Persiapan majlis kahwin lebur
1 November 2012
Lebih menyedihkan lagi, dalam kejadian kira-kira, 8.47 malam itu, keluarga berkenaan yang sudah siap sedia membuat persiapan majlis perkahwinan pada 11 November ini terpaksa menanggung kerugian yang dianggarkan sebanyak RM150,000.
Menurut Mohamad Suhaimi Ismail, 51, ketika mendapat panggilan mengenai insiden berkenaan daripada adik beradiknya, dia berada di rumah kenalan di Kampung Kurnia Diraja bagi menghantar kad jemputan perkahwinan anak mereka ketiga mereka, Nurul Naqibah Mohamad Suhaimi, 22.
“Mujur saya tidak pergi menjemput di lokasi yang jauh dan bergegas balik ke rumah. Bagaimanapun, sebaik sampai di rumah, sudah tiada apa yang tinggal dan api juga sudah terlalu besar sehingga semua barangan menjadi musnah menjadi debu.
“Malah, tujuh daripada 15 hantaran yang telah siap untuk diberikan kepada pengantin lelaki juga habis terbakar termasuk kad jemputan, bunga telur, cadar pengantin dan lain-lain,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi kejadian, dekat sini, malam kelmarin.
Suhaimi berkata, pagi hari kejadian, dia baru sahaja menguruskan akad nikah anaknya itu di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Tampin dan tidak menyangka barang hantaran yang ingin diberikan kepada pihak pengantin lelaki semuanya sudah musnah dalam kebakaran itu.
Kembar selamatkan diri
Bagi anak kembar mangsa yang berada di dalam rumah, Nurul Aqilah Husna dan Nurul Aqidah Husna, 12, mereka masih trauma dengan insiden berkenaan lebih-lebih lagi semasa kejadian pintu di bahagian hadapan rumah sudah berkunci.
Aqilah berkata, semasa kejadian, mereka terhidu bau benda terbakar dan sejurus selepas itu bekalan elektrik terputus serta keadaan menjadi gelap-gelita.
“Kami sangat cemas dan saya cepat-cepat membuka pintu hadapan rumah. Namun, adik saya bergegas menyelamatkan diri mengikut pintu belakang dan kami berdua melihat api menjulang tinggi.
“Kami bergegas memberitahu saudara dan nenek yang menetap berdekatan dan saya pula berpatah balik bagi menyelamatkan buku-buku. Namun, tidak dapat berbuat demikian kerana api sangat besar dan menakutkan,” katanya.
Ubat kanser hangus
Sementara itu, isteri mangsa, Robaiyah Rosad, 48, berkata, susulan dia hanya keluar rumah bagi menjemput undangan perkahwinan anaknya di kampung berhampiran sahaja, segala dokumen pengenalan diri yang terletak di dalam dompet tidak dibawa bersama.
“Ubat-ubatan termasuk ubat kanser yang perlu saya ambil setiap hari juga musnah terbakar dan hanya pakaian serta barangan yang dibawa keluar sahaja yang tinggal.
“Lima basikal dan sebuah motosikal juga musnah. Malah, hantaran yang saya simpan di bilik saya juga sudah tinggal debu,” katanya.
Dua jentera bomba dikejar ke lokasi
Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gemas, Sahidalah Osman berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran tersebut kira-kira jam 8.47 malam dan tiba di lokasi kejadian sekitar jam 9.05 malam.
Menurutnya, dua jentera bomba masing-masing satu dari Balai Bomba dan Penyelamat Gemas dan Bahau dikejarkan ke lokasi termasuk empat anggota bomba sukarela Rompin turut sama menghulurkan bantuan.
“Sebaik tiba di lokasi berkenaan, api sudah marak ke seluruh bahagian rumah papan berkenaan dan kebakaran dapat dikawal daripada merebak ke kawasan berhampiran sekitar jam 9.10 malam.
“Bagaimanapun, punca dan kerugian yang dialami oleh mangsa masih dalam siasatan,” katanya.
No comments:
Post a Comment