerja bodoh namanya. Lebih baik kami terus tinggal di rumah itu, daripada berulang-alik setiap hari.

"Peliknya, duit belanja sudah diberi setiap bulan tetapi mertua minta kami belikan barang-barang dapurnya apabila cukup bulan, ini tidak termasuk permintaan untuk beli keperluan lain yang diingini.

"Ada masa dia mahu pergi makan angin, atau melawat saudara-maranya, kami suami saya perlu ikut sebab mahu menjaga hati ibunya.

"Setelah anak sulung saya lahir kami tidak punya waktu lagi untuk singgah ke rumahnya setiap hari. Sebab anak saya dihantar ke nurseri. Mertua saya tidak mahu jaga walaupun dia masih sihat dan saya ada dua adik ipar yang tidak bekerja. Kerja mereka menonton TV dan melawa. Semuanya dengan duit abang mereka.

"Disebabkan saya tidak mahu singgah ke rumahnya, dia mula kata saya menantu tidak guna, tak sedar diri dan macam-macam. Di jajanya cerita buruk tentang saya kepada orang kampung sedangkan saya mempunyai alasan kukuh kenapa tidak mahu ke rumahnya lagi setiap petang.

"Keadaan berterusan selama setahun lebih sehingga saya melahirkan anak kedua. Itu pun saya terpaksa hantar nurseri. Pada masa yang sama, sikap mertua semakin menjadi-jadi.

"Dia memeras ugut suami saya dengan macam-macam cerita termasuk meminta wang beribu-ribu ringgit untuk membesarkan rumah tanpa sebab. Pada hal rumah itu sudah cukup besar. Bukan ada siapa pun kecuali mereka tiga beranak. Saya dan suami ada rumah sendiri.

"Walaupun dikata macam-macam saya pekakkan telinga, tutup mata dengan gelagat mereka sebab sayangkan suami dan rumah tangga. Saya cuba berbuat baik dengan mereka tetapi tidak dilayan, mereka tetap menyakiti hati saya.

"Yang saya pelik kenapa adik-adiknya tidak mahu cari kerja sedangkan mereka ada kelulusan walaupun setakat tingkatan lima. Apabila saya nasihat mereka marah-marah dan kata bukan minta duit saya tetapi duit abang mereka. Mereka tidak faham abang mereka juga dalam kesempitan dan apabila tiada duit saya yang terpaksa tolong dia.

"Saya pernah menyuarakan masalah ini kepada suami. Seperti biasa dia kata jangan ambil hati, memang begitu perangai ibu dan adik-adiknya. Tapi sampai bila?

"Saya inginkan keluarga yang bahagia dan gembira, bukan macam ini. Terkenangkan sikap mereka hati saya terguris. Mak dan ayah saya berpesan supaya saya tidak ambil hati. Sabar banyak-banyak kata mereka.

"Bagaimanapun saya tetap berdoa dan berusaha memulihkan hubungan ini. Saya amat berharap untuk hidup gembira dengan keluarga mertua sama seperti apa yang saya dapat daripada keluarga saya. Mudah-mudahan Allah permudahkan," Aini menamatkan ceritanya.

Begitulah lumrah hidup Aini, selalu diduga tanpa kita jangka. Saya hargai sikap baik Aini dalam menangani masalah ini. Kesabaran pada saya memainkan peranan penting untuk mencapai kebahagiaan.

Saya juga yakin suami Aini tersepit antara isteri dan ibu. Berat baginya menimbang mana yang perlu didahulukan. Namun sebagai lelaki dan ketua keluarga dan anak sulung lelaki yang bertanggungjawab, saya amat pasti suami Aini mampu melakukan semua itu.

Aini harus terus memberi sokongan kepada suaminya dan pada masa yang sama berusaha memujuk dan mengubah sikap mertua dan ipar duainya,

Mungkin pada suatu ketika yang baik, berterus-terang dengan suami tentang perkara ini secara lebih serius dan minta dia juga tolong sampaikan kepada ibunya dengan cara halus dan bersopan supaya ibu tidak terluka hati,.

Memang susah melakukannya tetapi masih ada ruang untuk membaik keadaan. Saya doakan agar usaha Aini dimakbulkan oleh Allah SWT.

Mengakhiri catatan, pesanan saya, kesabaran itu sebenarnya kunci kebahagiaan.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

kisah suamiku gila judi

Suamiku gila judi

KATA kawan-kawan jika pasangan kita ada ramai adik-beradik dan dikelilingi ipar duai hidup kita lebih menyulitkan, maklumlah ada antara mereka yang tak sukakan kita dan mempunyai perangai serta karakter yang menyilaukan mata. Namun berkahwin dengan suami yang tak ada adik beradik pun susah juga.

‘‘Biar saya perkenalkan diri saya sebagai Mas Alina. Masalah saya berkahwin dengan lelaki yang saya panggil ‘anak emak’, sebab dia anak tunggal. Walau pun hidup saya tidak ada masalah dengan ipar duai tetapi saya rimas, runsing dan kadang kala makan hati berulam jantung dengan perangai tiga beranak yang membelenggu hidup saya.’’ Itu cerita Mas Alina dalam emel dan ketika kami berbual di telefon baru-baru ini.

‘‘Saya tak salahkan dia kerana anak tunggal, tetapi yang memeningkan saya perangainya yang tak mahu bertanggungjawab dan jadi ketua keluarga sebenarnya. Sebab apa juga tindakannya masih bergantung pada emak ayahnya dalam semua hal.

‘‘Saya pun anak tunggal, tapi saya tak bergantung emak, malah saya yang memelihara emak. Puas saya nasihatkan suami saya Nazim supaya ubah perangai belajar berdikari, jangan suka minta duit emak, tetapi dia tak pakai cakap saya. Malah semakin teruk walaupun kami sudah berkahwin lebih 6 tahun dan ada 2 anak.

‘‘ Saya berkenalan dengan Nazim semasa sama-sama belajar di utara Semenanjung. Selepas tamat belajar beberapa tahun kemudian kami pun berkahwin. Ketika itu saya gembira sebab kami sama-sama anak tunggal, tentu tak ada masalah ipar duai seperti cerita yang pernah saya baca dan dengar selama ini.

‘‘Saya bersyukur sejak hamil dan mempunyai anak satu, masalah besar saya iaitu perangai panas baran dan cepat naik angin Nazim semakin berubah. Tetapi satu perkara yang jelas tak berubah sikapnya terhadap emak saya, semakin teruk. Dia seakan membenci emak saya. Sedangkan Nazim tahu sebelum kami kahwin lagi saya dah beritahu akan membawa emak saya tinggal bersama, kerana selain anak tunggal, emak saya pun ibu tunggal, dia tak ada tempat bergantung kecuali saya. Nazim setuju.

‘‘Dulu saya duduk dengan emak di pinggir bandar, arwah ayah tinggalkan sebuah rumah yang dibina atas tanahnya. Setelah ayah meninggal, pendapatan emak mengambil upah mengasuh anak jiran dan menyewakan tanah depan rumah kami kepada seorang pengusaha bengkel membaiki kereta. Hidup emak taklah susah.

‘‘Saya katakan pada Nazim daripada cari pembantu lebih baik bawa emak tinggal bersama, boleh juga emak jagakan anak kami dan saya boleh juga jaga emak kerana emak dah tua, lagi pun saya tak sampai hati tinggalkan emak sendirian.

‘‘Namun janji Nazim cuma boleh pakai sebelum kahwin saja. Bila dah serumah baru saya nampak perangainya. Nazim banyak membuat emak saya kecil hati. Dia tak suka bertegur sapa dengan emak saya apa lagi nak berbual. Dia bercakap dengan emak bila mahu bertanyakan ada benda hilang. Atau yang penting sahaja.

‘‘Walaupun ibu bapa mertua saya tinggal di kampung mereka selalu datang dan tinggal dia rumah kami berminggu-minggu lamanya untuk melepaskan rindu pada anak kesayangan mereka. Bila dah dekat Nazim selalu ‘pau’ duit emaknya ini yang membuatkan jiwa saya tertekan. Ada saja yang diperlukannya. Baiki motorlah dan macam-macam.

‘‘Setiap kali sebelum bersalin, dari anak pertama hingga anak kedua, mereka akan datang sebulan lebih awal, lepas tu tunggu sehingga saya habis pantang dua bulan barulah mereka balik kampung. Kalau rumah kami besar takpelah tetapi rumah kami kecil, keadaan ini membuatkan saya rasa amat tidak selesa.

‘‘Sebenarnya ketika dalam pantang saya suka emak saya jaga makan minum saya. Tapi kalau dah ramai dalam rumah yang kecil tentu ada segan silunya, maklum ada besan lelaki. Namun mertua saya tidak akan tinggalkan anak tunggal kesayangan. Akhirnya emak saya mengalah balik ke rumahnya.

Bertanya kabar

‘‘Dua bulan sekali kami balik kampung atau emaknya datang KL. Keadaan jadi lebih parah bila kami nak balik KL siap ada drama kisah anak beranak menangis nak berpisah. Emak Nazim menangis teresak-esak kerana sedih. Akhirnya emak ayahnya ikut kami balik KL. Mereka akan tinggal seminggu sebelum balik kampung dengan bas.

‘‘Masalahnya kereta kami kecil bukan MPV atau SUV, tentu sempit dan perjalanan jauh tentu memenatkan, tapi mereka tak kisah asal mereka pasti Nazim selamat sampai KL. Itu belum masuk bab Nazim demam atau batuk. Pagi dapat tahu Nazim demam petang mesti dah sampai KL. Begitulah sayang mereka pada Nazim.‘Punca Nazim tak berduit sebab dia gila berjudi. Ceritanya terbongkar bila dia ditahan polis, saya pergi jamin. Tetapi entah macam mana dia tak kena tindakan, taukeh kedai kena heret ke mahkamah. Puas saya nasihatkan dia jangan buat kerja bodoh tu lagi, tetapi orang dah ketagih judi memang tak makan nasihat.

‘‘Saya ceritakan pada emak dan ayah Nazim, mereka tak terkejut pun atau marahkan Nazim, sebaliknya emaknya tanya saya; ‘Betul ke? Macam tak percaya. Saya kata kalau emak dan ayah selalu bagi duit, dia akan lebih ligat berjudi.

‘‘Pada pandangan saya mereka tahu perangai Nazim, tetapi kerana sayang Nazim anak tunggal, mereka tak kisah. Saya kasihankan emak ayahnya sudah tua masih menoreh getah di samping mengupah orang lain menoreh semata-mata cari duit untuk Nazim. Saya kasihankan mereka sanggup berkorban untuk Nazim.

‘‘Masalah saya bila mereka duduk dengan kami, mereka manjakan anak-anak saya macam mereka jaga Nazim, segala kehendak anak-anak saya dituruti. Saya takut anak saya jadi macam Nazim. Kadang-kala saya terfikir Nazim gila judi kerana kesilapan emak ayahnya mendidiknya dengan penuh kasih sayang tanpa bimbingan yang betul.

‘‘Saya tak tahu sampai bila saya mesti bersabar. Sebab bukan saja Nazim bermasalah, emak ayahnya pun sama merosakkan hidup saya. Saya tak sanggup lihat kalau satu hari nanti Nazim masuk penjara kerana rasuah nak cari duit lebih untuk berjudi,’’ Itu cerita Mas Alina tentang masalah hidup yang dilaluinya.

maut berlawan dengan anak tiri

Pembuat serunai maut ditikam anak tiri guna pisau lipat

ALOR SETAR 31 Julai - Kedatangan Ramadan esok yang sepatutnya disambut dengan penuh rasa keinsafan, berlaku sebaliknya buat sebuah keluarga di sini, apabila seorang daripadanya maut ditikam ahli keluarga lain, hanya kerana perselisihan faham.

Dalam kejadian di Kampung Tebengau, Kuala Kedah, pukul 7.45 petang semalam, mangsa, Ismail Ahmad, 58, seorang pembuat serunai meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pukul 9.15 malam, akibat kecederaan parah di bahagian dada dan kepala.

Kejadian dikatakan bermula apabila suspek berusia 32 tahun dan merupakan anak tiri sulung Ismail, sedang membaiki kereta lalu tiba-tiba diserang dengan sebatang kayu oleh mangsa.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd. Jan, berikutan itu berlaku pergelutan lalu suspek menyerang balas dengan pisau lipat mengakibatkan mangsa terkena tikaman di sebelah dada kiri selain kecederaan di kepala.

"Punca kejadian kerana masalah keluarga di sebuah rumah jiran di kampung itu. Suspek menyerah diri di Balai Polis Kuala Kedah pukul 10.10 malam kelmarin.

"Hasil bedah siasat mendapati punca kematian akibat kehilangan banyak darah kerana tikaman itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau memberitahu, kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, menurut isteri pertama mangsa, Rahimah Ramli, 49, berlaku perselisihan faham antara dua beranak itu, namun dia tidak menyangka berakhir dengan kematian.

"Saya terkejut dengan peristiwa itu lebih-lebih lagi ketika umat Islam sibuk menyediakan persiapan untuk menyambut Ramadan," katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik HSB di sini malam tadi.

Tambahnya, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh anak tiri keduanya yang datang ke rumah sebelum bergegas ke rumah madunya yang terletak kira-kira 500 meter dari rumahnya.

"Ketika tiba, baju suami dipenuhi darah dan dia tidak sedarkan diri. Mangsa dengan bantuan jiran kemudian dibawa ke HSB," katanya.

Sementara itu, seorang saksi, Mohd. Jamil Ahmad, 27, berkata, ketika kejadian dia dan suspek berada di luar rumahnya bagi membaiki enjin bot yang rosak sebelum didatangi bapa tirinya.

Tambahnya, berlaku pergelutan dan insiden dua beranak itu berlangsung selama kira-kira 10 minit di pekarangan rumahnya.

"Ketika pergelutan itu, suspek yang memegang pisau lipat dipercayai tertikam dada bapa tirinya selain kepala mangsa terhantuk ke kolah di situ.

"Mangsa cuba mengambil cangkul dan saya cuba menghalangnya, namun tidak lama selepas itu dia rebah," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Tebengau di sini hari ini.

Menurut Jamil, anak tiri kedua Ismail yang datang selepas itu membawa mangsa pulang ke rumah sebelum dikejarkan ke HSB.

Tambahnya, dia tidak mengetahui punca pergelutan dua beranak itu kerana tiada pertengkaran.

"Sejurus kejadian, suspek pulang ke rumah sebelum pergi ke rumah sepupunya di kawasan berdekatan. Saya difahamkan suspek menyerah diri di Balai Polis Kuala Kedah," katanya.

Katanya, suspek seorang yang pendiam dan membuat kerja-kerja membaiki enjin kereta dan bot sejak 10 tahun lalu.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Saturday, July 30, 2011

jangan buas


Suami buas kena penjara

KUANTAN - Tindakan buas seorang suami ketika melakukan persetubuhan dengan isteri sehingga mendatangkan kecederaan kepada wanita itu mengheretnya ke penjara selama 10 bulan.

Tertuduh, N Danapalan, 38 dari Taman Seri Perdana, Bandar Indera Mahkota di yang sepatutnya dibicarakan semalam selepas mengaku tidak bersalah dalam sebutan terdahulu menukar pengakuan kepada bersalah.

Mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh itu, Majistret Nurulnaim Abdullah memerintahkan tertuduh dihukum penjara 10 bulan bermula dari tarikh dia ditangkap.

Berdasarkan pertuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Ungku Alfiati Zabeidah Ungku Ismail sebelum ini, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di rumah mereka kira-kira jam 10 pagi, 23 Jun lalu.

Berikutan kejadian itu, mangsa berusia 38 tahun membuat laporan polis sebelum tertuduh berjaya ditahan pada hari sama dan dihadapkan ke mahkamah itu pada 1 Julai lalu.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 375A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara lima tahun.

tergilis anak

Kanak-kanak perempuan mati digilis bapa

KOTA BHARU - Seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun 10 bulan maut selepas tidak sengaja digilis kenderaan yang dipandu bapanya dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Tok Jawa, Tawang, Bachok, hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira 8.30 pagi ketika keluarga mangsa, Nuramni Atirah Che Pauzi bersiap untuk keluar membeli kelengkapan menyambut Ramadan.

Bapa mangsa, Che Pauzi Mamat, 44, berkata beliau memanaskan enjin kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alzanya dan sama sekali tidak menyangka anak tunggalnya mengekori di belakang.

Beliau berkata sambil menunggu isterinya, Noraini Othman, 38, bersiap, beliau keluar dari rumah untuk memanaskan enjin dan menyangkakan anaknya itu berada bersama ibunya.

"Selepas memanaskan enjin kira-kira 15 minit, saya terus mengundurkan kereta namun tiba-tiba saya dengar jiran yang lalu di depan rumah menjerit memberitahu yang anak saya ada di bawah kereta," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini.

Che Pauzi, yang bertugas sebagai pekerja am di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) berkata beliau terus melihat di bawah kenderaan dan terkejut apabila melihat anaknya tersepit di bawah tayar depan sebelah kiri kenderaan.

Bagaimanapun, katanya anaknya meninggal dunia ketika dalam perjalanan menuju ke Klinik Kesihatan Kedai Lalat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Lai Yong Heng mengesahkan menerima laporan kes itu yang diklasifikasikan sebagai mati mengejut. - BERNAMA
Jawatan Kosong

Sunday, July 24, 2011

2 beradik diselamatkan


Dua beradik hidup terbiar di Sabah dibawa pulang

Wan Salman Wan Ismail meriba Puteri Nurulhuda bersama Mohd. Alif Hakimi (empat dari kiri) dan waris terdekat kanak-kanak tersebut di Felda Jengka 17, Maran, Pahang, semalam. - MINGGUAN/SALEHUDIN MAT RASAD

KUALA KRAU 23 Julai - Dua beradik, Mohd. Alif Hakimi Abdullah, 8, dan Puteri Nurulhuda, 3, yang hidup terbiar di Sabah dibawa pulang ke pangkuan nenek mereka di Felda Sri Pagi Jengka 17 dekat sini baru-baru ini.

Usaha membawa pulang kedua-dua adik-beradik itu dilakukan oleh pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jengka, Seranta Felda dan UMNO Bahagian Kalabakan, Sabah.

Nenek kepada adik-beradik tersebut, Minah Man, 60, berkata, kedua-dua cucunya hidup terbiar selepas ibu kandung mereka, Ida Rofida Othman, 38, ditahan polis pada 8 April lalu.

Menurutnya, Ida yang merupakan ibu tunggal membawa anak- anaknya ke Kampung Bagiang Kunak, Sabah pada Oktober tahun lepas dan menetap di sebuah rumah usang di situ, namun tidak diketahui motif sebenar sanggup pergi jauh merantau ke negeri tersebut.

''Di Sabah, Ida dilaporkan terbabit dengan kegiatan dadah bagi menyara hidup mereka tetapi ditahan di Tawau, Sabah.

''Sejak itu, kedua-dua cucu saya hilang tempat bergantung dan terbiar tanpa makanan serta mengharapkan ihsan penduduk pendatang tanpa izin (PATI) Filipina," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Ibu saudaranya, Aspalaila Othman,29, berkata, mereka sekeluarga bimbang atas keselamatan kanak-kanak itu berikutan penahanan ibu dua beradik tersebut.

"Kami memohon bantuan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Wan Salman Wan Ismail dan Seranta Felda bagi membantu serta mengesan dua beradik itu di Sabah untuk dibawa pulang ke sini," jelasnya.

Dalam pada itu, Wan Salman berkata, pada peringkat awal usaha membawa pulang kanak-kanak tersebut sukar kerana tiada maklumat tepat tentang tempat tinggal mereka.

Bagaimanapun katanya, kerjasama antara UMNO Bahagian Kalabakan, Jabatan Imigresen dan Serenta Felda berjaya mengesan kedudukan mereka yang dipercayai tinggal bersama keluarga angkat PATI Filipina.

Jelasnya, apabila berjaya mendapatkan maklumat mengenai kedua-dua beradik itu mereka kemudian ke Sabah dan mendapati keadaan kanak-kanak itu menyedihkan.

Katanya, kejayaan membawa pulang kanak-kanak itu secara langsung menyelamatkan mereka daripada terjebak dalam gejala tidak sihat.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Friday, July 22, 2011

disimbah asid

2 beradik parah disimbah asid

MARAN 21 Julai – Dua beradik cedera parah selepas menjadi mangsa simbahan cecair asid oleh jirannya di Felda Kesumba Jengka 9 dekat sini malam tadi.

Dalam kejadian pukul 8.30 malam itu, mangsa, Shafiq Haikal Mat Safar Zaidi, 13, dan adiknya, Shafiq Aiman, 10, sedang menunggang basikal ke rumah rakan mereka untuk belajar secara berkumpulan.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Ahmad Johari Shahabudin berkata, suspek yang juga jiran mangsa menyimbah asid yang dipercayai cuka getah ke arah mangsa menyebabkannya cedera parah di muka, mata dan badan.

Berikutan kejadian itu, kata beliau, polis menahan reman seorang lelaki berusia 30-an bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Jenayah yang membawa kecederaan parah.

“Shafiq Haikal cedera parah di badan dan di sebelah muka kiri manakala adiknya cedera seluruh muka dan mata dikejarkan ke Hospital Jengka sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Ahmad Johari, polis tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang untuk mendakwa suspek kerana ia adalah perbuatan jenayah yang sangat serius.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN: