Tiga beranak diami pondok usang
14 Mac 2013
Demikian luahan Sarina Rosli, 35, seorang tukang cuci yang terpaksa melalui kehidupan bertahun lamanya di sebuah pondok usang, dekat sini.
Sarina yang menghubungi Sinar Harian untuk mendedahkan kisahnya berkata, kemiskinan hidup menyebabkan dia tidak mampu menyewa rumah lain dan terpaksa melalui kehidupan rumah tangga di pondok usang itu, biarpun keadaannya tidak layak dijadikan sebuah kediaman keluarga.
Sarina berkata, dengan pendapatannya sebagai tukang cuci syarikat kontrak kira-kira RM500 sebulan, dia tidak mampu membeli bahan binaan bagi membaiki rumahnya usang itu.
Tidak kemudahan elektrik, air
Suaminya pula, Mohd Nizam Abdullah, 41, yang kini cacat anggota tangan akibat kemalangan hanya bekerja kampung dan pendapatan diperoleh pula tidak menentu.
Katanya, sepanjang tinggal di pondok usang itu, dia sekeluarga melalui pelbagai cabaran termasuk berdepan ribut kencang yang menyebabkan sebahagian struktur pondok buruk itu menyembah bumi.
“Bila hujan, kami tiga beranak basah kuyup sebab atap bocor.
“Lantai pula reput, tiada kemudahan air bersih dan elektrik dan dengan keadaannya tidak selamat, kami akhirnya membuat keputusan berpindah," katanya.
Tidak mampu sewa rumah
Sarina menceritakan, buat masa ini, dia tinggal di rumah ibunya di Kampung Seberang Pintasan.
Katanya, keadaan rumah ibunya yang sempit, selain terpaksa berkongsi dengan empat lagi adik beradik lain menyebabkan dia perlu berpindah segera untuk membolehkannya menjalani kehidupan sendiri.
Namun katanya, kemiskinan menyebabkan dia tidak mampu untuk menyewa rumah.
Malah, sebahagian pendapatannya hanya cukup untuk membeli barang keperluan asas seperti beras selain menyara seorang anak perempuan, Puteri Raudah Shisha Mohd Nizam yang kini berusia empat tahun.
“Saya tidak tahu hendak minta tolong pada siapa, kalau ada pihak yang dapat memberi bantuan rumah pun sudah mencukupi kepada kami tiga beranak kini.
“Saya pernah mohon bantuan, namun sehingga kini saya masih lagi menunggu. Entah bila akan dapat dan kini fikiran saya buntu memikirkan nasib kami sekeluarga," katanya.
Harap ada pihak membantu
Sarina berkata, dia amat berharap agar ada pihak yang prihatin dengan nasibnya.
Katanya, dia bukanlah berniat untuk menjatuhkan sesiapa dengan pendedahan kisahnya ini, namun ioa salah satu cara untuk memohon bantuan.
"Saya tidak tahu hendak mengadu pada siapa, sebab itulah saya menghubungi Sinar Harian.
"Saya benar-benar mohon simpati agar ada pihak yang prihatin dan dapat membantu saya,” katanya.
No comments:
Post a Comment