Sunday, May 22, 2011

Tragedi Anak Yatim



Lenyap sekelip mata
Oleh YUSRI ABDUL MALEK, HADZLAN HASSAN, SHAMRAN SARAHAN, MOHD AZAM SHAH YAACOB, HIDAYATUL AKMAL AHMAD, RAJA NORAINA RAJA RAHIM dan RABI ‘ATUL ‘ADAWIYAH ISMAIL
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
SELAMAT... mangsa tanah runtuh Rumah Yatim batu 14 Ulu Langat, Mohd Khairul Annuar, 9 dihantar ke Hospital Ampang, Ampang.
SELAMAT... mangsa tanah runtuh Rumah Yatim batu 14 Ulu Langat, Mohd Khairul Annuar, 9 dihantar ke Hospital Ampang, Ampang.
BERKUMPUL... sebahagian penghuni asrama yang terselamat.
BERKUMPUL... sebahagian penghuni asrama yang terselamat.

HULU LANGAT: Jika semalam mereka ketawa bersama, hari ini mereka bercerai nyawa. Lebih hiba, dengan tulang empat kerat dan kudrat terhad, Mohd Iman, 14, memerah keringat dengan cucuran air mata cuba menggali tanah untuk menyelamatkan kawannya yang tertimbus hidup-hidup.

“Saya sempat menjerit sekuat hati suruh kawan keluar dari dewan. Namun dengan sekelip mata mereka sudah tiada,” kata Mohd Iman, penghuni Rumah Rumah Anak-Anak Yatim dan Anak-Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Jalan Sungai Semungkis, di sini, semalam.

Menurutnya, ketika kejadian kira-kira jam 2.30 petang, dia berada di asrama anak yatim berkenaan sebelum dipanggil turun oleh rakannya yang lain untuk latihan nasyid.

Difahamkan, mereka mengadakan latihan kompang ketika kejadian bagi menyambut kehadiran pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bagi menyampaikan sumbangan.


Bagaimanapun, ketika latihan dan persiapan, berlaku tanah runtuh menyebabkan mereka gagal menyelamatkan diri.


“Saya baru turun untuk ke khemah tetapi ternampak runtuhan pasir. Saya terkejut dan menjerit supaya mereka keluar dari dewan.

“Ada yang sempat lari, tetapi ramai yang tertimbus sekelip mata. Saya cuba menggali tanah untuk menyelamatkan kawan kerana tidak sanggup lihat mereka tertimbus hidup-hidup, tetapi hampa kerana kudrat saya terhad,” katanya sebak dengan linangan air mata.

Bagi Mohd Jihat, 14, ketika kejadian, dia berada di bawah khemah dan turus tertimbus sehingga paras pinggang.

“Saya diselamatkan orang kampung yang kebetulan datang menyelamatkan saya dengan menggali tanah. Ketika itu, saya mengelap kerusi untuk persediaan menyambut tetamu di bawah khemah,” katanya.

Mohd Jihat dari Puchong dan baru tiga bulan menghuni di sini masih kelihatan trauma dan turut bersedih dengan kejadian menimpa rakan yang lain.

Dia mendakwa begitu hiba melihat usaha menyelamat dan sempat melihat antara rakannya dihempap batu dan celahan batu dan tanah.

Difahamkan, seramai 28 anak yatim berada di dalam dewan dan khemah ketika kejadian. Anak yatim yang tinggal di rumah anak yatim berkenaan berusia tujuh hingga 17 tahun.

Seorang lagi pelajar, Wan Ahmad Huzamuddin Izrullah, 15, berkata pada awalnya dia melihat pergerakan tanah sedikit tanpa mencurigai apa-apa, namun tiba-tiba desiran pasir yang dahsyat, sekali gus diikuti dengan runtuhan tanah menuju ke arah rumah anak-anak yatim berkenaan.

“Saya sempat lari bersama seorang rakan, tetapi adik saya tertinggal di belakang. Bagaimanapun, adik saya bernasib baik kerana longgokan tanah yang dihadang pintu itu menyelamatkan dia daripada tertimbus,” katanya.
Kongsi artikel ini menerusi media sosial

Friday, May 20, 2011

Ibu Tunggal


Memperkasa ibu tunggal

Oleh mariatul qatiah zakaria
maria.zakaria@utusan.com.my
Gambar DJOHAN SHAHRIN SHAH


DJ Lin

SEBAGAI sebahagian daripada usaha berterusannya untuk memperkayakan kehidupan rakyat Malaysia, Proton Persona menerusi syarikat pengedarannya, Proton Edar Sdn. Bhd., telah melancarkan kempen 'Persona, Sememangnya Lebih Sempurna' baru-baru ini.

Melalui kempen tersebut, tiga penyampai radio telah dilantik menjadi duta Persona yang terdiri daripada DJ Lin daripada Suria FM, Aanantha (THR Raaga) dan Jack Lim (MY FM) .

Ketiga-tiga personaliti itu diberi peluang selama lima bulan untuk mendekati rakyat Malaysia dalam usaha memupuk keyakinan diri.

Dalam masa yang sama, mereka turut dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan program sendiri yang diwujudkan berdasarkan pengalaman hidup masing-masing.

Untuk itu, baru-baru ini bertempat di ibu negara, telah berlangsungnya program DJ Lin dan Pertubuhan Ibu Tunggal Islam.

Dalam program tersebut, Lin yang juga merupakan seorang ibu tunggal memberi kata-kata semangat dan secara tidak langsung membantu ibu-ibu tunggal mengatasi cabaran yang mereka hadapi.

Tidak ketinggalan Lin turut berkongsi pengalaman dan rintangan yang dilaluinya selama lima tahun sebagai ibu tunggal kepada dua orang cahaya mata.

Kempen yang berlangsung selama tiga jam itu turut mengetengahkan Roslina Jantan, seorang pakar motivasi dalam segmen motivasi dan demonstrasi make up dan penampilan diri daripada Cleo Studio.

Yang pasti, kempen seperti itu dapat meningkatkan semangat kepada ibu-ibu tunggal di Malaysia untuk terus melangkah ke hadapan dalam hidup dan jangan sesekali menyerah kalah.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai kempen 'Persona, Sememangnya Lebih Sempurna' dan cara bagaimana untuk menyertainya, bolehlah layari laman web www.protonpersona.com.my.

Sunday, May 15, 2011

2 pilihan sang isteri

Dua jalan lepasi azab
Oleh Maiamalina Mohamed Amin dan Siti Norhidayatidayu Razali
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: “Wanita ini ada dua pilihan untuk bercerai sama ada secara taklik atau fasakh, tapi lebih mudah ikut taklik,” kata Pensyarah Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datin Noor Aziah Mohd Awal.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian menimpa seorang isteri berusia 29 tahun yang mendakwa menjadi mangsa dera suaminya malah turut diugut bunuh gara-gara sikap panas baran tidak terkawal dan cemburu buta.


Noor Aziah berkata, Islam tidak pernah menghalalkan penderaan dalam rumah tangga dan mana-mana suami atau isteri yang berdepan kes itu secara berterusan hingga mendatangkan kemudaratan, boleh mengambil jalan cerai sebagai penyelesaian terakhir.

“Perceraian memang tidak digalakkan, tapi Islam juga ada menyatakan taklik yang dilafazkan suami ketika akad nikah antaranya menyebut sekiranya dia (suami) lazim menyakiti (memukul isteri) atau meninggalkannya selama empat bulan berturut-turut, maka isteri dibolehkan memohon cerai taklik.


“Jadi dalam kes ini, apabila si isteri mengatakan dipukul suaminya dengan kerap serta mempunyai saksi dan bukti yakni dokumen perubatan, dia boleh mengemukakan permohonan cerai di Mahkamah Syariah dan hakim akan mengadili dengan baik.


“Berbanding fasakh yang mengambil masa lebih panjang disamping kemungkinan suami membantah, lebih baik lakukan cerai taklik dengan syarat perlulah sertakan bukti kukuh bagi menyokong permohonan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Metro Ahad semalam melaporkan Siti, 29, mendakwa suaminya berusia 35 tahun menamparnya sejurus mengejutkan daripada tidur di ruang tamu rumah mereka di Tanjung Keling, Melaka, malah turut mengacukan pisau ke lehernya dengan kuat menyebabkan luka pada 4 November lalu.


Mengulas lanjut, Noor Aziah yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam (MPWIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), berkata, beliau melihat faktor tekanan dalam hidup berumah tangga antara punca menyebabkan suami isteri bergaduh.

“Dibandingkan pasangan lama dengan pasangan muda kini, jauh bezanya kerana orang lama lebih bijak menyelesaikan masalah dalam keluarga, sedangkan suami isteri sekarang cenderung bergaduh disebabkan tekanan dihadapi tambahan jika dua-duanya (suami isteri) bekerja.


“Apabila tertekan, mana-mana suami atau isteri akan mudah naik tangan dan kalau si isteri buat provokasi lagilah burukkan keadaan. Jadi bukan kita kata kes penderaan dalam rumah tangga isu baru, tapi ia sebenarnya semakin banyak dilaporkan kini kerana kesedaran wanita,” katanya.


Sementara itu, Pakar Perunding Psikiatri Fakulti Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Osman Che Bakar, berkata suami yang tergamak mencederakan isteri dan menggugut bunuh mungkin menghidap masalah gangguan impuls yang mengganggu otak.


Katanya, golongan itu juga cenderung mengalami masalah sadistik iaitu memperlihatkan kepuasan berpanjangan selepas melakukan penderaan tanpa mengira rayuan mangsa, justeru wajar dibawa berjumpa pakar psikologi untuk mendapatkan rawatan.

Zikir Penyelamat

Berzikir berpegangan tangan dalam bulatan

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KEMAMAN: Hanya zikir dan doa mengingat Allah SWT meniti di bibir 15 daripada 16 mangsa yang menganggap mereka ibarat mati hidup semula apabila terselamat selepas terapung kira-kira 16 jam sebaik bot dinaiki karam dipercayai bocor di bahagian enjin, kira-kira 6.30 petang kelmarin.

Kejadian membabitkan bot jenis katamaran yang ketika itu dalam perjalanan membawa 15 pelancong dalam perjalanan pulang ke jeti Kuala Dungun selepas melakukan aktiviti selam di Pulau Tenggol. Sepanjang terapung di laut, semua mangsa mendakwa melihat kelibat bot lain tetapi tidak mengendahkan mereka sehinggalah seorang daripada mereka iaitu Loo Kit Choong, 54, bertindak berani membuka jaket keselamatannya. Loo terpaksa memperjudikan nyawanya kerana ketika itu hanya dia masih bertenaga dan melambungkan jaket keselamatan sebelum objek itu dilihat anggota Pasukan Gerakan Marin yang kemudian segera menyelamatkan mereka. Selain itu, penyelam, Badrulhisham Shariman, 40, turut menggunakan segala kudrat yang ada untuk memastikan mereka mengikut arus dengan menguak kakinya kerana ketika kejadian hanya dia masih memakai ‘flipper’. Semua mangsa dikatakan berada dalam kumpulan dan memegang erat antara satu dengan lain dalam satu bulatan sambil berzikir dan melambung-lambungkan seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang turut terapung bersama mereka. Semua 16 mangsa dilaporkan hilang ditemui terapung kira-kira 16 batu nautika dari lokasi mereka dilaporkan hilang iaitu lapan batu nautika dari Pulau Tenggol, semalam.


Sementara itu, pemandu bot berkenaan, Zul Fadhly Yahya, 29, berkata bot yang dikemudinya itu tiba-tiba menjadi perlahan pada jarak kira-kira lapan batu nautika dari Jeti Kuala Dungun. “Apabila toleh ke belakang saya nampak enjin bot hampir tenggelam dan air mula memasuki badan bot,” katanya di Jeti Marin Wilayah Timur di sini, semalam.

Menurutnya, dia mengambil keputusan berpatah-balik ke Pulau Tenggol namun botmenjadi semakin perlahan dan apabila air semakin banyak memasuki badan bot, dia mengarahkan semua penumpangnya terjun dari bot. Katanya, semua penumpang berjaya keluar hanya beberapa saat sebelum bot tenggelam sepenuhnya dan mereka membuat formasi dalam bentuk bulatan dan saling membantu antara satu sama lain. “Waktu itu bot sudah senget. Saya risau jika mereka tidak terjun, mereka akan tenggelam bersama bot,” katanya. Katanya, semua penumpang berjaya keluar hanya beberapa saat sebelum bot berkenaan tenggelam sepenuhnya dan mereka membuat formasi dalam bentuk bulatan dan saling membantu antara satu sama lain.

Tuesday, May 10, 2011

Penderitaan Hidup


'Kami pernah ikat perut 20 hari kerana tiada wang'

ABDUL Rahim Mohamed Batcha bersama anaknya, Zarina termenung mengenangkan nasib mereka di rumahnya di Kampung Dodol, Jalan Perak.

PULAU PINANG 9 Mei - "Kami pernah ikat perut selama 20 hari akibat tiada wang untuk membeli makanan dan hanya mengalas perut dengan biskut."

Itulah pengakuan Abdul Rahim Mohamed Batcha, 75, yang terpaksa menjalani kehidupan dalam serba kekurangan sejak lapan tahun lalu.

Dia kini menumpang di bilik bahagian atas sebuah rumah di Kampung Dodol, Jalan Perak.

Kedaifan hidup yang dialami bekas anak kapal sebuah syarikat di Kuala Lumpur itu bermula selepas dia terpaksa berhenti kerja kerana faktor usia sejak 10 tahun lalu.

Dia yang menetap di Jalan Terengganu ketika itu hanya bekerja sebagai pencuci pinggan di sebuah restoran dengan bayaran RM25 sehari namun hanya bertahan selama setahun kerana keadaan kesihatan yang tidak menentu.

"Saya menerima wang bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak 2004 sebanyak RM300 sebulan.

"Dengan jumlah itu juga, saya membayar wang sewa rumah malah tiada baki bagi saya membeli keperluan makanan dan hanya bergantung pada upah mencuci pinggan," ujarnya.

Rahim berkata, dia kini tidak lagi bekerja berikutan tiada majikan yang mahu menggaji pekerja berusia sepertinya.

Lebih menambahkan penderitaan, anak tunggalnya, Zarina, 32, menghidap penyakit jantung dan terpaksa berulang-alik ke klinik kerajaan bagi mendapatkan rawatan.

"Jika tiada wang, saya dan Zarina akan berjalan kaki ke klinik yang terletak kira-kira satu kilometer dari tempat tinggal.

"Malah saya sering berjalan kaki jika hendak ke sesuatu tempat kerana tidak mempunyai wang tambang bas," ujarnya.

Mereka yang mahu membantu Abdul Rahim boleh menghubunginya di talian 012- 4816236.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Monday, May 9, 2011

Anak Kartika Sari


Anak Kartika Sari hilang
Oleh Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SUNGAI SIPUT: “Dua minggu sebelum anak saya hilang, saya mengalami beberapa mimpi pelik termasuk pada kali terakhir tidur bersamanya iaitu malam Jumaat lalu.

“Malah, malam itu, anak saya itu menangis dan meraung menyebabkan saya hairan memandangkan dia tidak pernah berkelakuan sedemikian sebelum ini,” kata Kartika Sari Dewi Sukarno, 33, ibu kepada Muhammad Azfar Muhammad Affandi, 9, kanak-kanak yang hilang dipercayai jatuh ke dalam Sungai Perak tengah hari kelmarin.


Muhammad Azfar adalah anak sulung kepada Kartika, wanita yang mencetuskan kontroversi selepas dijatuhkan hukuman sebat tahun lalu kerana meminum arak.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, Muhammad Azfar yang mengalami masalah pertuturan dan kecacatan akal dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya di kediaman inap desa milik keluarganya di Kampung Jawang, di sini ketika menonton televisyen bersama sepupunya yang lain.


Bagaimanapun, kehilangan itu mencetuskan misteri berikutan tiada jejak tapak kaki ditemui.


Malah, kanak-kanak istimewa itu dikatakan keluar dari rumah dengan tidak memakai baju dan hanya berseluar panjang serta berkaki ayam. Malah, kebanyakan pengamal perubatan tradisional yang membuat tilikan mengenai kehilangan kanak-kanak itu mendakwa Muhammad Azfar ‘disembunyikan’ di dalam hutan berhampiran.

Selain itu, usaha mencari dan menyelamat dijalankan 113 anggota dan penyelamat terdiri daripada Bomba dan Penyelamat, Polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta penduduk kampung juga gagal menemui sebarang jejak hingga petang semalam.


Kartika ketika ditemui berkata, dia tidak menyangka mimpi pelik dialaminya sepanjang dua minggu lalu adalah petanda kehilangan anak sulungnya itu.

“Saya sering bermimpi ular putih yang bercahaya. Malah, ular itu membelit anak saya sebelum menariknya ke dalam lubang,” katanya.


Katanya, sebelum ini, dia bersama Muhammad Azfar berada di Johor bagi menguruskan persekolahan anak sulungnya itu di sekolah khas.


Beliau berkata, dia mula berada di inap desa milik keluarganya itu sejak sebulan lalu bagi menguruskan usaha membangunkan semula kawasan pelancongan berkenaan.


“Saya harap anak saya selamat ditemui jika hilang di hutan kecil itu. “Saya percaya dia tidak terjatuh ke dalam sungai kerana sepanjang di inap desa ini sejak kecil, anak saya itu tidak berani pergi ke sungai itu.


“Memang dia suka main air, tetapi kami tidak membenarkannya mandi di situ,” katanya.


Menceritakan detik kehilangan anaknya itu, Kartika berkata, ketika kejadian dia di dapur menyiapkan makan tengah hari sementara anaknya bersama anak saudaranya menonton televisyen di dewan.


Katanya, seketika kemudian, semua anak saudaranya pergi ke dapur manakala anaknya dibiarkan seorang diri di dewan.


“Kehilangannya disedari anak saudara saya, Muhammad Ramadan Mohd Ridzwan, 12, selepas gagal menemui kelibat anak saya di dewan itu sekembalinya dari dapur,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Azman Salim ketika dihubungi semalam berkata, operasi mencari dan menyelamat disambung pagi semalam selepas usaha mencari kanak-kanak itu sejak petang kelmarin tidak berhasil.

Sunday, May 8, 2011

Ibu Terkorban Selamatkan Anak


Jiran lihat belakang, kepala wanita terbakar

Zamri Hamat bersama tiga anaknya, Rashidah Illyana (kanan), Zaim Shahrul (dua dari kanan) dan Zaim Ikbal melihat kesan kebakaran yang mengorbankan isterinya, Allahyarham Rafidah Ismail (gambar kecil) ketika menyelamatkan anak mereka di Taman Sri Gucil, Kuala Krai, kelmarin.

KUALA KRAI 7 Mei - Seorang jiran melihat api menyambar bahagian belakang badan dan kepala Allahyarham Rafidah Ismail, 36, ketika wanita itu bertungkus-lumus mengeluarkan tiga anaknya dari dalam rumah mereka yang terbakar di Taman Sri Guchil, Kuala Krai, semalam.

Menurut Hasnah Mahmood, 34, yang sarat mengandung sembilan bulan, dia menyaksikan perkara tersebut ketika membantu mengeluarkan anak sulung mangsa, Rashidah Illyana Zamri, 7, iaitu yang terakhir dikeluarkan dari tingkap.

"Hanya Tuhan yang tahu dari mana datangnya kekuatan untuk Rafidah membengkokkan besi jeriji tingkap bagi mengeluarkan tiga anaknya itu.

"Ketika itulah saya nampak api sudah sambar belakang dan kepala arwah semasa dia mengeluarkan anaknya yang terakhir iaitu Rashidah.

"Anak pertama dikeluarkannya ialah yang bongsu diikuti anak keduanya. Hanya Tuhan sahaja tahu perasaan saya untuk menggambarkan suasana itu," katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Dalam kejadian itu, seorang wanita sanggup bergadai nyawa memecahkan kaca tingkap rumah dan mengumpul kekuatan membengkokkan jeriji besi untuk membolehkan tiga anak kecilnya keluar ketika kediaman mereka terbakar di Taman Sri Guchil, Kuala Krai.

Namun dalam kejadian pukul 1.30 petang itu, nyawa Rafidah, jururawat di Hospital Kuala Krai, menjadi galang gantinya apabila dia sendiri rentung setelah gagal menyelamatkan diri. Mayatnya ditemui dekat pintu utama rumah teres itu.

Ketiga-tiga anaknya, Rashidah; Zaim Shahrul, 6, dan Zaim Iqbal, 2, selamat setelah disambut oleh jiran sebelah rumah dari tingkap kaca yang dipecahkan mangsa.

Hasnah yang merupakan guru di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Krai berkata, ketika kejadian dia sedang memeriksa tugasan murid bersama anaknya di ruang tamu rumah sebelum dikejutkan dengan bunyi cermin pecah yang kuat dari rumah mangsa.

"Saya bergegas keluar ke rumah Rafidah untuk melihat apa yang berlaku. Rafidah dengan nada cemas berkata, tolong Kak Dah, rumah akak terbakar!

"Saya kemudian membantu dia mengeluarkan anaknya satu persatu. Saya hanya menyambut anaknya yang bongsu sedang dua lagi anak mereka boleh keluar sendiri dan saya hanya menarik mereka menjauhi rumah.

"Ketika itu saya cuba menenangkan arwah untuk mencari kunci rumah. Saya sempat minta arwah bertakbir dan bertenang namun dia tidak menemui kunci itu," katanya.



Hari Ibu tiada makna bagi tiga beradik

KUALA KRAI 7 Mei – Di saat kanak-kanak lain gembira untuk menyambut Hari Ibu esok, tiga beradik masih trauma dengan tragedi kebakaran yang meragut nyawa ibu mereka, Rafidah Ismail, 36, dan turut memusnahkan rumah mereka di Taman Sri Guchil, di sini petang semalam.

Rashidah Illyana Zamri, 7, dan dua adiknya, Zaim Shahrul, 6, serta Zaim Iqbal, 2, hanya diam ketika diajukan soalan mengenai kejadian itu malah mereka enggan memegang kain untuk dibuat baju raya yang dibeli arwah ibu mereka dua minggu lalu.

Hanya kain berkenaan serta dua naskhah al-Quran yang terselamat daripada terbakar dalam kejadian berkenaan.

Bapa kanak-kanak itu, Zamri Hamat, 38, berkata, sejak semalam Rashidah Illyana dan Zaim Shahrul lebih banyak menyendiri manakala Zaim Iqbal ‘meragam’ sepanjang hari, mungkin teringatkan ibunya.

“Saya seorang tentera, ketika kejadian saya bertugas menjaga sempadan negara di Gerik, Perak. Ketiga-tiga anak saya masih trauma dan teringatkan ibu mereka. Mungkin mereka masih tidak mengerti apa itu Hari Ibu.

“Rashidah hanya memberitahu saya, semasa kejadian ibunya tidur di atas sofa bersama adik bongsunya manakala dia dan Zaim Shahrul sedang bermain di ruang tamu,” katanya ketika ditemui hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan seorang wanita sanggup bergadai nyawa memecahkan kaca tingkap rumah dan mengumpul kekuatan membengkokkan jeriji besi untuk membolehkan tiga anak kecilnya keluar ketika kediaman mereka terbakar.

Namun dalam kejadian pukul 1.30 petang itu nyawa Rafidah, jururawat di Hospital Kuala Krai menjadi galang gantinya apabila dia sendiri rentung setelah gagal menyelamatkan diri sendiri.