Tuesday, June 24, 2014

puan lola vs oku

Nurraihan Yazid shared a photo to the group Temerloh.
7 hrs ·
Hakikat yang perlu diketahui...
Kisah benar Puan Lola & Adik OKU : Muhammad Firdaus Dullah
~~~~~~~
Bismillah.
Alhamdulillah, petang tadi saya dan isteri, Siti Salwa diberi keizinan Allah untuk melawat adik Muhammad Firdaus Dullah di Hospital Tuaku Jaafar, Seremban..
Pertamanya, saya mohon maaf jika post ini panjang, harap anda dapat bersabar dan baca kerana intipatinya adalah penting dan harap dapat di"share" kepada sesiapapun yang anda jumpa diluar mahupun Facebook friends list anda..
Adik OKU ini terkenal akibat berita yang tersebar luas konnonnya dia "dikurung" oleh ibunya dirumah sehingga kurus kering. Dan akibat fitnah yang berleluasa tentang betapa "zalim"nya si ibu itu,
saya rasa bertanggungjawab untuk menceritakan hal sebenar kepada kalian semua agar kalian dapat membetulkan semula persepsi anda dan tidak termakan fitnah yang telah anda baca baik daripada akhbar, TV mahupun post di Facebook....
Dan sepertimana post saya yang terdahulu, para keyboard warrior dan generasi "mohon share" bertungkus lumus untuk memaki dan menghina ibunya atas "perbuatan" tidak berhati perut oleh ibu adik Firdaus, Puan Lola.
Facebook ibu adik Firdaus dijejaki dan digelar iblis, syaitan, kejam dan sebagainya..sedarlah wahai rakan sekalian, ini tidak lain hanyalah fitnah yang amat tidak bertanggungjawab para pemberita, generasi "mohon share" dan keyboard warrior terhadap ibunya...
~~~~~
Ketika berada di Wad, saya turut berpeluang untuk bercakap dengan Kak Nor ( Dalam gambar, yang sedang memeluk Firdaus ) yang merupakan jiran,bekas penjaga adik Firdaus, dan juga sahabat baik Puan Lola. Menurut Kak Nor, Puan Lola amat menyayangi Firdaus walhal tidak pernah sekalipun dimarah apatah lagi dijentiknya Firdaus...Walhal, keprihalan Firdaus diketahui oleh jiran sekeliling Flat tempat tinggal mereka kerana semasa Kak Nor masih lagi menjaga Firdaus, dia selalu dibawa main bersama kanak-kanak lain di perumahan tersebut...Dan Kak Nor telah menjaga Firdaus sejak dia berumur 4 tahun lagi. Namun begitu, akibat urusan yang tidak dapat dielakkan Kak Nor berpindah ke Gemencheh..
Akibat ini, tiada lagi siapa yang sanggup menjaga dan membela Firdaus semasa ketiadaan Puan Lola ke tempat kerja.
Dan disinilah bermula kisah dimana Puan Lola terpaksa meninggalkan Firdaus berseorangan dirumah akibat terpaksa bekerja menampung belanja keluarga. Dia bekerja di KLIA dan gajinya hanyalah sedikit
yang amat sangat. Anak kedua Puan Lola yang berumur 6 tahun ( Turut berada di hospital dalam wad yang sama kerana Puan Lola ditahan ) menpunyai kondisi "Hyperactive". Puan Lola juga diberikan ujian kesihatan dan beliau sendiri sakit..Masya Allah besar ujian keluarga ini.
Puan Lola menanggung perbelanjaan sewa rumah, perbelanjaan motor perubatan, menghantar wang kepada ibu bapanya di Sabah dan macam2 lagi dan akibat kepayahan ini, mereka hidup sekangkang kera sebagai mana anda boleh lihat dalam rumahnya yang kosong. Untuk menambah pendapatan, Puan Lola mencari dan menjual tin kosong dan juga kotak-kotak... Masya Allah.
Dan jika kita persoalkan mengapa hanya diberi pakaian reput kepada Firdaus, "mak dia tak mampu ke nak beli baju RM5 sekalipun ?" Jawapannya senang, ya mereka teramat miskin hingga hendak beli baju baru pun tidak mampu.
~~~~~
Untuk menguatkan lagi pendapat kami terhadap Puan Lola, kebetulan datang dalam wad tadi bersama saya adalah seorang lelaki yang merupakan ahli NGO kawasan perumahan Puan Lola sekeluarga. Beliau
pernah bekerja denga Puan Lola selama 6 tahun di KLIA dan beliau turut mengatakan bahawa apa yang masyarakat perkatakan terhadap Puan Lola adalah salah sama sekali. Beliau seorang yang lemah lembut, rajin dan selalu kerja "overtime" untuk mencari duit lebih bagi menampung keluarga.
Situasi kini adalah Kak Nor menjaga Firdaus dan adiknya di Wad kanak-kanak tersebut jika berkesempatan dan beliau tanpa meminta sesen pun berulang alik dari Gemencheh ke Seremban untuk menjaga adik
Firdaus. Sepanjang saya di Wad tadi, adik Firdaus kerap kali memanggil "Mak..." "Makk..." sambil memeluk Kak Nor yang masih lagi diingatinya. Kembalikanlah Puan Lola kepada Firdaus yang mana beliau kini ditahan untuk direkodkan keterangan.... Moga Allah pertemukan mereka semula dengan secepat mungkin, insya Allah.
~~~~~
Sehubungan itu kami semua yang hadir petang tadi dalam Wad itu sepakat bersama ingin membetulkan persepsi yang salah yang digambarkan oleh media massa, generasi "mohon share" dan juga keyboard warrior terhadap keluarga Puan Lola.Moga Allah dapat permudahkan urusan mereka dan kita semua, insya Allah.
Tidak percaya dengan apa saya tulis nih ? Pergi lawat sendiri adik Firdaus di Wad Kanak-Kanak Hospital Seremban. Tiada satu pun calar atau parut dera pada adik Firdaus, yang ada hanyalah kesan kasih sayang ibu yang bersusah payah menjaga si adik meskipun ibunya sakit dan tidak mampu...
###########
Kesimpulan yang boleh dibuat adalah :
1 ) Kita seharusnya malu dan harus rasa bersalah terhadap Puan Lola atas Fitnah dan tohmahan yang disebarkan. Mohon maaf kepada ibu adik Firdaus jika berkesempatan. Kita harus ingat, jika orang kutuk mak kita kita mesti akan marah bukan main lagi dan akan membalas perbuatan terkutuk tu betul tak ? Bayangkan anda telah mencaci ibu kepada adik Firdaus yang OKU yang tidak mampu untuk marah atau membalas perbuatan anda terhadap ibunya.. Anda patut malu dengan diri anda dan segeralah bertaubat.
2 ) Kita tidak boleh menuduh melulu tanpa membuat siasatan terperinci terhadap sesuatu perkara. Silap langkah maka ianya menjadi Fitnah. Ingatlah Fitnah itu dosanya lebih besar dari membunuh.
Mampukah anda tanggung dosa itu diakhirat kelak ? Wallahualam.
3 ) Tanamkan sikap membantu kepada orang yang susah, jangan tunggu NGO ataupun orang datang kutip derma baru nak tolong. Cari dan berkawanlah dengan orang yang miskin dan susah. RM1 bagi anda
mungkin sedikit, namun bagi mereka ianya tidak ternilai... Besedekahlah sentiasa, meskipun harta didunia kurang, harta dan pahal diakhirat berkali ganda Allah akan balas.
4 ) Apa kata kita buat satu derma kilat, kumpul duit untuk rawatan dan belanja Puan Lola, Adik Firdaus dan adiknya yang berusia 6 tahun tu. Kalau rumah anda ada kipas, kerusi ataupun meja baju lebih ke, kumpul dan derma kepada mereka...Kan lagi bagus macam tu. Marilah besedekah kerana semua ini amalan yang digalakkan agama Tak rugi pun kita, lagi untung ada
5 ) Tolong share post ini. Ada pepatah mengatakan "Lying is bad, but hiding the truth is even worse". Sebagai seorang yang bertanggungjawab, kongsikan post ini kepada semua supaya kebenaran diketahui umum. Insya Allah hanya Allah dapat membalas jasa anda.
Walahualam.
Sekian,
Muhammad Kamal Zawari @ Asamkipas

Friday, October 25, 2013

pegawai bank ditembak



  • 'Abang masih sayang saya?' Jenazah dimasukkan ke dalam van Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia selepas bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Serdang, semalam.
1 / 1
SERDANG - Panggilan singkat Norazita yang beria-ia benar hendak tahu sejauh mana kasih suaminya, rupanya petanda ajal wanita itu hendak pergi buat selama-lamanya.

Suaminya, Irwan Kamarudin, 37, sama sekali tidak menyangka itulah panggilan terakhir dan paling singkat daripada isteri tersayang.

“Abang masih sayang saya?” Begitu pertanyaan Norazita dan berkali-kali dia mengulang soalan itu menerusi panggilan telefon kepada suaminya sekitar jam 5 petang, kira-kira sejam sebelum dia ditembak mati oleh perompak.

"Kemudian saya jawab, 'abang sayang awak seperti kita mula berkahwin dulu. Tidak pernah berubah kasih sayang abang pada awak," ucap Irwan dalam nada suara menahan sebak.

Dalam kejadian sekitar 6.20 petang kelmarin, isterinya, Norazita Abu Talib, 37, mati tragis ditembak perompak dalam kejadian rompakan di bank tempatnya bekerja.

"Tetapi saya tidak boleh bercakap lama dengan isteri saya, kerana waktu itu saya sedang bekerja," luah Irwan yang bekerja sebagai pemandu peribadi di sebuah syarikat di Bukit Jelutong.

Sambungnya, sekitar 6.20 petang, dia beberapa kali menghubungi Norazita  untuk bertanya sama ada isterinya itu sudah pulang ke rumah ataupun belum tetapi panggilan  tidak berjawab namun pada ketika itu dia tidak mengesyaki sebarang perkara buruk sehinggalah seorang pengurus bank menjawab panggilan itu dan memintanya segera datang ke bank tersebut.

"Saya tanya dia apa yang berlaku tapi dia tidak jawab soalan saya, cuma suruh saya datang ke sana. Beberapa minit kemudian, seorang kawan beritahu saya yang dia mendengar ada rompakan di bank isteri saya bekerja, menerusi laman sosial Facebook.

"Ya ALLAH, ketika itulah hati saya mula terdetik memikirkan sesuatu dan menjadi tidak tenteram," katanya.

Sehinggalah pada waktu dia sampai, dia begitu terkejut setelah melihat ramai polis di tempat kejadian dan polis tidak membenarkannya masuk ke dalam bank itu.

Jantungnya berdebar dan katanya, dia bertanyakan keadaan isterinya tetapi polis mengatakan isterinya berada dalam keadaan baik.

“Pada awalnya, seorang anggota polis memberitahu, isteri saya baik saja, tetapi kira-kira 9 malam, salah seorang anggota polis beritahu  yang isteri saya sudah tiada lagi (mati ditembak).

"Pada saat mendengar berita itu, hati saya bagaikan hancur. Sedih dan pilu berpadu," luah Irwan dan ini bermakna panggilan singkat sejam sebelum kejadian itulah kali terakhir dia mendengar suara Norazita.

Irwan  benar-benar tidak menyangka  nasib malang menimpa Norazita sedemikian rupa kerana isterinya itu tidak menunjukkan sebarang perubahan tingkah laku sebelum ajal, dan kesedihan apalagi yang boleh diceritakan saat mendengar khabar, isterinya telah mati ditembak.

Menceritakan kisah isterinya itu, Irwan berkata, Norazita memang seorang yang agak pendiam, namun sangat baik hati dengan orang lain dan tidak menyangka Norazita terkorban secara kejam di tangan perompak.

Menurutnya, dia sudah 13 tahun mendirikan rumah tangga bersama arwah dan dikurniakan dua cahaya mata bernama Nurnisa Nabilah, 12, dan Muhd Hazimy, 8.

“Arwah akan dikebumikan di kampung halamannya di Kampung Air Itam Labu, Kampar pada hari ini (semalam),” katanya di Jabatan Forensik, Hospital Serdang, semalam.
Sementara itu, berkongsi sedih dengan ayahnya, anak sulung arwah, Nurnisa Nabilah berkata dia telah kehilangan ibu yang selama ini menjadi tempat bermanja.

“Walaupun ibu seorang yang garang, tapi dia sangat sayangkan saya dan Hazimy.

"Sekarang mak dah tak ada,” kata kanak-kanak itu dalam nada sayu. 

Dalam kejadian kelmarin, Norazita yang bekerja sebagai pegawai bank di Ambank USJ, ditembak mati oleh perompak yang juga pengawal keselamatan di bank yang sama.

Seisi rakyat Malaysia turut  merasai kekejaman  yang berlaku terhadap wanita itu apabila perompak berkenaan tergamak menembaknya tanpa sebab sedangkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan Norazita langsung tidak melawan.

Lebih mengerikan kerana insiden tembak itu dimuat naik menerusi laman sosial Facebook  yang memaparkan Norazita ditembak pada muka hingga menyebabkan separuh dan otaknya hancur.

Dalam pada itu, perompak kejam tersebut berjaya lari dengan membawa wang rompakan itu dan kini polis sedang memburu pembunuh Norazita. Al Fatihah.
Artikel Berkaitan

Sunday, October 6, 2013

tinggalkan anak

Enam beradik ditinggal kelaparan
  • Enam beradik ditinggal kelaparan Kanak-kanak malang yang ditinggalkan ibu bapa mereka lebih 24 jam.
1 / 2
KUALA SELANGOR - Hanya disebabkan tidak puas hati, sepasang suami isteri sanggup meninggalkan enam anak mereka yang masih kecil bersendirian di sebuah rumah di Jalan Bukit Panjang, Jeram, kira-kira jam 1 pagi semalam dan hilang tanpa khabar berita.
Lebih menyedihkan, keenam-enam beradik itu terpaksa makan apa sahaja termasuk cebisan roti terbuang demi mengisi perut, manakala adik bongsu mereka berusia tujuh bulan hampir 'nyawa-nyawa ikan' akibat kelaparan.

Salah seorang penduduk di situ, Samsuri Sulaiman, 57, berkata, pada mulanya dia ternampak lima beradik berkenaan berjalan kaki sambil memikul beg baju tanpa arah tujuan di kawasan perumahan di situ.
"Apabila saya tanya, abang sulung yang berusia sembilan tahun memberitahu mahu balik ke Kelantan kerana 'emak dah mati'.
“Saya pelik melihat kelakuan mereka dan meminta ketua taman memeriksa keadaan rumah yang dihuni sejak setahun lalu, kalau-kalau kedua ibu bapa mereka ada di rumah.
“Namun, alangkah terkejutnya apabila saya sendiri ke rumah mereka, yang ada cuma bayi berusia tujuh bulan ditinggalkan tertidur kerana terlalu lama menangis akibat kelaparan di sebuah kerusi kayu.
"Bayi itu adalah adik bongsu kepada kanak-kanak malang ini," katanya.

Menurut Samsuri, kawasan perumahan itu memang terletak jauh dari jalan besar dan jika mereka dibiarkan merayap, kemungkinan besar boleh hilang.

Terkenal sikap suka 'perang besar'

Dalam pada itu, seorang wakil penduduk, Daud Jaumar, 41, berkata, tidak mustahil bayi berusia tujuh bulan itu menghembuskan nafas terakhir jika tidak dijenguk oleh mereka.

“Saya cuba gerakkan badannya bila lihat terbaring begitu sahaja dan nasib baik matanya buka sedikit dan bergerak. Keadaan itu cukup melegakan hati.

“Saya terus menghubungi penghulu mukim kerana tidak tahu nak buat macam mana lagi. Ibu dan bapa budak itu tidak dapat dikesan," katanya.

Menurut Daud, ibu bapa kepada enam beradik itu memang terkenal dengan sikap mereka yang suka 'berperang' besar.

"Penduduk di sini pun selalu mengadu tentang perangai buruk mereka itu. Pernah juga mereka bergaduh besar sampai nak berparang, mujurlah kami sempat  campur tangan," katanya.

Bagaimana pun katanya, dia tidak sangka kedua-dua suami isteri itu mementingkan diri sendiri dan sanggup meninggalkan anak-anak kecil lebih sehari tanpa memikirkan makan minum mereka.

“Sebelum ini ada juga mereka 'hilang', tapi sekejap-sekejap dan jiran rumah selalu bagi anak-anak ini makan.

"Tapi kalau dah hilang lebih sehari sampai anak-anak hampir melarikan diri, saya rasa ini dah melampau. Apa nasib anak-anak ini nanti?" katanya.

Anak-anak tak banyak karenah

Seorang  jiran mereka, Jamilah Yusof, 53, memberitahu Sinar Harian, dia juga sering melihat-lihat keadaan enam beradik itu setiap kali ditinggalkan ibu bapa mereka selepas bergaduh besar.
“Saya sendiri yang menyambut kelahiran anak bongsu mereka di rumah itu. Memang kasihan, anak-anak itu pula tak banyak karenah apabila ditinggalkan seolah-olah faham masalah keluarga mereka.

"Tapi sangat menyedihkan apabila mereka tidak diberi makan dan minum lebih 24 jam.

“Ada ramai orang yang begitu mahukan anak tapi tak bernasib baik, mereka yang dikurniakan ramai 'amanah' ALLAH ini sanggup biarkan mereka begitu saja. Sampainya hati," katanya sebak.

Sementara itu, Penghulu Mukim Jeram, Kamarudin Abd Rahman berkata, pihaknya sudah memaklumkan perkara itu kepada agensi yang bertanggungjawab untuk tindakan lanjut.
“Keluarga ini saya kenal sejak rumah sewa mereka terbakar beberapa tahun lalu dan mereka sanggup tidur anak beranak di tepi pantai. Bila dapat tahu, saya tempatkan mereka di sebuah rumah sebelum ditempatkan di sini.

“Bila kita bantu, mereka pula buat perkara menyedihkan seperti ini. Bergaduh macam mana pun tak perlulah libatkan anak-anak yang tidak berdosa ini,” katanya.

Saturday, October 5, 2013

suami ganas

Suami ganas, Arisa larikan diri


DI depan ahli keluarga pijak semut pun tak mati tetapi di belakang hanya Allah dan saya saja yang tahu," luah Arisa Yusuf (bukan nama sebenar), 26, membuka bicara.
Pada mulanya wanita muda ini enggan berkongsi kisah negatif rumah tangganya yang berlaku kira-kira tiga tahun lalu.
Namun, apabila dipujuk dengan tujuan untuk memberi iktibar dan membuka mata masyarakat, dia akhirnya bersetuju.
"Kami jatuh cinta pada usia muda, waktu di tingkatan lima dan kerana masing-masing tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi kami pun mengambil keputusan untuk bernikah.
"Walaupun kehidupan sederhana dengan pendapatan yang kecil, itu tidak menjadi masalah kerana kami memang menyayangi antara satu sama lain," ujar Arisa yang menetap di Kuala Lumpur sejak dari kecil.
Kira-kira dua tahun selepas berumah tangga, suami Arisa, Affendi Sulaiman (bukan nama sebenar), 26, telah berjaya dalam permohonannya untuk menjadi anggota pasukan beruniform.
Ketika menjalani beberapa sesi latihan, Affendi tinggal di kem dan jarang dapat peluang untuk balik ke rumah.
"Pada mulanya saya amat bersyukur dengan tawaran pekerjaan tersebut. Namun lama kelamaan saya dapat rasakan hubungan kami makin renggang apabila dia semakin jarang balik.
"Sikap Affendi juga berubah. Dahulu dia memang tidak pernah marah saya. Namun semenjak memasuki kem latihan dia menjadi seorang yang baran. Pun begitu dia masih menyayangi saya dan sering menghantar khidmat pesanan ringkas berbunyi romantis pada saya.
"Disebabkan amat jarang berjumpa, pada pertemuan yang ada saya akan berusaha menyediakan hidangan yang begitu enak padanya. Saya pelajari resipi terbaru dan berhias sebaiknya untuk menambat hati suami.
"Satu malam selepas menikmati hidangan makan malam, Affendi turut menghadiahkan saya seutas jam tangan.
"Saya sangka malam kami begitu indah, hinggalah tangan saya direntap dengan kuat dan makanan yang ada di atas meja dilibas Affendi dengan pakaiannya.
"Jantung saya berdebar, saya amat takut dan melihat mata Affendi juga berubah menjadi merah. Dia kata dia sayang saya tapi terpaksa buat begitu supaya saya tidak mengambil kesempatan atas kebaikannya. Saya pelik kenapa dia bersikap begitu padahal dia dulu seorang yang lemah lembut sahaja," cerita Arisa yang masih tidak mempunyai cahaya mata.
Rupa-rupanya bukan sekali, malah episod penderaan emosi dan fizikal pada Arisa terjadi berkali-kali hingga satu hari Arisa mengambil keputusan lari dari rumah selepas Affendi mengugutnya dengan sebilah pisau ketika dia sedang mencuci pinggan di dapur.
"Saya panik, walau pisau itu kecil saja namun ia hampir mengenai tengkok saya. Dalam ketakutan saya pujuk Affendi untuk tidak mencederakan saya. Anehnya Affendi juga menangis tapi dia kata dia perlu melakukan sesuatu supaya cinta saya padanya tidak beralih pada lelaki lain.
"Saya memang musykil dengan sikapnya. Keadaan dirinya juga adakala kemas namun adakala kusut masai dan keanehan dirinya makin menjadi menjelang waktu malam.
"Berbalik kepada kisah saya keluar rumah tadi, saya memang sehelai sepinggang, paling jauh pun saya mampu terfikir rumah kak Nah, jiran belakang yang jarang saya bersembang namun beberapa kali terserempak di kedai. Entah kenapa pada kak Nah saya luahkan semua.
"Kak Nah juga menawarkan saya tidur di rumahnya pada malam itu. Kebetulan kak Nah ibu tunggal jadi saya tidak begitu kekok bermalam di rumah kak Nah.
"Setelah bersembang, kak Nah memberitahu saya bahawa dia pernah mendengar cerita yang hampir sama berlaku kepada sahabatnya dahulu.
"Kata kak Nah lagi sahabatnya itu telah merujuk kes pada seorang pakar psikologi dan juga seorang ustaz. Masing-masing mempunyai hujah yang tersendiri cuma yang payahnya suami memang tidak akan mahu untuk dibawa ke mana-mana atas alasan dia tidak sakit dan dia tidak gila untuk bertemu pakar sakit jiwa.
"Suami saya ini kalau di depan orang lain terutama ahli keluarga memang baik dan bersopan santun, tapi sikap sebenarnya hanya saya yang tahu. Dan sekarang kak Nah juga tahu dan mahu menolong kami," cerita Arisa panjang lebar.
Akhirnya setelah memendam rasa selama setahun Arisa mengambil keputusan menuntut cerai fasakh. dia tidak tahu lagi bagaimana caranya untuk berhadapan dengan suami yang ganas dan sukar diceritakan pada ahli keluarga akan sikap sebenarnya.
Pun begitu kehidupan Arisa tidak tenang kerana masih diganggu Affendi, sehingga akhirnya dia membawa diri ke timur semenanjung dan menemui ketenangan di sebuah perkampungan nelayan di sana.
Arisa juga menukar nama pengenalan diri dan mengubah penampilan diri agar sukar dikesan bekas suami.
Kini Arisa bergelar usahawan wanita dan selepas tiga tahun episod sedih berlalu dari hidupnya dia telah bertemu dengan seorang duda penyayang yang menyintai dirinya sepenuh hati

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20131002/ke_01/Suami-ganas-Arisa-larikan-diri#ixzz2gox9Xtbm
© Utusan Melayu (M) Bhd

Monday, August 19, 2013

tidak pernah ambik ikhtibar tentang mercun

Buta mata kanan terkena mercun


Gambar kiri: Wajah asal mangsa letupan mercun, Aleya Alysya Abd. Rahim, 8, sewaktu bersama ibunya, Intan Alias. Gambar Kanan: Aleya Alysya sewaktu menerima rawatan di Wad Pediatrik Hospital Putrajaya, semalam.
SUBANG JAYA 18 Ogos - Kegembiraan sebuah keluarga menghadiri rumah terbuka sempena Aidilfitri berakhir dengan tragedi selepas seorang daripada anak mereka berusia lapan tahun buta mata kanannya akibat terkena letupan mercun ketupat, semalam.
Ketika kejadian, mangsa, Aleya Alysya Abd. Rahim bersama beberapa sepupunya sedang bermain bunga api serta mercun di hadapan pintu rumah bapa saudaranya di Taman Tasik Prima, Puchong di sini pada pukul 11.30 malam, iaitu selepas majlis tersebut selesai.
Bagaimanapun, lilin yang digunakan untuk memasang bunga api dan mercun itu tiba-tiba terjatuh setelah terkena sejumlah mercun yang diletakkan di atas lantai seterusnya mengakibatkan letupan kuat.
Letupan itu terkena muka kesemua mangsa namun kecederaan Aleya Alysya paling teruk apabila terkena mata kanan sehingga terpaksa dibedah.
Dua lagi sepupunya iaitu Nasha Nurkistina Zalman, 13, dan Mohd. Fadzli Mohd. Yacob, 7, turut cedera termasuk seorang daripada mereka juga terpaksa menjalani pembedahan di paha.
Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi kejadian mendapati letupan kuat itu mengakibatkan sebahagian siling di bahagian tempat letak kenderaan di rumah mangsa retak dan jatuh.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Supritendan Tan Ah Chua berkata, setakat pukul 5 petang ini, belum ada laporan dibuat tetapi keluarga mangsa telah dikunjungi pihak polis untuk mendapatkan situasi sebenar kejadian.
"Berdasarkan keterangan bapa Nasha Nurkistina, anaknya itu bersama sepupu yang lain termasuk Aleya Alysya bermain mercun jenis ketupat di hadapan rumah dengan menggunakan lilin.
"Ketika sedang bermain, lilin itu terjatuh lalu terkena mercun yang diletakkan di lantai dan keadaan itu menyebabkan letupan kuat sehingga terkena tiga daripada mereka," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ah Chua berkata, kesemua mangsa telah dikejarkan ke hospital kerana mengalami kecederaan di bahagian muka.

Wednesday, August 14, 2013

raya bersama atok


  • Aidilfitri penuh kepiluan Norhakikah dan Muhammad Nur Ridzwan kini tinggal bersama datuk dan nenek mereka, Hashim dan Zamah yang kini tinggal di Kampung Ara Payung, Batu Gajah.
1 / 3
Sambutan Aidilfitri tahun ini mencetuskan kepiluan dalam hati dua beradik lebih-lebih lagi ia adalah sambutan pertama tanpa insan tersayang.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itulah yang boleh digambarkan kepada Nor Hakikah Rosli, 14 dan adiknya, Muhammad Nur Ridzwan, 10, yang terpaksa meneruskan hari-hari mendatang.

Tiada lagi riuh rendah ibunya, ZsaZsanomi Hashim, 44, mengejutkan mereka dua beradik untuk bersiap-siap mengenakan baju baru dan serta bau lemang dan rendang ayam yang dimasak ayahnya, Rosli Aliman, 52 di pagi Syawal.

Mengimbas memori indah bersama kedua ibu bapanya, Nor Hakikah yang selesa dipanggil Nor mengakui setiap kali sambut Syawal, ayahnya paling mengambil berat soal keperluan dia dan adiknya.

“Dalam menyediakan juadah di pagi raya, abah paling sibuk kerana dia pandai masak. Malah, abah sudah merancang menyediakan tomyam di pagi raya untuk kelihatan berbeza berbanding sebelum ini.

“Mak pula walaupun tidak pandai masak. Mak rajin bantu ayah sediakan pelbagai masakan serta mengemas rumah. Sebelum mak ‘pergi’, dia ada meluahkan hasrat untuk memasang langsir baru di rumah kami, Kampung Serapoh, Parit,” katanya.

Dalam pada itu, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan St Bernadette’s Convent itu menceritakan kenangan raya, adiknya yang dipanggil ‘Mat’ hanya menutup muka sekali sekala mengesat air mata berikutan rapat dengan arwah ibunya.

Menurut Nor, kenangan bersalaman kedua ibu bapanya di pagi Syawal meninggalkan kesan mendalam terhadap diri mereka.


Hari meragut kebahagiaan

“Jaga adik dan belajar rajin-rajin,” itulah amanat terakhir yang disampaikan seorang ibu kepada anak sulungnya sebelum terlibat dalam kemalangan jalan raya seminggu sebelum umat Islam menyambut Syawal.

Bebanan yang ditanggung di usia muda, Nor menggalas amanat ibunya untuk terus menjaga dan menyayangi adiknya yang kini tinggal bersama datuk dan neneknya di Kampung Ara Payung, Batu Gajah.

Mengenang kembali kenangan pahit pada 23 Jun lalu, Nor menerima kehadiran tiga anggota polis bermotosikal ketika sibuk mengemas rumah pada hujung minggu manakala Mat bermain di halaman rumah.

Katanya, dia tidak mahu percaya perkhabaran dari anggota polis yang memberitahu kedua ibu bapanya terlibat dalam kemalangan.

“Saya seolah-olah bermimpi. Saya masih harap mak dan abah selama. Saya bayangkan mereka hanya cedera ringan.

“Ketika tiba di Hospital Batu Gajah, terasa diri saya menggeletar apabila kaki menuju ke rumah mayat dan bukan wad kecemasan. Perasaan takut menguasai diri dan akhirnya saya reda,” katanya.

Dalam kemalangan ngeri itu, motosikal yang dinaiki Allahyarham Rosli dan Zsazsanomi terpelanting selepas dirempuh Toyota Hilux ketika dalam perjalanan menuju ke rumah datuk mereka di Kilometer 16.5, Jalan Ipoh – Lumut berhampiran Tronoh.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, kedua-dua mereka meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah termasuk putus kaki. Bagaimanapun, jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Mewah, Batu Gajah.


Bukan beban jaga dua beradik

“Bukan beban tetapi penyeri selepas kehilangan dua anak sekali gus dalam tempoh tiga bulan,” demikian kata ibu Allahyarhamah Zsazsanomi, Zamah Yeop, 64, ketika ditanya mengenai kehadiran dua beradik di jagaannya bersama suami, Hashim Mat,
65.

Menurutnya, 2013 merupakan tahun amat sukar apabila anak sulungnya, Zsazsanomi menghadap Ilahi ketika dia baru pulih daripada kehilangan anak ke limanya, Hasbul Hisham, 36, akibat sakit mengejut.

Katanya, pemergian Zsazsanomi amat memilukan kerana anaknya itu dalam perjalanan menemuinya dengan membawa sayuran kampung kegemarannya antaranya jering, pucuk paku, kangkung dan sebagainya.

“Sebelum dia datang, dia ada telefon dalam jam 8 pagi bertanya khabar. Saya sempat pesan padanya untuk berhati-hati kerana mereka naik motosikal,” katanya.

Zamah berkata, kedua-dua anaknya itu sangat rapat dengannya malah, menyenanginya kerana rajin membantu sebelum Aidilfitri.

“Bila rindu dan terkenang, saya akan menemani mereka waktu tidur dan mencium Nor kerana wajahnya saling tidak tumpah macam ibunya,” katanya dalam nada sebak.

Tuesday, July 16, 2013

akibat mercun

Tangan hancur selepas belerang mercun meletup


Keadaan tangan kiri seorang pemuda yang hilang beberapa jari setelah mercun buatan sendiri meletup dalam genggamannya di Kota Bharu, Sabtu lalu.
KOTA BHARU 15 Julai - Tindakan seorang pemuda membuat uji kaji dengan menyumbat belerang daripada pelbagai jenis mercun ke dalam batang besi payung hampir menyebabkan tangan kirinya kudung apabila 'bahan uji kaji' itu meletup ketika dalam genggamannya.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 4 petang beberapa hari lalu mengakibatkan pemuda berusia lingkungan 20-an putus jari tengah dan manis manakala tapak tangannya turut terkoyak.
Menurut sumber, sejurus selepas kejadian pemuda itu dibawa ke sebuah hospital di bandar ini untuk menerima rawatan ekoran kecederaan parah yang dialami.
"Pemuda itu memaklumkan bahawa insiden itu berlaku ekoran belerang yang disumbat di dalam batang payung meletup.
"Dia memasukkan belerang dalam batang besi payung dan ketika hendak memampatkan bahan tersebut, tiba-tiba belerang itu meletup sehingga mengenai tangannya," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Menurut sumber itu lagi, pemuda itu melakukan perbuatan tersebut bersama beberapa rakannya namun hanya dia seorang yang mengalami kecederaan.
Kejadian kecederaan akibat letupan mercun itu merupakan yang pertama berlaku di negeri ini seminggu selepas umat Islam menyambut Ramadan.