Tujuh beranak terpaksa ikat perut
1 Mac 2013
Siti Aminah yang hidup serba kekurangan mengakui berdepan cabaran dalam membesarkan enam anaknya seorang diri sejak kematian suaminya, Muhamad Asri Hasyim kira-kira setahun lalu.
Siti Aminah yang bekerja sebagai pekerja operasi am Ladang Plantation Felda Selendang hanya mengharapkan gaji asas sebanyak RM400 sebulan untuk menanggung perbelanjaan barangan dapur dan wang persekolahan anak-anak.
“Ikutkan memang tak cukup untuk sara enam anak, tapi hendak buat macam mana kerana ini saja yang mampu saya berikan kepada mereka,” katanya.
Menurutnya, dia terpaksa berjimat cermat untuk membeli barangan keperluan hinggakan wang itu ada ketikanya tidak cukup terutama pada hujung bulan.
“Kadang-kadang saya terpaksa pinjam duit dengan ibu atau adik-beradik lain kerana wang tidak cukup. Apa boleh buat, kerana anak-anak baru membesar dan memerlukan perbelanjaan yang banyak.
Katanya, sudah menjadi kebiasaan mereka sekeluarga makan bubur kosong berlaukkan ikan masin atau sambal belacan.
Katanya, tiga daripada anaknya itu belajar di sekolah menengah, seorang di sekolah rendah dan se-orang lagi di peringat pra sekolah.
“Saya terpaksa belanja lebih RM100 beli keperluan anak bongsu berusia setahun untuk beli susu dan lampin pakai buang.
“Mujur, anak-anak faham keperitan yang saya alami, malah saya menangis sendirian kerana mereka terpaksa ikat perut untuk ke sekolah kerana tidak ada wang belanja,” katanya.
Katanya, dia sebelum ini pernah meminta bantuan dan menceritakan nasib keluarganya kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetapi sehingga hari ini tiada satu pun maklum balas diterima.
“JKM ada juga datang ke rumah buat soal selidik, tapi tiada apa-apa jawapan yang saya terima setakat ini, walaupun sudah beberapa kali buat aduan kepada jabatan itu.
“Saya merayu kepada JKM supaya pertimbangkan permohonan ini bagi memastikan masa depan anak-anak terus terbela,” katanya.
No comments:
Post a Comment