Bangsal jadi tempat berteduh
23 Mei 2013
Hamat Yusoff, 72, berkata, dia terpaksa tinggal di sebuah rumah usang tanpa dinding serta tiada kemudahan asas dalam sebuah kebun getah.
“Selepas bercerai kira-kira 20 tahun lalu, pelbagai pekerjaan telah saya lakukan untuk meneruskan kehidupan termasuk yang terakhir menjadi pengawal keselamatan di sebuah kilang simen di Chendering, namun saya tidak mampu membina rumah sendiri,” katanya.
Bapa kepada 13 anak itu termasuk tiga anak kurang upaya (OKU) itu berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya lebih sesuai dipanggil bangsal buruk yang dibina dalam kebun getah, dekat Taman Purnama, Rusila di sini.
Hamat juga dikenali sebagai ‘Pok Mat Tebu’ oleh penduduk setempat berkata, dia tidak menyalahkan kerajaan kerana tidak diberikan pembelaan, namun masih berharap agar dapat menikmati kehidupan selesa seperti rakyat Malaysia yang lain.
Menurut warga emas memperoleh gaji bulanan RM600 sebulan itu, disebabkan bangsal buruk yang didiaminya itu tiada dinding, barang-barang peribadinya termasuk wang gajinya sering dicuri orang.
“Sudah banyak kali wang saya dicuri, malah saya sendiri disamun sebanyak dua kali tahun ini. Saya kini trauma dengan kehadiran orang tidak dikenali sekitar sini dan berharap dapat tinggal di rumah lebih selesa dengan adanya bantuan daripada kerajaan.
“Saya mempunyai tanah pusaka dalam keluasan terhad jika ia boleh dijadikan sebagai tapak rumah dan terpaksa memohon dengan cara ini kerana permohonan saya sebelum ini tidak pernah diendahkan mungkin kerana fahaman politik yang berbeza,” katanya.
No comments:
Post a Comment