DAIF... Johari dan Sania reda menjaga tiga anak, termasuk seorang OKU, di bilik sewaan tempat tinggal mereka.
Begitulah penderitaan Sania Taib, 41, bersama suami, Johari Md Salleh, 40, dalam mengharungi kehidupan di ibu kota, termasuk membesarkan anak istimewa berusia 12 tahun yang hanya terlantar sejak lahir.
Wanita berasal dari Taman Datuk Rashid, Kuantan, Pahang itu berkata, walaupun terpaksa bersesak di bilik sempit, dia dan suami yang bekerja sebagai pengawal keselamatan tabah membesarkan zuriat dalam keadaan serba daif.
“Gaji suami sebagai pengawal keselamatan tidak seberapa dan dengan kudratnya itu, dapatlah kami menyewa bilik sempit ini dengan bayaran RM250 sebulan.
“Kami tidak dibenarkan memasak selain terpaksa berkongsi dua bilik air dengan 10 keluarga lain yang turut menyewa bilik di sini.
“Sebagai isteri, saya harus bijak mengagihkan pendapatan untuk saraan sekeluarga, termasuk makan dan minum setiap hari, serta urusan membawa anak ke klinik dan ubat-ubatannya setiap bulan.
“Lagipun, saya baru dua bulan di Kuala Lumpur. Jika dapat bantuan, sikit sebanyak ia mampu meringankan beban kami,” katanya ketika ditemui Metro Ahad.
Selain masalah saraf, Nurasyikin mengalami penyakit jantung berlubang, manakala berat badannya hanya 7.8 kilogram seperti seorang bayi.
Katanya, anak kedua mereka, Mohd Salman, 11, pula terpaksa berhenti sekolah sejak dua tahun lalu selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya bersama suami hingga terlantar di hospital.
Menurutnya, walaupun Salman beria-ia mahu meneruskan persekolahan, dia buntu memikirkan cara menyekolahkan anaknya kerana sukar menguruskan surat pertukaran sekolah berikutan terpaksa menjaga Nurasyikin selain faktor desakan hidup.
“Bayangkan, apabila memerlukan air panas, saya terpaksa berjalan sejauh dua kilometer untuk mengambilnya di sebuah masjid serta meninggalkan anak OKU keseorangan di bilik.
“Saya bernasib baik kerana anak kedua kami banyak membantu, misalnya mencuci pakaian dan menjaga adiknya jika saya sakit dan suami pula bekerja,” katanya.
Anak bongsu Sania, Mohd Shafiq, 6, yang sepatutnya bersekolah Januari depan, belum didaftarkan untuk sesi persekolahan di mana-mana sekolah di ibu kota.
Bagaimanapun, dia bersyukur kerana Rumah Sinar Salam, di sini, bersimpati dengan nasibnya dan menghulurkan bantuan berupa makanan dan barangan keperluan harian bagi meringankan beban ditanggung.
Sania berharap ada pihak sudi membantunya mendapatkan rumah sesuai supaya dapat menguruskan keluarga, terutama anak OKU, dalam keadaan lebih selesa.
No comments:
Post a Comment