Sunday, May 26, 2013

syahid zaman ini

Perkongsian Kisah Benar Keadaan Jenazah Penuntut UMT.

Pada 4/5/2010 (Selasa Pukul 10.00 pagi) saya dikejutkan dengan satu panggilan memberitahu anak saudara saya (anak abang) telah meninggal kerana mati lemas ketika keluar berdakwah selama 40 hari mengikut Jemaah Tabligh ke pendalaman Sabah. Tempat sebenar kejadian di Daerah Beluran, lebih kurang 21/2 jam perjalanan ke Bandar Sandakan.
Remaja ini bernama Muhammad Huzaifah Bin Muhammad Huzazi. Berumur 21 tahun. Pelajar Ijazah Teknologi Alam Sekitar, Universiti Malaysia Terengganu. Kami berusaha membawa balik ke rumahnya di Sabak Bernam secepat mungkin. Namun kerana peraturan dan dokumentasi, jenazah hanya berjaya di bawa balik pada keesokan harinya. Tiba di Markaz Masjid Sri Petaling sebaik sahaja solat Asar berakhir.
Sebaik sahaja kain kapan di buka saya melihat wajahnya seperti sedang tidur tanpa menunjukkan kulit pucat dan kaku seperti kebiasaan mayat. Saya teringat beberapa hadis yang memberikan tanda-tanda orang yang mati dalam keadaan baik (Husnul khatimah). Antaranya dahi berpeluh. Saya cuba mengusap dahi dan mukanya memang terasa berpeluh dan lembab. Darah juga masih mengalir segar. Ketika saya cuba menggantikan kapas di mulutnya kerana kapas tersebut telah penuh dengan darah, saya terkejut kerana darah segar merah masih keluar dari mulutnya dan mengenai kapas baru. Saya menyangkakan dia seperti masih hidup.
Ramai jemaah selepas solat asar juga bertanya adakah benar dia sudah mati kerana nampak seperti sedang tidur. Ketika ibunya ingin menciumnya untuk kali terakhir, ibunya tertekan dadanya. Sekali lagi darah merah cair keluar dari mulutnya. Mengikut kelaziman, selepas hampir 2 hari dan disimpan didalam peti aiS jenazah ketika menunggu untuk dihantar pulang, sudah tentu mayat menjadi beku dan pucat. Darah pun sudah tentu telah menjadi beku dan mati.
Namun kebesaran Allah s.w.t dan janjinya memang benar. Ketika manusia berlumba-lumba mengejar keduniaan, masih kedapatan manusia-manusia yang terpilih untuk mati syahid. Saya terpanggil menulis dan berkongsi cerita ini kerana dalam keadaan sosial para remaja yang semakin larut dengan budaya barat, marilah kita mengajak diri kita, anak2 dan kaum keluarga untuk kembali kepada ajaran Islam sebenar dan mengamalkan amal-amal Islami secara bersungguh-sungguh. Mudah-mudahan suatu hari nanti kita akan TERPILIH dalam golongan orang-orang yang mati syahid di jalan Allah s.w.t.
Mengikut Ayahnya, Ayah angkatnya dan rakan2 universitinya, Huzaifah ini seorang remaja sangat berakhlak. Setiap masa terluang dihabiskan dengan berkunjung ke masjid dan surau bagi menunaikan ibadah dan kerja-kerja agama. Malahan sebahagian wang pinjamannya PTPTN; selain dari untuk yuran pengajian, digunakan untuk dakwah dan kerja-kerja agama. Malahan beliau beberapa kali memberitahu kepada ayahnya yang setiap kali cuti semester panjang, beliau akan ke Sabah kerana disana terlalu ramai orang sudah tinggal kan Islam (Murtad) dan jika masih Islam pun tapi tiada amalan Islam. Masjid dan surau kosong tiada jemaah.
Ketika selepas sembahyang Subuh hari sebelum beliau meninggal lemas ketika mandi di sungai, beliau telah berpesan kepada rakan-rakannya supaya meneruskan usaha dakwah dan mengembalikan orang-orang yang jauh daripada Islam kepada Islam semula. Amat mengagumkan dan membuatkan saya terasa amat kerdil dan tiada nilai.
Semoga roh beliau ditempatkan dalam golongan syuhada sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah s.w.t.
PERSOALANNYA, diri kita, keluarga dan anak-anak kita bagaimana? Adakah telah pasti terselamat dari seksa alam akhirat? sama-sama kita renungkan.
Maha benarlah firman Allah,
Dan janganlah kamu menyangka bahawa orang-orang yang terbunuh pada jalan Allah itu mati malah mereka hidup dan menerima rezeki dari Tuhan mereka. Mereka gembira dengan kurniaan Allah.
[Ali –Imran: 167-170]
Begitu juga hadith Nabi saw,
Hadits dari Buraidah Ibnul Khasib adalah Buraidah dahulu ketika di Khurasan, menengok saudaranya yang tengah sakit, namun didapatinya ia telah wafat, dan terlihat pada jidatnya berkeringat, kemudian ia berkata,”Allahu Akbar, sungguh aku telah mendengar Rasulullah bersabda: Matinya seorang mukmin adalah dengan berpeluh dahinya” (HR. Ahmad, AN-Nasai, at-Tirmidzi, Ibnu MAjah, Ibnu Hibban, Al-Hakim dan ath-Thayalusi dari Abdullah bin Mas’ud)

Saturday, May 25, 2013

tiada tempat berteduh

Bangsal jadi tempat berteduh
Wartawan Sinar Harian
23 Mei 2013
Bangsal jadi tempat berteduh
Keadaan dari luar rumah Hamat.
Bangsal jadi tempat berteduh
Tiada kemudahan asas termasuk air bersih di bangsal buruk Hamat dan juga menggunakan cara lama untuk memasak air serta menanak nasi.
MARANG – Seorang pengawal keselamatan warga emas hidup dalam keadaan serba kekurangan, meminta kerajaan BN yang kembali diberi mandat oleh rakyat pada PRU13, membela nasibnya.

Hamat Yusoff, 72, berkata, dia terpaksa tinggal di sebuah rumah usang tanpa dinding serta tiada kemudahan asas dalam sebuah kebun getah.

“Selepas bercerai kira-kira 20 tahun lalu, pelbagai pekerjaan telah saya lakukan untuk meneruskan kehidupan termasuk yang terakhir menjadi pengawal keselamatan di sebuah kilang simen di Chendering, namun saya tidak mampu membina rumah sendiri,” katanya.

Bapa kepada 13 anak itu termasuk tiga anak kurang upaya (OKU) itu berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya lebih sesuai dipanggil bangsal buruk yang dibina dalam kebun getah, dekat Taman Purnama, Rusila di sini.

Hamat juga dikenali sebagai ‘Pok Mat Tebu’ oleh penduduk setempat berkata, dia tidak menyalahkan kerajaan kerana tidak diberikan pembelaan, namun masih berharap agar dapat menikmati kehidupan selesa seperti rakyat Malaysia yang lain.

Menurut warga emas memperoleh gaji bulanan RM600 sebulan itu, disebabkan bangsal buruk yang didiaminya itu tiada dinding, barang-barang peribadinya termasuk wang gajinya sering dicuri orang.

“Sudah banyak kali wang saya dicuri, malah saya sendiri disamun sebanyak dua kali tahun ini. Saya kini trauma dengan kehadiran orang tidak dikenali sekitar sini dan berharap dapat tinggal di rumah lebih selesa dengan adanya bantuan daripada kerajaan.

“Saya mempunyai tanah pusaka dalam keluasan terhad jika ia boleh dijadikan sebagai tapak rumah dan terpaksa memohon dengan cara ini kerana permohonan saya sebelum ini tidak pernah diendahkan mungkin kerana fahaman politik yang berbeza,” katanya.

Friday, May 24, 2013

jalan maut sempadan kelantan

Jalan sakaratul maut
Wartawan Sinar Harian
22 Mei 2013
Jalan sakaratul maut
Nahas dua kereta di Bukit Yong yang meragut nyawa ibu dan anak dalam pelukan pada Jun 2008.
Jalan sakaratul maut
Keadaan kereta yang terbabas dan terperosok di bawah lori balak dalam kejadian pada April 2009.
Jalan sakaratul maut
Kemalangan membabitkan van dan kereta yang meragut dua nyawa di Wakaf Raja, Jumaat lalu.
Jalan sakaratul maut
Enjin terpelanting keluar selepas kereta merempuh pokok kelapa dalam nahas yang meragut nyawa pemandunya pada September 2008.
PASIR PUTEH - Jumaat lalu (17 Mei), dua lelaki maut selepas terlibat dalam kemalangan ngeri di Kilometer 49 Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu di Kampung Wakaf Raja dekat sini.

Kemalangan berlaku apabila kereta mereka bertembung van dari arah bertentangan yang terbabas dan memasuki lorong mereka.

Masyarakat sekitar lali dengan kes seperti itu kerana ia antara banyak kes kemalangan maut yang berlaku di Kilometer 48 (simpang Sekolah Kebangsaan Wakaf Raja) hingga ke Kilometer 52 (selekoh sempadan Bukit Yong) Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu.

Tiada jawapan pasti

Tiada siapa dapat menjawab kekerapan nahas ngeri meragut nyawa pada jarak empat kilometer itu.

Malah, jalan itu seperti ‘ketagih’ mangsa dan tidak membiarkan tahun berlalu tanpa percikan darah.

Mungkin bagi kemalangan sekitar Kilometer 48 dan 51 terjadi akibat selekoh yang mengelirukan terutama bagi pengguna tidak arif laluan tersebut.

Namun, nahas Jumaat lalu berlaku di jalan lurus, satu kilometer dari selekoh Wakaf Raja.

Begitu juga bagi nahas 6 September 2009 yang meragut nyawa dua beranak dan pemandu selepas kereta mereka digilis bas, tidak berlaku di selekoh, ia berlaku di Kilometer 50.

Dua selekoh bahaya

Selekoh berhampiran sempadan Kelantan Terengganu di Bukit Yong menjadi saksi kemalangan ngeri dan menyayat hati pada 15 Jun 2008, di mana seorang ibu dan anaknya mati dalam keadaan berpelukan dalam nahas membabitkan dua kereta.

Beberapa bulan kemudian pada 19 September 2008, di selekoh Wakaf Raja, seorang lelaki yang memandu kereta sendirian maut apabila keretanya terbabas dan merempuh pokok kelapa di Kilometer 48.

Pada 7 April 2009, seorang pemandu meninggal dunia di tempat kejadian apabila keretanya dari arah Jerteh terbabas merempuh pembahagi jalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum terperosok di bawah lori balak.

Pada 6 Februari 2010 pula, seorang lagi lelaki maut selepas keretanya terbabas merempuh tiang rumah sebelum tersadai di tiang elektrik tidak jauh dari selekoh Wakaf Raja.

Manakala tahun lepas, satu keluarga tergamam dan ketakutan apabila kereta dari arah Jerteh merempuh rumah mereka selepas terbabas ketika melalui selekoh, mujur ia hanya merosakkan harta benda.

Kemalangan di kedua-dua selekoh itu sepatutnya dipandang serius dan perlu mekanisme bagi mengatasi kawasan itu terus mengundang celaka.

Penyelesaian perlu

Jika di selekoh Bukit Yong, ramai beranggapan ia bahaya kerana keadaan jalan yang kerap kali ‘diganggu’ batu kuari bertaburan, namun di selekoh Wakaf Raja yang nampak selamat menjadi persoalan.

Ketepikan unsur puaka yang menjadi buah mulut penduduk setiap kali berlaku kemalangan maut di situ, jalan penyelesaian mesti dicari bagi memastikan selekoh itu lebih selamat.

Mungkin boleh dikatakan, selain keadaan jalan, faktor kemalangan banyak berpunca daripada kecuaian manusia.

Namun langkah-langkah untuk menghalang kemalangan di kawasan ini perlu juga diambil.

Tidak salah jika tanda amaran lebih besar diletak di kawasan berkenaan supaya pengguna jalan raya sedar mereka telah memasuki zon berbahaya sekali gus menidakkan gelaran ‘Jalan sakaratul maut’ itu berterusan.

Monday, May 20, 2013

siput sedut

Menangis tak dapat rasa siput sedut air tangan isteri
Wartawan Sinar Harian
19 Mei 2013
Menangis tak dapat rasa siput sedut air tangan isteri
Anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) mengangkat mayat mangsa di tempat kejadian. Gambar kecil: Allahyarham Borhan Adam
KRUBONG - Hasrat seorang pemandu lori untuk menikmati masak lemak siput sedut tidak kesampaian apabila dia maut dirempuh sebuah kereta yang terbabas di Jalan Krubong-Pantai Belimbing di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa, Borhan Adam, 46, yang dalam perjalanan ke tempat kerjanya maut di tempat kejadian apabila motosikal jenis Modenas Kriss yang ditunggangnya dilanggar oleh sebuah kereta jenis Toyota Corona yang datang dari arah bertentangan.

Menurut isteri mangsa, Roszimah Shaharudun, 45, ketika kejadian, suaminya itu dalam perjalanan dari rumah mereka di Taman Krubong Jaya ke tempat kerjanya di sebuah kedai menjual bahan binaan yang terletak di Kawasan Perindustrian Krubong.

“Suami keluar rumah awal pagi kerana dia perlu menghantar barang pembinaan ke Kuantan, Pahang.

“Hampir setiap hari dia keluar awal pagi kerana perlu menghantar barangan kepada pelanggan yang terletak di luar Melaka,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Melaka semalam.

Roszimah berkata, dia bagaimanapun berasa terkilan apabila tidak dapat memenuhi hasrat terakhir suaminya itu untuk memakan masak lemak siput sedut.

“Tengah hari semalam (kelmarin), suami ada meminta saya memasak siput sedut namun saya tidak dapat masaknya kerana bahan-bahan seperti siput sedut, santan dan keladi tiada di rumah.

“Sebaik pulang dari kerja kira-kira jam 6.30 petang, dia bertanyakan sama ada saya sudah memasak siput sedut dan berasa kecewa hingga menangis apabila diberitahu saya tidak sempat memasaknya kerana ketiadaan bahan,” katanya.

Menurutnya, dia kemudian pergi ke Kuala Lumpur menziarahi ibunya dan hanya mengetahui suaminya itu ditimpa kemalangan apabila menerima panggilan telefon daripada anak saudaranya pada jam 6 pagi semalam.

Sementara itu, Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam negeri, Superintendan Ahmad Adnan Basri berkata, mangsa ketika kejadian menunggang motosikal miliknya dari arah Taman Krubong Jaya menghala ke persimpangan lampu isyarat Krubong/Lebuh SPA di sini.

“Tiba di tempat kejadian, sebuah kereta dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun yang datang dari arah bertentangan telah terbabas lalu memasuki laluan mangsa.

“Kereta ini kemudian melanggar motosikal mangsa menyebabkan mangsa tercampak ke atas atas cermin kereta hadapan,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala maut di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.

Katanya, kereta terbabit ditinggalkan pemandunya kira-kira kira 100 meter dari tempat kejadian kerana bimbang akan keselamatannya namun telah melaporkan kemalangan berkenaan kepada pihak polis tengah hari semalam.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Friday, May 10, 2013

kunci jadi punca dara sunti di bunuh

 

Budak 11 tahun dirogol, bunuh

Nur Amyliana Shuhada
KLANG 9 Mei - Jenayah kekerasan terhadap kanak-kanak berulang kembali dan kali ini, seorang budak perempuan berusia 11 tahun bukan setakat menjadi mangsa memuaskan nafsu pelaku malah dia yang tidak berdosa turut dibunuh.
Pembunuhan kejam ini menggemparkan penduduk kawasan Bukit Tinggi di sini apabila mayat kanak-kanak malang itu, Nur Amyliana Shuhada Mohd. Noor dijumpai di tempat letak kereta Lorong Batu Nilam 1E, Bukit Tinggi di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Senior Asisten Komisioner Mohamad Md. Yusop berkata, mayat mangsa ditemukan oleh orang ramai dalam keadaan terbaring di tempat kejadian pada pukul 10.30 malam.
Beliau berkata, sejurus menerima panggilan daripada orang awam, sepasukan anggota polis dan pegawai perubatan hospital telah dikejarkan ke tempat kejadian dan mendapati kanak-kanak tersebut telah meninggal dunia.
"Hasil pemeriksaan ke atas mangsa tidak menemukan sebarang kesan kecederaan pada tubuhnya. Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesan pendarahan pada bahagian kemaluan.
"Kita syak kanak-kanak tersebut telah dirogol berdasarkan kesan pendarahan tersebut dan percaya mangsa dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya ditinggalkan di kawasan tempat letak kereta berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohamad berkata, susulan kejadian ini dan siasatan lanjut pihak polis, dua lelaki berusia 19 dan 24 tahun ditahan di sekitar kawasan berkenaan kira-kira pukul 6 pagi ini bagi membantu siasatan.
"Polis turut menemukan satu penyodok tanah berhampiran lokasi mayat mangsa ditemui dipercayai dibawa salah seorang suspek untuk menanam mayat mangsa.
"Bagaimanapun, suspek mungkin tidak sempat berbuat demikian kerana terdapat beberapa individu melalui kawasan tersebut," katanya.
Mohamad memberitahu, kedua-dua suspek kini ditahan reman sehingga 15 Mei ini dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

 

'Mak jangan pergi, biar saya pergi dulu'

Sebahagian ahli keluarga menenangkan ibu mangsa, Acha Kusain (kiri) di Bukit Tinggi, Klang, semalam.
KLANG 9 Mei - Ibu kanak-kanak 11 tahun yang dibunuh dan dipercayai dirogol, Nur Amyliana Shuhada Mohd. Noor tidak menyangka bahawa kata-kata supaya dia 'jangan pergi' merupakan petanda tragedi malang akan menimpa keluarga mereka dan kehilangan anak ketiganya itu buat selama-lamanya.
Acha Kusain, 42, berkata, beberapa hari sebelum kejadian tersebut, dia ada berbual bersama-sama dan anaknya mengungkapkan kata-kata; 'Mak jangan pergi dan risau, biar saya pergi dulu.'
"Semasa anak saya sebut perkataan itu langsung tidak terlintas ada perkara buruk berlaku. Rupa-rupanya, tanpa disangka kata-katanya itu merupakan petanda yang dia akan meninggalkan kami sekeluarga buat selama-lamanya.
"Pemergiannya sangat memberi kesan kepada kami sekeluarga kerana arwah merupakan seorang yang peramah, ceria dan ringan tulang membantu melakukan kerja-kerja rumah," katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini hari ini.
Acha berkata, dia dan suami, Mohd. Noor Mustapha, 42, juga tidak menyangka kejadian yang paling ditakuti itu menimpa anak perempuan mereka yang mesra dipanggil 'Cinang'.
"Kami baru berpindah dari Kuantan, Pahang ke kawasan ini kira-kira dua bulan lalu dan sering mengingatkan anak-anak supaya sentiasa menutup pintu besi dan jangan sesekali membuka pintu kepada orang yang tidak dikenali.
"Bagaimanapun, pada hari kejadian, anak sulung saya terbawa kunci rumah ke tempat kerja dan jadi arwah yang baru habis bermain tidak dapat memasuki rumah. Kami menyangka dia bermain di bawah dan hanya menyedari kehilangannya pada waktu petang," katanya.
Sementara itu, saksi kejadian, R. Kalaivanjini, 19, berkata, ketika itu, dia dan salah seorang rakannya dalam perjalanan menuju ke sebuah restoran untuk membeli makanan.
"Ketika sedang berjalan, saya ternampak budak lengkap berpakaian terbaring dan menyangka mungkin dia sedang bermain.
"Setelah memanggil beberapa kali, tiada jawapan daripada budak itu. Saya yang ketakutan terus memanggil salah seorang pemandu bas supaya menghubungi pihak polis," katanya.