Pembuat serunai maut ditikam anak tiri guna pisau lipat
ALOR SETAR 31 Julai - Kedatangan Ramadan esok yang sepatutnya disambut dengan penuh rasa keinsafan, berlaku sebaliknya buat sebuah keluarga di sini, apabila seorang daripadanya maut ditikam ahli keluarga lain, hanya kerana perselisihan faham.
Dalam kejadian di Kampung Tebengau, Kuala Kedah, pukul 7.45 petang semalam, mangsa, Ismail Ahmad, 58, seorang pembuat serunai meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pukul 9.15 malam, akibat kecederaan parah di bahagian dada dan kepala.
Kejadian dikatakan bermula apabila suspek berusia 32 tahun dan merupakan anak tiri sulung Ismail, sedang membaiki kereta lalu tiba-tiba diserang dengan sebatang kayu oleh mangsa.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd. Jan, berikutan itu berlaku pergelutan lalu suspek menyerang balas dengan pisau lipat mengakibatkan mangsa terkena tikaman di sebelah dada kiri selain kecederaan di kepala.
"Punca kejadian kerana masalah keluarga di sebuah rumah jiran di kampung itu. Suspek menyerah diri di Balai Polis Kuala Kedah pukul 10.10 malam kelmarin.
"Hasil bedah siasat mendapati punca kematian akibat kehilangan banyak darah kerana tikaman itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau memberitahu, kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, menurut isteri pertama mangsa, Rahimah Ramli, 49, berlaku perselisihan faham antara dua beranak itu, namun dia tidak menyangka berakhir dengan kematian.
"Saya terkejut dengan peristiwa itu lebih-lebih lagi ketika umat Islam sibuk menyediakan persiapan untuk menyambut Ramadan," katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik HSB di sini malam tadi.
Tambahnya, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh anak tiri keduanya yang datang ke rumah sebelum bergegas ke rumah madunya yang terletak kira-kira 500 meter dari rumahnya.
"Ketika tiba, baju suami dipenuhi darah dan dia tidak sedarkan diri. Mangsa dengan bantuan jiran kemudian dibawa ke HSB," katanya.
Sementara itu, seorang saksi, Mohd. Jamil Ahmad, 27, berkata, ketika kejadian dia dan suspek berada di luar rumahnya bagi membaiki enjin bot yang rosak sebelum didatangi bapa tirinya.
Tambahnya, berlaku pergelutan dan insiden dua beranak itu berlangsung selama kira-kira 10 minit di pekarangan rumahnya.
"Ketika pergelutan itu, suspek yang memegang pisau lipat dipercayai tertikam dada bapa tirinya selain kepala mangsa terhantuk ke kolah di situ.
"Mangsa cuba mengambil cangkul dan saya cuba menghalangnya, namun tidak lama selepas itu dia rebah," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Tebengau di sini hari ini.
Menurut Jamil, anak tiri kedua Ismail yang datang selepas itu membawa mangsa pulang ke rumah sebelum dikejarkan ke HSB.
Tambahnya, dia tidak mengetahui punca pergelutan dua beranak itu kerana tiada pertengkaran.
"Sejurus kejadian, suspek pulang ke rumah sebelum pergi ke rumah sepupunya di kawasan berdekatan. Saya difahamkan suspek menyerah diri di Balai Polis Kuala Kedah," katanya.
Katanya, suspek seorang yang pendiam dan membuat kerja-kerja membaiki enjin kereta dan bot sejak 10 tahun lalu.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment