Sunday, January 30, 2011

Lelaki Hebat



Rahsia pak cik power
Oleh MOHD HARZRUL AMINUDDIN
harzrul@hmetro.com.my


INI DIA... Alias bersama isteri, Salmah menunjukkan buku risalah yang masih disimpannya berkaitan penentangan Malayan Union.
SEGAMAT: Percaya atau tidak, lelaki berusia 97 tahun ini masih terang penglihatannya serta mampu pergi ke kebun serta bercucuk tanam selain memandu kenderaan, termasuk kereta mahupun motosikal, tanpa berteman.

Daya ingatannya juga masih tajam selain mengingati detik bersejarah negara, termasuk perjuangan Melayu dalam menentang Malayan Union sekitar 1948.


Alias Bujal tidak mengamalkan apa-apa senaman istimewa, malah tidak pernah menuntut ilmu pusaka yang berkebolehan tinggi.

Dia hanya mengamalkan pengambilan makanan berasaskan sayuran, termasuk ulam-ulaman seperti pucuk paku, ulam pegaga, ulam raja, petai dan jering.


Beberapa jenis ulaman berkenaan diamalkan warga emas itu setiap hari, malah dia mengakui sayuran kampung itu adalah petua serta kunci utama untuk sentiasa sihat selain lanjut usia.


Lebih menarik lagi, Alias turut menjadikan ulam-ulaman sebagai minuman harian yang diambil bersama madu lebah dan juga telur ayam kampung secara mentah.


Selain itu, dia mengamalkan mengunyah bawang putih mentah setiap hari sebagai petua awet muda.


“Kalau watak kartun Popeye makan bayam untuk jadi kuat, begitu juga yang saya amalkan sejak berusia belasan tahun lagi.


“Tidak lengkap makanan saya setiap hari tanpa ulam-ulaman kampung dimakan bersama nasi, nampaknya petua yang diamalkan itu berbaloi kerana sehingga kini saya masih boleh melihat kemajuan negara,” katanya.


Selain memakan ulam-ulaman, Alias mendedahkan dia tidak pernah meminum air sejuk kerana menyifatkan bahan minuman sebegitu mengakibatkan badan menjadi lesu serta cepat letih.


“Air sejuk tidak elok untuk badan kerana boleh mengakibatkan pelbagai penyakit selain semput, lelah, asma dan demam.


“Pak cik boleh demam jika minum air sejuk,” katanya yang masih boleh menghayun cangkul, membajak tanah selain tidak perlu memakai cermin mata untuk membaca mahupun ketika memandu kereta atau menunggang motosikal.


Penulis melihat sendiri bagaimana lelaki berusia emas itu masih mampu memandu kereta selain bercucuk tanam dengan menghayun cangkul di belakang rumahnya.


Warga emas ini mengakui mempunyai empat isteri yang dikahwininya sejak 1930-an sehingga kini dan hasil perkongsian hidup bersama empat wanita berbeza itu dia dikurniakan empat cahaya mata.


Difahamkan, menerusi dua perkahwinan pertama, dia dikurniakan dua anak lelaki, manakala hasil perkahwinan ketiga, dua anak perempuan.


Semua isterinya berasal dari Johor iaitu isteri pertama dari Labis; kedua, Kota Tinggi; ketiga, Segamat dan isteri keempat, juga dari Labis.


Bagaimanapun, Alias dikatakan hanya berkahwin baru selepas isteri terdahulunya meninggal.


Alias bersyukur walaupun usianya mencecah 100 tahun dia masih boleh melihat 30 cucunya lahir ke dunia, malah berkesempatan mengazankan seorang daripada 14 cicitnya.


Katanya, dia kini tinggal berdua bersama isteri keempatnya, Salmah Hussein, 59, di Kampung Tenang, di sini, sejak lima tahun lalu.


Ketika menceritakan pengalamannya melalui beberapa peristiwa yang mengubah sejarah negara mahupun dunia, Alias berkata, dia masih ingat saat pemimpin terdahulu menuntut kemerdekaan Malaysia.


“Saya bersama Datuk Onn Jaafar pergi menjelajah satu Malaya untuk menentang penindasan dilakukan pemerintah Inggeris melalui Malayan Union.


“Saya juga merasa keperitan dijajah tentera Jepun dan komunis selain diseksa, termasuk dipaksa melakukan kerja berat seperti membina landasan kereta api,” katanya.


Menurutnya, penindasan demi penindasan diterima orang Melayu ketika itu akhirnya membangkitkan satu semangat bersatu padu dan melawan demi menuntut kemerdekaan.


Alias juga dianggap antara pejuang kemerdekaan oleh penduduk setempat, malah beliau tidak lokek berkongsi pengalaman bersama generasi muda setempat.


Dia yang dilahirkan pada 1914 berkata, pada usia emasnya dia melihat beberapa perubahan negara, termasuk bersalaman dengan empat mantan Perdana Menteri iaitu Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn dan Tun Mahathir Mohamad.


Namun, di sebalik usia emasnya dia melahirkan rasa kecewa apabila generasi muda kini lebih gemar berfoya-foya dan semakin melupakan sejarah kemerdekaan negara, malah semakin rosak akhlak dari semasa ke semasa.


Seperkara menarik mengenai Alias, dia tidak pernah gagal menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia apabila 12 kali mengundi di kawasan Parlimen Labis dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang sejak puluhan tahun lalu.


“Pada 30 Januari (hari ini), saya akan mengundi buat kali ke-13 dan mungkin jika panjang umur murah rezeki saya akan mengundi kali ke-14 pada Pilihan Raya Umum ke-13,” katanya.

Suami Ganas




Setiap hari dibelasah
Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN dan SHAMRAN SARAHAN
metahad@hmetro.com.my


BUKTI... surat mahkamah, laporan polis dan surat pengesahan perkahwinan di Thailand.

SAKIT... Alina menunjukkan bahagian badan yang lebam angkara suami.
KUNJUNGAN seorang wanita ke sebuah negeri di utara tanah air Julai tahun lalu untuk bertemu bakal suami sepatutnya menjadi detik indah, tetapi yang berlaku adalah sebaliknya apabila lelaki itu yang selama perkenalan mereka baik hati, lemah lembut, malah percintaan direstui keluarga, berubah menjadi buas umpama ‘binatang’.

Hampir dua bulan wanita itu diperlakukan umpama hamba abdi dengan setiap hari dibelasah bukan saja menggunakan kaki dan tangan, tetapi turut digigit di beberapa bahagian badan.

Paling dikesalkan, perkahwinan yang dijadualkan pada Disember tahun lalu, ‘dipercepatkan’ bakal suaminya apabila dibawa ke Thailand untuk berkahwin.

Alasan lelaki itu berbuat demikian adalah untuk mengaburi mata pihak berkuasa, kononnya lebam ‘dihasilkannya’ hanya masalah dalaman rumah tangga.



Lelaki itu turut mengugut akan membelasah wanita terbabit dengan lebih teruk jika membocorkan rahsia perkahwinan mereka kerana bimbang tidak disahkan dalam jawatan sebagai kakitangan kerajaan.



Ikuti apa disifatkan sebagai ‘diari neraka’ oleh seorang wanita berusia 23 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Alina sepanjang bersama lelaki dikenali sebagai ‘Mr L’, 27.



14 Julai 2010

“Saya menaiki bas untuk bertemu bakal suami di sebuah negeri di utara tanah air. Saya tiba jam 4 pagi, tetapi dia tidak dapat dihubungi. Saya menunggu sehingga jam 8 pagi di stesen bas.

Saya kemudian nekad ke pejabat tempat dia bekerja dan menemuinya. Dia bawa saya ke dalam kereta dan dalam perjalanan di dalam kereta, tanpa disangka-sangka dia mengamuk dan membelasah saya. Saya dipukul dan ditumbuk, malah kepala dihentak ke papan pemuka kereta sehingga papan itu pecah.

Dia mengamuk kerana tidak suka kedatangan saya. Dia menganggap saya cemburu dan menyangka saya datang bertemunya untuk memastikan dia tiada perempuan lain. Sebelum itu memang saya tahu dia ada perempuan lain.

Selepas puas membelasah saya sehingga lebam, dia meninggalkan saya di sebuah stesen bas dan menyuruh saya tidur di surau. Saya tidak tidur kerana takut dan hanya duduk di sebelah seorang pengawal keselamatan wanita di stesen bas berkenaan sementara menunggu hari siang.”


15 Julai 2010

“Saya sekali lagi ke pejabat bakal suami dan disambut dengan kata makian dan sekali lagi saya dipukul. Saya kemudian ‘disimpan’ di rumah mak cik angkatnya.”


16 Julai 2010

“Pada sebelah pagi, tiba-tiba bakal suami membawa saya ke Songkhla, Thailand untuk berkahwin. Dia bimbang saya membuat laporan polis berhubung perlakuannya. Dia yakin pihak berkuasa akan menganggap saya berdepan masalah rumah tangga jika membuat laporan polis.

Pada masa sama, dia mengugut akan memukul saya dengan lebih teruk jika saya tidak merahsiakan perkahwinan kami. Kerana terlampau takut dipukul dan sayangkannya, saya ikuti kehendaknya dengan harapan dia akan berubah selepas kami bergelar suami isteri.

Tanpa dokumen perjalanan sah, saya masuk ke Thailand bersama bakal suami dan apabila tiba di lokasi tempat berkahwin semuanya sudah disediakan. Kami dinikahkan.”


17 Julai sehingga 23 Julai 2010

“Saya dan suami masih menetap di rumah mak cik angkat suami. Sangkaan saya dia berubah, tetapi saya tetap dipukul. Jika ada yang tidak kena, saya dipukul. Bertambah-tambah lebam di badan saya.”


24 Julai sehingga 29 Julai 2010

“Saya dibawa ke rumah sewa suami. Lagilah teruk perangainya. Saya dipukulnya sesuka hati. Bukan saja menggunakan kaki dan tangan, dia turut menggigit saya. Sebelum pergi kerja jika ada yang tidak kena, saya dipukul. Selepas pulang daripada kerja, saya sekali lagi dipukul. Saya dapat tahu dia masih ada hubungan dengan teman wanitanya dan jika dia bergaduh dengan teman wanitanya, saya menjadi mangsa lepas geramnya.

Saya tidak mampu berbuat apa-apa kerana takut. Jika saya menjerit ketika dipukul, saya dibelasah dengan lebih teruk. Satu ketika, entah apa anginnya dia bersetuju dengan permintaan saya untuk pulang ke Kuala Lumpur menziarahi keluarga saya dan memberitahu perkara sebenar.

Dia bersetuju untuk ke Kuala Lumpur sambil kakinya memijak kepala saya.”


30 Julai sehingga 1 Ogos 2010

“Di rumah ibu bapa saya, dia memberitahu hal sebenar dan mengakui memukul saya atas alasan saya terlalu cemburu. Pandai dia berlakon, sampai menangis-menangis dan berguling-guling seperti orang kena sawan.

Ibu bapa saya mempercayainya dan menasihati saya. Suami saya turut dinasihati supaya tidak lagi memukul saya dan dia berjanji akan berubah.”


2 Ogos sehingga 27 Ogos 2010

“Kami kembali ke utara di rumah sewanya. Pada awalnya, dalam satu dua hari saya tidak dipukul, tetapi dibuat bagaikan tawanan di rumah. Selepas itu setiap hari saya dipukul. Selepas saya dipukul, dia pujuk, selepas itu keesokannya dia pukul lagi.

Hampir tiga minggu saya dilayan umpama hamba abdi. Paling menyedihkan, dia menyedari saya sudah lama tidak datang bulan dan dia menjadi bertambah ganas.

Dia belum mahukan cahaya mata dan kerana bimbang saya mengandung dia suruh saya buat pelbagai perkara, antaranya makan nanas muda. Apabila datang anginnya dia belasah saya dengan menendang perut saya.

Mujur saya tidak mengandung, jika mengandung entah apa berlaku kepada kandungan saya. Kerana tidak tahan menjadi hamba abdi, saya hubungi keluarga supaya mengambil saya. Pada 27 Ogos, saya kembali ke Kuala Lumpur dan dia memberitahu akan berkunjung ke Kuala Lumpur selepas Aidilfitri untuk menyelesaikan masalah kami.

Saya sudah membencinya dan tidak mahu lagi bersamanya. Saya dapat tahu, dia sanggup memukul saya kerana dihasut teman wanitanya.”
Kongsi artikel ini menerusi media sosial

Kawin Bawah Umur

Belajar bukan berkahwin

Oleh Dr. Zaleha Kamaruddin
ARTIKEL ini cuba mengupas persoalan perkahwinan di bawah umur yang menimbulkan kontroversi baru-baru ini. Kontroversi inilah yang hendak saya kongsi dengan pembaca sekelian sebagai santapan minda di samping nasi lemak dan kopi O.

Pertama, saya ingin menyingkap sebuah kisah untuk renungan bersama. Sepasang remaja berumur 15 tahun memohon kepada Mahkamah Syariah untuk berkahwin. Hakim Syari’e semasa mendengar kes tersebut bertanya beberapa soalan untuk memastikan pasangan tersebut sudah bersedia untuk berkahwin. Hakim Syari’e bertanya sekiranya diberi kebenaran untuk berkahwin diberi, kemanakah pasangan itu akan tinggal? Ali, pasangan lelaki tersebut menjawab bahawa mereka telah memikirkan perkara tersebut dan telah membuat keputusan untuk tinggal di rumah Laila, pasangannya kerana bilik tidur Laila lebih besar dari bilik tidur Ali. Hakim Syari’e tersenyum dan kagum bahawa perkara tersebut telah dibincangkan terlebih dahulu. Beliau kemudiannya bertanya satu lagi soalan. “Sekiranya dibenarkan berkahwin, bagaimana kamu akan menanggung Laila kerana kamu masih bersekolah?”. Ali menjawab, “Yang Arif, kami mempunyai tabungan dan sekiranya tabungan tersebut disatukan dan kami berbelanja hanya RM10 sehari dan membawa bekal ke sekolah, kami akan dapat menampung penghidupan kami setelah berkahwin sehingga selesai peperiksaan PMR.” Sekali lagi hakim tersebut tersenyum dan merasa kagum dengan kesungguhan cinta kedua remaja tersebut. Hakim itu terus bertanya, “Oleh kerana kedua-dua kamu akan mengambil peperiksaan PMR pada hujung tahun ini, bagaimana kamu hendak pastikan yang Laila tidak hamil ketika tempoh tersebut?” Kali ini Ali pula yang tersenyum dan menyatakan, “Yang Arif jangan khuatir, kami telahpun melakukannya dan nasib kami baik kerana Laila tidak hamil langsung! Hakim menarik muka masam dan dan tentu sahaja tidak kagum dengan jawapan tersebut.

Keduanya, saya ingin melihat isu ini dari perspektif undang-undang. Ini kerana ketika undang-undang dirangka dan digubal, ia berupa peraturan yang lebih berbentuk umum kerana terpakai kepada masyarakat umum. Di dalam pemikiran penggubal, biasanya berfikir bahawa undang-undang tersebut akan terpakai kepada orang dewasa yang berumur lebih 21 tahun. Ketika menafsirkan undang-undang itu pula, hakim biasanya mentafsir dalam konteks fakta kes yang ada di hadapannya yang tentu sahaja berbeza dari satu kes ke satu kes yang lain. Oleh kerana itulah, dalam dunia undang-undang, menggubal dan mentafsir undang-undang adalah dua perkara yang sangat berbeza walaupun saling berkaitan. Seperti langit dengan bumi. Seperti malam dengan siang. Oleh kerana perbezaan itulah isu ini sebenarnya menjadi jauh lebih rumit daripada apa yang disangkakan.

Dalam konteks penggubalan undang -undang, penggubal mengakui bahawa dunia ini sebenarnya penuh dengan orang yang bertindak di luar kebiasaan. Dan inilah sebenarnya yang menguji kekuatan dan keutuhan sesuatu undang-undang itu.

Undang-undang yang berkaitan adalah seksyen 8, Akta Undang-undang Keluarga Islam, Wilayah-Wilayah Persekutuan, 1984 dan enakmen-enakmen seumpamanya di peringkat negeri yang memperuntukkan umur minimum untuk berkahwin. Akta ini menyatakan bahawa tiada perkahwinan boleh diakadnikahkan atau didaftarkan jika lelaki itu berumur kurang daripada 18 tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada 16 tahun kecuali jika Hakim Syariah telah memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu. Dalam hal ini, hakim diberi kuasa menggunakan budibicaranya untuk meneliti fakta kes dan melihat sama ada kebenaran boleh diberikan.

Dalam konteks ini, kes Siti Mariam Mahmod, 14 yang berkahwin dengan Abdul Manan Othman, 23 tahun pada Julai, 2010 sebenarnya bukan kes pertama melibatkan perkahwinan di bawah umur dan mungkin juga bukan kes yang terakhir sejak Akta ini wujud dan telah dilaksanakan sejak tahun 1987 lagi. Bagaimanapun, pada pandangan peribadi saya, kes ini adalah penting untuk diulas kerana ia mewakili kes-kes perkahwinan bawah umur yang dilaporkan banyak berlaku di Malaysia. Persoalan penting yang timbul bagi saya adalah adakah selepas kes ini akan ada pindaan terhadap undang-undang berkaitan? Atau adakah hakim syarie akan membuat tafsiran yang berlainan kerana akan ada polisi yang baru? Atau apa atau tidak ada apa-apa?

Timbul persoalan tentang kenapa ibu bapa Siti Mariam menggalak perkahwinan tersebut? Kenapa pihak-pihak tersebut tidak diperintah untuk melalui proses kaunseling sebelum mereka dibenarkan berkahwin seperti dalam kes-kes sebelum ini?

Bukan sahaja aktivis-aktivis wanita dalam negara yang menunjukkan keprihatinan mereka tetapi juga media-media barat. Kenapa? Tidakkah negara-negara lain juga mempunyai perkahwinan di bawah umur malah dalam jumlah yang tinggi? Kenapa Malaysia? Antara jawapan yang saya temui adalah kerana Malaysia adalah model negara Islam, maka ia tidak sepatutnya menggalakkan perkahwinan di bawah umur. Kerana Malaysia negara maju, perkahwinan di bawah umur dilihat sebagai satu amalan yang ketinggalan zaman. Kerana Malaysia negara maju, ia seharusnya menghormati komitmennya terhadap instrumen-instrumen antarabangsa yang telah diratifikasi olehnya.

Sensitif

Persoalan-persoalan yang dibangkitkan walaupun logik tetapi bagi sesetengah pihak adalah sangat sensitif. Pada pandangan peribadi saya, jawapan-jawapan terhadap soalan-soalan tersebut sebenarnya tidaklah mudah. Ia menyentuh banyak perkara - sosial, agama dan politik serta undang-undang.

Dari perspektif undang-undang, keputusan hakim syarie dalam hal ini dipertikaikan kerana dikatakan bertentangan dengan keputusan yang dibuat oleh Al-Azhar Al-Sharif, badan agama tertinggi di dunia ahli sunni. Panduan tentang hak kanak-kanak menyatakan secara khusus bahawa untuk perkahwinan Islam, seseorang itu harus mencapai umur baligh dan kematangan sehingga mereka boleh berkahwin. Pandangan ini juga boleh dipertikaikan kerana panduan ini tidak mengikat hakim syarie di Malaysia dan sifatnya hanyalah sebagai panduan sahaja.

Setelah diteliti kontroversi ini dari pelbagai sudut, sebenarnya ia bukan berdasar kepada perdebatan tentang umur baligh atau hak asasi, tetapi adalah berdasarkan sama ada Siti Mariam telah mencapai usia kematangan untuk berkahwin. Ini adalah satu faktor tambahan selain umur baligh. Di sinilah letaknya perbezaan pendapat-pendapat sedia ada.

Saya ingin merujuk kepada satu instrumen antarabangsa yang sangat relevan dalam perbincangan tentang umur perkahwinan ini di mana Malaysia menjadi salah satu negara yang menjadi signatorinya, iaitu Konvensyen Hak Kanak-Kanak. Konvensyen ini mendefinisikan kanak-kanak sebagai orang yang berusia kurang daripada 18 tahun. Faktor usia dikaitkan dengan pertanggungjawaban dari segi undang-undang. Dalam konteks konvensyen ini, Siti Mariam masih dikira sebagai kanak-kanak. Oleh itu keputusan dan persetujuannya tidak terpakai dari segi undang-undang.

Dibandingkan dengan undang-undang Syariah, seorang kanak-kanak tidak mempunyai kapasiti undang-undang kecuali apabila ia telah mencapai usia baligh. Hal ini didasarkan kepada keupayaan ‘akal yang tidak semestinya 18 tahun. Kanak-kanak mula memperolehi kapasiti pertanggungjawapan ketika dia mencapai usia baligh yang berbeza mengikut pandangan pelbagai mazhab tetapi "kematangan fikiran" (rusyd) dalam konteks transaksi tertentu membolehkan kanak-kanak itu mempunyai kapasiti pertanggungjawaban yang berbeza.

Berbeza dengan prinsip-prinsip am yang digunakan oleh undang-undang Sivil yang terpakai dalam semua instrumen antarabangsa, undang-undang Islam mempunyai tahap-tahap kapasiti pertanggungjawaban undang-undang yang tertentu mengikut kematangan.

Dalam perbincangan berapakah umur baligh, Profesor Tahir Mahmood menyatakan bahawa usia terendah baligh untuk anak perempuan iaitu sembilan tahun adalah berdasarkan amalan dan budaya masyarakat Arab pada kurun ke tujuh Masehi. Budaya ini sebenarnya bukan dimulakan oleh Islam. Bagaimanapun, budaya ini telah diterima Imam Abu Hanifah 100 tahun kemudian. Namun, pengikut Abu Hanifah, iaitu Ibnu Shubruma dan Abu Bakar al-Asam dalam tafsiran mereka yang berlandaskan al Quran menolak perkahwinan di bawah umur ini. Terdapat beberapa pendapat ulama juga yang menyatakan bahawa Aisyah pada waktu perkahwinan tersebut sebenarnya berumur 18 tahun dan bukannya enam atau sembilan tahun.

Islam

Bagaimanapun, kedua-dua pandangan yang bertentangan ini telah diterimapakai di serata dunia Islam. Pada abad ke-20 pandangan kedua ini telah mendapat tempat di mana selaras dengan usaha mengkanunkan undang-undang Islam dilaksanakan oleh banyak negara Islam, umur minimum perkahwinan telah ditetapkan. Undang-undang pertama untuk ini telah terpakai di Mesir sejak 1923 lagi. Banyak negara Islam kemudiannya mengikuti jejak langkah tersebut.

Namun, apa yang di kertas dan apa yang berlaku secara realiti adalah dua perkara yang berbeza. Walaupun terdapat undang-undang yang menentukan had umur perkahwinan, amalan itu tidak sepenuhnya ditinggalkan. Ini kerana ia telah menjadi budaya masyarakat tersebut. Untuk menukar sesuatu budaya itu adalah sukar. Kita maklum bahawa berkahwin di bawah umur bukanlah budaya di Malaysia. Kita patut menggalakkan anak kita di usia tersebut belajar dan bukannya untuk berkahwin.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Madu

Bukan perampas

BANYAK pengajaran dari kisah-kisah kehidupan yang dipaparkan dalam DCCK menceritakan pengalaman orang lain telah mematangkan saya dalam melalui hidup yang mencabar ini. Dan setiap pengajaran menjadi teladan mempengaruhi cara, reaksi setiap keputusan yang saya buat dan membuatkan saya lebih bijak dan kuat sebagai manusia.

"Kerana itu jugalah setiap pengalaman yang emak saya lalui telah mengajar saya menjalani hidup lebih bermakna. Abah tinggalkan emak dan kami empat beradik ketika saya berusia 6 tahun. Bukan kami saja ditinggalkan, tetapi juga madu emak dan tiga orang anaknya." Demikian cerita Farahanim dalam e-melnya dan ketika kami bertemu dan berbual panjang di sebuah restoran Isnin lalu.

"Selepas ditinggalkan masing-masing bawa hidup sendiri membesarkan anak-anak tanpa bantuan ayah. Sebelum itu emak, madunya dan kami adik beradik tiri semua tinggal serumah. Walaupun bermadu, hubungan emak, madu dan anak-anak tirinya cukup baik. Kami sama-sama membesar di bawah satu bumbung.

"Walaupun ditinggalkan emak tak pernah ajar kami adik-beradik berdendam, malah emak bercerita perkara yang baik tentang abah. Tak banyak yang saya ingat tentang abah hinggalah saya berjumpa abah ketika berusia 15 tahun, kali kedua ketika meminta abah mewalikan saya bernikah dan ketika hari-hari terakhir abah di hospital kira-kira enam tahun lalu.

"Biarpun jarang bertemu, tetapi abah amat mesra dengan kami. Ketika itulah saya melepaskan rasa rindu dan memanfaatkan setiap ketika bersama abah.

Kongsi

"Emak, manusia yang paling rapat dengan saya. Selama 35 tahun hidup saya tak pernah jauh dari emak. Banyak cerita hidupnya emak kongsi dengan saya. Bagi saya, tak ada manusia sesabar dan semulia emak. Emak menerima setiap perbuatan abah dengan tabah, menerima setiap berita perkahwinan baru abah dengan reda.

"Hanya Allah yang tahu apa di dalam hati emak tetapi emak memang kuat dan berhati lapang. Emak sanggup berkongsi rumah dengan madu, memelihara anak madunya seperti anak sendiri, berjumpa, berkawan dan menerima setiap madunya sebagai keluarga. Rahmatnya memang ada kerana emak amat dihormati oleh madu-madu dan anak-anak tirinya hingga ke akhir hayat emak.

"Kami adik-beradik tiri tak pernah bergaduh malah dan sangat harmoni. Asas ajaran dan kepercayaan atau falsafah yang emak berikan kepada kami amat mudah iaitu hidup ini amat singkat oleh itu kenapa mesti berkira, jadi carilah dan pandang saja kebaikan kepada setiap kejadian yang berlaku. Insyaallah hati akan lapang hidup lebih tenang."

"Semakin bertambah dewasa, saya semakin yakin dengan ajaran emak. Bukankah ketenangan dan kebahagiaan hidup yang kita cari di dunia ini?

"Saya percaya emak adalah wanita yang dapat merasa rahmat berpoligami kalaupun bukan kemanisannya. Saya tak berani mengatakan kemanisan poligami kerana saya percaya pasti ramai pembaca wanita akan mencebik kenyataan saya ini. Tetapi saya yakin, dengan pegangan dan ajaran emak dalam berpoligami, sebab itulah emak disayangi dan dihormati hingga ke akhir hayatnya oleh madu-madu dan anak-anak tirinya.

"Malah abang, anak madu kedua emak turun sama menyambut jenazah emak untuk disemadikan letakkan di liang lahad. Emak muda masih sedih kalau bercerita kisah emak hingga kini. Kasih sayang kami adik-beradik walaupun berlainan ibu amat teguh. Begitulah kuasa keikhlasan dan kelapangan hati yang dapat menukar pahitnya bermadu menjadi manis dan rahmat buat keluarga besar kami.

"Perpisahan saya isu biasa tentang masalah kewangan dan cara berfikir yang berbeza tentang kehidupan ini. Saya bercita-cita tinggi untuk membaiki taraf kehidupan menjadi lebih baik dengan melengkapkan diri dengan ilmu. Sedangkan bekas suami merasa selesa dengan apa yang ada, sambil meletakkan hampir 80 peratus perbelanjaan keluarga jadi tanggung saya. Setelah berpisah anak-anak menjadi tanggungjawab saya. Alhamdulillah.

"Kerana jodoh juga saya berkahwin lagi, kali ini sebagai isteri kedua. Tidak dirancang, tetapi sebagai seorang muslim yang percaya pada takdir dan jodoh. Mungkin ada orang kata jodoh sengaja dicari tapi boleh dielak, namun siapalah kita untuk melawan urusan Allah.

"Hidup sebagai isteri kedua bukanlah sesuatu yang membanggakan. Terutama perkahwinan ini terpaksa dirahsiakan sambil meneruskan hidup sebagai janda beranak dua juga tak pernah saya rancang. Tetapi sekiranya ini yang dijanjikan, saya terpaksa teruskan hidup ini.

"Sekiranya perkahwinan pertama dianggap sebagai takdir dan jodoh, mengapa perkahwinan dengan suami orang dianggap sengaja dicari? Bukankah ia ketentuan Allah juga. Saya tidak berniat menyalahkan sesiapa atau menegakkan benang basah. Cuma meminta sedikit pengertian untuk memahami kisah kami, para isteri kedua.

Sebenarnya menjalani hidup sebagai isteri kedua bukan mudah namun saya bahagia. Saya percaya, kebahagiaan adalah suatu pilihan dan saya sendiri memilih untuk hidup bahagia. Saya amat memerlukan suami untuk memimpin dan menyokong hidup saya. Saya belajar menangani perasaan cemburu, menepis fikiran buruk dan saya akui itu adalah satu peperangan dalam diri yang amat sukar dilalui.

"Kepada wanita yang jadi isteri kedua, ikhlaskan hati, tabahkan diri, sentiasa ingat kita adalah orang yang menumpang kasih. Perangi rasa cemburu cuba menggantikan dengan keikhlasan dan berdoalah.''

Friday, January 28, 2011

Maut Kena Air Panas


Air panas ragut nyawa bayi
Oleh Rashidi Karim
am@hmetro.com.my

KANGAR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun 11 bulan dari Kampung Sungai Bugis, Simpang Empat, dekat sini yang melecur teruk daripada perut hingga lutut selepas terkena air panas tiga hari lalu, disahkan meninggal dunia, awal pagi semalam.

Mangsa, Noraini Syazwani Abdullah, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan intensif di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar kira-kira jam 1.20 pagi selepas bertarung nyawa akibat melecur teruk.


Ketua Siasatan Jenayah negeri, Superintendan Nashir Ya, ketika mengesahkan kejadian berkenaan berkata, pihaknya menolak sebarang unsur jenayah berhubung insiden air panas itu.

Beliau berkata, bagi kes Noraini Syazwani, kejadian berlaku di kediaman keluarga kanak-kanak terbabit ketika ibu mangsa, 19, yang kini mengandung tujuh bulan dikatakan menuang air panas yang baru dimasak ke dalam balang.


“Syazwani yang ketika kejadian sedang bermain tiba-tiba menerpa ke arah ibunya, sebelum air panas tiba-tiba tertumpah secara tidak sengaja, lalu tersimbah ke badannya.


“Mangsa yang melecur teruk dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, sebelum dipindahkan ke HSB beberapa jam kemudian. Dia bagaimanapun disahkan meninggal dunia awal pagi tadi (semalam) selepas lebih tiga hari dirawat,” katanya di sini, semalam.


Nashir berkata, pihaknya menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan berdasarkan laporan diterima dan mengesahkan kematian mangsa tidak membabitkan sebarang unsur jenayah.


“Polis percaya kejadian pada petang 24 Januari lalu itu berlaku atas dasar kemalangan serta kecuaian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.


Dalam kejadian berasingan pada hari sama Isnin lalu, seorang kanak-kanak berusia dua tahun parah terkena air panas ketika berada di pusat jagaan kanak-kanak di Repoh, Kuala Perlis, dekat sini dan sedang menerima rawatan lanjut di HTF. Nashir berkata, mangsa, Anis Syafiah Shukri, dilaporkan cedera pada paha akibat terkena air panas pada petang Rabu lalu.


“Kejadian itu disedari ibu bapa mangsa selepas dimaklumkan penjaga pusat asuhan terbabit ketika mengambil anak mereka di pusat jagaan berkenaan kira-kira jam 6 petang.


Berdasarkan maklumat awal, katanya, kejadian berlaku ketika mangsa bersama 10 kanak-kanak lain bersiap sedia untuk mandi di bahagian dapur pusat jagaan berkenaan, sebelum mangsa terlanggar meja dan terjatuh.


“Ketika itu, besen berisi air panas yang digunakan untuk memanaskan susu terbalik dan tertumpah ke atas paha kanak-kanak itu, menyebabkan perut dan tangannya melecur. Dia kemudian dibawa ke klinik kesihatan di sini, sebelum dirujuk ke HTF.


“Polis menerima laporan daripada bapa mangsa, Shukri Shuib, 36, mendakwa anaknya didera. Bagaimanapun siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan mengesahkan tiada sebarang unsur penderaan dan klasifikasikan sebagai kecuaian serta kemalangan,” katanya.

Thursday, January 27, 2011

Pengorbanan


Bermadu perlu pengorbanan

Oleh SHOLINA OSMAN
wanita@utusan.com.my

Penyampai radio terkenal, Salih Yaacob yang mengamalkan cara hidup berpoligami pernah menyatakan rasa bahagianya hidup bersama kesemua isteri-isterinya. - Gambar hiasan

BERMADU sering dikaitkan dengan masalah. Jadi mana-mana lelaki yang mahu menambah isteri atau wanita yang hendak menjadi isteri kedua dan seterusnya perlu sedar akan hakikat ini.

Ketua 1 Pertubuhan Tindakan Wanita Islam Malaysia (Pertiwi), Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim berkata, sangat kecil bilangan pasangan yang bermadu tidak ditimpa masalah.

''Banyak yang ber masalah memandangkan suami biasanya gagal untuk mengimbangi kesemua hak ke atas isteri-isteri dan anak-anak dengan penuh adil dan saksama,'' katanya.

Malah terlalu sukar bagi suami untuk menenangkan perasaan isteri yang sentiasa bergelora dan cemburu. Ia sudah menjadi lumrah bagi wanita, iaitu mereka sukar berkongsi kasih sayang seorang suami.

Sehubungan itu, katanya, disebabkan kehidupan bermadu ini begitu luar biasa keadaannya maka wanita perlu berhati-hati sebelum terlanjur berhubungan dengan suami orang.

Malah katanya, suami orang pula jangan sibuk mengejar wanita di luar sehingga terlibat dalam perkahwinan bermadu sedangkan perkahwinan pertama juga masih belum sempurna.

''Wanita pula jangan terlalu mengimpikan sebuah perkahwinan indah bagai di syurga jika lelaki yang bakal dikahwini itu suami orang,'' katanya.

Kata Nik Safiah, ini memandangkan bermadu memerlukan pengorbanan yang besar dan jika tidak yakin berdepan dengan tekanan yang bakal dihadapi maka lebih selamat mengundurkan diri.

Presiden Kelab Wanita Perak Wilayah Persekutuan dan Selangor (PLC), Siti Hendon Chik berkata, wanita yang bermadu sepatutnya tidak cuba menganggu kehidupan isteri-isteri suaminya yang lain.

''Jika saling bercakaran maka akan menambahkan lagi haru-biru dalam perkahwinan bermadu yang telah sedia diketahui memang penuh dengan onak dan duri,'' katanya.

Jelasnya, para isteri tidak perlu cemburu antara satu sama lain tetapi yakin dengan kebolehan diri sendiri untuk menambat hati suami dan sekali gus bahagia dalam perkahwinan itu.

Disebabkan tidak yakin dengan diri sendiri menjadi punca menyebabkan berlakunya perkara yang tidak diingini.

Antaranya, bertindak ganas seperti mendatangkan kecederaan atau kesakitan terhadap madu atau menggunakan ilmu hitam dengan bantuan bomoh.

Siti Hendon berkata, setiap isteri mesti yakin dengan kebolehan yang ada pada diri masing-masing.

''Kalau tidak masakan suami orang boleh terpikat dengan dia sedangkan pada masa itu telah mempunyai isteri dan kehidupan yang bahagia,'' katanya.

Dalam pada itu, katanya, isteri-isteri mesti tahu tanggungjawab masing-masing dengan dibantu serta disokong oleh suami jika berdepan dengan apa-apa masalah.

Jelasnya, lelaki yang mengamalkan poligami perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kesemua isteri termasuk membimbing mereka ke arah kebaikan.

Poligami boleh diamalkan jika suami bertindak adil dalam menyediakan semua keperluan untuk kesemua isteri dan anak-anaknya sehingga tidak ada perasaan curi

Bermadu

Bermadu kena bijak, matang

Oleh SHOLINA OSMAN
wanita@utusan.com.my

Seringkali berlaku pertengkaran di kalangan isteri-isteri yang bermadu dalam kehidupan berumah tangga. - Gambar hiasan.

TERINGAT pesanan ibu, kalau rasa diri tidak 'bijak dan matang' maka jangan sesekali cuba untuk hidup bermadu.

'Bijak dan matang' yang dikaitkan dengan bermadu itu membawa maksud cukup mendalam kerana bukan calang-calang wanita berjaya yang boleh menatang pesanan ini dengan sempurna.

Sekali gus pesanan ini sebenarnya amaran untuk mana-mana wanita muda, janda atau balu supaya tidak mudah terpana dengan rayuan cinta suami orang sehingga terjebak ke alam hidup bermadu.

Jika telah ditakdirkan masih juga gagal untuk menghalang jodoh yang terlalu kuat untuk bermadu maka persiapkan diri dengan sebaik mungkin.

Ini kerana sudah menjadi lumrah di dalam poligami, bukan sahaja antara isteri berlumba-lumba untuk menambat hati suami malah akan berdepan dengan tekanan berganda.

Kehidupan bermadu di zaman ini juga semakin kronik berbanding zaman dahulu memandangkan rata-rata wanita sebenarnya tidak bersedia.

Apatah lagi apabila 'bertemankan' suami yang dari perkahwinan pertamanya juga masih belum sempurna tetapi dengan tanpa rasa bersalah mahu membina perkahwinan yang seterusnya.

Dunia yang pada mulanya disangka indah akhirnya mula dipenuhi dengan cabaran yang mula membuatkan kehidupan semakin menjadi haru-biru.

Ada yang melakukan pelbagai usaha termasuk sanggup mendapatkan bantuan bomoh sehingga terjebak dengan perbuatan syirik.

Bagi yang tidak sabar pula, sanggup bertindak di luar batas kemanusiaan termasuk mencederakan madu dan anak-anaknya tanpa ada perasaan belas kasihan.

Ini termasuk kes terbaru yang mana hanya kerana perselisihan faham, seorang suri rumah sanggup menetak madunya dengan parang sehingga cedera di rumah mereka di Kampung Baru Sungai Korok, Kubang Pasu, Kedah pada 7 Januari lalu.

Dalam pergaduhan kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa, Siti Aminah Hanafi, 50, yang juga isteri pertama, cedera di dahi, pipi dan tangan setelah ditetak madunya berusia 26 tahun.

Anak mangsa, Nurul Shuhada Saad, 16, turut cedera di kaki akibat terkena libasan parang itu ketika cuba meleraikan pergaduhan berkenaan.

Peristiwa seperti ini sepatutnya membuka mata masyarakat Islam di negara ini supaya tidak memandang remeh isu ini walaupun hidup bermadu itu dihalalkan.

Suami sebagai ketua keluarga sepatutnya menjalankan amanah menguruskan kesemua ahli keluarganya dengan sempurna dan jangan sampai mengakibatkan berlakunya pertumpahan darah.

Islam sudah meletakkan panduan bermadu dengan cukup sempurna tetapi sayangnya bukan sahaja suami bersikap 'lepas tangan' sebagai ketua keluarga tetapi gagal mendidik isteri.

Pensyarah Kaunseling dan Naib Setiausaha Persatuan Kaunseling Malaysia (Perkama), Prof. Madya Datin Dr. Sapora Sipon berkata, hidup di alam poligami bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia menuntut kepada pengorbanan suami, isteri dan madu.

''Bukan itu sahaja, ia akan memberi kesan kepada struktur keluarga seperti anak, ibu bapa, mertua dan yang berkaitan,'' katanya.

Maka apabila aspek seperti emosi, kewangan, penjagaan anak, ahli keluarga dan kesihatan diri tidak dapat dikawal dengan baik, ia boleh mewujudkan konflik dan apabila tidak ditangani dengan baik akan menyebabkan pergaduhan.

Hidup dalam tekanan memang sesuatu yang biasa bagi seorang isteri, apatah lagi bagi seorang madu. Ini kerana dalam bermadu lebih banyak hati yang perlu dijaga, termasuk hati sendiri.

Perjalanan hidup keluarga wanita bermadu juga lebih kompleks. Tekanan juga tidak sama bagi setiap wanita.

Sama ada bekerja atau seorang suri rumah, wanita bermadu mempunyai masalah tersendiri. Ada wanita yang lebih kuat dari wanita lain kerana setiap orang mempunyai personaliti yang berbeza.

Masalah timbul apabila emosi tidak dapat dikawal kerana tekanan yang tinggi. Kebiasaannya, tekanan yang dihadapi oleh wanita bermadu memang lebih. Apa yang lebih penting ialah mencari jalan untuk mengurus tekanan.

Sehubungan itu, kata Sapora, langkah yang perlu diambil oleh wanita yang hidup bermadu khususnya bagi menyesuaikan suasana kehidupan setelah sebahagian kebahagiannya selama ini dirampas oleh wanita lain.

"Ini bukan sesuatu yang mudah kerana ia bukan sahaja melibatkan soal hati, tetapi perkara-perkara lain seperti kewangan dan hak," jelasnya.

Antara langkah yang boleh diambil ialah menerima takdir dan menganggap bahawa ia sebahagian daripada kehidupan yang perlu dilalui. Perbaiki kerosakan yang dideritai hati akibat takdir ini.

''Fokuskan kerja-kerja memperbaiki kelemahan diri dan memahami suara hati antara sesama isteri,'' katanya.

Pegangan agama mesti menjadi kekuatan antara mereka. Peranan suami sebagai pemimpin diharapkan boleh menyelesaikan kemelut dan konflik dengan terapi al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.

Jika mana-mana ahli tidak dapat menyesuaikan diri dalam hidup bermadu, keadaan menjadi sukar.

Tujuan perkahwinan di antara seorang mukmin dan mukminah adalah untuk menguatkan iman, memudahkan kerja-kerja ibadah kepada Allah SWT dan menyucikan keperibadian, di samping menurunkan zuriat yang soleh.

Apabila suami turut mempunyai iman yang lemah, isteri mesti memiliki kemampuan sendiri untuk menciptakan suasana harmoni, meletakkan segala-galanya atas kuasa Allah SWT dan berusaha berdiri di atas kaki sendiri.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN: