Saturday, August 27, 2011

terkenang tragedi lipis

Titisan air mata keluarga setiap kali Aidilfitri

MENJEJAKI semula keluarga mangsa-mangsa yang maut dalam kemalangan meragut 14 nyawa di Jalan Kuala Lipis - Gua Musang dekat Merapoh, Lipis, Pahang pada 30 November 2003, dan meminta pula mereka berkongsi perasaan ketika menjelangnya Aidilfitri tidak lama lagi, bukanlah suatu perkara mudah.

Sebaliknya, pertemuan dengan mereka ternyata mengundang suasana hiba dan titisan air mata.

Salah seorang daripadanya, Nik Som Awang, 55, ibu kepada Norazila Ismail, 26, yang maut ketika kemalangan pada hari ketiga Aidilfitri tahun berkenaan, tidak dapat menahan air matanya daripada mengalir ketika diminta bercerita mengenai kehilangan anaknya itu.

Beliau ditemui wartawan S2 di di rumahnya di Kampung Belakang Balai Polis Selingsing, Pasir Puteh, Kelantan.

Semakin hampir Aidilfitri kali ini, ingatan pada anak keempatnya itu semakin kuat.

''La (Norazila) anak yang baik, sentiasa lebihkan keluarga walaupun sekadar kerja kilang di Shah Alam. Dia balik kampung bersama dua adik kembarnya, Noraiza dan Noraizaan.

''Dia bawa sekotak besar biskut termasuk biskut kegemarannya Almond London yang dibeli di Kuala Lumpur. Hari dia balik, saya masih ingat, dia hulur RM1,000 untuk beli barang keperluan sambut raya. Saya tegur, tunggulah La naik rumah dulu, tapi dia tetap nak beri," kata Nik Som sayu.

Katanya, Norazila juga cepat timbul rasa belas kasihan kepada orang tua. Dia bersedekah berapa sahaja yang dicapainya di dalam beg walau jumlahnya agak besar.

Selepas beraya dengan keluarga pada hari ketiga, Norazila yang bersiap untuk pulang ke Shah Alam pada sebelah malam, kelihatan agak keberatan.

''Sebelum bertolak, saya pelik dia beria-ia pinjam baju T putih adiknya untuk dipadan dengan seluar panjang. Saya perasan dia ambil sehelai tudung putih kakaknya senyap-senyap untuk dipakai," katanya.

Di stesen bas, selepas bersalam, Norazila bergegas naik hingga terlupa beg pakaiannya.

''Abangnya, Norazidi (Azidi) yang bersamanya ketika itu naik ke atas serahkan beg itu. Semasa bersalam, lama dia pegang tangan Azidi. Pesannya 'jaga abah baik-baik', La seolah-olah tahu dia akan pergi," kata Nik Som terus mengesat pipinya yang basah.

Bapa mangsa, Ismail Yunos, 62, dalam nada perlahan berkata, dia reda ketentuan Ilahi bahawa Norazila telah meninggalkannya.

Jenazah anaknya dibawa balik ke rumah pada malam itu juga dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jawa, Pasir Puteh.

Dalam pada itu, ibu Ratna Suria Ahmad, 19, seorang lagi mangsa yang maut dalam kemalangan itu mengakui, anaknya berkelakuan pelik seminggu sebelum ke Kuala Lumpur apabila suka mengikutnya ke mana-mana sahaja termasuk tempat yang tidak disukai.

''Dia mungkin rasa akan 'pergi' dan mahu bermanja sepuasnya," kata Raihan Hamzah, 47, sambil menambah ingatan kepada anak sulung daripada enam adik-beradik itu tetap segar.

''Dia amat rapat dengan saya. Sebab itu apabila dia bertahu lepas raya nak ikut kakak sepupunya bekerja di Kuala Lumpur, saya izinkan. Dia dengar kata, pandai jaga diri," kata Raihan.

Biarpun masih muda, Ratna ringan tulang membantu keluarga. Ketika menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dua tahun sebelumnya, sebulan dia bekerja kilang di Johor.

''Dia mahu masuk universiti. Sementara tunggu keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), dia bekerja. Tak sangka dia 'pergi' tak kembali.

''Sebelum pergi, dia sibuk hantar buku-buku yang pernah dipinjam daripada kawan-kawan. Katanya kali ini dia pergi lebih lama. Alat tulis pun dia agih-agihkan kepada adik-adiknya sebagai kenangan," ujarnya.

Bapa Ratna, Ahmad Isa, 54, yang bekerja sendiri di Kampung Bani Belikong, Pasir Puteh terkilan kerana hajat anaknya untuk menyambung pelajaran ke menara gading tidak kesampaian.

''Luluh hati lihat mayatnya terbujur dalam beg plastik. Saya terfikir biarlah saya di tempatnya. Dia masih muda," katanya.

Sementara itu, kakak kepada Rozniza Jusoh, 24, seorang lagi mangsa nahas kemalangan, Rohani, 49, berkata, dia tidak menyangka kain batik lepas yang diminta sebelum balik ke Sungai Way, Petaling Jaya, akhirnya menjadi penutup mayatnya sendiri.

Mengimbas saat-saat akhir kehilangan Rosniza, Rohani ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jerus, Pasir Puteh menceritakan, Rozniza, anak bongsu daripada lapan adik-beradik bekerja di kilang elektronik di Sungai Way sebaik tamat (SPM.

''Berulang-alik naik bas ekspres dari Kuala Lumpur ke kampung biasa baginya. Kebetulan, anak kedua saya, (Norhanani Halim) ketika itu berusia 18 tahun tinggal serumah dan bekerja di tempat sama.

''Mereka pulang berdua, cadangnya hendak mengajak dua sepupu mereka (Ratna Suria dan dan Norsuriani Shamsuddin) cari kerja di Sungai Way," katanya.

Ketika di kampung, Rozniza cukup berselera makan. Malah, semua yang dihidangkan termasuk ayam percik dan sambal belacan lebihan berbuka puasa hari sebelumnya dikatakan sedap.

''Dia nampak lebih ceria walaupun beberapa bulan sebelum itu murung kerana putus tunang," katanya.

Kata Rohani, sebaik sahaja menerima perkhabaran bas yang membawa adik, anak dan dua anak saudaranya itu terlibat dengan kemalangan, lemah seluruh anggota tubuhnya.

Perjalanan lebih 10 jam kerana kesesakan akibat kemalangan itu menyebabkan dadanya berdegup kencang.

"Tuhan sahaja yang tahu ketika itu, rasa macam hendak terbang supaya cepat sampai ke hospital. Saya menaiki kereta bersama suami, mak dan ayah yang ketika itu nampak tenang. Dalam perjalanan emak kata, "dah tak dok Rozniza ni".

"Darah saya berderau, mana nak memikirkan keselamatan anak, adik lagi tapi mungkin sebagai orang tua, emak mungkin dapat rasa adik sudah meninggal ketika itu," katanya.

Tekaan ibunya mengatakan Rozniza sudah tiada tepat apabila sampai di hospital, mereka diminta membuat pengecaman di bilik mayat.

"Saya berpeluang bersama-sama memandi dan mengkafankan arwah adik dan arwah anak saudara (Ratna Suria) sebelum jenazah mereka dibawa balik untuk disemadikan di kampung," ujarnya.


'Wanita nazak timpa badan saya'

TIADA perkataan mampu keluar dari mulut Che Senol Omar, 50, selain linangan air mata menjadi pengganti bicara ketika memintanya mengimbas semula tragedi yang dialami lapan tahun lalu.

Biarpun masa berlalu begitu pantas, namun kemalangan yang meragut nyawa 14 penumpang di Kilometer 63 Jalan Kuala Lipis - Gua Musang di Merapoh, Lipis, Pahang pada 30 November 2003, tetap segar di ingatannya hingga ke hari ini.

"Persekitaran kawasan kemalangan bagaikan medan perang. Mayat-mayat bergelimpangan di merata-rata tempat.

"Ia berlaku di tengah-tengah ladang kelapa sawit yang gelap-gelita. Suasana tersebut menyebabkan keadaan menjadi semakin kelam-kabut.

"Ada yang menjerit meminta tolong dan ada juga menangis," katanya sambil berusaha menahan sebak ketika ditemui S2.

Menceritakan detik-detik cemas tersebut, Che Senol berkata, entah mengapa sepanjang perjalanan pada hari itu, dia agak resah dan berasa tidak sedap hati.

Menurut Guru Sekolah Kebangsaan Cheras Indah yang berasal dari Melaka ini lagi, waktu itu dia baru pulang dari kampung dan dalam perjalanan menuju ke Kota Bharu, Kelantan.

Dia mengambil bas di Hentian Putra kerana bimbang tiket perjalanan terus ke Kota Bharu, habis berikutan Hari Raya Aidilfitri.

"Mengikut tiket, saya sepatutnya duduk di bahagian belakang. Bagaimanapun, pemandu kedua minta saya menukar tempat duduk dan duduk di kerusi hadapan sekali berhampiran tangga.

"Kalau tak, tidak tahu bagaimana nasib saya pada ketika itu," katanya yang tidak pernah tidur semasa menaiki bas ekspres untuk berulang-alik dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur atau Melaka.

Dari kedudukannya, kata Che Senol, dia jelas melihat cara pemanduan bas ekspres tersebut pada malam kejadian.

Dia juga masih ingat bas tersebut berada dalam keadaan tidak seimbang dan terhuyung- hayang ke kiri dan kanan.

Melihat sikap pemandu bas itu katanya, dia berpura-pura berdehem selain batuk beberapa kali bagi 'menyedarkan' keadaan.

"Saya lihat sendiri bagaimana bas merempuh bas sekolah dari arah bertentangan awal pagi itu.

"Kemalangan berlaku begitu pantas. Saya yang duduk di bahagian depan macam menonton adegan di televisyen. Tetapi itu sebenarnya ia di depan mata," katanya.

Rempuhan itu menyebabkan dia tercampak ke tangga.

"Beberapa minit baru saya tersedar seorang wanita yang sedang nazak yang asalnya duduk di bahagian belakang pemandu tiba-tiba berada di atas badan saya,'' katanya.

Melihat keadaannya yang nazak, beliau cuba membantunya mengucap dua kalimah syahadah tetapi hanya darah yang keluar dari mulut dan hidung wanita itu ketika dia cuba bersuara.

Che Senol yang tidak menyedari seluruh badannya berlumuran darah semasa membantu wanita terbabit, kemudian memberi pertolongan kepada pemandu bas ekspres yang tersepit di bahagian stereng.

Apa yang paling tidak dapat dilupakan, kata Che Senol, dia masih mengingati bagaimana keadaan seorang ibu mencari anak yang hilang dalam keadaan gelap-gelita itu.

"Sebelum kejadian, anaknya itu sedang tidur lena di sebelahnya. Bagaimanapun, selepas pertembungan dua bas tersebut, anaknya tiba-tiba tiada lagi di sisi apabila dia sedar.

"Wajah si ibu tadi kelihatan sangat hiba dan patah hati apabila menjumpai anaknya yang terkujur kaku," ceritanya sambil menitiskan air mata.

Semua mangsa tragedi bagaikan tidak dapat terima kenyataan yang mereka terlibat dalam kemalangan jalan raya mengorbankan 14 nyawa.

Dalam kejadian ngeri tersebut, Che Senol patah dua batang gigi, cedera lutut dan pecah bibir.

Kata beliau, kegirangan menyambut Syawal pada tahun tersebut turut lenyap begitu sahaja.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment