Maut selepas terima motosikal
MELAKA – Hasrat seorang peniaga pasar tani untuk menggunakan motosikal tiga roda yang disumbangkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) tidak kesampaian apabila wanita itu maut dalam kemalangan di Jalan Tunku Abdul Rahman, Batu Berendam di sini kelmarin.
Dalam kejadian pukul 5 petang, mangsa Sapiah Md. Said (gambar kecil), 41, yang berniaga di Pasar Tani Pusat Transformasi Bandar (UTC) Jalan Hang Tuah meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal Honda EX5 yang ditungganginya hilang kawalan lalu terjatuh.
Motosikal tersebut kemudian terseret beberapa meter sebelum merempuh motosikal tiga roda yang baru dua jam diterima daripada FAMA dan ditunggangi anaknya, Muhamad Ikram Laksamana, 18. Akibat kejadian tersebut, Ikram cedera ringan.
Ikram berkata, sebelum kemalangan, ibunya menunggang motosikal lain manakala dia menunggang motosikal tiga roda dari Ayer Keroh.
“Semasa melalui tempat kejadian, saya yang menunggang motosikal mendahului ibu terdengar satu bunyi dentuman.
“Saya toleh ke belakang dan terperanjat melihat ibu jatuh tertiarap sebelum motosikal ibu merempuh motosikal saya,” katanya ketika ditemui di rumah neneknya di Klebang di sini semalam.
Ikram memberitahu, nasib baik motosikal ditungganginya tidak terbalik dan dia hanya cedera ringan akibat rempuhan motosikal ibunya yang terbabas.
“Saya kemudian mendapatkan ibu yang tertiarap di tepi pembahagi jalan dan ketika itu ibu masih bernyawa,” cerita remaja itu.
|
Beberapa orang awam membantu Sapiah namun wanita itu meninggalkan dunia di lokasi kejadian kira-kira 20 minit selepas kemalangan.
Ikram berkata, selepas menerima sumbangan motosikal itu, ibunya yang amat gembira seolah-olah berubah sikap apabila dia enggan menunggang motosikal tersebut.
“Saya suruh ibu menunggang sendiri motosikal tiga roda yang dinantikan sejak dua tahun lalu tetapi ibu tidak mahu,” katanya.
Mayat mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Klebang kelmarin.
Sementara itu, suami mangsa, Laksamana Salim, 48, berkata, dia tidak menyangka isterinya meninggal dunia sebelum sempat dia berniaga menggunakan motosikal tiga roda.
Laksamana memberitahu, pada waktu pagi hari kejadian, dia dan isteri sempat bersarapan roti canai dan ketika itu tiada apa-apa perubahan pada isterinya.
Dalam pada itu, Pengarah FAMA negeri, Mohd. Nawi Othman berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan pulang selepas menerima motosikal tiga roda berharga RM8,000 di bawah Program Motosikal Tiga Roda yang dilancarkan tahun lalu.
“Pemberian motosikal tersebut bertujuan membantu usahawan seperti mangsa yang sudah berniaga di pasar tani di UTC sejak Jun lepas.
“Sapiah menjual pelbagai sayur-sayuran dan ikan. Sebelum ini mangsa berniaga di Klebang,” kata beliau yang turut sedih dengan tragedi itu.
Sy nk beli tempat isi brg je boleh
ReplyDeleteSy nk beli tempat isi brg je boleh
ReplyDelete