Saturday, October 5, 2013

suami ganas

Suami ganas, Arisa larikan diri


DI depan ahli keluarga pijak semut pun tak mati tetapi di belakang hanya Allah dan saya saja yang tahu," luah Arisa Yusuf (bukan nama sebenar), 26, membuka bicara.
Pada mulanya wanita muda ini enggan berkongsi kisah negatif rumah tangganya yang berlaku kira-kira tiga tahun lalu.
Namun, apabila dipujuk dengan tujuan untuk memberi iktibar dan membuka mata masyarakat, dia akhirnya bersetuju.
"Kami jatuh cinta pada usia muda, waktu di tingkatan lima dan kerana masing-masing tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi kami pun mengambil keputusan untuk bernikah.
"Walaupun kehidupan sederhana dengan pendapatan yang kecil, itu tidak menjadi masalah kerana kami memang menyayangi antara satu sama lain," ujar Arisa yang menetap di Kuala Lumpur sejak dari kecil.
Kira-kira dua tahun selepas berumah tangga, suami Arisa, Affendi Sulaiman (bukan nama sebenar), 26, telah berjaya dalam permohonannya untuk menjadi anggota pasukan beruniform.
Ketika menjalani beberapa sesi latihan, Affendi tinggal di kem dan jarang dapat peluang untuk balik ke rumah.
"Pada mulanya saya amat bersyukur dengan tawaran pekerjaan tersebut. Namun lama kelamaan saya dapat rasakan hubungan kami makin renggang apabila dia semakin jarang balik.
"Sikap Affendi juga berubah. Dahulu dia memang tidak pernah marah saya. Namun semenjak memasuki kem latihan dia menjadi seorang yang baran. Pun begitu dia masih menyayangi saya dan sering menghantar khidmat pesanan ringkas berbunyi romantis pada saya.
"Disebabkan amat jarang berjumpa, pada pertemuan yang ada saya akan berusaha menyediakan hidangan yang begitu enak padanya. Saya pelajari resipi terbaru dan berhias sebaiknya untuk menambat hati suami.
"Satu malam selepas menikmati hidangan makan malam, Affendi turut menghadiahkan saya seutas jam tangan.
"Saya sangka malam kami begitu indah, hinggalah tangan saya direntap dengan kuat dan makanan yang ada di atas meja dilibas Affendi dengan pakaiannya.
"Jantung saya berdebar, saya amat takut dan melihat mata Affendi juga berubah menjadi merah. Dia kata dia sayang saya tapi terpaksa buat begitu supaya saya tidak mengambil kesempatan atas kebaikannya. Saya pelik kenapa dia bersikap begitu padahal dia dulu seorang yang lemah lembut sahaja," cerita Arisa yang masih tidak mempunyai cahaya mata.
Rupa-rupanya bukan sekali, malah episod penderaan emosi dan fizikal pada Arisa terjadi berkali-kali hingga satu hari Arisa mengambil keputusan lari dari rumah selepas Affendi mengugutnya dengan sebilah pisau ketika dia sedang mencuci pinggan di dapur.
"Saya panik, walau pisau itu kecil saja namun ia hampir mengenai tengkok saya. Dalam ketakutan saya pujuk Affendi untuk tidak mencederakan saya. Anehnya Affendi juga menangis tapi dia kata dia perlu melakukan sesuatu supaya cinta saya padanya tidak beralih pada lelaki lain.
"Saya memang musykil dengan sikapnya. Keadaan dirinya juga adakala kemas namun adakala kusut masai dan keanehan dirinya makin menjadi menjelang waktu malam.
"Berbalik kepada kisah saya keluar rumah tadi, saya memang sehelai sepinggang, paling jauh pun saya mampu terfikir rumah kak Nah, jiran belakang yang jarang saya bersembang namun beberapa kali terserempak di kedai. Entah kenapa pada kak Nah saya luahkan semua.
"Kak Nah juga menawarkan saya tidur di rumahnya pada malam itu. Kebetulan kak Nah ibu tunggal jadi saya tidak begitu kekok bermalam di rumah kak Nah.
"Setelah bersembang, kak Nah memberitahu saya bahawa dia pernah mendengar cerita yang hampir sama berlaku kepada sahabatnya dahulu.
"Kata kak Nah lagi sahabatnya itu telah merujuk kes pada seorang pakar psikologi dan juga seorang ustaz. Masing-masing mempunyai hujah yang tersendiri cuma yang payahnya suami memang tidak akan mahu untuk dibawa ke mana-mana atas alasan dia tidak sakit dan dia tidak gila untuk bertemu pakar sakit jiwa.
"Suami saya ini kalau di depan orang lain terutama ahli keluarga memang baik dan bersopan santun, tapi sikap sebenarnya hanya saya yang tahu. Dan sekarang kak Nah juga tahu dan mahu menolong kami," cerita Arisa panjang lebar.
Akhirnya setelah memendam rasa selama setahun Arisa mengambil keputusan menuntut cerai fasakh. dia tidak tahu lagi bagaimana caranya untuk berhadapan dengan suami yang ganas dan sukar diceritakan pada ahli keluarga akan sikap sebenarnya.
Pun begitu kehidupan Arisa tidak tenang kerana masih diganggu Affendi, sehingga akhirnya dia membawa diri ke timur semenanjung dan menemui ketenangan di sebuah perkampungan nelayan di sana.
Arisa juga menukar nama pengenalan diri dan mengubah penampilan diri agar sukar dikesan bekas suami.
Kini Arisa bergelar usahawan wanita dan selepas tiga tahun episod sedih berlalu dari hidupnya dia telah bertemu dengan seorang duda penyayang yang menyintai dirinya sepenuh hati

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20131002/ke_01/Suami-ganas-Arisa-larikan-diri#ixzz2gox9Xtbm
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment