Menangis tak dapat rasa siput sedut air tangan isteri
19 Mei 2013
Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa, Borhan Adam, 46, yang dalam perjalanan ke tempat kerjanya maut di tempat kejadian apabila motosikal jenis Modenas Kriss yang ditunggangnya dilanggar oleh sebuah kereta jenis Toyota Corona yang datang dari arah bertentangan.
Menurut isteri mangsa, Roszimah Shaharudun, 45, ketika kejadian, suaminya itu dalam perjalanan dari rumah mereka di Taman Krubong Jaya ke tempat kerjanya di sebuah kedai menjual bahan binaan yang terletak di Kawasan Perindustrian Krubong.
“Suami keluar rumah awal pagi kerana dia perlu menghantar barang pembinaan ke Kuantan, Pahang.
“Hampir setiap hari dia keluar awal pagi kerana perlu menghantar barangan kepada pelanggan yang terletak di luar Melaka,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Melaka semalam.
Roszimah berkata, dia bagaimanapun berasa terkilan apabila tidak dapat memenuhi hasrat terakhir suaminya itu untuk memakan masak lemak siput sedut.
“Tengah hari semalam (kelmarin), suami ada meminta saya memasak siput sedut namun saya tidak dapat masaknya kerana bahan-bahan seperti siput sedut, santan dan keladi tiada di rumah.
“Sebaik pulang dari kerja kira-kira jam 6.30 petang, dia bertanyakan sama ada saya sudah memasak siput sedut dan berasa kecewa hingga menangis apabila diberitahu saya tidak sempat memasaknya kerana ketiadaan bahan,” katanya.
Menurutnya, dia kemudian pergi ke Kuala Lumpur menziarahi ibunya dan hanya mengetahui suaminya itu ditimpa kemalangan apabila menerima panggilan telefon daripada anak saudaranya pada jam 6 pagi semalam.
Sementara itu, Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam negeri, Superintendan Ahmad Adnan Basri berkata, mangsa ketika kejadian menunggang motosikal miliknya dari arah Taman Krubong Jaya menghala ke persimpangan lampu isyarat Krubong/Lebuh SPA di sini.
“Tiba di tempat kejadian, sebuah kereta dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun yang datang dari arah bertentangan telah terbabas lalu memasuki laluan mangsa.
“Kereta ini kemudian melanggar motosikal mangsa menyebabkan mangsa tercampak ke atas atas cermin kereta hadapan,” katanya.
Menurutnya, mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala maut di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.
Katanya, kereta terbabit ditinggalkan pemandunya kira-kira kira 100 meter dari tempat kejadian kerana bimbang akan keselamatannya namun telah melaporkan kemalangan berkenaan kepada pihak polis tengah hari semalam.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
No comments:
Post a Comment