Kumpulan artikel dari website akhbar atau dari web individu mengenai bencana alam,kemalangan,masalah rumahtangga serta tragedi dalam kehidupan masyarakat Malaysia dan dunia.
Sunday, May 8, 2011
Ibu Terkorban Selamatkan Anak
Jiran lihat belakang, kepala wanita terbakar
Zamri Hamat bersama tiga anaknya, Rashidah Illyana (kanan), Zaim Shahrul (dua dari kanan) dan Zaim Ikbal melihat kesan kebakaran yang mengorbankan isterinya, Allahyarham Rafidah Ismail (gambar kecil) ketika menyelamatkan anak mereka di Taman Sri Gucil, Kuala Krai, kelmarin.
KUALA KRAI 7 Mei - Seorang jiran melihat api menyambar bahagian belakang badan dan kepala Allahyarham Rafidah Ismail, 36, ketika wanita itu bertungkus-lumus mengeluarkan tiga anaknya dari dalam rumah mereka yang terbakar di Taman Sri Guchil, Kuala Krai, semalam.
Menurut Hasnah Mahmood, 34, yang sarat mengandung sembilan bulan, dia menyaksikan perkara tersebut ketika membantu mengeluarkan anak sulung mangsa, Rashidah Illyana Zamri, 7, iaitu yang terakhir dikeluarkan dari tingkap.
"Hanya Tuhan yang tahu dari mana datangnya kekuatan untuk Rafidah membengkokkan besi jeriji tingkap bagi mengeluarkan tiga anaknya itu.
"Ketika itulah saya nampak api sudah sambar belakang dan kepala arwah semasa dia mengeluarkan anaknya yang terakhir iaitu Rashidah.
"Anak pertama dikeluarkannya ialah yang bongsu diikuti anak keduanya. Hanya Tuhan sahaja tahu perasaan saya untuk menggambarkan suasana itu," katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Dalam kejadian itu, seorang wanita sanggup bergadai nyawa memecahkan kaca tingkap rumah dan mengumpul kekuatan membengkokkan jeriji besi untuk membolehkan tiga anak kecilnya keluar ketika kediaman mereka terbakar di Taman Sri Guchil, Kuala Krai.
Namun dalam kejadian pukul 1.30 petang itu, nyawa Rafidah, jururawat di Hospital Kuala Krai, menjadi galang gantinya apabila dia sendiri rentung setelah gagal menyelamatkan diri. Mayatnya ditemui dekat pintu utama rumah teres itu.
Ketiga-tiga anaknya, Rashidah; Zaim Shahrul, 6, dan Zaim Iqbal, 2, selamat setelah disambut oleh jiran sebelah rumah dari tingkap kaca yang dipecahkan mangsa.
Hasnah yang merupakan guru di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Krai berkata, ketika kejadian dia sedang memeriksa tugasan murid bersama anaknya di ruang tamu rumah sebelum dikejutkan dengan bunyi cermin pecah yang kuat dari rumah mangsa.
"Saya bergegas keluar ke rumah Rafidah untuk melihat apa yang berlaku. Rafidah dengan nada cemas berkata, tolong Kak Dah, rumah akak terbakar!
"Saya kemudian membantu dia mengeluarkan anaknya satu persatu. Saya hanya menyambut anaknya yang bongsu sedang dua lagi anak mereka boleh keluar sendiri dan saya hanya menarik mereka menjauhi rumah.
"Ketika itu saya cuba menenangkan arwah untuk mencari kunci rumah. Saya sempat minta arwah bertakbir dan bertenang namun dia tidak menemui kunci itu," katanya.
Hari Ibu tiada makna bagi tiga beradik
KUALA KRAI 7 Mei – Di saat kanak-kanak lain gembira untuk menyambut Hari Ibu esok, tiga beradik masih trauma dengan tragedi kebakaran yang meragut nyawa ibu mereka, Rafidah Ismail, 36, dan turut memusnahkan rumah mereka di Taman Sri Guchil, di sini petang semalam.
Rashidah Illyana Zamri, 7, dan dua adiknya, Zaim Shahrul, 6, serta Zaim Iqbal, 2, hanya diam ketika diajukan soalan mengenai kejadian itu malah mereka enggan memegang kain untuk dibuat baju raya yang dibeli arwah ibu mereka dua minggu lalu.
Hanya kain berkenaan serta dua naskhah al-Quran yang terselamat daripada terbakar dalam kejadian berkenaan.
Bapa kanak-kanak itu, Zamri Hamat, 38, berkata, sejak semalam Rashidah Illyana dan Zaim Shahrul lebih banyak menyendiri manakala Zaim Iqbal ‘meragam’ sepanjang hari, mungkin teringatkan ibunya.
“Saya seorang tentera, ketika kejadian saya bertugas menjaga sempadan negara di Gerik, Perak. Ketiga-tiga anak saya masih trauma dan teringatkan ibu mereka. Mungkin mereka masih tidak mengerti apa itu Hari Ibu.
“Rashidah hanya memberitahu saya, semasa kejadian ibunya tidur di atas sofa bersama adik bongsunya manakala dia dan Zaim Shahrul sedang bermain di ruang tamu,” katanya ketika ditemui hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan seorang wanita sanggup bergadai nyawa memecahkan kaca tingkap rumah dan mengumpul kekuatan membengkokkan jeriji besi untuk membolehkan tiga anak kecilnya keluar ketika kediaman mereka terbakar.
Namun dalam kejadian pukul 1.30 petang itu nyawa Rafidah, jururawat di Hospital Kuala Krai menjadi galang gantinya apabila dia sendiri rentung setelah gagal menyelamatkan diri sendiri.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment