Sunday, July 24, 2011

2 beradik diselamatkan


Dua beradik hidup terbiar di Sabah dibawa pulang

Wan Salman Wan Ismail meriba Puteri Nurulhuda bersama Mohd. Alif Hakimi (empat dari kiri) dan waris terdekat kanak-kanak tersebut di Felda Jengka 17, Maran, Pahang, semalam. - MINGGUAN/SALEHUDIN MAT RASAD

KUALA KRAU 23 Julai - Dua beradik, Mohd. Alif Hakimi Abdullah, 8, dan Puteri Nurulhuda, 3, yang hidup terbiar di Sabah dibawa pulang ke pangkuan nenek mereka di Felda Sri Pagi Jengka 17 dekat sini baru-baru ini.

Usaha membawa pulang kedua-dua adik-beradik itu dilakukan oleh pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jengka, Seranta Felda dan UMNO Bahagian Kalabakan, Sabah.

Nenek kepada adik-beradik tersebut, Minah Man, 60, berkata, kedua-dua cucunya hidup terbiar selepas ibu kandung mereka, Ida Rofida Othman, 38, ditahan polis pada 8 April lalu.

Menurutnya, Ida yang merupakan ibu tunggal membawa anak- anaknya ke Kampung Bagiang Kunak, Sabah pada Oktober tahun lepas dan menetap di sebuah rumah usang di situ, namun tidak diketahui motif sebenar sanggup pergi jauh merantau ke negeri tersebut.

''Di Sabah, Ida dilaporkan terbabit dengan kegiatan dadah bagi menyara hidup mereka tetapi ditahan di Tawau, Sabah.

''Sejak itu, kedua-dua cucu saya hilang tempat bergantung dan terbiar tanpa makanan serta mengharapkan ihsan penduduk pendatang tanpa izin (PATI) Filipina," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Ibu saudaranya, Aspalaila Othman,29, berkata, mereka sekeluarga bimbang atas keselamatan kanak-kanak itu berikutan penahanan ibu dua beradik tersebut.

"Kami memohon bantuan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Wan Salman Wan Ismail dan Seranta Felda bagi membantu serta mengesan dua beradik itu di Sabah untuk dibawa pulang ke sini," jelasnya.

Dalam pada itu, Wan Salman berkata, pada peringkat awal usaha membawa pulang kanak-kanak tersebut sukar kerana tiada maklumat tepat tentang tempat tinggal mereka.

Bagaimanapun katanya, kerjasama antara UMNO Bahagian Kalabakan, Jabatan Imigresen dan Serenta Felda berjaya mengesan kedudukan mereka yang dipercayai tinggal bersama keluarga angkat PATI Filipina.

Jelasnya, apabila berjaya mendapatkan maklumat mengenai kedua-dua beradik itu mereka kemudian ke Sabah dan mendapati keadaan kanak-kanak itu menyedihkan.

Katanya, kejayaan membawa pulang kanak-kanak itu secara langsung menyelamatkan mereka daripada terjebak dalam gejala tidak sihat.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment