Saturday, March 5, 2011

Pengiring Suspek Kes Sosila Maut

Kematian pengiring suspek kes Sosilawati disiasat

KUALA LUMPUR 4 Mac - Polis akan mengambil keterangan ahli keluarga dan rakan Lans Koperal N. Devaraju, 29, bagi membantu siasatan kematian anggota itu yang terbabit dalam nahas jalan raya di Taman Desa Jaya, Kepong, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, siasatan dilakukan bagi mengenal pasti jika wujud perbuatan khianat melibatkan motosikal yang ditunggang mendiang ketika kemalangan.

Tambahnya, ahli keluarga mendiang juga mahukan polis menyiasat kes itu dengan teliti kerana mendakwa semasa kejadian motosikal mendiang tidak rosak.

Menurutnya, selain mengambil keterangan, pihaknya juga akan menyemak rekod khidmat pesanan ringkas (SMS) dan panggilan akhir.

"Kita siasat SMS dan panggilan akhir jika mendiang ada terima ugutan atau apa-apa yang boleh dikaitkan sebelum kemalangan berlaku.

"Hasil bedah siasat di Hospital Selayang semalam menunjukkan mangsa maut akibat lemas dan tiada kecederaan mencurigakan termasuk penggunaan alkohol berlebihan.

"Kes itu setakat ini diklasifikasi sebagai mati mengejut bagaimanapun siasatan dibuat mengikut kehendak keluarga mangsa yang mengesyaki sesuatu tidak kena," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan mangsa yang sering mengiringi suspek kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya maut akibat lemas selepas motosikal ditunggangnya terbabas lalu merempuh tembok sebelum terhumban ke dalam longkang.

Menurut Pemangku Ketua Trafik dan Ketenteraman Selangor, Deputi Supritendan Ismail Ibrahim, mayat anggota polis itu ditemui kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian akibat dihanyutkan oleh arus longkang terbabit.

Pemeriksaan awal polis tidak menemui sebarang kesan kecederaan serius pada mayat mangsa kecuali kesan luka di bibir kanan.

Sebelum ini, mangsa sering dilihat mengiringi suspek pembunuhan Sosilawati dan imejnya yang berambut panjang sentiasa mendapat perhatian ramai.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment