Budak 11 tahun dirogol, bunuh
Pembunuhan kejam ini menggemparkan penduduk kawasan Bukit Tinggi di sini apabila mayat kanak-kanak malang itu, Nur Amyliana Shuhada Mohd. Noor dijumpai di tempat letak kereta Lorong Batu Nilam 1E, Bukit Tinggi di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Senior Asisten Komisioner Mohamad Md. Yusop berkata, mayat mangsa ditemukan oleh orang ramai dalam keadaan terbaring di tempat kejadian pada pukul 10.30 malam.
Beliau berkata, sejurus menerima panggilan daripada orang awam, sepasukan anggota polis dan pegawai perubatan hospital telah dikejarkan ke tempat kejadian dan mendapati kanak-kanak tersebut telah meninggal dunia.
"Hasil pemeriksaan ke atas mangsa tidak menemukan sebarang kesan kecederaan pada tubuhnya. Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesan pendarahan pada bahagian kemaluan.
"Kita syak kanak-kanak tersebut telah dirogol berdasarkan kesan pendarahan tersebut dan percaya mangsa dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya ditinggalkan di kawasan tempat letak kereta berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohamad berkata, susulan kejadian ini dan siasatan lanjut pihak polis, dua lelaki berusia 19 dan 24 tahun ditahan di sekitar kawasan berkenaan kira-kira pukul 6 pagi ini bagi membantu siasatan.
"Polis turut menemukan satu penyodok tanah berhampiran lokasi mayat mangsa ditemui dipercayai dibawa salah seorang suspek untuk menanam mayat mangsa.
"Bagaimanapun, suspek mungkin tidak sempat berbuat demikian kerana terdapat beberapa individu melalui kawasan tersebut," katanya.
Mohamad memberitahu, kedua-dua suspek kini ditahan reman sehingga 15 Mei ini dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
'Mak jangan pergi, biar saya pergi dulu'
Acha Kusain, 42, berkata, beberapa hari sebelum kejadian tersebut, dia ada berbual bersama-sama dan anaknya mengungkapkan kata-kata; 'Mak jangan pergi dan risau, biar saya pergi dulu.'
"Semasa anak saya sebut perkataan itu langsung tidak terlintas ada perkara buruk berlaku. Rupa-rupanya, tanpa disangka kata-katanya itu merupakan petanda yang dia akan meninggalkan kami sekeluarga buat selama-lamanya.
"Pemergiannya sangat memberi kesan kepada kami sekeluarga kerana arwah merupakan seorang yang peramah, ceria dan ringan tulang membantu melakukan kerja-kerja rumah," katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini hari ini.
Acha berkata, dia dan suami, Mohd. Noor Mustapha, 42, juga tidak menyangka kejadian yang paling ditakuti itu menimpa anak perempuan mereka yang mesra dipanggil 'Cinang'.
"Kami baru berpindah dari Kuantan, Pahang ke kawasan ini kira-kira dua bulan lalu dan sering mengingatkan anak-anak supaya sentiasa menutup pintu besi dan jangan sesekali membuka pintu kepada orang yang tidak dikenali.
"Bagaimanapun, pada hari kejadian, anak sulung saya terbawa kunci rumah ke tempat kerja dan jadi arwah yang baru habis bermain tidak dapat memasuki rumah. Kami menyangka dia bermain di bawah dan hanya menyedari kehilangannya pada waktu petang," katanya.
Sementara itu, saksi kejadian, R. Kalaivanjini, 19, berkata, ketika itu, dia dan salah seorang rakannya dalam perjalanan menuju ke sebuah restoran untuk membeli makanan.
"Ketika sedang berjalan, saya ternampak budak lengkap berpakaian terbaring dan menyangka mungkin dia sedang bermain.
"Setelah memanggil beberapa kali, tiada jawapan daripada budak itu. Saya yang ketakutan terus memanggil salah seorang pemandu bas supaya menghubungi pihak polis," katanya.
No comments:
Post a Comment