Sunday, May 15, 2011

2 pilihan sang isteri

Dua jalan lepasi azab
Oleh Maiamalina Mohamed Amin dan Siti Norhidayatidayu Razali
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: “Wanita ini ada dua pilihan untuk bercerai sama ada secara taklik atau fasakh, tapi lebih mudah ikut taklik,” kata Pensyarah Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datin Noor Aziah Mohd Awal.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian menimpa seorang isteri berusia 29 tahun yang mendakwa menjadi mangsa dera suaminya malah turut diugut bunuh gara-gara sikap panas baran tidak terkawal dan cemburu buta.


Noor Aziah berkata, Islam tidak pernah menghalalkan penderaan dalam rumah tangga dan mana-mana suami atau isteri yang berdepan kes itu secara berterusan hingga mendatangkan kemudaratan, boleh mengambil jalan cerai sebagai penyelesaian terakhir.

“Perceraian memang tidak digalakkan, tapi Islam juga ada menyatakan taklik yang dilafazkan suami ketika akad nikah antaranya menyebut sekiranya dia (suami) lazim menyakiti (memukul isteri) atau meninggalkannya selama empat bulan berturut-turut, maka isteri dibolehkan memohon cerai taklik.


“Jadi dalam kes ini, apabila si isteri mengatakan dipukul suaminya dengan kerap serta mempunyai saksi dan bukti yakni dokumen perubatan, dia boleh mengemukakan permohonan cerai di Mahkamah Syariah dan hakim akan mengadili dengan baik.


“Berbanding fasakh yang mengambil masa lebih panjang disamping kemungkinan suami membantah, lebih baik lakukan cerai taklik dengan syarat perlulah sertakan bukti kukuh bagi menyokong permohonan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Metro Ahad semalam melaporkan Siti, 29, mendakwa suaminya berusia 35 tahun menamparnya sejurus mengejutkan daripada tidur di ruang tamu rumah mereka di Tanjung Keling, Melaka, malah turut mengacukan pisau ke lehernya dengan kuat menyebabkan luka pada 4 November lalu.


Mengulas lanjut, Noor Aziah yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam (MPWIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), berkata, beliau melihat faktor tekanan dalam hidup berumah tangga antara punca menyebabkan suami isteri bergaduh.

“Dibandingkan pasangan lama dengan pasangan muda kini, jauh bezanya kerana orang lama lebih bijak menyelesaikan masalah dalam keluarga, sedangkan suami isteri sekarang cenderung bergaduh disebabkan tekanan dihadapi tambahan jika dua-duanya (suami isteri) bekerja.


“Apabila tertekan, mana-mana suami atau isteri akan mudah naik tangan dan kalau si isteri buat provokasi lagilah burukkan keadaan. Jadi bukan kita kata kes penderaan dalam rumah tangga isu baru, tapi ia sebenarnya semakin banyak dilaporkan kini kerana kesedaran wanita,” katanya.


Sementara itu, Pakar Perunding Psikiatri Fakulti Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Osman Che Bakar, berkata suami yang tergamak mencederakan isteri dan menggugut bunuh mungkin menghidap masalah gangguan impuls yang mengganggu otak.


Katanya, golongan itu juga cenderung mengalami masalah sadistik iaitu memperlihatkan kepuasan berpanjangan selepas melakukan penderaan tanpa mengira rayuan mangsa, justeru wajar dibawa berjumpa pakar psikologi untuk mendapatkan rawatan.

No comments:

Post a Comment