Tunggu masa dihalau keluar
6 Mac 2013
Ibu tunggal, Maimun Said, 42, hanya mampu termenung memikirkan kesudahan nasibnya bersama empat anak yang masih tinggal bersama selepas usaha mendapatkan rayuan gagal.
Menurutnya, kehidupannya mula dirundung kepayahan hidup selepas tidak mampu bekerja berat akibat terlibat kemalangan motosikal sekitar Jun tahun lalu.
“Sebelum ini saya menyara kehidupan bersama lapan anak dengan berniaga nasi dan kuih-muih di Kampung Melayu Majidee.
“Tapi sejak terlibat kemalangan kehidupan saya agak susah kerana dah tak boleh bekerja berat sehingga bayaran rumah dan bil elektrik tertunggak.
“Saya dah cuba buat rayuan untuk membayar tunggakan secara bulanan, tapi mereka meminta RM7,000 dijelaskan segera sehinggalah rumah ini telah dilelong,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Maimun berkata, selain bergantung harap kepada wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal, dia dibantu anak-anak berniaga kecil-kecilan di depan rumah.
Bagaimanapun menurutnya, dugaan masih belum berhenti menghimpitnya apabila barangan perniagaannya rosak teruk akibat dipukul ribut pada bulan lepas.
“Berniaga rojak dan ais batu campur di depan rumah dapatlah juga menampung kehidupan kami sekeluarga.
“Tapi sejak barangan rosak dipukul ribut, saya bersama anak-anak terpaksa menjaja kuih-muih sekitar taman perumahan ini untuk mendapatkan wang.
“Kalau boleh memang nak berniaga rojak macam dulu kerana pendapatannya agak mencukupi, tapi saya tak mampu nak beli baru barangan yang telah rosak,” katanya.
Katanya, selain hanya mengharapkan cahaya lilin pada waktu malam selepas bekalan elektrik dipotong sejak awal tahun ini, dia hanya mampu berdoa agar tidak dihalau dari rumahnya itu.
“Saya dah tak tau nak mengadu kepada siapa. Kalau pihak bank datang halau atau mangga rumah ini memang saya dah tak tau nak ke mana lagi.
“Bantulah saya.. Saya buntu dan sangat terhimpit dengan masalah yang melanda kami sekeluarga.
“Kalau diberi peluang, tolong pertimbangkan rayuan saya untuk selesaikan tunggakan bayaran rumah ini secara ansuran kerana saya nak terus tinggal di rumah ini,” katanya.
Sementara itu, Adun Tiram, Datuk Maulizan Bujang berkata, pihaknya akan membantu dari segi mendapatkan barangan keperluan perniagaan yang telah rosak.
Menurutnya, pihaknya juga akan berusaha mendapatnya rumah kerajaan sekiranya ibu tunggal itu bersedia berpindah ke tempat lain.
“Dari segi barangan perniagaan yang diperlukan, kita akan bantu untuk mendapatkan barangan yang baru.
“Kita juga akan uruskan permohonan rumah kerajaan sekiranya masih ada kekosongan atau membantu keluarga itu untuk mendapatkan rumah sewa lain,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
No comments:
Post a Comment