Tuesday, May 24, 2011

Tragedi Menemukan


Hikmah sebalik musibah
Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali dan Nurul Ekhwan Haque Fazlul Haque
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
SEBAK...Nur Suzana (kiri) dan Nor Aida melihat tangan Mohd Aizad di Hospital Ampang.
SEBAK...Nur Suzana (kiri) dan Nor Aida melihat tangan Mohd Aizad di Hospital Ampang.

AMPANG: “Impian selama 11 tahun untuk berjumpa ibu kandung termakbul apabila ibu datang ke hospital menziarahi saya dan rakan walaupun dalam suasana sedih selepas kehilangan ramai saudara dalam kejadian tanah runtuh,” kata Muhd Aizad Qushyariry Abd Karim, 13, mangsa kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-Anak Yatim Al-Taqwa, Hulu Langat dekat sini.

Muhd Aizad yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Jalil, Hulu Langat dan tinggal di rumah anak yatim itu sejak empat tahun lalu berkata, setiap masa dia tidak pernah lupa berdoa agar dipertemukan dengan ibu kandungnya, Nur Suzana Abdullah, 37, dan adik perempuan, Aerryssa Fadiana Abd Karim, 11, selepas berpisah ketika masih kecil.


Katanya, dia masih terkejut tetapi gembira apabila ibunya datang melawat selepas sekian lama tidak berjumpa dan hanya doa menjadi penghubung antara mereka.

“Hanya rasa syukur dapat diluahkan apabila ibu datang memeluk dan mencium saya untuk pertama kali selepas 11 tahun tidak bersua.


“Saya berjanji akan menjadi anak yang patuh dan mahu tinggal bersamanya selain tidak melupakan ibu angkat, (Nor Aida Yaacob, 31,) yang bersusah payah membesarkan saya dan memberi pelajaran secukupnya,” katanya ketika ditemui di Hospital Ampang di sini, semalam.


Muhd Aizad yang patah tangan kiri dan cedera di badan berkata, kejadian malang itu tidak boleh dilupakan seumur hidup apabila separuh badannya hingga tengkuk tertimbus dengan tanah selama dua jam sebelum diselamatkan anggota bomba dan penyelamat.

“Pada masa itu, saya hanya mampu berdoa sambil menyebut nama ibu dan berharap dapat berjumpa dengan mereka dan memeluk kedua-duanya.


“Saya bersyukur kejadian ini mempunyai hikmah kerana dapat merasai kasih sayang dua ibu selain ayah kandung, (Abd Karim Yaacob, 40,) yang banyak berdoa dan berjasa kepada saya,” katanya yang kini semakin pulih dan ceria walaupun masih trauma.

Menurutnya, dia akan tinggal bersama ibu kandungnya selepas ini dan bergilir-gilir ke rumah ibu angkatnya yang juga ibu saudaranya.


Bagi Nur Suzana pula, dia hanya mengetahui kejadian menimpa anaknya itu melalui siaran berita di televisyen, kelmarin.


Katanya, dia yang terlihat nama anaknya yang dicari sejak 11 tahun lalu hanya mampu menangis kerana doanya selama ini dimakbulkan.


“Sekian lama saya mencarinya hanya kini baru berjumpa dan bersyukur kerana Muhd Aizad selamat dalam kejadian itu,” katanya.


“Tidak tergambar dengan kata-kata apabila dapat berjumpa anak kesayangan dan memeluk kembali tubuh kecil selepas sekian lama terpisah,” katanya.


Menurutnya, selepas berpisah dengan suami, dia membawa diri ke Hulu Klang dan tinggal di sana dengan meninggalkan Muhd Aizad dan anak sulungnya, Mohd Alif Zafran Abd Rahim, 15, bersama suami.

No comments:

Post a Comment