Sunday, March 6, 2011

Padah Tembak Gajah Dengan Mercun



Mati diserang gajah
Laporan dan foto RAMLI IBRAHIM
metahad@hmetro.com.my


MAUT... mayat mangsa dibawa keluar dari tempat kejadian.
GUA MUSANG: Cubaan seorang pemilik kebun getah menghalau sekumpulan enam gajah liar yang memasuki kebunnya menggunakan mercun bola berakhir dengan tragedi apabila dia ‘mati terduduk’ selepas diserang seekor daripada gajah itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang di Kampung Serian Batu 11, di sini, kelmarin, Lee Mat Hassan, 46, dikatakan sempat menghubungi ahli keluarganya sebelum ditemui mati oleh abangnya, Che Mohd Zi, 52, dalam keadaan terduduk di sebatang pokok dan cedera parah di kepala, pada jam 2.30 petang.
Ini kejadian kedua membabitkan tragedi serangan gajah dalam tempoh tiga bulan selepas seorang pemuda, Muhamad Adnan Iberahim, 26, menemui ajal apabila dipijak sekumpulan gajah liar di Hutan Bering, dekat Pos Pasik, di sini, ketika mencari buah keranji bersama empat rakannya, Disember lalu.

Menurut Che, ketika kejadian, adiknya yang menetap di Kampung Kala, di sini, ke kebun getah miliknya bersama seorang rakan untuk meracun semak sebelum terserempak dengan sekumpulan enam gajah liar, termasuk seekor ibu gajah bersama anaknya, memasuki kebunnya.



Katanya, adiknya cuba menghalau kumpulan gajah berkenaan menggunakan sebiji mercun bola dengan melemparnya ke arah seekor anak gajah, tetapi tindakan itu membuatkan ibu anak gajah itu naik minyak lalu menyerangnya.



“Rakannya sempat melarikan diri, tetapi adik saya tidak sempat berbuat apa-apa. Ibu gajah itu dikatakan mencengkam adik saya menggunakan belalai sebelum menghumbannya ke arah sebatang pokok.

“Adik saya dikatakan sempat menghubungi ahli keluarganya, namun panggilan dibuat tidak berjawab. Saya bergegas ke tempat kejadian selepas diberitahu rakannya yang berjaya menyelamatkan diri dan menemuinya dalam keadaan cedera parah di kepala, manakala tangannya menutup muka yang lebam di sebatang pokok,” katanya.

Che berkata, dia turut hampir menjadi mangsa serangan gajah kerana ketika tiba di tempat kejadian, ibu gajah itu masih berlegar-legar di situ bersama anaknya.

“Saya memang nampak gajah dua beranak itu berada tidak jauh dari mayat adik saya, namun tidak menyangka ia masih naik minyak dan cuba menyerang saya. Dalam keadaan kelam kabut, saya sempat menyelamatkan diri.

“Saya hanya sempat menutup mayat Lee dengan baju yang saya pakai sebelum melaporkan kejadian itu kepada Jabatan Perlindungan Kehidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Gua Musang,” katanya.

Sepasukan lima anggota jabatan itu diketuai Ketua Perhilitan Daerah Gua Musang, Nor Eliana Muda bergegas ke tempat kejadian pada jam 2.45 petang untuk menghalau gajah berkenaan sebelum membawa mayat mangsa keluar jam 5.30 petang.

Menurut Che, adiknya memang kerap ke kebun getah untuk mengawasinya daripada dimusnahkan sekumpulan gajah yang kerap memasuki kawasan berkenaan.

Katanya, tahun lalu saja banyak pokok getah milik adiknya yang baru berusia tiga tahun musnah angkara gajah.

“Adik saya pernah pergi bersendirian ke kebun getahnya pada jam 4 pagi untuk menghalau sekumpulan gajah kerana tidak mahu menanggung kerugian berulang kali.

“Tak sangka pula dia diserang gajah sehingga menemui ajalnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut dijalankan.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya lewat malam kelmarin dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kala, pagi semalam.

Kongsi artikel ini menerusi media sosial

No comments:

Post a Comment